31 March, 2015

PRK Chempaka: Kemenangan legasi Tok Guru

Oleh: Dr Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.

Perjalanan Pilihan Raya Kecil Chempaka (PRK Chempaka) lalu berlangsung di tengah-tengah keseriusan Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS menguruskan pembentangan Kanun Jenayah Syariah II (1993) Pindaan 2015. Keputusannya sebagaimana ramai pemerhati politik meramalkan adalah PAS mendapat kemenangan selesa. Ia bukan sahaja kerana Dun Chempaka merupakan kubu kuat PAS sejak nama asalnya Dun Semut Api, tetapi mood semasa yang menyokong atas kesungguhan kepimpinan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob berjaya membawa ke depan hasrat rakyatnya yang mahukan udang-undang jenayah Islam menuju realiti.

Dari segi latar sosiopolitiknya pula, Dun Chempaka merupakan tapak PAS sejak awal lagi. Ia menjadi tapak penyambung kepada kemenangan berterusan selama tujuh penggal sejak 1986. Penyambungnya ialah Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Hj. Nik Abdul Aziz bin Nik Mat (Tok Guru) seorang pimpinan utama PAS berjawatan Ketua Ulamak yang kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan selepas kemenangan PAS pada pilihan raya umum 1990.


Kekosongan kerusi N.06 Chempaka berlaku berikutan kembalinya ke rahmatullah Tok Guru selaku penyandang pada 12 Februari 2015. Ia sebagai titik penyebab untuk suatu pilihan raya kecil diadakan. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan 10 Mac 2015 sebagai tarikh penamaan calon, diikuti dengan pengundian awal pada 18 Mac dan hari mengundi pada 22 Mac. Ia turut memperuntukkan 12 hari tempoh berkempen.

Selain itu, SPR turut menyedia 10 pusat mengundi dengan sembilan buah sekolah dijadikan pusat membuang undi menerusi 42 saluran mengundi awam dan satu saluran mengundi awal. Sementara itu, seramai 21,890 pemilih yang berdaftar, 20,390 adalah pemilih biasa dan 1,497 pemilih awal kalangan anggota tentera dan isteri serta tiga pemilih yang tidak hadir.
Calon PAS popular
Perjalanan PRK Chempaka kali ini menyaksikan perlawanan lima penjuru tanpa penyertaan calon Barisan Nasional. Calon PAS telah ditentang oleh empat calon Bebas yang dua daripadanya adalah dibayangi oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pihak Barisan Nasional tidak menyertai PRK Chempaka kali ini adalah berikutan keputusan Umno yang ingin menumpukan kepada gerakan pemulihan banjir dan sebagai menghormati Almarhum Tok Guru. Justeru calon PAS diwakili oleh Ustaz Ahmad Fathan Mahmood (42) telah ditentang oleh empat calon Bebas dengan lambang masing-masing, iaitu Aslah bin Mamat (64 tahun, Buku), seorang wanita Fadzillah Hussin (55, Kunci), Izzat Bukhari (47, Pen) dan Hj. Syarif Mahmood (59, Gajah). Namun fokusnya hanyalah kepada calon PAS, Ustaz Fathan yang merupakan Bendahari PAS Pengkalan Chepa yang berkelulusan Sarjana Syariah dari Universiti Malaya. 

Sebelumnya pernah belajar di Universiti Al-Azhar Mesir adalah bekas Imam Mukim Baung, bekas Timbalan Pengetua Institut Dakwah Islamiah PERKIM (IDIP) dan berpengalaman dalam pendidikan masyarakat melalui jawatan Pegawai Dakwah Halaqat yang disandang sebelumnya. Aktiviti pendidikan berteraskan agama Islam itu merupakan  rutin Ustaz Fathan telah meletakkan beliau popular di kalangan masyarakat. Populariti tersebut melebihkan Ustaz Fathan di sisi kepimpinan PAS setempat yang lain. Misalnya menerusi respons kajian awal kalangan pimpinan PAS cawangan dalam Dun Chempaka didapati ia telah memenuhi hasrat lebih daripada 80 peratus yang bersetuju. 

Kemudian kajian Pusat Kajian Strategi berhubung kriteria pilihan untuk bakal calon PRK Chempaka, Ustaz Fathan memenuhi hasrat 86 peratus responden yang mahukan seorang beragama, berilmu dan mesra. Ia diperkukluhkan lagi oleh hasrat masyarakat awam yang mahukan seorang berkemampuan meneruskan legasi Tok Guru di dalam aspek penyebaran pendidikan agama kepada masyarakat.
Keputusan majoriti selesa
Berpandukan kekuatan faktor calon yang dikongsi dengan suasana bersemangat di sebalik usaha pembentangan Kanun Jenayah Syariah II (1993) Pindaan 2015 pada 18 Mac di Dewan Negeri Kelantan, ternyata keputusan PRK Chempaka amat berpihak kepada PAS. Sebagaimana yang diumumkan Calon PAS telah memenangi dengan majoriti selesa sebanyak 10,092 undi, menewas kesemua empat Calon Bebas yang turut hilang wang deposit. Had undi yang menyebabkan hilang deposit bagi PRK Chempaka ini ialah kurang 1,500 undi. Meskipun jumlah keluar mengundi agak rendah kerana sememangnya penyokong dan ahli UMNO/Barisan Nasional tidak menyertai pengundian kali ini. Pada pilihan raya umum lepas, calon Barisan Nasional memperolehi 5,810 undi. Ini bermakna seramai 12,020 yang keluar adalah tidak termasuk kalangan Barisan Nasional. Berikut adalah keputusan undian untuk setiap calon PRK Chempaka.


Keluar mengundi rendah
Namun demikian, walaupun fokus PAS pada PRK ini adalah untuk meraih populariti asal 68 peratus, ia telah tercapai apabila daripada jumlah yang keluar mengundi (12,020) itu, 91.8 peratus (10,899) berpihak kepada PAS dan hanya 8.20 peratus kepada kumpulan calon Bebas. Ia turut melakarkan sejarah  bagi PRK tanpa Barisan Nasional (baca, UMNO) maka jumlah keluar mengundi hanya 54.9 peratus berbanding pada pilihan raya umum lalu 85 peratus. Maka bolehlah dikatakan bahawa pengundi yang tidak keluar mengundi adalah kira-kira 25 peratus daripada ahli dan penyokong Umno dan selebihnya (20 peratus) adalah pengundi tentera dan pengundi yang bertugas di luar Kelantan serta non-partisan. Sehubungan ini, besarnya majoriti PAS dan rendahnya keluar mengundi adalah juga kerana Barisan Nasional tidak menurunkan calonnya bertanding pada kali ini. 

Selain itu, berdasarkan rekod pengundi PAS sendiri, dilaporkan sebahagian (kira-kira 50 peratus sahaja) pengundinya yang berkerja di luar Kelantan didapati balik mengundi. Data yang diperolehi menunjukkan kira-kira 1,200 sahaja. Ini ada kaitan juga dengan penentuan hari mengundi oleh SPR berlaku di penghujung cuti pesekolahan (hari Ahad). Walaupun begitu, jumlah ini dianggap menepati sasaran memandangkan mood dan persepsi yang ada ialah keyakinan sebahagian pengundi PAS, sesungguhnya PAS mudah menang apabila Barisan Nasional tidak menurunkan calonnya. Justeru melihat kepada faktor ini, PAS hanya mengalami kemerosotan sebanyak 1,411 undi sahaja berbanding undi pada pilihan raya umum lalu. Dilihat dari keputusan sebelum ini, undi PAS mempeolehi 12,310 dan pada PRK ini menurun kepada 10,899 (kurang 1,411 undi). Lihat analisis bandingan seperti mana jadual di bawah.



Hakikatnya pihak pasukan kempen PAS sendiri sudah menyedari kemungkinan kemerosotan tersebut. Maka ini, usaha yang dibuat selain kempen mempopularkan calon bagi mendapat undi simpati daripada kelompok atas pagar, turut diusahakan ialah ke arah menambah dan mengekalkan kemenangan menerusi pendekatan penyelesaian keperluan penduduk tempatan. Misalnya mengambil perhatian dan berusaha mengatasi masalah bekalan air di Kampung Pulau Panjang, persoalan kemudahan nelayan di Kuala Sabak dan beberapa tempat lagi. Begitu juga isu-isu kehidupan setempat yang tertangguh turut diambil perhatian, termasuklah menguar-uarkan melalui “risalah seruan calon” mengenai beberapa komitmen Ustaz Fathan berkaitan dengan usaha untuk menyambung legasi Tok Guru dari segi kelas pengajian ilmu agama, mengadakan kemudahan untuk aktiviti anak muda serta golongan wanita dan warga emas serta penambahbaikan prasarana penduduk setempat pasca banjir.

Rumusannya, pertarungan PRK Chempaka kali ini berlaku dalam suasana tenang dan tidak menampakkan cabaran sebenar ekoran tiada penyertaan Barisan Nasional. Apa pun di sisi pasukan kempen PAS, diperhatikan ia amat bermakna terutama di dalam memantapkan pengalaman menyusun jentera pilihan raya bagi persiapan pilihan raya akan datang. Sudah tentu senario pada pilihan raya umum akan datang, pihak Barisan Nasional mempunyai semangat perlawanan yang membuak-buak ekoran ‘pengunduran sementara’ pada PRK kali ini. Sementara di pihak PAS pula, memerlukan kesungguhan yang jitu bagi mempastikan Dun Chempaka, tapa legasi Tok Guru dapat meneruskan survival yang segar di bawah pengganti dan penerus Tok Guru, Ustaz Fathan bersama-sama Ustaz Dato’ Ahmad Yakob, Menteri Besar yang meneruskan agenda Kepimpinan Ulamak di Kelantan.