30 September, 2017

PAS menuju 'kingmaker'

PAS sebagai sebuah parti yang meletakkan perjuangan Islam sebagai dasar. Ini bermakna sasaran keorganisasiannya adalah bagi menguruskan kepentingan umat Islam yang terdiri daripada kepelbagaian latar belakangnya. Paling utama, PAS seharusnya meletakkan keutamaannya ialah untuk menguruskan kepentingan umat Islam yang majoritinya adalah orang Melayu. Ia bermakna segala kepentingan hak-hak kehidupan dan kuasa politik umat Islam hendaklah dijadikan agenda perjuangan PAS agar selari dengan ajaran Islam dan Perlembagaan Negara.

Sehubungan itu, misi PAS menggapai kemenangan 40 kerusi parlimen dalam PRU ke-14 nanti adalah suatu 'kejaran' yang realistik. Ini berdasarkan jumlah bahagian parlimen dari segi komposisi kaumnya yang majoriti pengundi Melayu dan dimenangi antara PAS dan UMNO dalam PRU lalu ialah sebanyak 107 kerusi (UMNO 86; PAS 21). Maka PAS menyasarkan setakat 40 kerusi. Apa pun di dalam pilihan raya lalu, jumlah kerusi UMNO itu termasuk kawasan Melayu/Bumiputera di Sabah. Sementara bagi PAS pula, jumlah yang dimenanginya boleh dikatakan di semua kerusi yang majoriti Melayu melepasi 60 peratus ke atas, kecuali Parlimen Kota Raja 45.86 peratus Melayu. Maka sasaran PAS ialah kesemua kerusi yang ditandingi UMNO, khususnya di Semenanjung.

Berdasarkan PRU lepas, PAS bertanding 73 kerusi sahaja, di semua kerusi majoriti Melayu kecuali Kota Raja. Sedangkan beberapa kerusi majoriti Melayu sekitar 17 kerusi ditandingi oleh PKR. Antara kerusi majoriti Melayu ditandingi PKR dan pernah ditandingi oleh PAS dalam PRU sebelumnya ialah Ketereh, Machang dan Tanah Merah di Kelantan, Gombak dan Bandar Tun Razak di Selangor, Kuala Kedah di Kedah dan beberapa kerusi lagi di Pahang. Ini bermakna PAS boleh bertanding di kerusi-kerusi tersebut setelah PAS mengambil langkah tidak berkompromi dengan PKR. Maka sasaran PAS boleh bertanding melebihi 80 kerusi dan dengan sasaran menang 40 atau separuh daripada kerusi yang ditandinginya. Jumlah kerusi itu adalah kesemua kerusi yang ditandingi UMNO dan atau mungkin dengan PKR, jika berlaku tiga penjuru. Jika berlaku demikian, maka persaingan sebenar bagi PAS adalah untuk memenangi pertandingan di kerusi-kerusi tradisi antara PAS dengan UMNO. Kesemua kerusi tersebut adalah 14 parlimen di Kelantan, lapan di Terengganu, sekurang-kurangnya lima di Kedah dan lima di Selangor dan selebihnya lapan lagi boleh disasarkan sekurang-kurangnya dua atau satu kerus di Pahang, Perak, Johor, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Apapun, paling utama bagi PAS dengan masa berbaki lagi tak sampai lima bulan menjelang PRU ke-14 sasaran 40 kerusi itu adalah sesuatu yang munasabah. Cuma apa yang perlu ialah melaksanakan gerak kerja di peringkat akar umbi perlu dipertingkatkan, terutama bagi menguasai hati budi pengundi secara berstrategi agar pengundi merasai kelebihan PAS berbanding dengan UMNO atau parti-parti lain.

Semoga misi PAS menjejaki 40 kerusi beroleh kejayaan.