29 July, 2013

Mengundi hari bekerja punca Undi PAS merosot


Pilihan raya kecil Kuala Besut yang lalu telah membuktikan masih ada kelemahan pengurusan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).  Kelemahan itu adalah kerana menetapkan hari mengundi jatuh pada hari bekerja, 24 Julai. Meskipun begitu SPR masih berbangga kerana perjalanan pengundian agak lancar. Sementara pihak Barisan Nasional telah memuji SPR yang berjaya menguruskan proses pengundian sehingga memenangkan calonnya, Tengku Zaihan dengan majoriti meningkat.
 
Pilihan raya kecil Kuala Besut kali ini membabitkan 17,683 pemilih yang terdiri daripada 16,534 pemilih biasa (mengundi pada 24 Julai) dan 1,134 pengundi anggota tentera bersama pasangannya bersama-sama 15 anggota polis (menjadikan 1,149 pemilih ) yang mengundi awal pada 20 Julai. 

Menurut SPR, jumlah keluar mengundi pada pilihan raya kecil kali ini ialah sebanyak 14,108 daripada 17,683 atau 79.78 peratus (80 peratus). Apa pun yang keluar bagi pengundian awal adalah seramai 911 sahaja daripada 1,149 pemilih. Sementara jumlah pengundi yang tidak keluar mengundi ialah 3,575.
 
Sudah tentu jumlah pengundi yang tidak keluar mengundi itu agak ramai dan ia boleh dikaitkan dengan keputusan SPR yang menetapkan hari mengundi awal dan hari mengundi umum jatuh pada hari bekerja. Inilah punca kemerosotan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil Kuala Besut kali ini. 

Merosot tujuh peratus

Jika dibandingkan dengan pilihan raya umum 5 Mei lalu, seramai 15,381 atau 87 peratus daripada 17,679 yang keluar mengundi. Ini bermakna pilihan raya umum lalu menyaksikan jumlah keluar lebih tinggi berbanding pilihan raya kecil kali ini (seramai 14,108 atau 80 peratus). Ia telah merosot sebanyak 1,273 atau tujuh peratus. 

Menurut maklumat Bilik Operasi  PAS, kemerosotan itu adalah kerana sebilangan pengundi yang bekerja di luar Kuala Besut tidak dapat balik mengundi. Lokasi teramai pengundi bekerja di luar ini (baca pengundi luar) ialah di Lembah Klang, Kuantan dan Johor Bharu. Dilaporkan kira-kira 1,000 orang pengundi luar yang tidak balik itu adalah pengundi PAS. Maka logiknya jumlah undi yang diraih oleh PAS pada pilihan raya kecil telah merosot. Jika pengundi luar ini dapat balik adalah dijangkakan PAS akan memperolehi lebih daripada 6,500 undi. Suatu prestasi yang lebih baik. Jangkaan ini (undi PAS akan bertambah jika pengundi luar dapat balik mengundi) adalah dalam pengetahuan pakar strategis BN. Maka pihak SPR menetapkan hari bekerja sebagai hari mengundi telah memberi kelebihan kepada BN. Sekaligus menyebabkan pengundi luar PAS tidak dapat balik mengundi. Pihak BN semestinya bersetuju dengan SPR yang menetapkan hari mengundi pada hari bekerja.

Undi BN merosot

Premis mengundi hari bekerja telah menyebabkan undi PAS merosot adalah benar. Namun undi BN juga merosot. Apa pun undi PAS merosot agak besar berbanding BN. Ia menepati ramalan awal pihak PAS, apabila faktor pengundi luar tidak dapat diurus balik disebabkan hari bekerja.

Kesan mengundi hari bekerja itu dapat dilihat dalam Jadual 1 berikutnya. Ia menyaksikan kemerosotan undi bagi pilihan raya kecil dengan pilihan raya umum berlaku di kebanyakan daerah mengundi
 

Berdasarkan Jadual 1, PAS telah merosot sebanyak 679 undi dan BN juga turut merosot sebanyak 521 undi. Kesannya, jumlah majoriti BN telah meningkat sebanyak 158 undi. Keputusan itu mengesahkan bahawa kubu kuat BN ialah Pulau Perhentian, Seberang Barat, Seberang Barat Luar, dan  Kampung Nail serta Tok Saboh. Pihak BN juga disahkan meletak sandaran kepada pengundi tentera dan polis yang mengundi awal untuk mempertahankan kubu di Kampung Baru. Walaupun begitu BN turut berjaya di daerah mengundi Kampung Nangka dan Bukit Puteri yang dimenangi PAS pada pilihan raya umum lalu. Maka BN telah berjaya menguasai kesemua daerah mengundi.

Hal demikian terjadi kerana undi PAS turut merosot di semua daerah mengundi, kecuali di Pulau Perhentian undi PAS bertahan sebanyak 179 undi. Sementara BN juga turut merosot di enam daerah mengundi termasuk di pusat pengundian awal. Pihak BN hanya menambah undi di Pulau Perhentian sebanyak 6 undi dan di Kampung Nangka sebanyak 28 undi. 


Sementara itu, undi kumulatif PAS dan BN seperti ditunjukkan dalam Jadual 2 juga turut merosot (PAS merosot lebih besar berbanding BN––PAS merosot 679; BN merosot 521).
Agak logik pola kemerosotan itu adalah kerana sebahagian pengundi yang tidak keluar atau tidak balik mengundi. Ia turut berlaku kepada pengundian awal  kerana tidak keluar mengundi seramai 238 orang juga di atas alasan hari bekerja. Maka atas alasan hari bekerja, ada kalangan mereka tidak sedia mengorbankan pendapatan harian atau cuti menjelang Idil Fitri semata-mata untuk kembali mengundi.

Dalam hal ini, SPR bersikap tidak kisah (sama ada balik mengundi atau tidak). Apa yang pasti, PAS berada pada kedudukan terdesak berikutan hari mengundi jatuh pada hari bekerja. Sebaliknya ia cukup memberi keselesaan kepada BN yang telah mempunyai kekuatan undi (kemenangan) sebelum ini. Di atas asas ini, walaupun BN juga mengalami kemerosotan undi, tetapi ia tidak menjejaskan peluang kemenangan yang dimiliki. Justeru strategi kempen BN lebih bersifat mempertahan kubu seperti menyediakan hidangan berbuka puasa di setiap masjid selama 12 hari (selama tempoh kempen) dilihat relevan bagi mengelak penyokongnya hadir ke majlis kempen anjuran PAS.

Sehubungan keputusan pilihan raya kecil Kual Besut itu, ia memberi banyak pengalaman bagi memastikan pengaruh PAS dapat diperlebarkan menjelang pilihan raya umum ke-14. Apa jua penemuaan sepanjang kempen adalah sesuai dijadikan maklumat berguna untuk menyusun semula nilai-nilai kebangkitan PAS di Kuala Besut. Ia penting bagi membina kembali persepsi harmoni betapa PAS sebuah parti yang sentiasa memperjuangkan Islam.