Firman Allah SWT yang bermaksud, “hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk" (al-Quran al-Taubah 9:18).
Salah faham
Kebelakangan ini timbul semula salah fahaman mengenai Islam dan politik. Ada yang mendakwa Islam tak boleh dicampur aduk dengan dengan politik, Islam tak boleh diurus secara politik, Islam suku agama suku, Islam hanya boleh dibincangkan di dalam masjid sahaja. Begitu pula timbulnya fahaman yang dangkalnya sehingga memisahkan pula institusi masjid dari isu-isu politik. Sehingga munculnya pemikiran yang mengeliru dan menyesatkan orang, iaitu 'bila nak masuk masjid, jangan bawa masuk politik, dan gantungkan politik di pagar masjid.’
Kesannya, ada pihak tertentu termasuk pihak berkuasa agama yang mengenakan peraturan melarang semua cakap berunsur politik tak boleh disebut di dalam masjid. Malah tidak kurang juga berfikiran melampau (ekstrem) sehingga tidak membenarkan langsung 'orang politik’ berceramah dalam masjid. Meskipun ceramahnya berpandukan kitab atau tajuk agama. Sedangkan kedapatan di kalangan 'orang politik’ itu adalah ustaz-ustaz berkelulusan tinggi dalam pengajian Islam. Itu sudah dikira melampau.
Sebenarnya, jika fahaman begitu diterima oleh pihak berkuasa agama, kesannya nanti amat buruk. Malah kita boleh menjangkakan, suatu hari nanti umat Islam akan buta politik Islam. Sedangkan Islam itu syumul, sempurna dan mengandungi bab-bab peraturan yang lengkap untuk dijadikan panduan dalam semua segi kehidupan manusia. Firman Allah SWT bermaksud, “...pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu…” (Al-Quran, Al-Maidah 5:3).
Islam rapat dengan politik
Sehubungan itu, di dalam Islam ada bab-bab ilmu yang rapat dengan politik yang wajib diketahui oleh umat Islam dan mesti dipelajari dan diamalkan. Antaranya, bab kepimpinan Nabi Muhammad SAW, bab pemerintahan Nabi di Madinah, sistem kepimpinan selepas Nabi Muhammad SAW, pengurusan dan pentadbiran berasaskan syura dan musyawarah, bab penguatkuasaan syariat (seperti hukum jenayah, sembahyang, puasa, pungutan zakat dan munakahat), bab hubungan dan hak-hak masyarakat nonmuslim, hubungan diplomatik sesama negara Islam atau dengan negara bukan Islam, dan beberapa bab yang menyentuh persoalan kuasa, pemerintah dan negara Islam.
Oleh itu, masjid adalah institusi tempat beribadat yang sukatan ibadatnya harus difahami secara meluas, bukan sekadar tempat solat dan membaca al-Quran semata-mata. Kita kena lihat fungsi masjid yang sebenar dan rujukan utama untuk memahami fungsi masjid adalah apa yang amalkan oleh Nabi Muhammad semasas baginda melaksanakan tugas kepimpinannya selaku ketua negara Madinah selama 13 tahun. Baginda telah mempamerkan model fungsi masjid yang bersifat syumul (menyempurnakan semua urusan pentadbiran negara). Maka, apa hujah untuk kita menolak model fungsi masjid yang diasaskan oleh Nabi Muhammad itu.
Dalam konteks semasa (kontemporari) pula, sesungguhnya sebahagian besar umat Islam tidak melalui sosialisasi pendidikan formal ilmu Islam. Di Malaysia kini, sistem pendidikan bercabang dua, dikatakan akademik dan agama, meskipun ada cubaan mengintegrasikan pendidikan akademik dan agama (pendidikan sepadu). Tetapi pendekatan pendidikan sepadu tidaklah mendapat sambutan popular. Tinggal lagi, di luar masjid sekarang ini ramai generasi umat Islam tidak melalui proses pendidikan agama yang syumul. Berbekalkan pengetahuan akademik sahaja belum tentu untuk menjadi seorang yang benar-benar berperanan sebagai khalifah melaksana amanah Allah di bumi ini. Sedangkan di dalam al-Quran (surah al-Baqarah 2:30)Allah berfirman yang maksudnya, “dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
Khalifah di bumi
Justeru itu, fungsi khalifah harus difahami secara mendalam bukan sekadar pada lafaznya sahaja. Maka, sayugia kiranya kita memahami maksud dan peranan khalifah di bumi itu berpandukan sirah Nabi Muhhammad SAW dan para sahabat baginda yang terbukti berjaya menguruskan kepentingan Islam dan umat sejagat. Maknanya, segala apa yang dilakukan Nabi Muhammad adalah sunnah yang wajib diikut dan ditegakkan oleh pemimpin dan umat Islam selepasnya.
Sesungguhnya, di antara banyak sunnah Nabi Muhammad SAW itu adalah baginda berjaya meletakkan Islam di puncak tatkala baginda memimpin sebuah negara, iaitu Negara Madinah al-Munawwarah. Apakah sunnah ini (memimpin sebuah negara) tidak termasuk di dalam istilah politik? Apakah sistem perjalanan bernegara di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW itu bukannya sistem politik Islam? Hanya mereka yang tidak memahami makna politik sahaja yang mengengkari bukti sejarah Islam ini.
Nabi pemimpin negara
Ketika Madinah di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW, siapakah yang menjaga urusan negara Madinah? Sudah pasti Nabi Muhammad sendiri. Oleh itu, sekiranya Islam dan politik itu tidak diselarikan, maka tiadalah wujud sistem bernegara dan tidak wujudlah tanggungjawab Nabi Muhammad SAW selaku pemimpin negara Madinah. Sedangkan pakar politik Barat turut mrngiktiraf bahawa sistem bernegara yang diasaskan oleh Nabi Muhammad itu adalah sebenarnya sistem politik Islam. Hakikatnya Madinah pada zaman itu telah berjaya ditegakkan satu sistem bernegara yang dinamakan sistem politik Islam.
Jika ada lagi saki baki kalangan orang Islam yang menafikan hakikat sejarah kedaulatan negara Madinah di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW, maka ia amat malang sekali. Sepatutnya mereka itu perlu perbetulkan semula akidah dan keyakinan kepada Allah dan Rasul.
Hakikatnya, zaman Nabi Muhammad SAW, segala-gala urusan negara Madinah ditadbir dengan jayanya oleh baginda, kerana baginda berjaya menguruskan negara berpandukan agama dan wahyu Ilahi. Nabi Muhammad SAW sendiri memberi contoh teladan agar urusan menegakkan agama dalam pemerintahan dan mentadbir negara dengan Islam. Lantaran itu munculnya falsafah iqamatid-din wa-siasatudunniya bih – menegakkan agama dan mentadbir negara dengan panduan agama.
Demikian pula di sepanjang pemerintahan Islam zaman Nabi Muhammad SAW telah ditegakkan institusi syura sebagai medium perancangan dan pelaksanaan pentadbiran negara. Ia sesuai pula dengan kehendak Allah sehingga di dalam al-Quran sendiri terdapat surah as-Syura sebagai gambaran qat’i (nyata tak boleh ditolak) bahawa pendekatan pentadbiran diwujudkan oleh Allah SWT sebagai panduan untuk diikuti dalam menguruskan kerajaan dan negara.
Ia sekaligus meletakkan asas politik dalam Islam, kerana urusan bermesyuarat dan mentadbir merupakan intipati penting di dalam politik Islam. Sehingga berlaku pihak Barat yang sekular turut mengkaji kekuatan politik Islam berasaskan syura ini. Oleh itu, kefahaman umum Islam hendaklah menerima realiti bahawa di dalam akidah Islam, sistem politik sedia wujud dan tidak seharusnya pendekatan agama itu mengasingkan mana-mana bahagian, institusi dan jurus agama dengan politik. Aspek ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam keluaran akan datang.