11 February, 2011

PRU13: Meneliti impian Umno Kelantan

Kekecewaan Umno Kelantan yang kalah teruk 39-0 pada pilihan raya umum (PRU) 1990 belum lagi terubat, meskipun Umno sudah bertukar-tukar kepimpinan, iaitu tiga presiden dan tiga pengerusi perhubungan negeri. Kini Umno dipimpin peresidennya Datuk Seri Mohd Najib dan pengerusi perhubungannya sudah kembali ke pusingan kedua Datuk Seri Mustapa. Kali pertama Mustapa menjawat pengerusi ialah pada PRU 2004, dan beliau hampir menyekat dominasi PAS di Kelantan. Justeru kali ini, Mustapa mungkin sudah ada resepi khas yang rasanya lebih berselera dan sudah pasti ‘bala tentera’ Umno akan makan segelojohnya. Apakah PAS sudah menyedari realiti ini?

Kenapa Mustapa

Keupayaan Mustapa memimpin Umno Kelantan terbukti gagal tahun 2004. Atas faktor ini, ada yang musykilkan, kenapa Mustapa terus diberi peranan. Sedangkan ramai pemimpin baru yang layak untuk ‘berlaga’ dengan PAS di Kelantan. Misalnya, kenapa tidak Datuk Alwi Che Mat, ketua pembangkang negeri Kelantan atau tidak Datuk Fatmi Salleh, ketua bahagian Umno Kota Bharu merupakan orang kuat Mohd Najib? Tidak kurang juga, timbalan pengerusi perhubungan, Datuk Dr. Awang Adek Husin yang sudah sekian lama duduk sebagai timbalan.

Mungkin jawapan mudah ialah duduknya Mustapa sebagai pimpinan Umno yang paling dipercayai Mohd Najib. Beliau seorang sahaja pimpinan Umno Kelantan diberi jawatan menteri, beliau dilihat ‘humble’ dan ‘economist’ jika dibanding dengan tokoh lain.

Meskipun begitu, Mustapa juga ada kelemahannya. Walaupun, beliau popular sebagai ahli parlimen yang berkhidmat, tetapi khidmat peribadinya tetap seperti ahli politik Umno lain yang bersifat hujung minggu. Tetapi, disebabkan jentera Persekutuan yang dikepalai Jabatan Pembangunan Persekutuan selalu dijadikan ‘backup’ politik, ditambah pula oleh sikap politik pengundi Jeli yang terlalu bergantungan, maka watak Mustapa sentiasa dilihat positif. Meskipun begitu, suara-suara bangkangan kepada cara politik Mustapa semakin terserlah, lebih-lebih lagi kalangan pemimpin Umno negeri yang tidak berpuashati dengan sifat amalan “keJelian” sehingga menafikan projek-projek besar diagihkan ke bahagian lain. Mungkin atas faktor ini, akan ada pemimpin Umno negeri sedia mensabotaj misi peribadi Mustapa untuk merampas Kelantan dari ‘kepimpinan ulama’ diterajui PAS. Paling tidak, para kontraktor Umno bahagian lain sudah tidak dapat merasai anugerah projek kesan longgokan projek besar di Jeli. Hatta sudah ada cakap-cakap tuduhan negatif ditujukan kepada Mustapa dalam isu projek.

Impian bakal realti

Kebejatan kepimpinan Mustafa sebenarnya sudah terbukti setelah gagal mengawal sentiment politiknya ketika memecat Datuk Ibrahim Ali dari Umno bahagian Pasir Mas. Diikuti pula, gagal mengembalikan kuasa Umno pada PRU 2004. Kemudian beliau gagal lagi menjayakan misi membeli wakil-wakil rakyat PAS ketika jarak majoriti PAS hanya satu kerusi dalam tempoh penggal 2004-2008. Walaupun dalam tempoh itu, pengerusi Perhubungan Umno adalah Tan Sri Annuar Musa, tetapi disebabkan masalah peribadi Annuar dengan pihak istana, harapan Umno adalah Mustapa yang dikira rapat dengan istana dan seorang menteri pusat. Begitu juga, atas sifat Mustapa selaku menteri yang mengawal projek kerajaan pusat di Kelantan, sudah berlaku lebih daripada 100 projek yang gagal dilaksana ikut jadual. Sehingga menjadi isu besar persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan ketika perbahasan Belanjawan 2011.

Meskipun begitu, Umno Kelantan tiada pilihan lain untuk bengah semula. Walaupun Mustapa bukan yang terbaik, tetapi itulah pemimpin yang ada kalangan kelompok mereka. Meskipun ada tokoh seperti Tengku Razaleigh, Datuk Ramzi, Annuar Musa, dan Dr. Awang Adek, atau Fatmi dan lain-lain lagi, tetapi Mustapa adalah pilihan, kerana Mustapa amat disayangi Mohd Najib kerana berjaya menguruskan populariti perdana menteri dan isterinya. Maka, pemimpin lain terpaksa menerimanya demi merealisasikan impian Umno Kelantan.

Sehubungan itu, pencapaian Umno dalam dua pilihan raya kecil, iaitu Manek Urai dan Galas sudah dilihat sebagai prestasi baik kepimpinan Mustapa. Walaupun dua pilihan raya kecil itu bukan indikator sebenar (kerana bantuan jentera kerajaan pusat) tetapi itu sudah cukup untuk menghujahkan kelayakan Mustapa menjaya impian. Justeru Mustapa berhujah ke arah mencapai impian adalah bertolak daripada pertambahan undi yang dicapai di Manek Urai dan Galas, kononnya pengundi muda sudah kembali kepada Umno.

Retorik menuju realiti?

Ketika Umno Kelantan dipengerusikan Annuar Musa (2004-2008), pelbagai tema retorik dicetus bagi mengembalikan sokongan rakyat untuk merampas Kelantan dari PAS. Antaranya ialah ‘Selamatkan Kelantan’ dan ‘Sayangi Kelate Kito’ yang membayangkan selama negeri Kelantan di bawah pimpinan PAS rakyatnya tidak selamat dan tidak menyayangi negeri. Natijahnya misi merampas itu gagal. Akibatnya Annuar kalah dalam pilihan raya di tangan calon KeADILan dari kalangan tokoh biasa.

Kini, Mustapa mula menggunakan asas retorik untuk menjaya misi merampas Kelantan. Pada 5 Februari lepas, pasukan pemuda Umno Kelantan dilancarkan untuk menggerakkan impian dengan bersandarkan pemuda sebagai pendayung kanan meluncur perayu yang dinakhodakan oleh Mustapa untuk mengharungi Gelombang Merah dengan tema Tranformasi 1Kelantan Gelombang Rakyat. Matlamatnya amat jelas, iaitu untuk merampas kerajaan negeri Kelantan dari PAS. Kaedahnya adalah dengan apa cara sekalipun untuk menarik kira-kira 400,000 pengundi muda mengundi BN dalam (PRU13).

Rasional program itu adalah adalah bagi melangsungkan kebangkitan rakyat yang didakwa sedang beralih sokongan kepada BN, kononnya akibat 20 tahun sudah ditipu oleh ulama yang mentadbir negeri ini. Atas asas ini, impian meraih sokongan baru pengundi muda akan dicapai. Justeru Gelombang Merah dianggap satu gerakan yang amat penting bagi UMNO Kelantan dalam usaha meniru apa yang pernah dijayakan oleh UMNO Terengganu pada tahun 2004 ketika berjaya merampas Terengganu daripada PAS meskipun ketika itu menteri besarnya merupakan seorang ulama.

Justeru tugas Umno di Kelantan ialah untuk mempengaruhi pengundi muda agar tidak melihat ulama yang memimpin, tetapi harus mengutamakan parti mana yang boleh membawa kemajuan sebenar di dunia ini. Atas premis ini, pengundi muda yang didakwa amat positif kepada pembangunan yang dibawa oleh perdana menteri hari ini bakal menjadi kuasa undi utama menjatuhkan PAS di Kelantan. Ia ditambah lagi dengan taktik putaran pelbagai isu oleh media Umno termasuk cubaan menjatuhkan imej dan maruah kepimpinan kerajaan negeri yang diterajui Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Mengukuhkan putaran isu sedemikian, kini telah ada pemimpin Umno mula berjanji di depan rakuyat Kelantan kononnya mereka sedia menyelesaikan segala masalah rakyat. Antara janji mereka ialah sedia menyelesaikan tunutan 412 peniaga kecil yang tidak puas hati dengan tempat berniaga di Bazar Tok Guru, melunaskan permintaan Pesatuan Pengusaha Kereta Sewa Kota Bharu, memberi bekalan air ke seluruh Kelantan, menyelesaikan semua permohonan tanah, menyediakan secukupnya rumah untuk rakyat, menghapuskan kemiskinan dan menyediakan peluang pekerja untuk belia serta pelbagai janji manis lagi. Apakah rakyat Kelantan akan percayakan Umno lagi? Sedangkan pemimpin yang sama sudah tidak dipercayai dan ditolak sebelum ini.

Apa pun, kesemua impian Umno di Kelantan merupakan ‘siren amaran’ kepada PAS dan kerajaan Negeri Kelantan pimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Sewajarnya situasi yang ada PAS dan kerajaan negeri tidak terus selesa (complacency) dengannya. Sudah tentu ia memerlukan gerak kerja gigih untuk dilaksanakan demi mempertahan sokongan dan keyakinan rakyat. Semoga usaha gigih semua pimpinan dan pertugas parti dan kerajaan negeri mendapat ganjaran setimpal dari-Nya.