Dasar Ekonomi Baru (DEB) tamat tahun 1990 dengan penuh kehibaan. Dua strategi yang dipasang iaitu membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat gagal dicapai. Sasaran membasmi kemiskinan adalah keutamaan kepada Bumiputera dan menyusun masyarakat pula dikaitkan dengan usaha perpaduan nasional. Kegagalan yang menjadi sejarah itu berlaku era Tun Dr. Mahathir selaku perdana menteri tatkala impian pemilikan kekayaan negara pada paras 30 peratus. Natijahnya setakat 18 peratus sahaja.
Mengkosmetikkan kegagalan itu agar tidak dilihat gagal, Dr. Mahathir telah memperkenalkan pula Dasar Pembangunan Nasional (DPN) sebagai Rangka Rancangan Jangka Panjang ke-2 (1991-2000) Malaysia. Objektifnya adalah ke arah memperkasa pembangunan ekonomi negara melalui usaha memperkukuhkan perpaduan ke arah kestabilan sosial dan politik sebagai syarat mencapai negara maju tahun 2020. Kini negara dalam era separuh masa kedua pelaksanaan DPN. Dalam tempoh ini DPN telah melalui tiga perdana menteri yang impiannya cukup berbeza. Tinggal lagi, rata-rata suara bergema, prestasi ekonomi negera semakin teruk, malah orang Melayu dan kaum Bumiputera amnya semakin memerlukan ‘tongkat’ angkara retorik pembangunan yang melayukan bangsa. Tidak kurang pula, nilai perpaduan semakin haru-biru. Sehingga masing-masing kaum menjadikan ruang perjuangan politik sebagai jurubicara sentimen kepuakan melampau.
Dr. Mahathir inconsistent
Terbaru isu pemimpin MCA mempertikaikan amalan Islam segelintir orang Melayu dan integriti ajaran agama rasmi negara sebagai modal politik. Kenyataan itu dilihat senada dengan apa yang disebut oleh seorang pemimpin veteran Singapura yang menyentuh darjah amalan agama kalangan Melayu Singapura. Namun agak pelik, era pelaksanaan DPN ini cara pemimpin MCA itu tidak dikomen oleh Dr. Mahathir tetapi suara pemimpin Singapura itu pula dibuli oleh bekas perdana menteri itu. Di atas fakta ini Dr. Mahathir dilihat masih berdilema dengan semangat Islam (bukan semangat Melayu kerana Dr. Mahathir bukannya Melayu) dalam dirinya akibat kejengkelan impian tulisannya sendiri ”The Malay Dilemma” yang digamkan oleh Arwah Tunku Abdul Rahman tahun 1960-an.
Paling tidak logik, Dr. Mahathir mempamerkan dilemanya dengan nilai inconsistent kerana turut memfitnah menteri besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz atas komentar pemimpin Singapura tersebut. Sehingga media turut memutarkan fahaman Islam yang negatif ke atas menteri besar Kelantan kerana mendakwa membela pandangan pemimpin Singapura. Itulah rupa dilema Dr. Mahathir tatkala membicara soal Islam. Maka dilema Dr. Mahathir sedemikianlah telah membuahkan lontaran ‘munafik’ kerana sanggup berfatwa bahawasanya “Kanun Jenayah Syariah II Negeri Kelantan 1993 sebagai hudud PAS bukannya perundangan Islam.” Sedangkan ia digubal oleh mereka yang pakar dalam perundangan Islam.
Melayu jadi pertaruhan
Sahlah Dr. Mahathir seorang yang angkuh dengan fikirannya sendiri, akibatnya Melayu dan Bumiputera sering menjadi pertaruhan untuk meraih kuasa politik Umno. Keangkuhan sampai sekarang sedang terjelma dalam gaya kepimpinan perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib. Justeru Umno yang kalah lebih daripada 30 kerusi parlimen dalam pilihan raya umum 2008 masih tidak serik mempertaruhkan semangat dan retorik Melayu bagi memperagakan nilai perjuangannya.
Pelbagai pendekatan telah diambil untuk tujuan tersebut. Ia diserasikan dengan strategi kerajaan BN berkonsepkan Satu Malaysia yang kekal dengan perjuangan politik perkauman. Di atas fakta ini, munasabahnya dikatakan konsep Satu Malaysia adalah retorik yang bakal mengukuhkan lagi dilema Melayu dan mungkin mendilemakan lagi pemimpin Umno seumpama Dr. Mahathir. Terutama apabila Umno terhimpit dengan agenda Melayu dan Bumiputera yang terus bertongkat dalam meraih peluang ekonomi, maka kerajaan BN di bawah Mohd Mohd Najib mewujudkan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) yang menjadi makmal penting menjayakan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera (MTAB). Sebelum ini, Mohd Najib melancarkan Model Ekonomi Baru (MEB).
Bukti ekonomi tenat
Apakah TERAJU akan pelaju Bumiputera? Mohd Najib ketika mengumumkan MEB yang sememangnya dinanti-nantikan ke arah mengubah ekonomi menjadi ekonomi berpendapatan tinggi yang mampan dan inklusif. Di samping itu MEB bakal menempatkan negara pada landasan betul untuk mencapai status negara maju menjelang 2020. Sekilas fahaman, MEB merupakan pendekatan penggenap kepada DPN, tetapi belum lagi MEB mencapai hasil, tiba-tiba dilancar pula Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU). Apakah MTAB yang dilancarkan sebelum ini belum mempunyai machinery yang berkesan melaksanakan agenda Bumiputera di dalam MEB? Atau MEB memang untuk mensasarkan kepada Satu Malaysia, tanpa mengira siapakah keumpulan sasar asalkan Satu Malaysia?
Kalau corak ekonomi Satu Malaysia yang sebenar sudah tentu tidak menggambarkan suku-sakat kaum atau puak. Bumiputera adalah satu puak yang biasa dirujuk kepada orang Melayu, semua suku kaum di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli di Semenanjung. Mungkin boleh dimasukkan di dalam senarai Bumiputera ialah kaum minoriti seperti orang Siam yang telah tinggal di Malaysia, terutama di negeri seperti Perlis, Kedah dan Kelantan.
Namun persoalan di sebalik TERAJU ialah nilai keadilan agihan program. Kalau selama ini, Kelantan sering di kesampingkan atau dianaktirikan sedangkan Kelantan adalah 96 peratus pendudukanya Bumiputera. Ataukah pihak kerjaaan BN memandang Kelantan sebagai negeri untuk orang PAS bukannya Bumiputera. Jika Kelantan adalah negeri bagi Bumiputera, masakan pula royalti petroleum tidak diberikan kepada kerajaan negeri Kelantan?
Apa yang jelas, TERAJU adalah hak inklusif orang Melayu untuk menikmati peluang ekonomi yang lebih luas. Maka, teringat semula kepada nasib Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang sudah tampat tempohnya tahun 1990. Semasa itu janji kerajaan BN untuk mencapai 30 peratus ekuiti Bumputera. Hakikat yang dicapai hanyalah 18 peratus. Maka ganti DEB ialah DPN yang di dalamnya diulangi objektif bebal Bumiputera, iaitu mengimpikan lahirnya satu ketika nanti masyarakat perdagangan Bumiuputera! Sehingga kini, ramai Bumiputera mempunyai budaya tongkat, kerana bergerak atas subsidi dan mengalibabakan projek disebabkan tidak cukup modal, kurang peralatan dan atau sikap ingin meraih sedikit untung tanpa berpenat lelah. Hanya minoriti daripada komuniti perdagangan Bumiputera yang benar-benar terlepas daripada budaya tongkat ini.
TERAJU tidak relevan
Kini iklim ekonomi negara dalam ketenatan. Harga barangan pembinaan sudah melambung 100 peratus. Persoalannya, sejauh mana relevannya TERAJU untuk membimbing Bumiputera maju dalam keadaan ekonomi yang tenat. Di manakah upayanya TERAJU untuk melahirkan profesional usahawan Bumiputera dalam keadaan bidang keusahawanan belum mendapat kejayaan yang merata akibat terlalu lama berlegar di kalangan kroni Umno.
Kandungan program transformasi perdana menteri, misalnya sudah nampak tidak menyengat kerana bercanggah dengan hak-hak tertentu untuk semua kaum, termasuk peluang menikmati kemajuan ekonomi tajaan kerajaan BN. Pastinya orang Cina dan India malah suku kaum lain akan terasa terkilan kerana tidak ada program khusus seumpama TERAJU untuk membimbing generasi baru Cina dan India mahu pun Siam untuk maju bersama dalam ekonomi yang tenat ini.
Slogan Satu Malaysia sudah didahulukan, tetapi Bumiputera masih bertongkat dan jauh sama sekali rakyat didahulukan? Di sinilah cabaran besar kepada TERAJU. Apakah TERAJU boleh berperanan sebagai peneraju Bumiputera dalam bidang ekonomi?
Berpandukan realiti lebih 50 tahun Umno ditampuk kuasa, taraf ekonomi Melayu dan Bumiputera tidak dapat tidak adalah masih kukuh bergantung kepada bukan Melayu, terutamanya pedagang atau tycoon Cina yang menjadi kroninya kepada pemimpin Umno. Justeru apabila membawa misi Bumiputera dalam persaingan ekonomi kapitalis, sudah pasti TERAJU bakal dilihat sebagai pemudah cara yang ‘lemah’ dan tetap bergantung kepada tycoon tersebut demi hidup.
Melainkan TERAJU dapat mengubah hala tuju Bumiputera kepada konsep ummah yang mampu berkonsolidasi dengan tycoon tersebut mengikut standard amalan perdagangan global. Maksudnya membuang nilai psikologi jumud perekonomian dengan tidak melihat kepada terma Bumiputera, tetapi melihat kepada profesional yang boleh berada di pentas ekonomi yang sama dengan tycoon tersebut. Ini kerana di luar sana sudah ramai usahawan Bumiputera yang merdeka tanpa terikat dengan terma Bumiputera. Sehubungan itu, terma ekonomi ummah sepatutnya diteliti ke arah memastikan amalan ekonomi yang bertaraf dunia dan sedia meninggalkan amalan ekonomi jumud terma Bumiputera. Sepatutnya rasional ini, dipakai oleh Dr. Mahathir bukannya terus membebalkan orang Melayu dengan retorik dilema dirinya yang tidak berkesudahan.Hanya Tuhan yang Esa Maha Mengetahui atas setiap kejadian yang zahir dan batin.