Akhbar Sinar Harian memetik kenyataan Setiausaha Agung PAS seperti mana berikut,
PAS sasar tanding lebih banyak kerusi
23 September 2017
KOTA BHARU - Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, parti itu berpeluang bertanding lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum ke-14 kerana kini tidak lagi terikat dengan mana-mana pihak atau pakatan kecuali Gagasan Sejahtera.
Beliau juga yakin peluang PAS kini lebih cerah di kawasan bandar berdasar penerimaan masyarakat terhadap parti itu yang semakin baik di lokaliti berkenaan.
"Pada pilihan raya umum akan datang kita mungkin akan bertanding di lebih 100 kerusi parlimen dengan sasaran minimum menang 40 kerusi Parlimen, " katanya kepada pemberita pada Sambutan Jubli Emas 50 tahun PAS Kawasan Kota Bharu di Medan ilmu di sini, malam tadi.
Takiyuddin turut membayangkan hasrat parti itu untuk bertanding di Parlimen Kuantan, Pahang, kerana melihat ada peluang di kawasan berkenaan memandangkan parti itu kini menguasai Dewan Undangan Negeri Beserah dan Tanjung Lumpur yang berada dalam Parlimen berkenaan. - Bernama.
Sementara itu dalam facebook Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz (Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat) telah menulis seperti mana berikut:
Jumlah Kerusi PRU14
5 Oktober 2017
Saya hampir pasti dan yakin bahawa dalam PRU ke14 nanti, PAS akan bertanding sehingga 100 kerusi Parlimen atau lebih. Begitu juga PAS akan bertanding di sebanyak mungkin kerusi DUN di seluruh negara.
Saya tidaklah terlibat di dalam urusan pilihanraya dan gerak kerjanya di peringkat pusat dan negeri. Portfolio saya ialah perihal dakwah Islamiyah di mana saya telah diberi amanah oleh parti sebagai pengerusi Lujnah Dakwah PAS Pusat (LDPP). Ini setelah saya tamat tugas sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat beberapa bulan yang lepas.
Maka keyakinan saya itu bukanlah berdasarkan atau merujuk kepada maklumat daripada sumber dalaman parti, tetapi ia berdasarkan dua isyarat yang nyata juga.
Pertama, presiden PAS sendiri telah memberi isyarat yang jelas di dalam beberapa kenyataannya bahawa PAS akan bertanding sebanyak mungkin kerusi. Ya, bukan semuanya, tetapi ia akan menjadi jumlah kerusi terbanyak yang ditandingi oleh PAS sepanjang sejarah pilihanraya di negara kita.
Kedua, lawatan dan pertemuan saya dengan ramai peminpin dan jentera PAS kawasan di seluruh negara memberi petunjuk jelas bahawa hampir semua PAS kawasan mengharapkan pimpinan parti mempertimbangkan dan memberi lampu hijau kepada mereka untuk bertanding samada di kedua-dua kerusi parlimen atau DUN.
Itu harapan mereka walaupun semua tahu bahawa keputusan adalah bergantung kepada ketetapan PAS Pusat. Wala' dan taat adalah kekuatan utama parti PAS. Selagi tiada arahan, selagi itulah mereka bebas merancang ke arah impian yang diidamkan.
Dalam suatu kenyataan yang lebih awal, Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki pula menyatakan dalam ceramahnya di Cherang, Kota Bharu, seperti mana berikut:
MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
23 MAC 2017
KOTA BAHRU - PAS mengatur strategi menawan Selangor dengan tidak menolak kemungkinan meletakkan calon di semua kawasan yang memiliki 40 peratus pengundi Melayu.
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki berkata, kajian parti itu mengambil kira senario politik semasa termasuk saingan tiga penjuru melibatkan PAS, BN dan Pakatan Harapan.
Beliau berkata, PAS Selangor juga hampir pasti menambah kerusi Dun dan Parlimen untuk ditandingi, termasuk meletakkan calon di kawasan yang ditandingi DAP dan MCA.
"Tidak dinafikan di Selangor tidak seperti negeri lingkaran (pengundi) Melayu, walaupun Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) menyindir kita, PAS ada strategi dengan menyasarkan untuk bertanding di kerusi yang berpotensi di mana pengundi Islam 40 peratus ke atas.
"Contohnya, Dun Sungai Pelek, Parlimen Sepang, disitu DAP lawan MCA, sebenarnya pengundi Melayu ramai, sekiranya parti itu terus tolak RUU 355, kita akan letak calon," katanya kepada pemberita selepas ceramah isu-isu semasa di Cherang, di sini, hari ini.
Menelusuri idea Sasaran 40 kerusi
Kepimpinan PAS di dalam kenyataan yang dikeluarkan semenjak 9 April 2017 dan selepas itu, antaranya pada 9 April, 2017, Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad menyatakan PAS akan bertanding 80 kerusi Parlimen di seluruh negara termasuk kerusi dimenangi DAP dan PKR di Wilayah Persekutuan.
Kemudian pada 27 April, 2017, Ustaz Nik Abduh turut berkata, PAS yakin memenangi 40 kerusi Parlimen dan menawan lima negeri.
Dalam nada nada yang berbeza pula, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hassan pada 14 Mei 2017 berkata PAS akan bertanding 100 kerusi Parlimen.
Asas bertanding
Menurut Ustaz Nasrudin, PAS berpotensi untuk menang walaupun berlakunya pertandingan tiga penjuru.Malah katanya pertandingan tiga penjuru itu tidak semestinya memberi kelebihan kepada BN.
Katanya lagi, “Tak semestinya apabila berlaku tiga penjuru, maka itu akan memberi kemenangan besar kepada Umno dan BN, dia berbeza dengan perkembangan politik pada PRU lepas,” katanya.
“PAS melihat peluang terhidang besar di hadapan untuk kita mencapai kemenangan banyak kerusi parlimen pada pilihanraya nanti,” katanya.
Kenyataan Ustaz Nasrudin itu disokong oleh Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Mohamad Nor Mohamad.
"Kita lihat sokongan terhadap PAS semakin meningkat terutamanya di kalangan orang Melayu Islam, di samping kita masih lagi mendapat sokongan pengundi bukan Islam," katanya.
Menurutnya lagi, PAS Wilayah Persekutuan membuat keputusan untuk bertanding sembilan kerusi Parlimen dalam PRU 14 yang akan datang.
“Keputusan ini dibuat berdasarkan kemampuan jentera dan kehendak pengundi yang mahukan dan mengharapkan PAS sebagai parti yang mampu memperjuangkan agenda rakyat dan masyarakat berbilang kaum dan agama,” kata Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan Mohamad Noor Mohamad.
Semoga sasaran PAS menjadi realiti apabila disokong oleh gerak kerja parti dan jentera pilihan rayanya yang mantap dan berkesan, terutamanya di peringkat akar umbi.