Kajian
yang dibuat dan dibentangkan oleh University of Malaya Centre for Democracy and
Elections (UMCEDEL) sebagaimana dipaparkan dalam media (26 September 2012) mengenai
‘pola pengundi menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) menunjukkan hakikat
berlaku peningkatan sokongan dan keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat. Bacaan
sebaliknya, sudah tentu bermaksud kemerosotan sokongan rakyat kepada Barisan
Nasional (BN).
Laporan kajian terbaru pusat kelolaan Profesor Dato' Dr.
Mohammad Redzuan Othman bersama anakbuahnya itu boleh dilayari melalui laman sesawang (http://umcedel.um.edu.my)
wajar dianggap sebagai usaha gigih menyumbang untuk kematangan politik
Malaysia. Ia suatu sumbangan besar yang menyambung kejayaan UMCEDEL menerbitkan
jurnal sulung “Demokrasi dan Pilihan Raya” pada bulan lepas.
UMCEDEL boleh dipercayai
Tanpa
apa-apa prasangka, sebenarnya kajian UMCEDEL ini memiliki kebolehpercayaan
tinggi berdasarkan pengalaman kajiannya yang lalu. Ia merupakan lanjutan kajian yang dibuat sebelum
ini berhubung ‘kecenderungan politik’ menjelang PRU13. Begitu pula, kajian lalu pusat ini turut
mendedahkan penemuan agak signifiken
berhubung ‘kesan persepsi masyarakat terhadap Islam Hadhari’ menjelang
pilihan raya umum ke-12. Kajian tentang kesan Islam Hadhari itu telah
menampakkan realiti ‘penolakan kepimpinan BN’ adalah benar, apabila kerajaan BN pimpinan Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi mendapat sokongan kurang dua pertiga di parlimen.
Kembali kepada kajian terbaru UMCEDEL
mengenai ‘pola pengundian menjelang PRU-13’ adalah suatu penemuan perbandingan
antara dua tempoh kajian, iaitu pertama pada 31 Mac–15 April 2012 (2,282 responden) dan keduanya 1– 16 September 2012 (1,526 responden).
Paling hangat dari hasil kajian itu ialah
mengenai keberkesanan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul
Razak yang menyentuh isu ‘populariti kepimpinan’. Menurut kajian itu, bagi tempoh
pertama populariti Mohd Najib berada pada tahap 61 peratus dan tempoh kedua
jatuh kepada 58 peratus. Dalam menilai populariti itu, pihak responden dihadapkan
dengan nilai-nilai kepimpinan Mohd Najib – sejauh mana diterima sebagai mesra
rakyat, berwibawa dalam pentadbiran, mengurus ekonomi dengan cekap,
keperibadian yang dihormati dan dikenali di peringkat antarabangsa. Hasilnya responden menarafkan populariti
Mohd Najib merudum tiga peratus dalam tempoh enam bulan (April-September).
Kajian
sama oleh MC
Justeru kebolehpercayaaan kajian ini amat
munasabah apabila dibuat bandingan dengan penemuan kajian Merdeka Centre (MC) sebelumnya.
Kajian MC (melibatkan tempoh Februari-Jun 2012) juga menunjukkan populariti
(baca performance) Mohd Najib sebanyak lima peratus dari 69 ke 64 peratus. Lihat
Rajah 1 berikut (sumber Merdeka Centre):
Apa pun kajian MC itu dikatakan belum mengambil kira secara
langsung isu Projek RM250 juta membabitkan ternak lembu National Feedlot Centre
(NFC) untuk keluarga Ketua Wanita Umno. Sedangkan kajian terbaru UMCEDEL telah
menyentuh nilai NFC kepada responden. Maka isu NFC itu telah mengurangkan tiga
peratus undi BN. Mungkin benar, lantaran NFC adalah manifestasi kepimpinan Mohd
Najib yang masih sama – kurang integriti – seperti juga kepimpinan Abdullah –
mengutamakan kroni – mengundang kurangnya penghormatan rakyat terhadap
keperibadian Mohd Najib. Rajah 2 berikut (sumber UMCEDEL) menunjukkan tahap
setuju responden bahawa NFC akan menjejaskan prestasi BN dalam PRU13.
Perlu
tindakan serius
Apa pun nilai kajian terbaru UMCEDEL
harus diberi perhatian oleh Pakatan Rakyat, terutama di dalam memperkemaskan
program bagi mencapai misi ke Putrajaya. Ia sesuatu yang serius untuk diambil
tanggungjawab oleh kepimpinan Pakatan Rakyat, terutama di dalam dua pendekatan,
iaitu mengurus isu-isu sedia ada dan mencipta beberapa pecutan isu baru.
Dua pendekatan ini sudah tentu melibatkan
juga tahap keseriusan di dalam mengurus isu-isu di negeri yang dikuasai Pakatan
Rakyat (Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah). Justeru kajian UMCEDEL
turut menyentuh pola pengundian yang akan berlaku dalam PRU13 di Selangor,
Kedah dan Kelantan dalam hubungannya dengan isu ‘khidmat balas’ kerajaan Negeri
kepada rakyat bagi menjawab atau mengimbangi kesan khidmat kerajaan Pusat yang
dianggap memberi kepuasan tinggi kalangan rakyat.
Antara isu yang harus dilakukan ‘khidmat balas’
ialah pemberian bantuan BR1M sebanyak RM500 kepada mereka yang berpendapatan
kurang RM3,000 sebulan, perkhidmatan kedai 1Malaysia dengan harga patut,
pwerkhidmatan klinik 1Malaysia untuk golongan berpendapatan rendah dan
pendekatan turun padang mendekati masyarakat bukan Melayu.
Terbarunya pula keputusan pilihan raya
kampus yang menggambarkan persepsi ‘establishment’ kalangan mahasiswa semakin
baik kepada BN tatkala pindaan AUKU membenarkan mahasiswa berpolitik dan
pemberi Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KDS1M)
yang menjadi isu kempen utama kumpulan pro-Aspirasi (baca menyokong pendekatan
politik BN) untuk menempis hujah kumpulan pro-Mahasiswa (baca menyokong
kebebasan berpolitik).
Jika kesemua isu (bikinan kerajaan BN) ini
diukur dengan nilai keutamaan isu yang sedang dihadapi rakyat, maka penemuan kajian
MC pada 22-29 Jun 2012 mendapati keutamaannya adalah berkaitan dengan ‘economic
concerns’ (39 peratus), diikuti dengan
‘crime and social problems’ (12 peratus) dan ‘political issues’ (8 peratus). Rajah 3
berikut (sumber Merdeka Centre) adalah menjelaskan pola isu-isu keutamaan di
sisi rakyat.
Atas nilai keutamaan tersebut, maka di
sisi Pakatan Rakyat amatlah sesuai dengan musim pilihan raya menjelang tiba,
sewajarnya bertindak serius bagi melaksanakan ‘khidmat balas’ dalam semua aspek
keperluan (needs), pengharapan (expectations) dan minat (interests) rakyat, iaitu soal ekonomi
(perut), permasalahan sosial (keselamatan dan kesejahteraan) dan politik
(jaminan masa depan) harus diambil langkah serius oleh Pakatan Rakyat. Justeru
bagi merealisasikan nilai keutamaan ini, kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat
harus melaksanakan programnya dengan terbaik.
Kajian UMCEDEL mengenai Kelantan
Dalam konteks negeri Kelantan misalnya,
ada isu-isu yang secara langsung perlu diurus secara serius bagi memenuhi
nilai-nilai keutamaan tersebut. Mungkin penemuan UMCEDEL tentang peluang parti
mana (antara Pakatan dengan BN) di Kelantan pada PRU13 boleh diteliti secara
fakta.
Berdasarkan peningkatan (27 kepada 32
peratus) untuk BN 5 peratus dan penurunan (44 kepada 41 peratus) untuk Pakatan
Rakyat dalam tempoh Mac-April dan 1-16 September 2012 adalah mengandungi nilai
fakta semasa dan masa depan (Rajah 4). Ini ada kaitannya dengan mutu perkhidmatan dalam
aspek ekonomi, kesejahteraan dan masa depan rakyat selepas 22 tahun di bawah
pentadbiran kerajaan PAS.
Relevan juga untuk dilihat ialah
persoalan kalangan rakyat Kelantan yang tidak prihatin dengan perkembangan politik
semasa, didapati agak tinggi (mereka yang menjawab tidak pasti), iaitu antara
29 dan 27 peratus. Ini membukti masih ramai yang tidak merasai apa-apa atas
khidmat kerajaan Negeri sekarang.
Hal ini diparahkan lagi dengan
provokasi dan manipulasi pihak media yang memburukkan khidmat bekalan air,
pembangunan tanah dan kadar pelaburan serta nilai-nilai integriti kepimpinan
oleh kerajaan Negeri Kelantan yang begitu rancak masa kini. Pendekatan yang
sama juga dibuat oleh media kempen BN dan Umno untuk memburukkan prestasi baik
khidmat kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor (juga isu air, pelaburan dsb),
Kedah (isu KUIN dan perpecahan kepimpinan dsb) dan Pulau Pinang (isu orang
Melayu terancam, perpecahan kepimpinan dsb).
Sehubungan itu, bagi menjawab kesemua
persoalan di sebalik penemuan kajian UMCEDEL mahu pun MC adalah wajar mengambil
langkah serius untuk melaksanakan tindak balas bersrategik. Amat wajar
sakretariat Pakatan Rakyat bertindak lebih aktif bagi menyelaras dan
bekerjasama bagi memanfaatkan kesemua sumber yang ada serta kekuatan perpaduan
dalaman menghadapi setiap serangan saraf menerusi pelbagai media perdana dan
media baru. Masa masih ada, lebih-lebih lagi perkembangan isu pasca Bajet 2013
ia memerlukan tindak balas pantas yang lebih berkesan untuk mengubah persepsi
dan prestaasi khidmat kerajaan Negeri masa kini.
Oleh Wan Nik Wan Yussof, Pengarah
Pilihan PAS Negeri Kelantan