18 November, 2011

Imbau 21 Oktober: Anak muda penentu kemenangan Kelantan

Tanggal 21 Oktober 2011 lalu telah genap 21 tahun PAS menerajui kepimpinan politik dan pentadbiran Negeri Kelantan. Satu usia yang sudah matang dari segi demokrasi kerana dikira layak mendaftar sebagai pemilih. Ini bermaksud seusia itu, mana-mana warga Negeri Kelantan yang lahir selepas 21 Oktober 1990, kini sudah layak menggunakan hak demokrasi pada pilihan raya umum akan datang bagi mengukuhkan sokongan terhadap PAS sebagai Parti Kerajaan.


Usia 21 tahun adalah had umur demokrasi bagi sistem pilihan raya Malaysia. Sekaligus memberi makna pertambahan pengundi untuk pilihan raya umum akan datang merupakan peluang bagi ‘pengundi sulung’ warga Kelantan yang lahir seiringan dengan PAS mentadbir Kelantan. Logiknya majoriti mereka adalah serasi dengan dasar-dasar Islam yang menaungi kehidupan mereka. Sudah tentu, mereka bakal mencorak undi penentu untuk menjulang PAS sekali lagi sebagai Parti Kerajaan dan menafikan cita-cita Umno untuk merampas Kelantan. Ia juga sebagai simbol kebangkitan anak muda Kelantan yang dibesar dan dididik atas prinsip ubudiyah, mas’uliyah dan itqan. Pastinya, dasar pentadbiran dan pembangunan berteraskan Membangun Bersama Islam di Kelantan positif kepada kehidupan yang aman dan sejahtera di Negeri Kelantan.

Pengundi pertama

Betapa perkembangan pemilih Negeri Kelantan sejak 1990 sampai sekarang, amat pesat. Jumlah pengundi pada 1990 ialah lebih 536,020 dan kini bertambah kepada lebih 848,917 orang. Ini bermakna dalam masa 21 tahun pengundi bertambah seramai 312,897. Amat mudah dinilai, iaitu kira-kira 300,000 ribu anak muda Kelantan telah berdaftar sebagai pemilih. Jumlah ini adalah termasuk mereka yang disahkan sebagai pemilih pada suku ke-3 tahun 2011 seramai 14,895. Sementara pada suku ke-2 lalu seramai 16,610 mendaftar. Jumlah yang lebih rendah berbanding pada suku pertama sekitar 26,800 orang. Dijangkakan pula pada suku ke-4 nanti sekitar 18,000 orang lagi bakal mendaftar memandangkan angin pilihan raya umum berlaku selepas Mac 2012.

Jika benar, maka pendaftaran pemilih suku ke-4 bagi 2011 kemungkinan akan disahkan pada Februari 2012. Justeru, pengundi pertama (first time voters) dalam senarai pemilih induk Negeri Kelantan bagi pilihan raya umum akan datang dijangka berjumlah 76,305 orang (8%) daripada 850,000 pengundi. Ini bermakna kira-kira 18,000 anak muda Kelantan (layak mendaftar selepas 21 Oktober) adalah seusia dengan PAS mentadbir Kelantan sah sebagai penentu kepada sokongan PAS mahu pun Umno dalam pilihan raya umum akan datang.

Protes anak muda

Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS adalah dibina 1990 atas sokongan anak muda. Ketika itu berlaku protes anak muda terhadap sikap bebal Umno Kelantan yang membangkang pihak istana turut membabitkan Menteri Besar (dari puak Umno) sendiri. Ia berlaku lagi pada 1999, tatkala Datuk Seri Anwar dipecat dan dipenjara oleh pentadbiran (Tun) Dr. Mahathir. Ketika itu, protes anak muda telah membawa impak reformasi yang menyumbangkan sokongan bertambah anak muda sehingga memenangkan PAS di Terengganu dan meningkatknya sokongan kepada PAS di negeri-negeri lain.

Berlaku pula tahun 2008, pihak anak muda (termasuk kaum bukan Melayu) bangkit menerusi Perarakan Bersih (menuntut demokrasi yang adil) dan memprotes sikap berdolak dalik kerajaan BN yang saat akhir membatalkan penggunaan dakwat kekal celup jari (indelible ink). Ia telah melonjakkan arus tsunami menolak BN. Justeru empat buah negeri (Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor) bersama-sama Kelantan, jatuhnya Kerajaan BN.

Program anak muda Kelantan

Kerajaan Negeri Kelantan menginsafi tentang peri pentingnya sumbangan anak muda selaku pengundi dalam setiap kali pilihan raya. Melengkapi keinsafan ini, pelbagai program dibuat untuk manfaat anak muda. Ia bermula sejak awal PAS (ketika itu bersama Angkatan) mentadbir Kelantan. Antara program yang masyhur ialah pelaksanaan projek usahawan menerusi skim pinjaman Tabung Belia Niaga, penggalakan NGO belia, bantuan sukan untuk belia lokaliti dan sumbangan pendidikan serta penggalakan peluang kerjaya di sektor ekonomi tradisi (pertanian) dan industri (perkilangan).

Meskipun pada masa sama, puak Umno tidak kering tekak meraung untuk menidakkan usaha Kerajaan Kelantan. Namun anak muda Kelantan tidak terpengaruh dan kekal dengan hobi berhijrah sebagai langkah perekonomian di negeri luar Kelantan. Tumpuan utama ialah di Lembah Klang dan bandar-bandar utama. Selain itu, anak muda Kelantan turut mendominasi perkhidmatan perguruan dan pertadbiran awam. Mereka setia dengan tugas meskipun ditempatkan di pedalaman Sabah dan Sarawak. Hobi dan setia berkhidmat sedemikian masih berterusan sehingga kini. Justeru, ia melengkapkan keunikan anak muda Kelantan yang sentiasa mencintai amalan balik kampung secara bermusim. Maka anak muda Kelantan pewarisan semangat esprit de corps yang nyata. Semangat yang tidak disenangi Umno Kelantan kerana ia mempertautkan nilai-nilai politik kekeluargaan sepertimana asuhan PAS dan Tuan Guru Nik Abdul Aziz selama memikul mandat Menteri Besar Kelantan.

Strategi pengundi luar

Sehubungan itu, ia membawa kepada pelaksanaan berstrategik program Kerajaan Negeri Kelantan mendampingi anak muda di perantauan (kerana bekerja dan belajar) dengan aktiviti khusus. Satu daripada program iconic ialah majlis aidil fitri untuk perantau yang balik kampung dan perjumpaan warga Kelantan di lokasi khas. Ia telah mengeratkan hubungan anak muda, kekeluargaan dan kepimpinan Negeri Kelantan.Termasuklah program ziarah khusus Menteri Besar dan ahli exco di lokasi yang tinggi kepadatan ‘warga Kelantan’ di perantauan. Saban minggu, pemimpin utama Kerajaan Negeri Kelantan, khasnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz diprogram menghadiri program bersama rakyat di luar Kelantan. Ia cukup intim ke arah self-esteem anak muda Kelantan mengenali lebih rapat pemimpin mereka. Hal ini gagal ditiru oleh pemimpin Umno Kelantan, meskipun metreka juga warga Kelantan di perantauan.

Justeru itu, selepas 2004 warga Kelantan di perantauan telah menubuhkan ‘Perakan’ sebagai platform bertemu mata sesama warga negeri. Ia cukup menyentuh hubungan dan keeratan anak muda bersama pemimpinnya. Sehingga kini Perakan menjadi jambatan mendekati lebih 25,000 ahli. Sekaligus melengkapkan lagi peranan persatuan-persatuan orientasi sama yang bermacam nama. Persatuan-persatuan tersebut bertanggungajwab mengakses kira-kira 80,000 pengundi luar Kelantan setiap kali musim ‘balik kampung’ atau paling utama semasa pilihan raya umum. Natijahnya sudah bermaksud politik yang membuka peluang amat bermanfaat untuk kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan, khasnya Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang utuh dipersada rakyat Kelantan.

Mesra anak muda

Selama 21 tahun lalu, Kerajaan Negeri Kelantan dipimpin ulama’ tidak menjauhi diri daripada gelagat anak muda. Termasuk menteri besar sendiri cukup mesra (ramah) dengan anak muda. Ia termaktub secara rasmi di dalam Dasar Belia Negeri Kelantan yang sekarang ini dikenali dengan Dasar Pembangunan Belia Negeri Kelantan.

Memenuhi tunutan dasar itulah dianjurkan program sukan seperti Liga Piala Tok Guru, Kejohanan Sepak Takraw Piala Timbalan Menteri Besar dan pembiayaan langsung aktiviti belia dan sukan melalui wakil rakyat dan Urusetia Pembangunan Belia. Termasuk juga program sosial belia yang dikenali dengan Cakna Anak Muda dan aktiviti berbasikal. Malah tidak kurang pula, galakan pihak Kerajaan Negeri kepada aktiviti NGO belia yang mesra anak muda. Terkini begitu banyak persatuan yang mewakili anak muda Kelantan. Antaranya Pasukan Sukarelawan Hijau (Green-V), persatuan Minda Evolusi Rempit Kelantan (Merak) dan persatuan Anak Muda Kelantan yang menjadi mesra dengan aktiviti anjuran Kerajaan Kelantan.

Anak muda juga dilatih dengan program yang mesra beragama demi melahirkan akhlak tuntas. Pihak Urusetia Pembangunan Belia menjadi agensi anak muda untuk menjayakan aktiviti kerohanian. Ia selari dengan dasar pendidikan agama di bawah Yayasan Islam Kelantan yang telah berjaya memartabatkan pendidikan tahfis Al-Quran dan tahfiz Sains Al-Quran serta ribuan anak muda lepasan sekolah agama yang menjadi aset masa depan Negeri Kelantan. Justeru kejayaan menghimpunkan puluhan ribu anak muda dalam program munajat anak muda Kelatan dan program tamu Ramadhan. Tidak kurang juga ialah rancaknya program santai semasa seperti aktiviti berbasikal dan sukan futsal.

Atas kerancakan aktiviti anak muda tersebut, maka tiada alasan untuk mengatakan Kerajaan Kelantan tidak mesra anak muda. Semestinya ia cukup mesra (cakno) bagi anak muda untuk komited dengan pengundian setiap kali diadakan pilihan raya. Kini anak muda Kelantan bakal mencetuskan gelombang ‘hijau’ yang cukup bertenaga untuk mengatasi gelombang merah (yang kini semakin pudar) di bawah anjuran Umno. Sudah tentu pilihan raya umum akan datang bakal mengabsahkan anak muda Kelantan sebagai generasi progresif bersama kepimpinan ulama’ di bumi Serambi Mekah.