28 May, 2009

Lepas Penanti ke Manek Urai (MU)

Kerusi dewan undangan negeri N.41 Manek Urai Kelantan telah kosong berikutan kembalinya ke rahmatullah YB Hj Ismail Yaacob, ahli dewan undangan negeri (ADUN) yang disayangi ramai pada 22 mei 2009 lalu.

Pagi tadi pula, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah memutuskan akan berlakunya pilihan raya kecil (PrK) di DUN MU itu. Terjadilah siri pilhan raya kecil berikutnya: selepas Penanti, Manek Urai sedia menanti.

Kenyataan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof antara lain menjelaskan:
- Penamaan calon pada 6 Julai
- Pengundian 14 Julai
- Daftar Pemilih Induk 2008 ialah gabungan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2009
- dikemaskini DPI pada 22 Mei
- teradapat 12,293 pemilih termasuk 25 pengundi pos.
- pemakluman rasmi kekosongan kerusi daripada Speaker Dewan Negeri Kelantan pada 24 Mei
- Pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi di Dewan Petra, SMK Sultan Yahya Petra 1, Kuala Krai
- sembilan sekolah dijadikan pusat mengundi
- seramai 350 petugas SPR terlibat
- pengundi boleh menyemak sendiri melalui:
--- laman web rasmi SPR www.spr.gov.my
--- lima kaunter SPR di DUN MU
--- SMS
dengan menaip SPR SEMAK NO KAD PENGENALAN dan hantar kepada 15888
--- talian dail ibu pejabat SPR 03-88856500 atau SPR Kelantan 09-7482510.
- dua pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya (PPKPr) ditubuhkan.


Walau apapun, pengumuman SPR ini jelas telah menghormati tarikh-tarikh Muktamar PAS ke-55 yang bakal diadakan bermula 4 Jun hingga 8 Jun 2009 di Shah Alam. Begitu juga turut diambil kira ialah ruang selesa bagi Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat untuk setup jentera pilihan raya masing-masing selama masa yang senggang (enam minggu). Mungkin ia lebih beruntung bagi BN/UMNO, kerana parti itu sudah setahun tidak melakukan apa-apa akses di DUN tersebut. Maka, masa senggang itu nanti dapat dimanafaatkan dengan baik.

Sudah pasti semua jentera kerajaan BN akan turut membantu para pengundi di sana. Kerana di DUN MU sudah jelas adanya agensi yang rapat dengan rakyat seperti KESEDAR, FELCRA, RISDA, jabatan-jabatan lain di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan projek-projek yang bertaraf 'pembantu rakyat miskin'.

Saya yakin pihak pegawai di jabatan-jabatan berkaitan sudah memikirkan pelan strategik membantu rakyat sebelum kempen rasmi pilihan raya bermula.

Sebenarnya sudah menjadi kententuan Tuhan Yang Esa, setiap yang hidup akan kembali kepada-Nya. Cuma sebab musabab dan kerana-Nya takdir terjadi, maka arwah ADUN Manek Urai yang dikenali dengan nama mesra "Paksu Wel" telah kembali mengadap-Nya. Semuga, rakyat DUN MU terus mengenangnya, dan abadinya dalam kemuliaan jua. Amin.

27 May, 2009

PENANTI: CALON BEBAS FOKUS MEDIA

Kempen di lokasi DUN Penanti memang tidak hangat dan hampir tiada langsung publisiti media arus perdana. Ia kerana di sana pihak Barisan Nasional (BN) tidak menurunkan calon bertanding, meskipun UMNO Pulau Pinang bersedia untuk bertanding. Kesannya, tiga calon Bebas telah bertanding - berganding melawan calon Pakatan Rakyat dari KeADILan (gambar). Namun, keputusan pilihan raya kecil DUN Penanti tetap dinanti-nantikan. Lantaran banyak penganalisis politik berpendapat, dorongan keluar mengundi amat rendah berikutan akan berlaku protes, sikap tidak kisah pengundi BN, dan kurangya publisiti media berhubung dengan rayuan keluar mengundi. Tambahan lagi, ada pula pihak yang ternanti-nanti, apakah benar kekosongan kerusi DUN Penanti adalah ruang penyelesaian masalah dalaman parti KeADILan!

Sehubungan itu, ramai yang terkekang fikiran dengan apa yang berlaku di Penanti, ia seolah-olahnya tiada berlaku pilihan raya kecil. Berdasarkan pemerhatian awal, nyata sekali berbeza dengan suasana pilihan raya Permatang Pauh, Kuala Terengganu dan Bukit Gantang; jalannya sibuk, benderanya siap terpasang di merata tempat dan persekitaran Bilik Gerakan/markaz adalah ramai dan selalu bersimpang siur. Namun, seperti yang disaksikan, markaz KeADILan di Kubang Seman (gambar), misalnya kelihatan lengang. Jalan utama di situ juga berlalu seperti biasa (gambar).

Walaupu begitu, calon Bebas, Aminah Abdullah, Bekas Ketua Wanita Parti KeADILan (gambar)dilihat lebih terserlah dari segi kempen media apabila tindakannya bermain isu rasuah dengan parti KeADILan agak mengena dan mendapat perhatian popular pihak media. Namun, ramai pihak beranggapan, cara beliau tidak lebih daripada 'buat bising' untuk pekena calon Pakatan Rakyat-KeADILan, dan Aminah sendiri tidak ada agenda kempen khusus atas sifatnya calon yang tidak berparti.

Namun, segala-galanya sudah terjadi dan Tuhan Yang Esa sudah menetapkan kemenangan tetap menjadi milik hanya satu calon. Paling diberi fokus untuk menang bukannya Aminah, tetapi Dr. Mansor calon KeADILan.


24 May, 2009

PENANTI: PAS PASTIKAN PAKATAN RAKYAT MENANG

Mesyuarat khas jentera pilihan raya PAS di Pongsu Seribu pada 21 Mei lepas telah memutuskan semua PAS Negeri hendaklah turun membantu memenangkan Dr. Mansor selaku calon KeADILan mewakili Pakatan Rakyat pada pilihan raya kecil N.12 Penanti, 31 Mei.

Meskipun penamaan calon semalam (23 Mei) menyaksikan persaingan empat penjuru - Dr. Mansor berdepan dengan tiga calon bebas; namun, Pakatan Rakyat dijangka tidak berdepan dengan cabaran hebat berikutan pihak Barisan Nasional (BN) tidak bertanding.

Berdasarkan prestasi pilihan raya umum lalu dan sokongan pengundi DUN Penanti semasa pilihan raya kecil lalu, ternyata Pakatan Rakyat mendapat undi popular 62% dan 65%. Ekoran gandingan padu jentera Pakatan Rakyat - kerjasama erat KeADILan, DAP dan PAS - sudah pasti keputusan pilihan raya kecil itu nanti amat menyakinkan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, Haji Mohamad Sabu, Naib Presiden PAS meletakkan keyakinan tinggi, Dr. Mansor akan menang...

"Saya jangkakan Pakatan Rakyat akan menang, calon bebas mungkin akan hilang deposit dengan keadaan ini apabila sokongan kepada PR amat baik," katanya.

Realiti itu sesuai dengan keyakinan Dr. Mansor selaku calon yang meletakkan harapan tinggi kepada kerjasama parti-parti dari Pakatan Rakyat untuk beliau menang...

"Kita punya jentera pilihan raya dengan bantuan DAP dan PAS akan membantu dan kita yakin mampu menang pilihan raya ini," katanya.


Meskipun begitu, kemungkinan undi kumpulan pengundi UMNO tidak keluar mengundi, sementara pengundi atas pagar akan memprotes kepada calon Bebas. Kehadiran calon Bebas, seorang wanita (Aminah Abdullah), seorang Melayu (Kamarul Ramizu) dan seorang bukan Melayu (Nai Khan Ari a/l Nai Keow) sedikit sebanyak akan mengelompokkan pengundi atas pagar yang protes kepada calon-calon Bebas. Saya setuju dengan pandangan Mohamad Sabu dan Dr. Mansor, kedua-duanya relevan dalam menentukan prestasi Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Penanti.


Berdasarkan itu, jika melihat kepada kedudukan sokongan pengundi yang diperolehi Dato' Seri Anwar Ibrahim pada pilihan raya kecil lalu; semua daerah mengundi adalah berpihak kepada Pakatan Rakyat. Lihat jadual di bawah.


Analisis peluang

Pengaruh Pakatan Rakyat bagi DUN Penanti agak tinggi: semasa PRU DUN - 62% dan PrK – 65%. Maknanya populariti Pakatan Rakyat lebih tinggi semasa PrK (faktor Anwar). Apabila BN tidak menurunkan calon, jangkaan keluar akan merosot dan mana-mana calon Bebas dijangka mendapat simpati pengundi BN kerana menentang Pakatan Rakyat. Maka populariti Pakatan Rakyat tidak akan terjejas. Senario tersebut akan berpihak kepada Pakatan Rakyat jika mood rakyat dan momentum jentera pilihan raya berlaku dalam prestasi terbaik. Sebaliknya, jika beberapa titik bengit yang berlaku gagal ditangani, maka pola pengundian mungkin merosot sampai 10%, maka memungkin Pakatan Rakyat mencapai 55% undi popular. Walau apapun, janji kerajaan negeri Pulau Pinang untuk melantik Dr. Mansor selaku Timbalan Ketua Menteri I, sudah pasti ia memberi keyakinan, terutama kalangan pengundi Melayu di Penanti. Oleh itu, selayaknya Dr. Mansor bakal meraih undi besar, kerana di sebalik jawatan itu nanti bakal meneruskan status-quo ADUN Penanti sebelum ini dan sekaligus mengharmonikan imej kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang dianggotai majoriti ADUN Cina.


Segala ketentuan itu adalah daripada Tuhan Yang Esa, semuga kehidupan yang berbangsa-bangsa dalam suatu pemerintahan bakal mencapai keharmonian atas nama kesatuan warga negara.