02 September, 2010

Malaysia Negara Saman?

Kisah saman menyaman hangat diperkatakan kebelakangan ini. Mungkiin ia hangat ekoran daripada tindakan Kerajaan Barisan Nasional menguatkuasakan “senarai hitam” kes-kes saman ekor oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Paling hangat lagi, apabila mangsa yang disaman dan tersenarai dalam senarai hitam pihak PDRM itu berhadapan dengan tamat cukai jalan dan dihalang memperbaharuinya di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Ia berlaku kerana sudah dilakukan hubungan maklumat mana-mana kenderaan yang disenarai hitam oleh PDRM, maka akan ‘terkunci’ peluang memperbaharui cukai jalan di JPJ.

Akibatnya ramai pemilik kenderaan yang ‘terkena’ senarai hitam naik berang, merungut malah menyumpah pihak berkuasa, hatta pemimpin Barisan Nasional. Lalu muncul pula beberapa kerat pemilik kenderaan yang tidak dapat menerima hakikat tindakan PDRM itu. Mereka itu sanggup membawa perkara itu ke mahkamah––mahu saman balik pihak PDRM dan JPJ––kerana menganggapnya tidak adil dan bercanggah dengan peraturan yang ada.

Sampai satu peringkat pihak PAS melalui Naib Presidennya, Datuk Mahfuz Omar telah menawar khidmat untuk membuat “move” para pemilik kenderaan yang terlibat agar tampil bersatu untuk mendesak pihak kerajaan Barisan Nasional menarik balik tindakan saman ekor itu. Move itu kemudian dilaksanakan oleh Pemuda PAS Pusat dengan melancarkan kempen tanda tangan online membantah saman ekor. Walhasilnya, pihak JPJ terpaksa berhubungan semula dengan PDRM, kerana sudah ramai kenderaan yang tamat cukai jalan tetapi pemiliknya enggan membayar cukai jalan baru. Kini JPJ sudah merosot pendapatannya. Seiringan itu, pihak PDRM tidak kurang juga ternganga, bila mana ada pemilik yang disaman ekor sudah tegar dan berkeras tidak mahu membayar. Mereka itu adalah antara yang bersetuju dengan saranan move oleh Mahfuz Omar. Akhirnya, move itu sudah menampakkan hasil apabila pihak Kerajaan Barisan Nasional yang mengimpikan rakyat membayar saman ekor sudah membuat keputusan menangguhkan penguatkuasaan senarai hitam itu.

Perkembangan terbaru (mulai 1 September 2010) saman ekor telah ditarik balik tindakan senarai hitam dan mereka terlibat boleh membayar secara ansuran sehingga 28 Mac 2011. Mulai 1 Mac 2011 mereka yang tidak membuat pembayaran akan disenarai hitam sekali lagi malah mereka juga dilarang membuat bayaran secara berkala. Maka saman ekor sudah tidak mengerunkan orang yang menjadi mangsa saman. Malah mereka sedia menyaman balik Kerajaan Barisan Nasional!

Saman Felda

Bulan lepas Kementerian Dalam Negeri gagal meperbaharui permit penerbitan Suara KeADILan kerana antara lain tidak berpuas hati dengan penyiaran berita yang dikatakan memfitnah Felda atas dakwaan ‘bangkrap.’ Ia tidak berhenti di situ, kerana pihak Felda melalui Ketua Penerangan Umno telah bertindak menyaman parti KeADILan atas isu ‘Felda bangkrap’ yang disiarkan muka depan Suara KeADILan. Berlakulah saman fitnah dengan pengiraan kos dituntut supaya KeADILan membayar sebanyak RM200 juta. Saman Felda tetap menjadi realiti, namun parti KeADILan terus bersuara atas isu Felda bangkrap. Meskipun, Suara KeADILan sudah tamat permitnya, namun pemimpin KeADILan tetap boleh bersuara. Parti itu melalui pemimpinnya ‘sanggup’ berdepan dengan saman RM200 juta. Mereka terus bersuara mempertahankan dakwaan ‘bangkrap’ itu dengan laras bahasa berbeza. Pemimpinnya, Datuk Zaid Ibrahim dan Ketua Pemuda, Shmasul Akmal terus mendedahkan Felda yang sudah tenat.

Sekadar ingatan, sebelum ini Felda telah disaman oleh masyarakat peneroka Kemahang kerana membeli buah sawit secara menipu. Pihak peneroka menang dan fakta kes penipuan itu telah dijaja di seluruh Negara. Malah peguam, Wan Rahimi yang memenangkan kes itu telah menjaja ke segenap ceruk masyarakat Felda betapa ada penipuan itu. Terbaru, mahkmamah Rayuan sekali lagi tidak menyebelahi Felda dan mengekalkan perintah membayar RM11 juta kepada peneroka Kemahang yang pernah ditipu sebelumnya.

Kononnya, cerita penipuan itu tidak tamat di Kemahang sahaja. Malah pihak Pengerusi Anak, Mazlan Aliman turut mendedahkan 22 penyelewengan dan salah urus pihak Felda di dalam projek dan tugasannya. Kelantangan Mazlan, membuatkan Felda hilang sabar. Sampai peringkat berlaku cabar-mencabar mahu berdebat antara Mazlan dengan Ahmad Maslan. Kedua-dua dari Johor itu sudah bersidang media di parlimen dan bersetuju berdebat. Tetapi kesungguhan berdebat itu tidak disambut RTM. Tidak seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Datuk Ahmad Sabery Chik satu ketika dulu yang jadi berdebat atas isu harga petrol. Mungkin RTM dulu lain, sekarang lain. RTM sekarang dipengaruhi Datuk Seri Utama Rais Yatim hanya suka meraih publisiti peribadi, tetapi tidak suka membuat publisiti untuk menteri lain.

Mazlan saman Felda

Berikutan kesungguhan Mazlan mendedahkan penyelwengan Felda kepada masyarakat peneroka, maka bulan Mac lalu beiau dicekup polis, direman dan ditahan serta disoal siasat. Hanya atas kes tindakan seorang PDRM berpangkat inspektor bertindak kononnya atas lunas undang-undang dengan menuduh Mazlan menceroboh kawasan Felda Lembah Klau, Pahang. Mungkin Mazlan baru terpikir, kerana pada awal Ogos baru tindakan saman dibuat di Temerloh. Peguam yang mewakilinya adalah hero peneroka Kemahang, Wan Rahimi. Beliau telah menyaman pihak terbabit dan menuntut bayaran ‘kerugian’ akibat ditahan PDRM itu sebanyak RM20 juta. Jelaslah isu saman menyaman sudah jadi budaya dan ‘orang’ nampaknya tidak takut lagi kepada saman dan suka pula untuk menyaman balas. Mazlan adalah ‘orangnya’ yang turut pandai saman balas. Kesannya, pihak mahkamah dan peguam pula yang terpaksa pikul beban yang sudah banyak terbeban kerana terlalu banyak kes tertangguh.

Isu saman Felda itu tidak tamat di situ sahaja. Satu lagi saman dikemukakan pada 9 Ogos 2010 oleh sekumpulan 766 orang peneroka Felda Serting Hilir dan Gugusan Raja Alias Negri Sembilan. Asas saman atas dakwaan Felda menipu gred buah sawit mereka. Saman berjumlah RM200 juta di Mahkamah Tinggi Seremban (Malaysianinsider, 9 Ogos 2010). Menurut peguam yang mewakili peneroka, Sivarasa Rasiah, selama ini Felda telah melakukan penyelewengan dan penipuan terhadap peneroka-peneroka di kedua-dua rancangan Felda tersebut.

Semoga gelombang kesedaran warga peneroka tersebut akan turut membuka minda dan keberanian seluruh warga peneroka untuk menuntut hak meraka serta bersatu menghentikan penyelewengan Felda.

Saman royalti minyak

Muka depan akhbar Sinar Harian (edaran Kelantan, 26 Ogos 2010) mempamerkan wajah Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato’ Husam Musa dengan tajuk “Jumpa di mahkamah” yang menyentuh keputusan mesyuarat majlis mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan pada Rabu, 25 Ogos bersetuju meneruskan saman terhadap Petronas Writ saman dicadang dikemukakan pada Isnin (30 Ogos) di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, Kuala Lumpur. Tujuan saman adalah bagi menuntut royalti minyak seperti mana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1975. Ekoran itu pada Isnin 30 Ogos 2010, tindakan saman itu telah menjadi realiti dan sah Petronas sebagai pihak yang saman kerana dikatakan tidak mematuhi butiran perjanjian dengan Kerajaan Negeri Kelantan.

Kesan daripada saman itu Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad (Harakahdaily, 2 September 2010) melihat ia sudah menjadi ketakutan kepada pemimpin BN. Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed (Sinar Harian, 2 September) yang mengatakan keputusan menukar wang royalti kepada wang ehsan itu adalah atas khidmat nasihat Peguam Negara. Sudah nampak sangat BN tidak mahu bertanggungjawab, sedangkan yang membuat keputusan adalah Kabinet BN sementara nasihat Peguam Negara itu kini sedang dicabar di mahkamah. Sewajarnya, Peguam Negara menjadi saksi penting di mahkamah nanti. Apa pun tunggu keputusan pengadilan yang mungkin memberi harapan baru kepada rakyat Kelantan.

Semoga perhimpunan solat hajat (28 Januari 2010) di Stadium Sultan Muhammad IV yang menghimpunkan puluhan ribu rakyat bakal menjadi realiti. Apa yang utama, sokongan rakyat telah menolak tindakan mempolitikkan wang hasil minyak apabila angkara pemimpin BN menukarnya kepada wang ehsan. Maka, tindakan dan usaha serta perjuangan kepimpinan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz sedang bergerak dilandasan yang betul demi maruah dan harta rakyat Kelantan. Justeru sepakat kita menolak gerakan politik songsang pemimpin BN itu yang sudah tergelincir daripada kehendak dan aspirasi rakyat.

Khatib mahu saman

Khatib Zakaria Ahmad memberi tempoh dua hari kepada beberapa individu, akhbar arus perdana dan sebuah stesen televisyen membuat permohonan maaf secara terbuka atau berhadapan tindakan saman berhubung kontroversi doa khutbah Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng. Samannya berasaskan tidak puas hati dengan pihak berkenaan yang memutar belitkan fakta berkaitan doa khutbah ke dua solat Jumaat yang dibacakannya di beberapa masjid sekitar Pulau Pinang. Malah terdapat sebilangan pihak cuba menjatuhkan reputasi khatib itu yang seolah-olah jahil di dalam agama Islam ekoran kenyataan dan berita yang boleh menimbulkan salah faham orang ramai. Sasaran samannya adalah dua akhbar arus perdana, sebuah stesen televisyen dan beberapa individu yang dikenalpasti sebagai memutar beli berita mengenainya.

Antara individu yang paling awal membangkitkan isu doa dalam khutbah ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Diikuti oleh Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Azhar Ibrahim yang menyatakan kesediaan untuk menampilkan saksi khatib yang membacakan doa tersebut. Sementara televisyen yang begitu ghairah mensensasikan cerita doa dalam khutbah pula mungkin televisyen milik pihak berkuasa.

Walau bagaimanapun, peristiwa ahi parlimen Sepang (22 Ogos lalu) belum ada pihak yang ingin menyaman ekoran tindakannya memasuki Surau al-Huda, Kajang tanpa tutup aurat. Jika ada pihak yang ingin menyaman, mungkin banyak sangat peristiwa sebegitu boleh disaman. Ini kerana ekoran kebelakangan ini sudah banyak pendedahan dibuat mengenai tindakan yang serupa, termasuk melibatkan isteri orang kenamaan.

Saman penyelesai?

Justeru itu, apakah saman menyaman itu boleh menguraikan segala kekusutan, kecacatan dan kebobrokan semacam apa yang berlaku antara KeADILan dengan KDN, peneroka dengan Felda, Mazlan dengan Ahmad Maslan, PDRM-JPJ dengan pemilik kenderaan ‘senarai hitam’ atau antara mahkamah dengan peguam serta antara khatib dengan media?

Mungkin kata kunci untuk menyelesaikan kesemuanya itu adalah keadilan. Persoalannya di manakah keadilan itu? Hanya Tuhan Yang Maha Mengetahui, tetapi rakyat di negara ini sudah menunggu untuk menjawabnya. Mungkinkah, salah satu petunjuk protes rakyat terhadap saman menyaman itu adalah perubahan kuasa dalam pilihan raya umum (PRU) 13? Maksudnya PRU13 nanti, mungkinkah parti Mazlan atau parti Ahmad Maslan yang akan dipangkah rakyat. Ataukah dacing terus berkuasa? Perdana Menteri ada jawapannya, kerana tarikh membubar parlimen ada padanya dan SPR sedia menetapkan waktu untuk rakyat memangkah nanti.

30 August, 2010

Keindahan Islam: Masjid untuk semua

Pendekatan bertugas Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang masuk ke Surau Al-Huda di Kajang, 22 Ogos lalu semata-mata untuk memenuhi permohonan bantuan surau dan menyerahkan kepada pihak terbabit serta menyampai ucapan berhubung program pendidikan Kerajaan Negeri Selangor dilihat sudah dipromosi secara salah oleh pihak tertentu. Menyebabkan terbongkar satu lagi kejahilan amalan beragama sesetengah orang Melayu yang beragama Islam secara “keturunan.”

Rasa sedikit pilu atas keserlahan kejahilan beragama itu turut dirasai oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat. Menurut Tuan Guru Nik Abdul Aziz, isu bukan Islam memasuki masjid bukan satu kesalahan dalam Islam kerana pendekatan itu merupakan antara kaedah yang diguna Nabi Muhammad SAW dalam menyampaikan mesej dakwah. Namun, menurut Tuan Guru ia menjadi bising kerana sentimen politik mengatasi kefahaman agama Islam yang murni. Oleh kerana hubungan kita dengan Islam semakin jauh, belajar pun tidak, maka bila tiba perkara-perkara macam ini, terus timbul masalah.

Menurut Tuan Guru lagi sepertimana dipetik Rizal (Harakahdaily 28 Ogos 2010), “kalau kita balik dari sejarah asal, ramai dari penduduk Arab Qurasy yang kafir datang jumpa Nabi. Nabi letak dalam masjid, mereka tidur dalam masjid, makan dalam masjid, bahkan kencing dalam masjid. Menjauhkan orang bukan Islam dengan masjid adalah budaya kita sahaja, bukan ajaran nabi.”

Benarkah mereka ini jahil?

Kejahilan amalan beragama sesetengah orang Melayu yang beragama Islam secara “keturunan” dapat dibaca secara terbuka, terang dan nyata. Antaranya dalam Utusan Online (27 Ogos 2010) menyiarkan kenyataan jahil tuke, seorang pejuang Melayu (bukan pejuang agama) merangkap Yang Dipertua kepada sebuah pertubuhan (peringkat Negeri Selangor) yang ada kaitan dengan pejuang Melayu Pasir Mas ada berkata, pihaknya memandang serius tindakan Nie Ching kerana ia bukan sahaja bertentangan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung larangan menggunakan masjid dan surau untuk tujuan politik sebelum ini. Lalu menganggap tindakan ahli parlimen itu sebagai bertentangan dan menyalahi hukum kerana orang bukan Islam tidak boleh memasuki ruang solat masjid atau surau apatah lagi untuk menyampaikan ceramah kepada umat Islam dalam rumah ibadat itu. Lantas menyifatkan ia betul-betul satu penghinaan yang amat besar kepada umat Islam apabila ada seorang bukan Islam yang keadaannya tidak 'bersih' memasuki ruang solat utama surau berkenaan untuk mengadakan majlis dan membuat ucapan di situ. Malah turut mempersoalkan pula tindakan Teo Nie Ching itu, apakah kerana politik, maka hukum dan larangan orang bukan Islam masuk ke dalam ruang solat masjid dan surau boleh dihalalkan. Semua kenyataan itu disiarkan secara terang (bercetak) oleh akhbar Utusan Malaysia (28 Ogos).

Turut disiarkan oleh akhbar yang sama ialah selaran oleh individu yang mengaku sebagai pengerusi kepada majlis gabungan pertubuhan tertentu (juga peringkat Negeri Selangor) dan sasarannya ialah menyelar tindakan pihak jawatankuasa surau Al-Huda ekroan berita membiarkan orang kafir (mungkin dimaksudkan kepada ahli parlimen Serdang) yang memasuki ruang solat dan memberikan ucapan dalam rumah ibadat itu. Selarannya itu turut dipetik sebagai berkata, sebagai pihak yang bertanggungjawab menjaga dan menguruskan aktiviti surau terbabit, barisan jawatankuasa surau itu seharusnya bersikap lebih peka dan sensitif dalam hal melibatkan persoalan agama. Lalu mengaitkan peristiwa (dimaksudkan kepada orang kafir masuk surau) itu dengan persoalan, adakah ideologi politik yang menjadi kepercayaan ahli-ahli Pas yang dikatakan berada dalam surau berkenaan melebihi daripada hukum dan larangan yang ditetapkan oleh ajaran Islam. Kemudian menyindir tindakan ahli politik (ahli parlimen wanita yang dimaksudkan itu mungkin Teo Nie Ching) dengan penegasan, “jika mahu memberikan bantuan atau mengadakan ucapan, kenapa tidak pilih saja tempat lain, kenapa perlu diadakan di dalam ruang solat surau berkenaan."

Kenyataan mengejutkan

Sesuatu yang mengejutkan ialah kenyataan salah seorang pihak bertanggungjawab mengurus sebuah majlis agama di Negeri Selangor (bukan Dato’ Dr. Hassan Mohamed Ali) yang telah membuat siasatan ke atas kes ahli parlimen wanita bukan Islam memasuki surau al-Huda sebagai benar berlaku (Utusan Malaysia 28 Ogos), lalu pihaknya membuat keputusan untuk mengambil alih Surau al-Huda dan mengurus pentadbrian surau itu serta merta.

Jika kenyataan itu diamati, maka orang awam akan memahaminya sebagai suatu kesalahan besar bagi mana-mana pihak yang mentadbir masjid atau surau menerima kehadiran orang politik (bukan Islam) menyampaikan sumbangan dan berucap dengan menyentuh program Kerajaan Negeri Selangor. Maka layak dipersoalkan, apakah hukum (fatwa) menerima sumbangan dan ucapan dari orang politik di atas masjid? Atau apakah hukumnya orang bukan Islam hadir ke dalam masjid untuk menyampai sumbangan dan berucap? Implikasinya, jika hukum (fatwa) yang dipakai bagi kedua-dua keadaan itu adalah hukumnya haram, nyatalah ajaran Islam yang dianuti itu bukan menggambarkan keterbukaan Islam dan hakikat Islam itu bukan indah dan bukan untuk semua kaum. Natijahnya pendirian hukum itu boleh disifatkan batil.

Tidak mengejutkan

Di sebalik ada tindak balas sepertimana di atas, ada pula tindakan pemimpin cabang pemuda Umno Selangor (Bernama 28 Ogos) yang menganggap pendekatan ahli parlimen Serdang itu sebagai “mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.” Kenyataan itu tidaklah mengejutkan kita kerana memang Umno berkarat memperjuangkan sentimen kaum Melayu.

Kenyataan hampir sama dengan ulasan ketua cabang wanitanya (Utusan Malaysia 28 Ogos) yang menganggap pendekatan ahli parlimen wanita (katanya dari DAP) itu adalah “menifestasi kebiadapan” pemimpin pembangkang kepada umat Islam. Persoalannya, adakah memberi sumbangan dan menceritakan program Kerajaan Negeri Selangor sebagai suatu kebiadapan? Mungkin bagi mereka (dua pemimpin Umno itu) rumah Allah (masjid, surau dan madrasah) hanya layak dimasuki orang Melayu sahaja. Lalu mata dacingnya begitu sensitif seakan-akan ahli parlimen (seorang dari kaum Cina) sudah menghunus senjata kepada pemimpin 1Malaysia. Jika demikian benarnya apa yang dipetik oleh Bernama (29 Ogos) itu, maka memang parah pemikiran 1Malaysia pemimpin generasi baru Umno, sampai gopoh begitu sekali!

Penjelasan tuan terbabit

Sehubungan dengan beberapa ulasan dan kenyataan yang mensasarkan kepada ahli parlimen Serdang itu, maka tuan punya diri (Teo Nie Ching) telah menjawabnya seperti dilapor menerusi blognya (http://www.wretch.cc/blog/teonieching/21522314). Antaranya beliau mengeaskan kunjungannya ke Surau Al-Huda, Kajang bertujuan menghulurkan bantuan berbentuk sumbangan kerajaan untuk memperbaiki pagar surau, dan berbuka puasa bersama ahli jawatankuasa dan jemaah surau.

“Oleh kerana saya telah dijemput untuk memberi sepatah dua kata, saya dengan secara ikhlas memberikan sedikit penjelasan mengenai program pendidikan kerajaan negeri yang memanfaatkan rakyat Selangor.

“Saya menyesal bahawa perkara ini telah menimbulkan perasaan keresahan antara umat Islam negara kita dan isu ini telah diperhangatkan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab politik.

“Saya ingin menegaskan secara ikhlas dan murni bahawa lawatan saya ke Surau Al-Huda tidak berniat politik, dan tidak bermotif untuk menyebabkan kesucian surau dan masjid dipersoalkan.”

Berdasarkan pengakuan di atas, apakah pengadilan yang harus diberikan kepada ahli parlimen Serdang itu? Ataukah kita menerima apa yang dilaporkan media dan menganggap segala kecaman serta amaran daripada pelbagai pihak itu sesuatu yang benar dan adil? Hanya kerasionalan mampu menterjemahkan sesuatu yang benar dan adil.

Kes sama dihadapi Jayakumar

Pengarang Utusan Malaysia sebelum ini (5 November 2009) turut melaporkan cerita yang sama melibatkan sebuah masjid di Taman Sri Andalas, Klang yang membenarkan Ahli Undangan Negeri (ADUN) Seri Andalas, Dr. Xavier Jayakumar berucap di dalam masjid. Lalu dikatakan seorang ketua bagi pihak berkuasa agama menegaskan, “orang bukan Islam tidak boleh memasuki masjid kerana mereka dikategorikan sama seperti wanita didatangi haid.” Kenyataan itu berbau hukum (fatwa) sahih kerana membuat analogi yang tepat, iaitu Islam melarang wanita berhaid masuk dalam masjid.

"Orang bukan Islam dibenarkan datang dan melawat masjid tetapi tidak boleh masuk dewan utama solat, lebih-lebih lagi berucap di tempat kita bersolat.”

Realitinya, Jayakumar hanya hadir berucap pada majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan dibuat di dalam masjid (pada 31 Ogos 2009). Peristiwa itu seakan sama dengan apa yang dihadapi Teo Nie Ching. Apapun, tindakan pihak berkuasa agama itu adalah seakan menyokong memorandum Pemuda UMNO ketika itu yang dikatakan melihat tindakan Jayakumar itu hanya boleh berucap di pekarangan masjid tanpa perlu menggunakan dalam masjid.

Fatwa bukan Islam boleh masuk masjid

Apa yang difahami daripada beberapa kenyataan pemimpin Umno, pihak berkuasa agama mahupun beberapa penulisan yang termuat dalam Utusan Malaysia (akhbar Penyebar Fikiran Rakyat) pada 30 Ogos 2010 dilihat menyerang Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah bercanggah dengan fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia. Malah kesan daripada kenyataan dan penulisan itu secara terang telah memberi imej buruk kepada ajaran Islam itu sendiri. Justeru Islam sudah tiada keindahan lagi dalam konteks hubungan antara kaum dan agama di negara ini.

Hayatilah kenyataan fatwa yang dibaca seperti berikut: “Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid.

“Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab.

“Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.”


Landasan mengukuhkan fatwa

Sehubungan dengan fatwa tersebut, kita umat Islam seharusnya berfikiran rasional berasaskan beberapa landasan hukum harus atau haram orang bukan Islam memasuki masjid. Berpandukan beberapa sumber, tulisan ini memaparkan beberapa pandangan ulama’ mengenai hukum harus dan haram bagi orang bukan Islam memasuki masjid. Antaranya pandangan ulama-ulama mazhab Hanafi yang menyatakan harus termasuklah Masjidil Haram dengan berhujah bahawa Rasulullah SAW pernah menerima tetamu dari Thaqif, yang masih belum Islam pada masa itu di masjidnya dan tinggal di situ sebelum mereka memeluk Islam. Dalam hal ini, Imam Ahmad Hanbal menyatakan bukan Islam hanya dibenarkan untuk memasuki Masjidil Haram dan lainnya setelah mendapat kebenaran dari umat Islam atas tujuan yang munasabah.
Rasulullah juga diriwayatkan menerima tetamu Kristian dari Najran di dalam masjid Madinah, malah ketika itu mereka juga diizinkan oleh Nabi SAW untuk menunaikan sembahyang mereka di dalam masjid, Nabi menyebut kepada sahabat, “biarkan mereka (untuk melunaskan sembahyang mereka).”

Selain itu, Imam Bukhari menerusi sebuah hadis menyebutkan bagaimana seorang bukan Islam bernama Thumamah ibn Athal diikat oleh Rasulullah di dalam masjid (ditangkap atas kesalahan tertentu): “Rasulullah SAW menghantar seorang berkuda ke arah Najd, maka terlihat seorang lelaki dari Bani Hanfiah (sedang mengintip) bernama Thumamah ibn Athal, lalu diikatnya di satu tiang dari tiang-tiang masjid” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Selepas tiga hari, yakni setelah Thumamah melihat bagaimana umat Islam beribadah dan keramahan umat Islam kepadanya yang sentiasa bertanya keadaannya, akhirnya dia memeluk Islam kerana tertawan dengan keindahan kehidupan dan ibadah umat Islam.

Meskipun firman Allah SWT (al-Taubah ayat 28) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini.” Namun, ayat ini menegah orang-orang bukan Islam memasuki Masjidil Haram dalam keadaan telanjang sebagaimana adat mereka ketika jahiliyyah adalah menghina Masjidil Haram. Ini kerana apa yang menjadi najis bukan tubuh badan mereka tetapi iktikad mereka. Imam Abu Hanifah menyatakan orang bukan Islam dibenarkan memasuki Masjidil Haram sekadar lalu, tidak dibenarkan duduk dan menetap (sebagaimana sebahagian umat Islam) dan ‘kotor' sebagaimana difahami adalah kekotoran syirik yang melibatkan hati bukan kekotoran fizikal.

Begitu pula ada pandangan ulama-ulama mazhab Syafie membolehkan bukan Islam memasuki masjid dengan izin kaum Muslimin kecuali Masjidil Haram (rujuk Raudhah Tolibin, Jil.1. Hlm. 296). Pandangan yang sama dengan Imam Ahmad dan sebahagian ulama Mazhab Hambali. Ia berlandaskan kata-kata Said bin Musayyib: “Sesungguhnya Abu Sufyan masuk ke Masjid Madinah ketika dia belum Islam, namun itu tidak diizinkan untuk Masjidil Haram (Rujuk Tafsir Ibnu Abi Hatim mengenai ayat 28, surah al-Taubah).

Apapun, ada pandangan Imam Ahmad bin Hanbal yang menghukumkan haram bagi orang-orang bukan Islam memasuki masjid. Ia disokong majoriti fuqaha mazhab Hambali. Asasnya berpandukan hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa Umar bin Al-Khattab pernah menyuruh seseorang memasuki masjid tetapi dihalang oleh Abu Musa kerana orang itu seorang Nasrani. Saidina Umar tidak membantah halangan Abu Musa. Pandangan ini diperkuatkan oleh al-Qurtubi dalam tafsirnya mengenai ayat 28 surah al-Taubah.

Namun, pandangan mazhab Malik (rujuk Hasyiah al-Showi dan Hasyiah al-Dusuki) orang bukan Islam tidak dibenarkan masuk ke masjid sekalipun diizinkan oleh orang-orang Islam melainkan dalam keadaan darurat (tertentu). Asasnya kerana dibimbangi akan berlaku perkara-perkara yang menghina kesucian masjid. Keadaan darurat itu dirujuk kepada perbezaan jenis orang bukan Islam itu sama ada harbi, zimmi atau ’ahdi. Maka yang bertaraf zimmi adalah mereka yang sedia mesra dengan Islam tidak mungkin menghina kesucian masjid.

Kunci fatwa

Apapun perbahasan harus atau haram orang bukan Islam memasuki masjid tetap berteraskan kepada firman Allah SWT (al-Taubah ayat 28) bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya orang-orang yang musyrik itu najis, maka janganlah mereka mendekati Masjidil Haram sesudah tahun ini.” Justeru itu, ada pandangan yang melihatnya paling kurang terdapat tiga isu yang diperbincangkan oleh ulama Islam: pertama, orang bukan Islam memasuki Masjidil Haram, kedua mengapa orang bukan Islam dilarang memasuki Masjidil Haram, dan ketiga orang bukan Islam memasuki masjid selain Masjidil Haram. Sehubungan itu perlu juga dirujuk kepada maksud firman Allah (an-Nisa’ ayat 43), “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengerjakan sembahyang, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, terkecuali sekadar berlalu saja.”

Majoriti ulama melarang bukan Islam memasuki Masjidil Haram atas larangan yang terdapat di dalam ayat ini. Namun Imam Abu Hanifah dan Ahmad menghalusi dalam hal tersebut. Sementara di sisi mazhab Maliki dan Syafie pula melarang memasuki Masjidil Haram, namun demikian bagi ahli Kitab (Kristian dan Yahudi) dibolehkan untuk memasukinya dengan syarat-syarat tertentu.

Masjid selain Masjidil Haram

Imam Ibn Hajar Al-‘Asqolani ketika menghuraikan isu ini mengatakan mazhab Maliki tetap melarang orang bukan Islam memasuki masjid. Manakala Mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi membenarkan memasuki masjid-masjid selain Masjidil Haram dengan syarat-syarat tertentu. Ibn Hajar juga menegaskan kebenaran ini cukup kuat dari dalil tawanan perang bernama Thumamah (merujuk hadis mengenai Thumamah ibn Athal) tersebut.

Imam Nawawi yang merujuk kepada hadis ini berkata harus mengikat tawanan dan menahannya serta harus bagi seorang yang bukan Islam memasuki masjid. Bagi Mazhab Syafie keharusannya dengan syarat mendapat keizinan dari umat Islam sama ada orang bukan Islam itu dari kalangan ahli Kitab atau selainnya. Namun Khalifah Umar bin Abd Aziz, Qatadah dan Imam Malik tidak mengharuskannya (rujuk Syarah Sohih Muslim 12/87).

Selain yang di atas, al-Muzani merupakan murid Imam Syafie juga berbeza ijtihad dengan gurunya. Bagi al-Muzani menyatakan tidak harus orang bukan Islam memasuki masjid, apatah lagi menetap di dalamnya, kerana jika mereka dibenarkan, sudah tentu orang yang berjunub juga akan dibenarkan. Sedangkan ayat (an-Nisa’:43) di atas menyebut larangan bagi mereka yang berjunub memasuki masjid kecuali lalu sahaja.

Bagi al-Mawardi pula, apa dimaksud al-Muzani, iaitu sekiranya harus (bagi bukan Islam masuk masjid), sudah tentu muslim yang berjunub lebih utama untuk dibenarkan disebabkan kehormatannya dan kemuliaannya, maka di ketika tidak harus bagi seorang Muslim menetap di dalamnya, maka tentulah orang bukan Islam lebih-lebih lagi dilarang––kerana mereka dikira sentiasa berjunub. Malah kata-kata Imam Syafie dalam hal ini, iaitu “tiada masalah untuk seorang bukan Islam menetap di setiap masjid kecuali masjidil Haram (rujuk al-Hawi al-Kabir 2/268).

Rumusan hukum

Majoriti ulama bersepakat orang bukan Islam tidak boleh memasuki Masjidil Haram. Sementara agak jelas terdapat ijtihad yang berbeza di dalam menentukan hukum bagi masjid-masjid selain Masjidil Haram. Namun didapati majoriti ulama silam dan masa kini dilihat mengharuskan orang bukan Islam memasuki masjid-masjid biasa, tetapi dengan syarat-syarat tertentu. Antara syaratnya mestilah dengan izin umat Islam atau badan berkuasa Islam bagi masjid berkenaan, mestilah mempunyai sebab yang munasabah untuk memasukinya, dan orang bukan Islam mestilah menghormati seluruh keadaan dan alatan masjid, tidak membuat kebisingan dan memakai pakaian yang sesuai seperti menutup aurat bagi wanitanya.

Sesungguhnya Islam menggalakkan toleransi dan keharmonian hidup antara Islam dan orang bukan Islam. Jika masuknya orang bukan Islam itu untuk menyampaikan ucapan yang boleh membawa kepada persefahaman lebih baik, maka ia amat digalakkan. Selari dengan hakikat Islam ialah agama yang mengamalkan dialog yang bermanfaat dalam maksud dengan semua kaum dan agama. Selari dengan panegasan Sheikh `Atiyyah Saqr, bekas ketua Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar bahawa mengikut fuqaha’ mengenai maksud firman Allah SWT (merujuk kepada at-Taubah: 28 dan an-Nisaa’: 43) majoriti fuqaha’ termasuk kalangan Mazhab Maliki, Shafie dan yang lainnya hanya musyrikin atau penyembah berhala tidak dibenarkan memasuki Masjidil Haram di Mekah. Bermakna tidak salah kalau orang Kristian (Nasrani) dan Yahudi memasukinya.

Berdasarkan kepada pandangan dinyatakan, umumnya orang bukan Islam dibenarkan untuk memasuk masjid dengan berpandukan keadaan, iaitu tidak harus memasuki Masjidil Haram kecuali dengan kebenaran pihak berkuasanya, ada alasan kukuh atas sifat memberi kebaikan di sisi Islam, menghormati kemuliaan masjid sebagai tempat suci untuk beribadah dan menjaga tingkahlaku termasuk berpakaian sopan menurut Islam. Apapun pandangan ulama’ membenarkan orang bukan Islam memasuki masjid adalah bersandarkan sirah di zaman Nabi yang menghukum Thumamah ibn Athal diikat di tiang Masjid Nabawi dan orang Nasrani Najran dibenarkan masuk ke Masjid Nabawi.

Rumusannya, jalur mazhab Hanafi membenarkan orang bukan Islam memasuki semua masjid, Syafie pula membolehkan bagi semua masjid melainkan Masjidil Haram dan sekitar tanah haram Mekah, dan mazhab Maliki pula tidak harus melainkan kerana darurat ada kerja yang kepakaran berada pada orang bukan Islam.

29 August, 2010

Dua dekad MBI: Kelantan Model Keamanan Malaysia

Kini telah dua dekad Kelantan ditadbir menurut acuan Membangun Bersama Islam (MBI). Peneraju dan eksekutif yang terserlah di sebaliknya adalah Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat selaku Menteri Besar. Sumber pengetahuan yang mencorakkan MBI adalah ajaran Islam. Segala pokok dan cabang ajaran Islam dijadikan rujukan utama di dalam membina teras pentadbiran dan pembangunan negeri. Teras yang dimaksudkan ialah Ubudiah, Masuliah dan Itqan atau singkatannya "Teras UMI" merupakan pakaian rasmi semasa menguruskan hal ehwal pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan. Komitmen berpakaian rasmi ini ("Teras UMI"), maka tidak keterlaluan jika dikatakan Kelantan kini sebagai sebuah negeri mencapai piawai keamanan (security standards) terulung di Malaysia. Selayaknya Kelantan sebagai Model Keamanan Malayia dan selayaknya juga Tuan Guru Nik Abdul Aziz dinobatkan sebagai tokoh keamanan Malaysia atas kejayaan menghadapi cabaran dalam mengurus negeri sejak dua dekad (20 tahun) yang lalu.

Model keamanan

Natijah ajaran Islam adalah mencapai kehidupan yang selamat di dunia dan sejahtera di akhirat. Dari makna Islam ia sudah memberi nilai selamat dan sejahtera apabila Islam itu disebut sebagai "berserah diri" atau "menyerah diri kepada Allah." Hakikatnya Allah Tuhan Yang Esa adalah pengawal, pentadbir dan penguasa mutlak di alam semesta. Logiknya, apabila Kerajaan Negeri Kelantan komited mengurus tadbir negeri berpandukan ajaran Islam, berkat dan kekuasaan Allah sedia mengawasinya. Justeru firman Allah (al-’Araf 7:96) bermaksud “Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.”

Hakikatnya, nilai ajaran Islam yang diberkati Allah, sudah tentu hasilnya adalah keamanan yang diturun khusus untuk pemerintah dan rakyatnya. Negeri Kelantan telah merasmikan (“Teras UMI”) adalah penghubung mencapai buah keberkatan. Kekuatan bagi pengisian kepada teras itu adalah nilai kepatuhan kepada seruan amal maaruf dan nahi mungkar serta keyakinan sepenuhnya di atas integriti pentadbiran yang beragama. Punca kepada keberkatan yang menghasil keamanan adalah komitmen sebaik sahaja memulakan urusan kuasa, iaitu memindahkan akaun Kerajaan Negeri dari bank riba ke bank Islamik dan pemberian pinjaman tanpa riba untuk kakitangan awam. Diikuti dengan amalan kepimpinan berteraskan akhlak Islam, memajukan pendidikan Islam di sekolah Yayasan Islam dan pelaksanaan Dakwah Halaqat membawa misi dakwah kepada rakyat melalui masjid dan madrasah. Disusuli pula dengan pendekatan syariah di dalam mengawal akhlak rakyat melalui peraturan menutup aurat, penamatan lesen premis judi, tidak membenarkan hiburan yang melampau, mengawal penjualan arak hanya untuk bukan Islam dan menamat lesen operasi kedai gunting ’unisex’ wanita kepada lelaki. Di samping kebajikan terus dijaga berikutan penubuhan Tabung Serambi Mekah yang mengumpul dana untuk diagihkan kepada pelbagai projek kesejahteraan rakyat. Kesemuanya adalah suatu realiti keamanan yang secara langsung merupakan model pentadbiran untuk keamanan Negeri Kelantan.

Konsep keamanan

Secara etimologis konsep keamanan (security) berasal dari kata Latin securus (se + cura) yang bermakna terbebas dari bahaya dan terbebas dari ketakutan (free from danger and free from fear). Ini bermakna gabungan kata se (bererti tanpa/without) dan curus (yang bererti gelisah/uneasiness). Kemudian apabila digabungkan maksudnya, securas adalah pembebasan dari kegelisahan, atau satu kedamaian tanpa sebarang risiko atau ancaman (liberation from uneasiness, or a peaceful situation without any risks or threats).

Selama ini konsep keamanan diyakini sebagai suatu situasi yang terbebas dari ancaman perang ketenteraan atau kemampuan pertahanan negara dari serangan musuh. Namun, berikutan perkembangan perhubungan antarabangsa yang menyentuh nilai-nilai diplomatik, maka pemahaman konsep keamanan diperluas menjadi tidak hanya meliputi aspek ketenteraan dan aktornya bukan negara semata. Ia sudah mencakupi aspek-aspek selain ketenteraan, tetapi melibatkan sama aktiviti aktor dari dalam masyarakat sendiri. Dalam konteks ini, termasuk dalam nilai-nilai keamanan adalah pelbagai aktiviti dijalankan oleh pertubuhan politik mahupun NGO yang kesannya bukan setakat kalangan ahlinya, malah semua unsur kemasyarakatan yang berkaitan, hatta ke peringkat pihak yang berkuasa (kerajaan).

Oleh itu, menurut Benjamin Miller (2001) seorang pakar keselamatan/keamanan (tulisannya The concept of security: should it be redefined? Journal of Strategic Studies, Vol. 24, Bil. 2 Jun 2001. Halaman 13-42), perluasan konsep keamanan ini adalah mencakupi lima dimensi utama: Dimensi pertama adalah bermulanya ancaman (the origin of threats). Dimensi kedua adalah sifat ancaman (the nature of threats) menyangkut aspek-aspek lain seperti ekonomi, sosial-budaya, lingkungan hidup, bahkan isu-isu kesihatan masyarakat. Dimensi ketiga, yakni respon berubah-ubah (changing response) akibat perubahan aspek kehidupan sebagai sifat-sifat ancaman yang berkorelasi kuat dengan pendekatan keamanan yang bukan hanya bersifat ketenteraan, malah menyangkut sama pendekatan bukan ketenteraan seperti ekonomi, politik, undang-undang dan sosial-budaya. Dimensi keempat, akan mengarahkan kita kepada perlunya perluasan tumpuan situasi semasa nilai keamanan yang tanggungjawab pihak berkuasa (negara/negeri) bagi mencorakkan keamanan (changing responsibility of security). Ini kerana negara/negeri adalah "organisasi politik" terpenting yang berkewajipan mewujudkan keamanan bagi seluruh warganya. Akhirnya, dimensi kelima adalah nilai-nilai teras keamanan (core values of security) yang menumpukan kepada situasi keamanan nasional, kedaulatan, dan integriti wilayah/negeri. Nilai-nilai teras itu seharusnya melihat kepada nilai-nilai baru yang mencetuskan suasana selamat atau aman.

Justeru itu, keamanan sewajarnya ditanggapi bukan sahaja secara memahami konsepnya, malah penting ditanggapi sama ialah aspek isu kemasyarakatan yang terkesan akibat agenda pentadbiran pihak berkuasa yang berlaku secara multidimensi. Dalam perspektif sebuah Kerajaan Negeri berteraskan agama seperti Membangun Bersama Islam di Kelantan, amat wajar nilai-nilai keamanan itu dilihat secara multidimensi dan mengintegrasikan nilai-nilai itu dengan berbagai unsur dan komponen kemasyarakatan, terutama soal agama (dosa-pahala), muamalat, pembangunan ekonomi, kebajikan dan kesejahteraan rakyat, hubungan antara kaum dan nilai-nilai warisan tradisi yang menjadi khazanah negeri.

Nilai teras keamanan

Berdasarkan pengalaman Kelantan sebagai sebuah negeri di bawah federalisme yang mengolah pentadbirannya mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan dengan mengikut lunas-lunas Demokrasi Raja Berperlembagan. Maka perlembagaan sebagai teras rujukan dan pentafsirannya serta integriti kepimpinan bermula dengan raja-raja, pemimpin yang dipilih melalui pilihan raya dan pemimpin yang dilantik oleh kerajaan yang berkuasa. Semuanya adalah nilai-nilai teras yang bakal mencorakkan suhu keamanan negara. Ini diperkukuhkan pula dengan amalan pentadbiran yang sedia menghormati integriti pengasingan kuasa pihak legislatif, eksekutif dan judisiari.

Demikian pula di peringkat negeri, keamanan sedia wujud apabila berlaku penghormatan kepada amalan federalisme, penghormatan atas kuasa-kuasa Pusat dan Negeri yang menyentuh integriti raja, majlis mesyuarat kerajaan negeri dan jabatan serta pegawai-pegawai Pusat dan Negeri. Pengolahan terbaik pentadbiran federalisme adalah roh keamanan yang berkekalan antara Pusat dan Negeri. Dalam soal ini, Negeri Kelantan sudah melalui dua dekad era federalisme yang dikatakan mencabar nilai-nilai teras keamanan kerajaan dan rakyatnya.

Pokoknya bermula dengan sikap pihak Pusat tidak menghormati kuasa rakyat Kelantan yang memberi mandat kepada PAS mentadbir Negeri. Sikap tersebut telah menggerakkan tindakan-tindakan mencabar bidang perlembagaan, kuasa raja (sultan) dan menafikan keputusan Negeri, terutama dalam kes-kes melibatkan hak Negeri menerima pembayaran apa-apa jumlah kewangan yang wajib dibayar oleh Pusat dan pelaksanaan undang-undang syariah termasuk hudud untuk rakyat Islam. Termasuklah juga hak mendapatkan bayaran tunai (royalti) hasil pengeluaran minyak dan gas oleh Petronas di pantai Kelantan. Malah pihak Pusat turut mencengkamkan lagi autoriti pentadbiran dengan membuka Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) sebagai skuad pentadbiran kedua mengurus segala nodaan hak Negeri yang tidak wajar diiktiraf oleh pihak berkuasa Negeri. Apakah tindakan Pusat sedemikian tidak mencabar nilai-nilai teras keamanan negara dan negeri? Persoalan ini sudah terjawab dengan laluan dua dekad Tuan Guru Nik Dato’ Nik Abdul Aziz selaku ketua eksekutif utama mengenderai kuasa di Negeri Kelantan.

Kelantan kekal aman

Sejarah membuktikan Kelantan sebagai sebuah negeri yang berlakunya keamanan berterusan. Hatta semasa Negara dilanda rusuhan kaum 13 Mei 1969, tidak pun berlaku sebarang kemalangan yang mencalar nilai-nilai keamanan rakyatnya. Melainkan sekali sahaja, iaitu ketika ‘politik darurat’ tahun 1977 yang membawa kajatuhan Kerajaan PAS Kelantan dalam suatu pilihan raya khas Mac 1978. Apapun politik darurat itu adalah ciptaan Pusat melalui parlimen telah meluluskan Majlis Gerakan Negera (MAGERAN) mengambil alih kuasa pentadbiran Negeri selepas kekalutan politik angkara pihak tertentu. Namun era pentadbiran Membangun Bersama Islam kini, integriti Tuan Guru Nik Abdul Aziz telah berjaya menguruskan psiko-politik warga Kelantan dengan nilai-nilai keamanan berteraskan iman dan takwa. Meskipun pelbagai cabaran ke atas keamanan Kelantan oleh kuasa Pusat, ia masih belum menggugat nilai keamanan yang ada. Walhasilnya, rakyat Kelantan selamat dan sejahtera bersama keamanan negerinya. Logiknya, Kelantan adalah model keamanan bagi negeri-negeri di Malaysia.