Dua puncak bukit adalah penanda aras untuk Najib.
Pakatan Rakyat (PR) jelas membawa misi untuk menang di kedua-dua pilihan raya kecil-PrK Bukit Gantang, Perak & Bukit Selambau, Kedah tersebut. Malah, menjadi tumpuan juga ialah di DUN Batang Ai, Sarawak.
Namun di sebelah Barisan Nasional (BN), kesemuanya adalah terlalu penting kerana menang di tiga PrK itu adalah "sejambak hadiah" untuk Datuk Seri Najib yang bakal ditabalkan sebagai Presiden UMNO (pada 28 Mac) yang sekaligus Pengerusi BN.
Bagi PR, Bukit Gantang adalah gendang rakyat, alat menyemarakkan mandat rakyat kembali subur untuk dipalu di depan Najib yang bakal mengetuai kempen atas sifatnya sebagai Pengerusi UMNO Perak. Paluan gendang rakyat pastinya digerakkan secara sentimental bagi memastikan konspirasi 5 Februari yang menjatuhkan kerajaan negeri PR Perak akan mengolah hati nurani rakyat keluar mengundi beramai-ramai menolak BN - kerajaan negeri BN sekarang jelas tidak direstui rakyat.
Sementara di Bukit Selambau pula adalah simbol perpaduan sebenar rakyat bersama PR yang telah dibuktikan dalam pilihan raya 2008 lalu. Memandangkan komposisi peratus pengundinya 50(Melayu)-30(India)-20(Cina), jelas telah memberi mandat kepada PR melalui parti KeADILan, maka PrK ini adalah ulangan pendaulatan kuasa rakyat. Ini penting sebagai mengukuhkan sentimen rakyat Kedah yang telah memberi kuasa kepada Ustaz Azizan dari PAS mewakili PR memerintah negeri. Namun bagi BN, PrK Bukit Selambau adalah ujian bagi MIC yang sudah ditolak rakyat. Menerusi calonnya sudah pasti akan menjadi cabaran besar kepada PR, bila mana calon KeADILan yang dinobatkan mewakili PR ada sedikit bantahan yang diperbesar-besarkan oleh media. Walau apapun, PAS yang menerujui kerajaan negeri telah diberi amanat besar untuk membantu jenetera PR di Bukit Selambau. Pastinya Senator Yusof Husin yang dilantik selaku Pengarah Jentera Pembantu sebelah PAS akan mengerahkan semua petugasnya untuk memastikan kempennya nanti mendapat sambutan baik pengundi.
DUN Batang Ai juga menjadi perhatian umum, terutama bagi memahami perkembangan terakhir politik Sarawak. Menang/kalah calon BN di Batang Ai adalah akan menserlahkan taraf politiking rakyat Sarawak yang begitu lama di bawah Ketua Menteri, Mahmod Taib. Sementara PR melalui KeADILan dijangka akan mengemukakan calonnya berdepan calon BN. Ia sudah pasti akan memberi jawapan yang kepada persoalan sebelum ini: benarkan PR sudah diterima rakyat Sarawak dan ia menjadi pentunjuk awal bahawa dalam pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka tidak lama lagi akan menyebelahi PR. Namun, kemelut politik pembangunan di Batang Ai merupakan modal utama BN untuk mengunci undi para pengundi Batang Ai. Maka, kehadiran parti KeADILan bukan mudah diterima. Oleh itu, kempen calon yang bakal dilaksanakan oleh PR di Batang Ai nanti hendaklah singgah rapat di hati rakyat - menyebar arus perubahan di Semenanjung ke bumi Sarawak.
Sama-sama kita saksikan tiga PrK serentak nanti akan menyaksikan penanda aras yang merubah politik negara!!
Catatan hujung:
Persoalan rakyat, kerajaan dan pemerintah adalah kemelut kuasa bila ia disandarkan kepada politik. Namun, ketentuan dan milik Tuhan Yang Esa adalah siasah dengan kuasa hakiki yang tidak boleh dicabar oleh makhluk. Rakyat berkuasa dalam pilihan raya, pemerintah juga berkuasa bila diberi kuasa. Kuasa sementara adalah berada di tangan rakyat dan kuasa hakiki adalah ada di tangan Tuhan Yang Esa. Namun, telunjuk hakiki akan menggerakkan hati rakyat untuk menggunakan kuasa di tangan untuk memilih siapa saja!! Hanya doa dan usaha boleh menguruskan keputusan sebenar yang berada di sisi Tuhan Yang Esa.
No comments:
Post a Comment