21 November, 2013

Cabaran PRU14: Harapan kepimpinan baru



Pemilihan kepimpinan PAS sesi 2013/15 dilihat berjalan lancar yang pastinya menghangatkan agenda Muktamar PAS ke-59 kali ini.  Agenda pemilihan kepimpinan adalah ulangan pada setiap dua tahun sebagaimana tuntutan Perlembagaan PAS. Apa pun pemilihan dalam PAS tidaklah serupa dengan Umno sebagai parti pesaing PAS. Bagi Umno pemilihan mereka cukup hangat kerana banyak dihebohkan oleh semua organ media perdana. Sementara dalam PAS, kehangatan isu pemilihan sekadar sesuam air di permukaan mangkuk. Itu pun kerana ramai pembicara dalam media maya, terutama facebook dan blog yang bersimpang siur mengalunkan rentak isu siapa tokoh utama yang patut dipilih menduduki satu-satu jawatan.

Apa pun, pemilihan PAS kali ini tetap berlaku atas kedudukan timbalan presiden dan naib presiden serta ahli jawatankuasa kerja di peringkat PAS Pusat. Sementara Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat menyaksikan pertandingan bagi semua jawatan tertinggi melibatkan ketua, timbalan ketua dan naib ketua serta ahli jawatankuasa kerja dewan-dewan ini di peringkat Pusat.  

Apa pun tahniah kepada Dewan Ulama Pusat sudah awal-awal menyelesaikan pemilihannya tatkala perundingan (musyawarah) menetapkan kesemua jawatan telah dimenangi tanpa bertanding. Sekalung tahniah kepada para ulama yang sedia menyuburkan imej Kepimpinan Ulama parti Islam terulung negara.

Komitmen perwakilan

Di sebalik agenda pemilihan PAS kali ini, pasti disempurnakan dengan tuntas sekiranya para perwakilan dari segenap kawasan dan dewan-dewan berkomitmen tinggi ke arah menabalkan saf kepimpinan terbaik. Perhimpunan besar (muktamar) berpusat di Shah Alam kali pasti mengukir sejarah apabila perwakilan mampu mengguna kuasa pemilihan dengan penuh kesedaran untuk memilih pemimpin yang bakal menerajui parti bagi tempoh dua tahun ke hadapan. Tujuannya ialah pemimpin  terpilih mampu menggalas agenda perjuangan PAS menyahut pelbagai cabaran dan persaingan serta nilai-nilai kerjasama polityik yang bakal dilalui pada masa depan.

Di atas landasan kemungkinan pelbagai cabaran itu, sudah tentu perwakilan mempunyai kuasa membuat keputusan dan pertimbangan. Di sini penulis merasakan ada tiga cara pilihan terbaik dalam kerangka perjuangan PAS masa kini dan ke hadapan. 

Pertama, melihat secara terang mutu kepimpinan yang ada sekarang perlu dikekalkan status –quonya. Maknanya wajah pemimpin yang sedia ada dikekalkan tanpa apa-apa pindaan, dan ini agak rasional sekiranya perwakilan berpuas hati dari segi prestasi kesemua penjawatan yang sedia ada.

Keduanya, menilai secara terkhusus kemungkinan dibuat pindaan dan penyesuaian bagi memantapkan misi Kepimpinan Ulama dalam PAS yang telah ditegakkan secara rasmi sejak 33 tahun yang lalu. Atas asas ini pemimpin yang tertentu perlu dikekalkan dan yang lain perlu dipilih muka baru. Cara ini sesuai apabila perwakilan merasakan PAS memerlukan kemas kini dan tambah baikan di mana yang kekurangan.

Akhirnya yang ketiganya, perwakilan boleh melakukan pembaharuan mutlak wajah-wajah kepimpinan yang ada (terpilih pada sisi 2011/13) dengan melantikan pemimpin baru mengisi kesemua jawatan, terutama di jawatan kedudukan utama (timbalan presiden, naib presiden dan  ketua, timbalan dan naib ketua dewan-dewan).

Cabaran penting PRU14

Meskipun terdapat tiga  cara untuk perwakilan membuat keputusan untuk memilih, pada penulis cara yang agak sesuai adalah cara kedua. Ini kerana kedudukan PAS dan prestasi pada pilihan raya umum (PRU) lepas telah dijadikan petunjuk nilai kejayaan perjuangan PAS. Justeru cara ini bertujuan melakukan penyesuaian dan tambah baikan demi mendepani cabaran penting PAS pada PRU ke-14 nanti.

Apa yang perlu dipertimbangkan ialah pemimpin yang terpilih kali ini seharusnya menilai ke belakang sejenak (prestasi PRU ke-13) dan memandang ke depan untuk mencipta kemenangan pada PRU ke-14. Realiti di belakang adalah PAS kecundang kuasa kerajaan negeri di Kedah, gagal mempertahan kerusi-kerusi parlimen dan dun (yang dimenangi pada PRU ke-13) di beberapa negeri. Kebanyakan  kerusi itu adalah terletak di kawasan dominasi pengundi Islam (Melayu). Di Kelantan pula, PAS gagal membantu parti rakan KeADIlan di parlimen Machang, Ketereh dan Tanah Merah, di sampimng turut gagal mempertahan enam kerusi ditandingi PAS serta tidak mampu merampas parlimen dan dun kawasan tradisi Umno. Begitu juga di beberapa negeri jalur pengundi Islam (Melayu), khususnya di Perlis, Terengganu dan Pahang. PAS masih belum mampu mencipta kemenangan semula di Terengganu dan tidak mampu menjulang kemenangan di kawasan Felda dan seumpamanya.

Demikian lagi, PAS dilihat masih memerlukan pengupayaan dari segi memaut kuat dukungan pengundi muda dan wanita. Atas sifat normal, dua golongan pengundi ini mencorak separuh komposisi pengundi di satu-satu parlimen dan dun. Sudah tentu kepentingan daya pengurusan dan penjanaan pengaruh parti memerlukan komitmen kepimpinan yang tahu untuk menjadi jurucakap kepada dua kumpulan pengundi ini.

Demikian lagi, perwakilan kali ini seharusnya mengambil kira pemilih yang harus dipilih adalah kalangan mereka yang pakar dalam bidang khusus. Terutamanya perancang politik dan sosial serta pentarbiyahan ahli dan masyarakat. Misalnya, cabaran teknologi maklumat kini agak kritikal, maka memerlukan gandingan olahan isu dan maklumat untuk diperkasakan kepada ahli dan masyarakat menerusi kecanggihan teknologi maya (internet dan sebagainya). Justeru ketokohan pemimpin yangh pakar dalam bidang iktisas tetap penting bagi memastikan agenda mendepani cabaran PRU ke-14 mencapai titik kejayaan. 

Kesemuanya adalah memerlukan titik kesedaran perwakilan, kerana pemimpin yang dipilih kali ini bakal menerujui PAS (PAS Pusat dan dewan-dewan ) di peringkat Pusat untuk dua tahun ke depan. Tempoh dua tahun ini penting sebagai masa untuk mencetus perancangan (road map) PRU ke-14 dan menggerakkan ahli secara tulus memahami waqi’ politik PAS menerjah kuasa di persada nasional dan berkuasa di Putrajaya.