06 November, 2016

Gagasan PAS Memimpin Teras Politik Islam di Malaysia

Sejarah permuafakatan (consociationalism) dalam politik Malaysia sudah terukir indah. Ia bermula semenjak Malaysia (ketika itu Tanah Melayu) berusaha ke arah mencapai kemerdekaan 1957. Permulaan permuafakatan itu dengan pembentukan politik kerjasama (coalition politics) atas nama Perikatan yang menggabung UMNO, MCA dan MIC sebagai parti politik utama. Teras perjuangannya adalah kemajmukan nasionalisme yang menyaksikan UMNO dengan Melayu, MCA dengan Cina dan MIC dengan India. Perikatan berakhir menjelang pilihan raya 1974 yang ketika itu menyaksikan PAS turut serta sebagai komponennya. Berikutan penyertaan PAS, Perikatan telah diubah kepada Barisan Nasional. Namun PAS tidak lagi menjadi komponen Barisan Nasional selepas 1977.

Kini kejayaan Barisan Nasional dengan 13 rakan komponen (menurut http://www.barisannasional.org.my/en/component-party) adalah suatu bukti permuafakatan politik nasionalis berasaskan etnosentrik. Meskipun realitinya dasar nasionalis yang memperjuangkan kepentingan masing-masing kaum, namun tuan punya parti di dalam permuafakatan itu sering bercengkerama dengan nilai-nilai pertentangan. Paling ketara tatkala isu-isu hak kaum dan agama yang ingin diperjuangkan.

Justeru itu, PAS antara parti yang awal tidak dapat menerima budaya politik permuafakatan nasionalisme masing-masing kaum. PAS kemudiannya membawa jalan perjuangan sendiri, iaitu mengembangkan amalan politik Islam berkonsepkan pendekatan politik dan dakwah. Jalan perjuangan tersebut memungkinkan PAS berperanan sebagai pengimbang dan penyemak kepada perjalanan polisi negara di dalam hal ehwal hak umat Islam dan orang Melayu. Paling utama yang diberi perhatian oleh PAS adalah dari segi memperjuangkan kedudukan Islam dalam persada politik pentadbiran negeri dan negara. PAS bertindak ke arah memastikan pentadbiran itu berjalan menurut tuntutan Perlembagaan Persekutuan, mahupun Perlembagaan di negeri-negeri. Sesuai dengan tuntutan Perlembagaan PAS sendiri yang meletakkan dasar Islam sebagai landasan perjuangan.

PAS memimpin

Impian dan halatuju terkini PAS adalah berperanan secara aktif ke arah memastikan politik negara berlaku secara matang dan sejahtera. Sesuai dengan dasar Islam yang diperjuangkan, maka misi mengangkat fitrah Islam sebagai 'rahmat kepada seluruh alam' (rahmatan lil-alami) telah menjadi keutamaan PAS. Justeru hujah permuafakatan politik di sisi PAS adalah berasaskan maslahah Maqasid Syariah yang selari dengan perkembangan semasa. Justeru apa jua permuafakatan yang ingin dijelmakan dalam lanskap politik kemajmukan di Malaysia seharusnya mengambil pertimbangan positif dari segi menjaga ketinggian agama, keselamatan nyawa, kemurnian akal, kemuliaan keturunan dan keselamatan harta dalam kalangan rakyat.

Sehubungan itu, PAS tidak bersedia melaksanakan kerjasama, mahupun muafakat dengan mana-mana pihak yang dikira merugikan Islam di dalam lima perkara asas syariah tersebut. Natijahnya PAS berkira-kira untuk tidak terlibat atas kerugian dan keburukan kepada Islam, malah keutamaan PAS adalah bekerjasama, bermuafakat dan berada bersama-sama atas dasar kebaikan dan ketinggian syiar Islam. Atas pertimbangan ini, maka PAS memutuskan hubungan dengan DAP yang menolak usul perlaksanaan perundangan Islam di Kelantan dan menolak untuk bersatu semula dengan kumpulan serpihan PAS yang secara terang-terangan tidak sefahaman (berbeza pendapat) dengan PAS di dalam isu-isu untuk menjaga nilai-nilai lima perkara asas Maqasid Syariah.

Walaupun begitu, keterbukaan PAS tetap wujud tatkala pemimpinnya mengungkapkan batas-batas kesediaan untuk melangsungkan permufakatan dengan mana-mana pihak di atas perkara-perkara yang boleh disepakati bersama tanpa ada campur tangan dalam hal ehwal rumah tangga PAS. Ini bermakna PAS secara positif bersedia melangsungkan permufakatan politik dengan mana-mana parti dalam negara ini. Oleh kerana itu, ia selari dengan misi kepimpinan PAS sendiri yang inginkan PAS memimpin perubahan di dalam semua aspek yang melibatkan usaha ke arah meninggikan syiar Islam dalam negara/negeri ini. Justeru usaha terkini PAS menerusi usul meminda Akta Mahkamah Syariah (A355) dengan cara mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian ke Parlimen Malaysia sedang mendapat sambutan baik. Maka PAS dilihat memimpin dalam rangka menganjak kuasa Mahkamah Syariah kepada taraf Syariah yang sebenar.

Memimpin Teras Politik Islam

Beralih daripada usaha persendirian (usul meminda A355), natijah belum tentu kedudukan Islam menjadi terbaik di Malaysia. Apa yang lebih utama ialah membina keutuhan akidah, maruah dan keselamatan serta kesejahteraan hidup umat Islam. Malah misi yang lebih jauh ialah menuju keredaan Allah SWT. Ia boleh terjadi sekiranya permuafakatan dapat diurus dengan baik oleh PAS dalam rangka mengutuhkan kuasa politik Islam dalam negara ini. Ia boleh terjadi apabila semua parti-parti Melayu yang mendukung cita-cita kemakmuran umat Islam dapat melangsungkan permuafakatan.

Berdasarkan realiti politik kalangan parti-parti orang Melayu hari ini, nampaknya UMNO sahaja yang tegar di tampuk kuasa, meskipun di tampuk itu pelbagai korupsi, kronisme dan nepotisme (KKN) melingkarinya. Sementara PAS yang berpijak atas urusan amal maaruf nahi mungkar terus kental menentang segala macam KKN tersebut. Justeru adalah lebih mulia dan tangkas serta tuntas sekiranya PAS dapat membuka lantas memimpin ruang permuafakatan kuasa-kuasa politik Melayu yang berprinsip Islam bagi berhadapan dengan UMNO demi memperbetulkan perjalanan kuasa dalam negara. Jalan permuafakatan boleh terjadi apabila PAS sedia memimpin teras politik Islam dengan menarik parti-parti politik Melayu yang Islami.

Sehingga kini, parti-parti seumpama itu antaranya PKR atas dasar parti pluralisme tetapi dipimpin oleh pimpinan Melayu. Terbaru pula ialah PPBM atas dasar jalur tegar Melayu merupakan serpihan UMNO, Demikian pula, PAN sebagai sebuah parti serpihan PAS yang diperuar-uarkan sebagai jalur Islam progresif. Selain itu, kedapatan parti-parti Melayu lebih awal seperti Berjasa, Ikatan, Hamim dan Akim yang kurang berpengaruh, tetapi wajar disatukan dalam wadah permuafakatan teras politik Islam untuk berhadapan dengan UMNO yang tegar dengan pelbagai momokan KKN.

Cabaran Dalam Membina Teras

Namun sesuatu yang bersifat realitistik, PAS yang sedang diganyang oleh kumpulan serpihannya sendiri, PAN. Maka terlalu sukar untuk PAN bersama PAS. Sementelah pula PAN telah menjadi rakan kepada DAP yang sudah berpatah arang dengan PAS menerusi Pakatan Harapan. Namun PKR yang turut bersama dalam Pakatan Harapan, tetapi masih menjalin hubungan dengan PAS dan ia dilihat saling memerlukan lebih-lebih lagi dalam konteks Kerajaan Negeri Selangor yang sedang diganyang oleh UMNO.

Sehubungan itu, sekiranya PAS dapat memimpin satu permuafakatan baru atas nama teras politik Islam, maka sewajarnya PAS dapat mengukuhkan Gagasan Sejahtera yang telah dibina oleh PAS bersama Ikatan. Tinggal lagi PAS dapat memimpin permuafakatan yang dapat menarik bersama PPBM, Berjasa, Hamim, Akim dan malah PKR turut diseru bersama. Keberadaan PKR dalam permufatakan Gagasan Sejahtera agak penting kerana ia sekaligus boleh melunakkan hubungan antara pihak-pihak bertentangan agar dapat menghadapkan penentangan terhadap Barisan Nasional, khasnya dalam pilihan raya akan datang. Hal ini pernah berlaku dalam tahun 1990, tatkala PAS bekerjsama dengan Angkatan Perpaduan Ummah yang melibatkan Parti Semangat 46, sedangkan pada masa yang sama Semangat 46 menjalin kerjasama dengan PBS (parti jalur Kristian di Sabah). Natijhnya PAS mendapat laba besar di Kelantan dan PBS turut berjaya di Sabah.

Justeru bagi membuktikan model kerjasama PAS tahun 1990 dapat dianjak kepada permuafakatan PAS bersama membina teras politik Islam, maka ia seharusnya boleh dilakukan dengan baik pada kali ini. Dalam hal ini, PAS harus memulakan dengan mengajak rakan-rakannya ke arah pernyataan permuafakatan bagi membina teras politik Islam, iaitu kesediaan melakukan perubahan dengan menyingkirkan pelaku kebobrokan KKN dari terus berkuasa.

Namun kesemuanya ini adalah paparan cabaran yang sukar bagi PAS dan ia memerlukan keterbukaan besar sikap dan fikrah pemimpin PAS di semua peringkat. Nilai keutamaannya di sini adalah meruntuhkan kefasadan demi membina dan mengukuhkan kemaslahatan Maqasid Syariah agar PAS terus ke hadapan bagi memimpin teras politik Islam.

Wassalam.

Dr Wan Nik Wan Yussof