Persaingan kempen pilihan raya kecil (PrK) Manek Urai memasuki hawa hangat. Calon PAS, Mohd Fauzi yang dipopularkan sebagai Abe Uji cukup terserlah dengan hemah bersederhana. Sementara, calon BN Tuan Aziz selaku calon under-dog (berpandukan kenyataan pimpinan UMNO, BN adalah under-dog dalam PrK ini) turut popular tampil dengan imej jentera 'menteri' dan 'kerajaan' dan mendapat limputan meluas di dada media perdana.
Pada pusingan awal kempen, boleh dilihat pada hari penamaan calon apabila penyokong PAS yang turut disokong penyokong KeADILan dan DAP adalah mengatasi penyokong BN. Ramai pemerhati bersetuju, penyokong PAS berarak dianggarkan 10 ribu orang, sementara BN tujuh ribu orang. Maknanya, dari segi jumlah penyokong perarakan PAS sudah mengatasi BN dengan majoriti tiga ribu orang.
Namun selepas kempen bermula, calon PAS mula diserang dengan isu-isu peribadi oleh jentera BN. Antaranya calon PAS diperlekehkan dari segi pengajian dan profesyen. Calon PAS kebetulan hanya berpendidikan rendah/pondok dan pekerjaannya pula sebagai pemborong ikan. Namun, pihak BN telah membuat rating rendah dengan mengecap calon PAS seorang yang tidak berpendidikan dan bekerja sekadar peraih ikan atau penjual ikan. Rating calon PAS itu tidak disenangi oleh pimpinan PAS, malah pihak peniaga ikan atau pemborong ikan yang serupa Abe Uji telah menunjukkan protes. Sebagaimana pada 10 Julai (Jumaat), pihak pemborong ikan dan Persatuan Pekerja Islam Kelantan telah berpakat turun ke Laloh, menyatakan sokongan kepada Abe Uji. Ini suatu gerakan sosial yang lebih kurang sama dengan apa yang berlaku di PrK Kuala Terengganu dan Bukit Gantang, apabila pihak gerakan mansuhkan pengajaran bahasa Inggeris dalam mata pelajaran sains dan matematik turut naik sepentas berkempen dengan calon PAS.
Namun, sedikit gambaran hawa hangat itu belum dapat dipastikan bahawa calon BN akan tenggelam dalam perhatian pengundi Manek Urai. Perhatian kepada kekuatan calon BN bukan sahaja terletak kepada umur dan jawatan partinya bertaraf 'muda,' tetapi binaan kempen BN yang disokong oleh peruntukan 'menteri' dan 'kerajaan'. Ia akan memiliki jaringan rapat dengan pengundi dan pengundi pastinya dilayan secara mesra. Tetapi kekuatan itu boleh dipakai sama oleh PAS, kerana PAS turut memiliki kerajaan negeri dan pimpinan ahli exco. Atas nama kerajaan negeri, agensi kerajaan negeri ada kesempatan sama seperti agensi kerajaan pusat untuk tampil bersama pimpinan dan calon menemui pengundi. Maka, kedua-dua nilai kekuatan ini mungkin seimbang dan ia bukan faktor kritikal yang boleh menjadi penentu kemenangan. Namun, pihak BN mungkin mempunyai sedikit kelebihan kerana pihak jentera kerajaan pusat memiliki 'modal' agak besar berbanding kerajaan negeri Kelantan. Semua keadaan ini akan berupaya mengukuhkan sokongan pengundi teras masing-masing parti sahaja.
Sehubungan itu, faktor kritikal yang mungkin membezakan peluang dan akan menentukan kemenangan calon yang bertanding itu adalah dari segi usaha kempen yang boleh mengukuh sokongan pengundi atas pagar dan usaha membawa balik pengundi yang bekerja di luar Manek Urai pada saat akhir. Pengundi atas pagar adalah golongan pengundi yang memiliki sikap politik terdesak dan terikut-ikut. Terdesak bila diasak dan terikut bila dipengaruhi. Maka, kedua-dua pihak akan bertindak secara pragmatis dan menjalankan kempen untuk mendesak dan mempengaruhi pengundi atas pagar dengan apa cara sekalipun. Ini sesuai dengan realiti latar belakang pengundi Manek Urai yang dilihat terbahagi kepada tiga kelompok penting. Kelompok berparti dikatakan agak seimbang di antara yang menyokong PAS dan BN, tetapi yang membezakan darjah sokongan adalah kelompok pengundi atas pagar yang berjumlah kira-kira 11 peratus. Peratusan ini agak kritikal bagi PAS kerana pendekatan pengundi atas pagar adalah sentiasa berpihak kepada BN, kerana BN memiliki banyak senjata sulit.
Sementara kelompok pengundi berada di luar Manek Urai pula adalah membentuk kira-kira 15 peratus daripada jumlah pengundi. Sebahagian mereka pula adalah pengundi muda yang tinggal di Lembah Klang dan di negeri-negeri pantai barat. Mereka ini jika diambil pengalaman daripada pilihan raya lepas adalah berpihak kepada PAS. Mungkin atas bacaan sikap ini, BN akan rasai terselamat daripada faktor kritikal ini apabila pengundian berlaku pada hari bekerja dan rata-rata mereka yang berkerja payah untuk balik mengundi. Jika kepayahan balik ini tidak dapat diatasi oleh jentera kempen PAS, maka PAS akan kerugian undi golongan pengundi Manek Urai yang bekerja di luar.
Namun, BN juga menaruh harapan untuk memenangi hati pengundi berada di luar. Berdasarkan analisis keputusan pilihan raya umum lalu, BN sudah memiliki kekuatan 43 peratus sokongan dan PAS 57 peratus. Maka, upaya BN untuk menang ialah memerlukan lapan peratus sahaja ayunan undi yang ada. Sebanyak itu, mungkin BN boleh meraihnya daripada 11 peratus pengundi atas pagar dan 15 peratus daripada pengundi berada di luar. Ini bermakna undi yang terbuka di pentas saingan adalah berjumlah 26 peratus - daripada jumlah ini BN memerlukan 8 peratus undi yang terayun. Peluang ini tidak sulit, berpandukan pengamatan daripada pilihan raya umum 1999, BN ketika itu memiliki sokongan 41.2 peratus dan berjaya melonjakkan sokongan pada pilihan raya umum 2004 kepada 50.3 peratus; berjaya mencipta kemenangan tipis!
Kemenangan itu, meletakkan asas bahawa BN memiliki upaya melonjak undi sebanyak 9.1 peratus dan menang. Maka, atas sifat kesungguhan BN untuk menang sudah pasti sasaran daripada pengundi terayun 8 peratus bukan kepayahan!
Sudah pasti faktor kritikal ini akan menjadi ketandaan bagi PAS, mahupun BN di dalam memenuhi peluang mencapai kemenangan. Semuga Tuhan Yang Esa akan memberi kerberkatan atas segala daya usaha pemimpin dan penyokong yang ikhlas menyampaikan seruan dakwah Islamiyah, meskipun ketika berkempen pilihan raya kecil.