13 March, 2014

Wan Azizah penerus Langkah Kajang?

Pengumuman Presiden KeAdilan, Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku calon pilihan raya kecil Kajang pada 11 Mac lalu mengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah menepati suasana kemelut ‘Langkah Kajang’ (Kajang Move). Ia berlaku berikutan Anwar dikira ‘hilang kelayakan’ setelah dijatuhi hukuman atas kes liwat II oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas. Kini Wan Azizah dilihat sebagai penerus agenda Langkah Kajang yang sebelum ini dipikul Anwar.


Sudah tentu senario politik itu amat menarik perhatian ramai pihak, terutama apabila dilihat Langkah Kajang itu sebagai tindakan come back––kembalinya Wan Azizah di pentas pilihan raya kecil. Ia suatu imbauan sejarah politik, tatkala sebelum ini Wan Azizah yang popular dengan panggilan ‘Kak Wan’ pernah mengosongkan kerusi parlimen Permatang Pauh pada 31 Julai 2008, kira-kira enam tahun dulu. Pengosongan itu bertujuan memberi laluan kepada Anwar tampil di parlimen selepas tamat tempoh ‘pantang lima tahun’ akibat dipenjarakan. Kini giliran Wan Azizah pula mengisi kekosongan yang dibuat Adun Kajang, Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu. Tujuan pengosongan, menurut Lee adalah untuk kepentingan bersama dan mengukuhkan kebolehan Pakatan Rakyat berkhidmat untuk rakyat Selangor. Justeru tugas Kak Wan adalah menjayakan misi ini.

Mengimbau senario tahun 1999, Anwar dipenjara atas tuduhan rasuah ketika Dr. Mahathir menduduki kerusi Perdana Menteri. Maka Anwar hilang hak bertanding, dan menyebabkan Wan Azizah bertanding di kerusi Permatang Pauh, kerusi yang sepatutnya Anwar bertanding. Selama dua penggal (1999-2004 dan 2004-2008) Wan Azizah mewakili kerusi itu. Sehingga pilihan raya umum 8 Mac 2008, Wan Azizah sekali lagi bertanding dan menang. Apa pun kemenangan itu tidaklah lama, terpaksa mengosongkan kerusi parlimen itu bagi memberi laluan untuk Anwar. Ia sesuatu yang wajar demi mengembalikan maruah politik Anwar yang kemudian dilantik sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen, dan Anwar memimpin perjalanan menuntut keadilan untuk mencapai Putrajaya pada pilihan raya umum 2013 lalu.

 Namun langkah dari Permatang Pauh ke Putrajaya belum tercapai. Lalu langkah itu cuba disambung menerusi agenda Langkah Kajang. Namun Langkah Kajang dikira terganggu ekoran pihak kerajaan Barisan membawa semula kes Liwat II ke Mahkamah Rayuan. Ternyata ia suatu gangguan, kerana pada 7 Mac lalu Anwar disabit dengan hukuman lima tahun penjara dan bayaran jaminan RM10 ribu. Kini mendorong pula untuk berdepan dengan proses Mahkamah Persekutuan yang belum pasti bila kesudahannya.

Apa yang pasti rancangan Langkah Kajang tidak lagi untuk Anwar. Proses pilihan raya kecil sedang berjalan, pengundian bakal berlaku pada 23 Mac. Begitu pun, di sananya berlonggok-longgok isu yang harus dikobarkan untuk rakyat menilai, agar kesinambungan dominasi kerusi Kajang pasti memenangkan Pakatan Rakyat.
Antara isu utama adalah isu-isu defensif pihak Barisan Nasional ekoran tekanan ekonomi dan sosial yang gagal diurus oleh kerajaan Barisan menyebabkan kos hidup meningkat ekoran kenaikan harga barang yang tidak terkawal, dan juga pemulihan imej MCA (paeti yang bertanding) selepas dipimpin oleh kepimpinan baru.

Namun isu paling penting adalah isu proses keadilan terhadap Anwar (kes liwat II) dilihat bergelumang dengan konspirasi politik, dan apa yang tersirat di sebalik agenda Langkah Kajang sendiri––rakyat  ingin tahu penyelesaian isu-isu pentadbiran negeri Selangor yang sebelum ini dimomokkan dengan persoalan ‘perbalahan’ sesama sendiri.

Maka kesempatan kempen pilihan raya kecil adalah perlu dimanfaatkan bagi menerangkan kemajuan penyelesaian, termasuk isu MoU air Selangor dengan Pusat, pertikaian dalam PKNS dan peranan untuk Wan Azizah sendiri dalam kerajaan Selangor jika menang nanti.


Meskipun di sebalik Langkah Kajang itu pelbagai isu bakal dibangkitkan untuk menarik pengundi, apa yang penting kini, seluruh tenaga Pakatan Rakyat dan waktunya harus ditumpukan bagi memenangkan Wan Azizah selaku Presiden KeAdilan. Kemenangan amat bermakna dalam memastikan segala-gala kebobrokan politik kerajaan Barisan hari ini harus ditolak oleh majoriti rakyat. Jadikan keputusan daripada  pilihan raya kecil Kajang ini sebagai tanda aras amaran rakyat, menerima atau menolak Langkah Kajang. Sekaligus ia menatijahkan pengiktirafan rakyat kepada Wan Azizah, penerus Langkah Kajang selaku ikon kepimpinan yang amat tabah dan begitu teruji dalam menghadapi segala macam cabaran perjuangan. Semoga pengundi Kajang sedia melangkah bersama-sama kepayahan rakyat dengan menolak Barisan Nasional pada 23 Mac nanti.