20 January, 2013

Kejayaan HKR112: Antara kecekapan polis dan komitmen penganjur

Syabas untuk sakretariat Himpunan Mega Kebangkitan Rakyat atas kejayaan penganjuran HKR112, terutamanya Tuan Haji Mohamad Sabu selaku pengerusi. Mungkin tidaklah terlewat untuk dinukilkan asas "bicara kejayaan" di sebalik HKR112 tersebut.



Sesungguhnya Himpunan Kebangkitan Rakyat pada 12 Januari (HKR112) di Stadium Negara lalu telah mencipta sejarah. Paling bersejarah, ia sudah ditarafkan sebagai "pengisytiharan Merdeka Kedua" oleh Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. 

Menurut Tuan Guru, HKR 112 itu adalah ulangan pengisytiharan "Merdeka" yang pertama oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957. Justeru di sebalik simbolik "Merdeka Kedua" sebenarnya adalah berpandukan semangat kebangkitan rakyat pada kali ini - saat pilihan raya umum ke-13 (PRU13) yang menyaksikan perkongsian hasrat semuaa lapisan rakyat untuk melakukan perubahan kuasa politik demi mengisi ruang kemerdekaan yang sudah melepasi usia 55 tahun ini. 

Sehubungan itu, HKR112 itu telah dianggap petunjuk jelas rakyat bangkit untuk menolak Barisan Nasional pada PRU13 nanti. Meskipun pihak pemimpin Barisan Nasional, termasuk Datuk Seri Mohd Najib cuba mencari mileage dengan menganggap ia suatu testimoni betapa Akta Perhimpunan Aman yang mereka gubal sudah berjaya. 

Sementara pihak pemimpin Pakatan Rakyat, termasuk Tuan Haji Mohamad Sabu  sedia berterima kasih kepada pihak polis kerana memberi kerjasama baik menurut lunas undang-undang dan standard operating procedures (SOP) pengawalan perhimpunan.

Walau pun begitu, sehari sebelum HKR112 pihak menteri yang bertanggungjawab cuba bermain-main di atas penganjuran itu. Kononnya pihak penganjur sepatutnya mengadakan himpunan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang lebih besar. Kesannya, berlaku kekeliruan sehingga ada peserta yang tertanya-tanya, jadikah HKR112 di Stadium Merdeka?

Apa pun cakap menteri itu sudah tidak dilayan pihak penganjur. Penganjur secara tegas terus berunding dengan Ketua Polis Negara bagi mendapat kebenaran. Selepas itu berunding pula dengan Ketua Polis Dang Wangi bagi memastikan kebanjiran peserta berlaku di tujuh pusat pertemuan sebelum menuju ke stadium. Hasilnya amat positif, malah polis mengingatkan agar penganjur dapat memastikan 27 peraturan yang perlu dipatuhi. 

Polis pula turut memberi jaminan, tidak akan menempatkan tenaga polis simpanan khas (FRU) sepanjang HKL112. Atas jaminan ini, ia sudah memberi nilai kelegaan yang besar kepada penganjur dan peserta. Ini kerana sebelum ini, kehadiran FRU yang bertopi merah lengkap dengan belantan dan perisai sudah cukup memberi tekanan yang menggugat kelancaran perhimpunan.

Malah sebelum ini, semasa perhimpunan anjuran Bersih yang lepas, FRU dan polis trafik telah ditempatkan agak ramai, sehingga mengundang provokasi pihak-pihak tidak bertanggungjawab. Semacam peranan pasukan polis ketika itu adalah untuk menyekat peserta di sana-sini. Ia membawa kekecohan kerana ribuan peserta adalah diibaratkan aliran air yang tersekat, sudah tentu ia akan menerjah setiap lubang yang terbuka. Justeru kekecohan semasa perhimpunan Bersih 3.0 yang lalu, boleh dikatakan kerana peranan polis yang bertindak menyekat bukannya mengawal.

Natijahnya sebelum ini, tugas polis dipandu oleh Akta Polis. Akta itu dikatakan memberi kuasa untuk polis bertindak semborono. Hakikatnya betulkah begitu? Apa yang pasti pengakuan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memang berlaku campurtangan pihak atasan dalam urusan kepolisan. Ia membuktikan, bukanlah kerana akta yang menjamin keamanan. Sebaliknya pendekatan kepolisan, sama ada sedia mengikut telunjuk pihak atasan di luar sana (yang anti kepada perhimpunan aman anjuran oposisi), atau sejauh mana keazaman polis sendiri dalam menjalankan tugas. Sekiranya polis bertugas mengikut SOP pihak di luar sana, sudah tentu kesannya akan mengundang ketidakamanan. 

Akta menjamin kecekapan?

Berdasarkan pelaksanaan APA yang testimoninya semasa HKR112, ternyata polis tegas dengan tugas dan integriti kepolisan. Walau pun ada cubaan ‘mengajar’ polis supaya tidak membenarkan di Stadium Merdeka. Dalam hal ini, ketegasan polis membuat keputusan adalah antara jaminan kepada sesuatu perhimpunan itu berjalan secara aman. Ia tidaklah sangat bergantung kepada fakta-fakta ‘boleh dan tidak boleh’ yang terkandung di dalam APA tersebut.

Demikian pula, kelancaran HKL112 dilihat kerana tiada rusuhan dan kemusnahan harta awam serta tiada tangkapan terhadap pihak penganjur. Ia boleh disabitkan sebagai bukti polis cekap mengawal peserta yang mula berkumpul sejak jam 10 pagi. Malah polis turut dilihat memberi kerjasama baik membantu pergerakan dan laluan peserta yang keluar masuk stadium di sepanjang himpunan selama tiga jam itu. Malah ada juga anak-anak muda yang menyertai HKR112 sedia ‘berposing’ dengan anggota polis yang rata-rata anggota polis muda (seperti baru tamat PULAPOL).

Justeru, nilai kecekapan polis tetap terserlah. Persoalannya, tatkala himpunan aman Bersih 3.0 tahun lalu, berlaku kekecohan sehingga ada tangkapan dan dakwaan ke mahkamah (terhadap pemimpin PAS, KeADILan, DAP dan NGOs), adakah polis ketika itu tidak cekap?

Natijahnya polis Malaysia adalah sentiasa cekap sejak dulu dan kini. Faktor kecekapan polis bukanlah terletak pada ‘kuasa’ sesuatu akta yang memandu polis. Kecekapan itu berkait rapat dengan pihak berkuasa yang bertanggungjawab. Isu kekecohan dalam tugas kepolisan sudah masyhur diketahui. Sehubungan itu, pernah institusi polis dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa. Justeru ada pegawai kanan polis yang membongkarkan segala-gala karenah negatif dalam kepolisan sepanjang pengalamannya berkhidmat. Malah ada pula yang dihadapkan ke mahkamah kerana salah guna kuasa ketika berkhidmat. 

Apa pun polis adalah sebahagian anggota perkhidmatan awam yang bertanggungjawab menjaga ketenteraman awam. Parti mana sekalipun berkuasa di sebalik institusi kepolisan, nilai kebebasan dan ketelusan adalah ukuran memastikan polis terus cekap dan betul. Testimoni berikut bakal menanti ialah kehangatan PRU13 adalah menjadi ujian besar pihak polis dalam menegakkan sistem demokrasi dalam negera. Harapnya polis terus bersama suara dan hasrat rakyat dalam membina kedaulatan negara.