Muktamar PAS ke-55 di Shah Alam menyaksikan persimpangan sikap dan pendirian kepimpinan utama PAS di atas gagasan Unity Government (UG) yang telah ditarik balik oleh Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi.
Paling menonjol adalah persimpangan sikap dan pendirian Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz yang menyimpulkan gagasan UG adalah berbaik dengan UMNO dan PAS bersama-sama BN mengenderai kerajaan.
Simpulan Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz ini ada asasnya, iaitu berpandukan gambaran UG oleh Tuan Guru Hj Abdul Hadi yang mencetuskan UG adalah gagasan untuk mengajak kerajaan BN dapat menerima semua pemimpin pembangkang duduk dalam kerajaan berkongsi kedudukan di dalam kabinet dan memerintah bersekali tanpa ada lagi parti-parti berada di sebelah pembangkang, demi menyelesaikan kemelut negara semasa. Maka, gagasan UG menurut Tuan Guru Hj Abdul Hadi adalah sebuah kerajaan tanpa pembangkang.
Mungkin sikap dan pendirian Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz diperkukuhkan lagi dengan kenyataan ucapan dasar Presiden PAS dalam dua muktamar – pada Muktamar ke-54 di Ipoh dan Muktamar ke-55 di Shah Alam– diungkap secara terang bahawa PAS komited untuk “mengukuhkan Pakatan Rakyat dan akan terus mengadakan perjumpaan dengan pihak-pihak lain.”
Mengukuhkan Pakatan Rakyat adalah agenda pakatan pembangkang yang dikongsi bersama di antara PAS, DAP dan KeADILan. Sementara pendirian untuk terus mengadakan perjumpaan dengan pihak-pihak lain adalah agenda politik-dakwah PAS bagi meneruskan strategi menjalin hubungan (engagement) bagi meramaikan teman dalam mengarus perdanakan perjuangan politik membela rakyat. “Maka PAS menerima segala undangan daripada mana-mana parti politik dan juga NGO dari dalam dan luar negara,” demikian penegasan ucapan dasar Presiden PAS di Muktamar ke-54 di Ipoh tahun lalu.
Penegasan itu telah diungkapkan dalam nada yang berhati-hati, maka dalam muktamar yang sama dinyatakan, “PAS juga sekali-kali tidak akan bersama dengan mana-mana parti dan kerajaan yang sedang dilanda penyakit.” Justeru itu, sebagai memenuhi slogan “PAS untuk Semua” adalah natijahnya Islam untuk semua merupakan nilai perjuangan yang bersifat melebar kepada semua pihak. Ini selari pula dengan tema ucapan dasar Presiden PAS pada Muktamar ke-55 yang menjurus kepada sifat kepimpinan yang di bawa PAS, iaitu Islam memimpin perubahan. Ia bermakna modal kekuatan PAS adalah Islam dan tunggak mendepani ke arah mencipta perubahan adalah para pemimpin yang bersedia memenuhi tuntutan kepimpinan Islam. Sehubungan itu, acuan Islam yang mendasari perjuangan PAS seharusnya mempunyai kekuatan bagi melahirkan pemimpin Islam yang berupaya memimpin ummah kepada suatu kekuatan yang menguntungkan masa depan ummah.
Oleh itu, apabila merangkaikan semula kedudukan PAS di persada politik Malaysia hari ini, sudah tentu PAS mesti berupaya menjadi pemangkin ke arah merealisasikan perpaduan politik nasional. Di atas penilaian dan harapan ini, sewajarnya gagasan UG yang sedang dipersoalkan oleh banyak pihak dapat dijadikan kandungan penting bagi menganjakkan perubahan dan perpaduan politik nasional. Sehubungan itu, blog ini mencadangkan supaya UG dapat diuji terlebih dahulu di kalangan parti-parti politik rakan PAS dalam Pakatan Rakyat. Ini penting sebagai suatu langkah mengharmonikan keyakinan dan kepercayaan sesama pemimpin Pakatan Rakyat agar setiap pemimpin mempunyai sikap dan pendirian yang ‘satu’ ke arah mana untuk diolah gagasan UG, atau ditolak dan ketepikan terus dari ramuan perjuangan Pakatan Rakyat.
Oleh kerana itu, paparan UG sebagaimana kebisingan sekarang, maka, boleh dikatakan ia tidak lebih daripada hak persendirian daripada gagasan peribadi Tuan Guru Hj Abdul Hadi yang ditolak di kalangan pemimpin PAS, DAP dan KeADILan.
Sekiranya benar natijah UG adalah perpaduan dan tanpa pembangkang untuk menguruskan kepentingan ummah, maka sebaiknya natijah itu dapat digunakan pakai secara aman kalangan rakan Pakatan Rakyat. Mungkin gagasan UG mampu dijelmakan sebagai model perpaduan antara parti-parti PAS, DAP dan KeADILan terlebih dahulu, sebelum ia diserlahkan secara tertib kepada parti-parti Barisan Nasional.
Demikian pula, mungkin model kerajaan tanpa pembangkang perlu juga diwujudkan di dalam Pakatan Rakyat terlebih dahulu agar tidak berbangkit sesuatu program dan projek politik itu disepakati tanpa persetujuan secara syura.
Apabila model-model tersebut dapat dijelmakan kalangan keluarga Pakatan Rakyat, sudah pasti tiada lagi keraguan antara pemimpin kanan di dalam Pakatan Rakyat terhadap gagasan UG dan Tuan Guru Hj Abdul Hadi tidak dianggap seorang pragmatis politik yang mengambil jalan singkat untuk mencapai kuasa dari gengaman Barisan Nasional .
Persoalan kini, telah ada sikap dan pendirian sesetengah pemimpin dalam Pakatan Rakyat mahupun kalangan PAS sendiri yang sudah menolak gagasan UG itu. Maka gagasan UG ditafsirkan sebagai tindakan peribadi Tuan Guru Hj Abdul Hadi yang ingin membina jambatan untuk membawa PAS berbaik dengan UMNO atau menyertai Barisan Nasional. Atas pentafsiran tersebut, terungkap kenyataan keras Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz ketika berceramah dalam edah Muktamar ke-55 di Shah Alam yang lalu. Antara lain Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz mendakwa UMNO 'samseng politik', diibarat sebagai telur-telur yang ditinggalkan oleh penjajah Inggeris. Seterusnya, Sinar Harian dipetik melaporkan penegasan Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz yang menyifatkan penubuhan kerajaan perpaduan itu sebagai ‘mengarut’ dan merugikan PAS dan kalau nak berunding dengan UMNO, tak usah. Sikap dan pendirian yang bernada kesamaran selanjutnya turut dinyatakan oleh pemimpin DAP. Misalnya, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng meminta Tuan Guru Hj Abdul Hadi memberi penjelasan kepada rakan dalam Pakatan Rakyat. Menurut Lim Guan Eng sebagaimana dilapor oleh Bernama, "PAS kena beri penjelasan berhubung perkara itu dan setahu saya ia tidak pernah dipersetujui, malah PAS tidak pernah membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi yang lepas.
Namun, sebelum itu Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa semasa membuat kenyataan akhbar di Muktamar ke-55 telah memberi jaminan bahawa Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abdul Hadi bersetuju untuk memberi penjelasan mengenai konsep kerajaan perpaduan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) daripada DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Menurutnya lagi, PAS tidak akan menyertai UMNO atau Barisan Nasional (BN). Sebaliknya, beliau menyatakan perbincangan antara PAS dan UMNO bukanlah ke arah perkongsian kuasa tetapi lebih kepada kesejahteraan rakyat dan Negara.
Walau apapun, sikap dan pendirian masing-masing pemimpin, realiti yang berlaku sudah menimbulkan keraguan bagi sesetengah pihak terhadap PAS, khususnya terhadap Presiden PAS. Justeru itu, Presiden PAS perlu bersikap terbuka dan bersedia membentangkan gagasan UG tersebut ke persada politik Pakatan Rakyat terlebih dahulu. Mudah-mudahan UG adalah suatu pencarian realiti ‘perpaduan’ anugerah Tuhan Yang Esa bakal diketemukan dalam membuktikan perpaduan politik nasional boleh berlaku di Malaysia.