18 May, 2009

Menggarap Perpaduan Malaysia

Saya bersyukur ke hadarat Tuhan Yang Esa, kerana di tengah kekalutan dan kemelut politik negara yang menunjukkan indeks tertinggi masih dengan kemelut politik Perak, ada sahabat-sahabat yang masih merenung peristiwa tiga hari lepas; pernyataan Menteri Besar Kelantan mengenai peristiwa 13 Mei 1969. Antara sahabat itu, seorang artis lukis-tulis tersohor Sdr. Pak Rossem yang meminta saya mengembang (menambah) sedikit lagi minda tentang 13 Mei yang dipostkan pada lewat 13 Mei lalu. Saya menyahut permintaannya.

Minda asal yang posting pada lewat 13 Mei seperti berikut;

Memperingati peristiwa 13 Mei 1969 adalah sejarah hitam Negara, berlaku perbalahan kaum. Hari yang melakar pertembungan golongan rakyat yang tercetus akibat terbuak rasa kecewa dan tidak puas hati kepada pemerintah Perikatan yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman. Maka, hari itu adalah realiti perpecahan bukan perpaduan. Suatu realpolitik bersifat anti-perpaduan. Race relationship ternyata gagal, malah makin menebalkan gelora perkauman yang menyebabkan kesedaran politik perkauman semakin memuncak. Sehingga memaksa UMNO dengan moral Melayu bersujud kepada PAS, sanggup berkata-kata dengan nada kemelayuan dan berjaya memujuk kepimpinan PAS membina nilai Melayu – bersatu – menongkah arus perpaduan Melayu. Namun, ia tidak melatarkan hubungan kaum, tiada langsung siratan “ayat-ayat cinta perpaduan” antara Melayu-Cina-India. Masing-masing membina komuniti politik perkauman yang menjejaskan sentimen perpaduan atas nama Malaysia! Meskipun telah dibina pentas Barisan Nasional yang menggabungkan perjuangan perkauman – UMNO, PAS, MCA, MIC, Gerakan dan parti-parti lain; tidak lebih daripada lakonan di pentas sandiwara. Ia berlaku seketika sahaja. Buak-buak 13 Mei terus mengelegak di permukaan kawah, dan akhirnya tertumpah – PAS telah ditendang keluar dari BN – lalu berlakulah angkara UMNO gelojoh untuk berkuasa di Kelantan. Maka, terbukti sudah “ayat-ayat cinta perpaduan” sebenarnya gula-gula pemanis sebagai mentera mengukuh bahtera UMNO. Sejarah perkauman berulang lagi, bila UMNO yang tidak mesra perjuangan Islam itu sedia membuang PAS ketika bahtera PAS sudah dibocorkan! Hakikat sejarah perit itu, sepatutnya tidak berulang lagi sempena 13 Mei 2009 ini. Ekoran kekalutan politik Negara sekarang, kemelut rakyat Perak yang kepinginkan perpaduan, suasana kegagalan pemimpin UMNO era Najib kelihatan rakus memperkotak-katikkan Perlembagaan; sewajarnya kita semua sedia menobatkan tarikh 13 Mei setiap tahun sebagai Hari Perpaduan Malaysia.

Ia penting sebagai lambang kepada hasrat rakyat pelbagai kaum yang cintakan perpaduan demi keutuhan Negara dan rakyat. Ia bersesuaian dengan seruan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan sebagaimana bait-bait kenyataannya ketika menyambut hari 13 mei 2009 di Bilik Gerakan Negeri Kompleks Kota Darulnaim Kelantan pagi tadi.


Menurut Tuan Guru:

“Hari ini 13 Mei, 2009 Masehi …izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dulu.

"…kerana kita telah memilih sistem demokrasi berparlimen maka kita perlu diberikan kembali hak-hak sivil kita termasuk kebebasan bersuara, kebebasan berhimpun secara aman, menghormati prinsip pengasingan kuasa dan rules of law dan natural justice. Serta amalan hak asasi manusia yang dijamin oleh perlembagaan Malaysia.


“Mari kita jadikan tanggal 13 Mei 2009 sebagai titik tolak perubahan ke arah memperkukuhkan suasana hidup beragama, mempereratkan persaudaraan dan mahabah serta menolak mana-mana pihak yang menolak perpaduan kaum, yang mencetuskan isu-isu perkauman yang bukan-bukan untuk mengaut mileage politik bertujuan melanjutkan hayat perjuangan mereka berasaskan semangat kebangsaan.


Semuga Tuhan Yang Esa memberkati usaha kita, demi mewujudkan perpaduan utuh rakyat yang merentasi sentimen kaum. Realitinya kita semua rakyat Malaysia yang perlu membuktikan wujudnya Hari Perpaduan Malaysia. Bersatu-padulah kita membina satu Negara satu warganegara. Amin.


Berikutnya adalah pengembangannya;

Cetusan Tuan Guru Nik Abdul Aziz tersebut adalah bernilai keramat dan tersirat “ayat-ayat cinta perpaduan” yang seharusnya dijadikan renungan dan tindakan pelaksanaan. Antaranya Tuan Guru menegaskan persaolan sistem demokrasi berparlimen dan menghormati prinsip pengasingan kuasa, rules of law dan natural justice.

Bagi kepimpinan politik Islam seperti Tuan Guru, agak positif di dalam menilai demokrasi sebagai wadah merealisasikan perjuangan Islam. Ini kerana naluri demokrasi boleh diserasikan dengan pergerakan dakwah dan siasah syar’iyyah sekaligus meletakkan rakyat yang ramai dan gelagat hidup pelbagai lapisan masyarakat sebagai penegak demokrasi dan syiar agama sejati. Namun begitu, persoalan perpaduan melalui wadah demokrasi tidak mudah diwujudkan, kerana ada segolongan (maksudnya: bukan semua) pemain demokrasi adalah mereka yang rakus, mudah lupa agama dan tidak menilai ‘perbuatan’ demokrasi itu menurut neraca dosa dan pahala.

Di sana akan munculnya tindakan politik yang bersifat perlanggaran kepada sistem, prinsip dan kontrak yang sudah absah. Maka, seruan Tuan Guru agar merenung peristiwa 13 Mei bukan sekadar mengenang intipati pertumpahan darah akibat kerakusan dan perlanggaran pantang larang hubungan kaum semata-mata. Lebih mendalam lagi ialah mengajak semua golongan yang sering mengungkapkan “ayat-ayat cinta perpaduan” kepada merealisasikan keharmonian masa depan melalui pematuhan kental terhadap prinsip dan undang-undang yang memartabatkan demokrasi itu sendiri.

Jika demikian halnya, sudah pasti seruan itu pertamanya hendaklah dipikul oleh bahu pemilik kuasa dan penegak prinsip dan undang-undang dalam negara ini. Maknanya, Tuan Guru secara terang telah membayangkan ada pemimpin negara yang hanya pandai menyeru rakyat bertindak mengikut rule of law, sedangkan pada masa sama kalangan pemimpin yang bercakap itu sendiri dilihat memperkotak-katikkan keabsahan undang-undang dan prinsip demokrasi.

Sebenarnya, perspektif tersebut (persoalan pematuhan dan perlanggaran) amat eksklusif untuk ditintakan secara terbuka. Meskipun begitu, sifat eksklusif itu telah menjadi bicara umum dan sudah tidak eksklusif lagi. Apa yang utama sekarang adalah daya usaha yang telah dibuat selama ini masih belum berbaloi ke arah mewujudkan keharmonian rakyat dan hubungan kaum yang utuh bagi untuk dinikmati oleh generasi sekarang dan masa depan.

Nilai kemajmukan masyarakat Malaysia serata negeri – dari Perlis sampai ke Sabah – adalah begitu kaya dengan keunikannya. Namun kekayaan itu tidak melambangkan kemajmukan yang harmoni untuk dihormati. Melainkan sepanjang rantaian 14 negeri di negara ini, didapati masih kekal dan terus mewarisi nilai-nilai peninggalan penjajah dari segi suku-sakat pembangunan, taraf sosio-ekonomi dan keterbelakangan daripada menikmati rezeki merdeka.

Meskipun telah disedari, ada pelbagai resepi pembangunan negara: Dasar Ekonomi Baru, Dasar Pelajaran Nasional, Dasar Perpaduaan Nasional. Ia belum merukunkan kehidupan yang bersatu-padu. Hatta sesama pemimpin, sama ada dalam satu parti, mahupun antara parti komponen BN; begitu tegar dengan kekalutan dan kegelojohan perebutan menaiki ke puncak kuasa. Masakan rakyat yang dipimpin akan menghormati pemimpin sedemikian untuk dijadikan idola penyatu umat!

Hakikatnya, itulah kejayaan negara semenjak merdeka sampai kini, akibat selama ini ia di bawah dominasi pemimpin warisan bangsa yang masih gagal mengolah segala-galanya untuk mengisi kemerdekaan menuju ke puncak perpaduan Malaysia, maka suatu reformasi kepimpinan negara adalah perlu. Antaranya, menjadikan nilai-nilai kepelbagaian agama dan kaum itu sebagai resipi dan perasa lazat ke arah memartabatkan perpaduan Malaysia.

Justeru itu, 13 Mei seharusnya mengundang para penguasa agar merealisasikan pembinaan ‘plak’ yang boleh dilakarkan “ayat-ayat cinta perpaduan” untuk direnungi dan dibaca oleh generasi mendatang. Mungkin idea ini boleh dimulakan di Kelantan, atas kekuatan sejarah Kelantan adalah negeri yang bebas daripada perbalahan kaum pada tarikh 13 Mei 1969!


Semuga Tuhan Yang Esa memberkati usaha kita, demi mewujudkan perpaduan utuh rakyat yang merentasi sentimen kaum. Realitinya kita semua rakyat Malaysia yang perlu membuktikan wujudnya Hari Perpaduan Malaysia. Bersatu-padulah kita membina satu Negara satu warganegara. Amin.

(Pengembangan minda pada 18 JamadilAwal 1430H/13 Mei 2009M. Kota Darulnaim, Kota Bharu)