Bermula dengan memahami rangkuman dasar diplomasi menurut Islam, ia boleh difahami pula seni pengolahan hubungan harmoni sosiopolitik masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk ini. Ia sesuai dengan tuntutan Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan menceroboh. Mereka tidak saling melarang (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar yang dilakukan. Sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan” (Al-Maidah ayat 78-79).
Demikian pula garis panduan disirahkan oleh Nabi Muhammad SAW, sebagaimana daripada Abu Said al Khudri RA, katanya, “aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa di kalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya, sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia mencegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman” (Riwayat Muslim).
Apabila memahami maksud Al-Quran dan Al-Hadis di atas, maka urusan mencegah kemungkaran demi menegak yang maaruf merupakan perintah Allah dan sunnah Nabi. Atas kefahaman sebegini, Dr Fatimah Busu seorang pengamat sosiobudaya dan mantan pensyarah sastera telah menulis, “berjuta-juta orang Melayu di Alam Melayu sudah menganut Islam sudah lebih 700 tahun” (Berita Minggu 1 April 2012).
Justeru secara mudah dirumuskan, pengamatan Dr Fatimah yang bertajuk “Warkah untuk Junjungan” ialah betapa orang Melayu yang telah dijajah dari segi sosiopolitiknya tetap menyaksikan orang Melayu tetap utuh dengan cara hidup orang yang beriman. Jika dibandingkan dengan orang Melayu serumpun di negara jiran, walaupun asalnya beragama Islam, namun kesan penjajahan menyebabkan ada umat Islam mendepani cabaran dan kian terhina di bumi sendiri.
Lalu dapat difahami, di Malaysia hari ini orang Melayu meskipun tetap bersama agama Islam, tetapi cara hidupnya kian durjana. Sehingga ada yang kembali hidup dengan cara jahiliah. Buktinya telah berlaku agak berleluasa perangai jahiliah seperti kejadian buang bayi, kegilaan seks sejenis (homoseks), perompak, penyamun, pembunuh, pemfitnah, mencari dan mendedahkan keaiban sesama Islam.
Jahiliah
Mungkin premis ajaran Islam yang dijadikan asas pengamatan itu ialah Nabi Muhammad SAW telah mengajar umatnya agar berakhlak baik dan dalam situasi yang lain Nabi bersabda: “Orang mukmin yang paling sempurna imannya adalah orang yang paling bagus akhlaknya” (Riwayat Tirmizi).
Maka jauhilah akhlak jahiliah.
Maksud jahiliah tersebut ialah berasal dari perkataan al-Jahl yang mengandungi beberapa erti, antaranya "tidak tahu" lawan kepada mengetahui (al-ilm), "sesat" (dhalalah) lawan kepada "petunjuk" (al-Huda) dan bodoh, tolol, kasar, tongong dan permusuhan. Oleh itu, pengertian jahiliah mengikut istilah Islam adalah tidak mempunyai akidah yang benar, berhakimkan kepada hawa nafsu bertuhankan kepada toghut dan degil setelah diberi tahu kebenaran serta bongkak setelah diberi tahu kesalahannya.
Maka ada baiknya makna jahiliah itu diterima pandangan Syed Qutb dalam "Petunjuk Sepanjang Jalan" iaitu mana-mana orang atau pihak yang telah mencabul kekuasaan Allah, serta menolak hukum dan undang-undang Allah SWT. Dengan makna ini, dapat kita mengenal secara tepat pihak mana yang jahiliah kerana tidak menerima hukum dan undang-undang Islam. Manakah kerajaan negeri di Malaysia hari ini yang masih mengekalkan sistem jahiliah, terutama dalam konteks hukum dan perundangan yang dipakai? Dr Fatimah cuba bermuhasabah dan mengajak rakyat mengecamnya mana negeri yang berhukumkan secara jahiliah. Natijahnya, situasi jahiliah yang digambarkan itu sebenarnya telah menyentuh maksud firman Allah: "Telah lahir kefasadan (kemusnahan) di laut dan juga di darat dengan kerana kerja-kerja dari tangan manusia (yang durjana)" (Ar-Rum ayat 41)
Selari dengan larangan Allah SWT bermaksud: “Dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan” (Al-Baqarah ayat 191). Begitu pula Allah berfirman lagi maksudnya: "Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? (Al-Hujurat ayat 11).
Kesemua karenah merosakkan adalah akibat daripada kehidupan berkiblatkan hawa nafsu yang kerananya berkiblatkan pula maksiat. Munculnya tabiat berjudi, minum arak, menghisap dadah sehinbgga membawa kepada berzina, berpeleseran, malah sanggup mel,akukan seks terbuka, merogol anak dan pelbagai kjenis zina mahram – merupakan manifestasi daripada teruknya nafsu serakah manusia. Natijah ini telah disentuh rasa oleh Dr Fatimah Busu menerusi warkahnya dalam ruang Rona, Berita Minggu (1 April 2012).
Bukan itu sahaja, Dr Fatimah turut mendakwa suasana hiburan melampau sehingga sanggup pula mengimport penghibur luar negara. Maka logiklah asas dakwaan itu ialah betapa budaya melalai (laghwan) sudah menjadi cara hidup sesetengah pemimpin, sehingga ada yang sanggup menari dan berjoget bersama isteri atau pasangan dengan mendedah aurat di depan khalayak.
Budaya pemimpin itu telah ditiru rakyat, lantas bernarlah seperti didakwa mantan pensyarah USM itu munculnya pemimpin dan rakyat yang mencaci ulama dan sampai pula menghina Rasulullah SAW. Akibat penghinaan itu, sudah tentu dimurkai Allah lalu padanlah Tuhan Yang Maha Esa telah memaksa kalangan kita sehingga taida waktu untuk bersolat, jauh sama sekali untuk membaca Al-Quran, mempelajari agama dan akidah pun semakin rapuh. Justeru munculnya gaya hidup yang sudah menolak nikmat abadi di akhirat demi sedikit nikmat dunia. Sehingga ada yang sanggup menghina Islam atau murtad dan kufur atas kepentingan sesuap nasi dan sedompet wang ringgit. Apa pun punca situasi yang disabutkan oleh Dr Fatimah itu tidak dikaitkan dengan angkara pemimpin Kerajaan Pusat yang begitu lembut lidahnya menghina Islam dan hukum Allah SWT. Misalnya dalam kes pelaksanaan hukum Islam di Kelantan, mantan atau Perdana Menteri sekarang telah menolak mentah-mentah hasrat Kerajaan Negeri.
Mendakwa dengan kasar
Justeru kelemahan konteks sedemikian, Dr Fatimah sanggup mengutus warkah untuk junjungan Nabi dengan mendakwa kononnya di Malaysia hari ini wujud golongan yang sanggup memperalat agama untuk kerusi pilihan raya. Sanggup juga berkolabrasi (berbaik atas keazaman politik) dengan kafir harbi demi politik untuk berkuasa.
Apabila diamati maksud dakwaan itu yang kata bahasanya kasar, maka fahamlah iaitu sang kafir harbi yang dipakai adalah ditujukan kepada pemimpin DAP, dan golongan yang dikatakan sanggup berkolabrasi dengan kafir harbi itu adalah pemimpin PAS. Lebih-lebih lagi apabila disebut isu-isu yang menyoal-balas pendirian berhubung negara Islam (tetapi tidak menyebut pemimpin yang menolak hudud di Kelantan), isu penggunaan kalimah Allah (tetapi tidak menyebut pemimpin yang sanggup meletak karangan bunga memperingati pejuang sekular Kamal Atartuk) dan menghina pihak yang menjadi teman rapat dengan kafir harbi (tetapi tidak pula menyebut perbuatan seorang isteri pemimpin yang membiarkan pipinya dicium oleh pelakon di pentas terbuka).
Belajarlah dari Nabi
Kesemuanya merupakan ungkapan warkah Dr Fatimah yang sudah dirasai kasar kerana gaya bahasanya kasar dalam mengamati persoalan sosiopolitik masyarakat Islam di negara ini. Ia semacam menghadap dengan rintihan kasar ke hadrat junjungan besar Nabi Muhammad SAW agar tidak memberi hak kepada pihak tertentu menuntut nilai-nilai keharmonian hidup di Malaysia ini. Maka, apakah maksud tersirat Dr Fatimah di sebalik persoalannya tentang hukum berkolabrasi dengan orang kafir? Sedangkan junjungan Nabi telah mengasaskan kolabrasi ulung menerui pembentukan Piagam Madinah (tahun pertama Hijrah bersamaan 622M) diikuti dengan Perjanjian Hudaibiah (tahun keenam hijrah bersamaan Mac 628M).
Piagam Madinah mengandungi 47 fasal dan 24 fasal daripadanya adalah menyentuh tentang hubungan umat Islam dengan umat bukan Islam. Sementara Perjanjian Hudaibiah telah mempamerkan kemuliaan akhlak Islam yang ditunjukkan oleh Nabi dalam melaksanakan timbang-tara di antara hak Islam dengan bukan Islam tatkala berunding dan berkolabrasi.
Kedua-duanya merupakan pembuktian langsung peranan pemimpin dan gerakan Islam yang dipimpin oleh Nabi sendiri yang bersifat merentasi nilai perkauman (pelbagai suku Arab) dan sentimen agama (antara Islam dengan Yahudi dan Nasrani). Ia bertapak di negara Madinah kemudian melebar luas selepas kewafatan baginda (di bawah empayar Abasiah, Umayyah dan Othmaniah). Perjalanan sosiopolitik dan kenegaraan yang diasaskan oleh Nabi itu merupakan sirah teragung yang mencipta keharmonian tanpa kekasaran tindakan. Natijahnya keharmonian adalah pendekatan tuntas dalam mengolah sosiopolitik Malaysia. Hal ini telah terbukti di Kelantan selama masa di bawah pentadbiran parti Islam pimpinan ulama. Justeru nampaknya gagal hal sebegini masih belum dibongkar oleh Dr Fatimah dalam warkahnya. Atas kekurangan ini, sewajarnya Dr Fatimah dipilih menjadi panelis wacana bagi membicara soal sosiobudaya Islam yang sedang berkembang pesat di Kelantan kini.