- Apalah sangat dengan projek Lembah Sirih
Sehari-dua
lalu agak bising sang murai Umno berkokok menuntut SPRM menyiasat Projek Lembah
Sirih (PLS). Murai yang sama sebelum ini turut bising bila menteri besar
Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz mengumumkan rancangan pembinaan Lebuh
Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai (LRKBKK). Mungkin kerana mereka rasa rakyat
akan terus yakin dengan keupayaan PAS mengurustadbir negeri. Sepatutnya sang
murai itu bising bila perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib mengumumkan tanah
peneroka melalui Felda Plantation dibawa ke Bursa Malaysia. Ini kerana hak
peneroka mungkin akan terlepas dan menghadapi risiko kerugian yang amat besar.
Natijahnya,
penyenaraian Felda melalui Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) bakal
memeritkan rakyat (peneroka), bukannya PLS mahu pun LRKBKK di Kelantan.
FGVH untuk kroni
Sebagaimana
maklum, penyenaraian FGVH pada 28 Jun yang lalu, hanya 90 juta unit saham sahaja
diperuntukan untuk 112,635 peneroka seluruh negara. Setelah
dibahagi-bahagi sama banyak maka satu keluarga peneroka hanya dapat 810 unit
saham FGVH dengan harga RM4.55 sen. Bayaran untuk membeli saham itu pula,
dikatakan pihak peneroka disuruh meminjam di CIMB (bank milik adik Perdana
Menteri). Kesannya, tiadalah untung sangat, kerana peneroka kena membayar
balik pinjaman mereka dari CIMB.
Ia bermakna purata seorang peneroka yang memiliki sekitar
800 unit saham, jika sejumlah saham itu dijual dalam sehari dua untuk membayar
balik pinjaman CIMB, maka satu keluarga akan untung sekitar RM500-600. Bayangkan pula pihak lain (sebilangan kroni BN)
yang diperuntukan jutaan saham, pasti akan mendapat untung jutaan ringgit dalam
sekelip mata sahaja. Ia
dikatakan tiada apa-apa untuk dibanggakan oleh peneroka di sebalik penyertaan
FGVH di Bursa Saham.
Ada saham
judi
Pengerusi
Pertubuhan Anak Peneroka Kebangsaan (Anak), Mazlan telah menunjukkan
statistik yang dikeluarkan Bloomberg Peers, menunjukkan senarai
syarikat berkaitan judi di Genting Highland, Genting Berhad dilapor terbabit
memiliki 407,005,000 yang jika dijumlahkan bernilai hampir RM 2 bilion.
Sementara
itu, Mazlan turut mendesak pihak berkaitan, terutama penafian Timbalan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan agar memikirkan secara serius
berhubung kedudukan saham FGVH yang (ketika itu) berharga RM 4.75.
Malahan dana orang ramai yang di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja
(KWSP) turut terlibat membeli 2.2 juta saham FGVH pada saat harga sahamnya
tenggelam ke paras terendah yang ditutup pada RM4.68 sesaham atau hanya 13 sen
di atas harga pengeluaran. Menurut pengajuan Bursa
Malaysia, pegangan dana pencen terbesar negara di FGVH telah meningkat 5.4
peratus sejak 3 September, sehari sebelum FGVH menjunam di bawah tanda RM5.
Dana
pencen (kakitangan awam) itu juga baru-baru ini membelanjakan RM2.4 bilion
untuk mengambil alih tanah Institut Penyelidikan Getah di Sungai Buloh yang
akan bertukar menjadi sebuah perbandaran. Kesemuanya
atas keputusan siapa, adakah pihak yang berkaitan dengan kroni BN?
Dijangka terus jatuh
“Keuntungan RM1 sesaham itu sangat kecil kerana
peneroka terpaksa membayar yuran proses dan kos guaman menyertai FGVH.
“Kalau untung RM3 sesaham baru peneroka mendapat
sedikit keuntungan. Dari urus niaga awal ini, yang untung besar ialah Tan Sri
Isa Samad dan kroni-kroninya yang mendapat banyak saham FGVH,” kata Suhaimi
Said, Ketua Biro Felda dan Orang Asal Parti KeADILan.
Peneroka bakal menanggung kerugian besar apabila
prestasi saham FGVH semakin menjunam jatuh walaupun baru dua bulan tersenarai
di Bursa Saham. Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan
(Anak) Dr Rosli Yaakop berkata, penganalisis meramalkan pasaran saham mungkin
akan kekal lemah dalam tempoh sehingga enam bulan dan boleh jatuh di bawah
harga par RM4.55 seunit.
“Penurunan
harga saham sangat besar sehingga mencapai 20 sen dalam masa seminggu. Keadaan
ini jarang berlaku pada mana-mana syarikat kukuh,” katanya dalam sidang media
di Pejabat Agung PAS di sini hari ini.
Gajah
sarkas
Berdasarkan
pelan penyenaraian aset Felda (baca peneroka) yang mencetuskan kontroversi,
maka ada pihak melihat cara layanan perdana menteri dan pengerusi Felda
terhadap para peneroka Felda seumpama ‘gajah sarkas’. Peneroka dijamu dan
djanjikan dengan kenikmatan ‘durian runtuh’ untung besar (baca makan besar),
sedangkan hakikatnya penganjur sarkas (baca pemimpin yang rakus) telah mengaut
untuk tiket pertunjukan yang berganda-ganda.
Kesian
kepada peneroka, tatkala tanah dan ladang sepatutnya diwarisi, kini sudah
terapung kepada pelabur-pelabur yang menawarkan untung lumayan. Apa
kesudahannya?
Harapnya
tidaklah peneroka benar-benar menjadi peliharaan (gajah sarkas) yang mudah
diatur oleh mereka (penganjur sarkas), ke mana sahaja akan di bawa demi untung
melimpah ruah pihak sang kroni mereka.
Apalah diheboh projek Lembah Sirih di Kelantan
Berdasarkan kisah FGVH ini, apalah dihebohkan
sangat akan Laporan Ketua Audit Negara 2011 yang menegur tadbir urus kerajaan.
Termasuk dalam teguran itu ialah rancangan pembangunan di Lembah Sirih (PLS)
oleh Kerajaan Kelantan. Kononnya Kerajaan Kelantan tiada mendapat apa-apa hak
dari pihak pemaju sebagaimana perjanjian. Lalu muncullah ’murai Umno’ berkokok
dan melalak mendesak konpnnya ada rasuah di sebalik projek.
Tujuan tidak lain agar rakyat Kelantan meragui
tentang keupayaan kerajaan negeri mengendali projek secara pelaburan swasta
yang bernilai lebih daripada RM2 billion yang terletak di Lembah Sungai
Kelantan itu. Ia melibatkan tanah yang ditebusguna hasil limpahan (mendapan
pasir) seluas 400 hekter (setakat
ini belum sepenuhnya ditebusguna). Tanahnya diusahakan secara pajakan (bukan dijual)
dan pemiliknya tetap kerajaan negeri.
Apakah sang murai Umno tergamak untuk menyekat
rezeki yang sudah di depan mata atas semata-mata dengki dengan keupayaan
kerajaan Negeri di bawah pimpinan ulama, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz?
Rakyat pasti bijak menilai mana benarnya antara
suara murai dengan apa yang berlaku di depan mata.