25 March, 2014

Kekal Kajang, Kak Wan Langkah Kanan Penerus Legasi

Despite the lower turnout and lower majority for PKR at the by-election, "Kajang move" was a success. - Dr Wan Azizah Wan Ismail.



Kekal Kajang adalah impian warga Pakatan Rakyat semenjak kosongnya kerusi Dun N.25 Kajang. Langkah Kajang penggerak mood pilihan raya kecil (PRK) sehingga tercetusnya keputusan penghakiman yang mengecewakan dan mengundang Dato’ Seri Wan Azizah  (baca: Kak Wan ) menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon. Meskipun nilai kesedihan dan rasa simpati tinggi petugas pilihan raya Pakatan Rakyat mengiringi sepanjang kempen, namun keyakinan Kekal Kajang melangkah maju tetap berupaya menyaingi segala-gala perang saraf pasukan kempen Barisan Nasional. Ia telah mengundang kemenangan selesa Kak Wan meskipun dengan jumlah keluar mengundi menurun dan nilai majoriti mengecil. Ia suatu kehebatan Langkah Kajang memartabatkan kuasa permuafakatan rakyat “Selangor Ku” di bawah Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Sekali gus menatijahkan Pakatan Rakyat kekal di Kajang dan mengabsahkan Kak Wan penerus Langkah Kajang yang dapat menghidupkan legasi Anwar.

Demografi politik

Dun  Kajang menyaksikan sebagai Dun dengan demografi politik pengunci ‘campuran’ dengan 39,278 pemilih berdaftar. Memiliki 16 pusat pengundian semasa PRK––satu pusat pengundian awal dan 15 pusat daerah mengundi biasa. Sebanyak 38,055 pemilih yang mengundi biasa pada 23 Mac dan 1,197 orang sebagai pengundi awal yang mengundi pada 19 Mac bersama-sama 26 orang pengundi pos. Sejumlah 17,569 (44.7%) adalah pengundi pada umur pertengahan (41-60 tahun) dan 14,899 (37.9%) adalah pengundi muda (21-40 tahun). Selebihnya adalah pengundi warga emas.

Mengikut komposisi kaumnya, 19,443 (49.5 %) Melayu, 16,004 (40.7 %) Cina dan 3,829 (9.7%) India serta 2 orang sahaja untuk lain kaum. Begitu pun, enam daripada 15 peti undi adalah konsentrasi pengundi Cina amat tinggi, iaitu Bandar Kajang (72.7%), Sungai Chua Satu (82.9%), Sungai Chua Dua (93.1%), Sungai Chua Tiga (96.9%), Sungai Chua Empat (97.5%) dan Sungai Chua Lima (94.6%). 

Menurut keputusan pilihan raya umum lalu, kesemua peti undi konsentrasi Cina ini adalah dimenangi Pakatan Rakyat dengan undi popular yang amat selesa. Misalnya, undi popular untuk Pakatan Rakyat masing-masing di Kajang 72.0 peratus, Sungai Chua Empat 73.6 peratus dan Sungai Chua Lima 83.4 peratus.

Menurun keluar mengundi

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi PRK Kajang mampu mencapai sehingga 80 peratus (31,172/38,965) berbanding 88 peratus (34,290/38,965) pada PRU lalu. Apa pun pada PRK kali ini, realiti keluar mengundi hanya 72 peratus (28,314/39,278), iaitu menurun sebanyak 16 peratus berbanding PRU lalu. Ini ada kaitannya dengan faktor sikap sebahagian pengundi yang menganggapkan sebarang keputusan PRK itu tidak akan membawa kesan kepada kuasa kerajaan Negeri, iaitu tetap kekal di bawah Pakatan Rakyat. Justeru agak besar penurunan itu dapat dilihat juga di peti undi majoriti Melayu seperti di Sungai Kantan dan Taman Delima seperti mana berikut:


Dikatakan juga punca penurunan undi setiap parti itu ada kaitannya dengan faktor calon dan kaum.  Pakatan Rakyat menamakan Wan Azizah telah berjaya menarik simpati pengundi Melayu, dan Barisan Nasional menamakan Chew Mei Fun pula atas sentimen kaum Cina demi mengekalkan kepentingan MCA di Dun Kajang. Sentimen kaum ini memungkinkan tidak dinafikan ada sebahagian penyokong Umno bertindak sebagai ‘pengundi palsu’ yang tak mengundi Mei Fun. Kesannya seperti mana berlaku di kedua-dua daerah mengundi ini, iaitu undi Barisan Nasional telah menurun, malah memberi majoriti kepada Pakatan Rakyat di Taman Delima. Hal ini dapat dilihat apabila meneliti jumlah undi diterima semasa PRU dibandingkan PRK; di Sungai Kantan undi diterima masing-masingnya 1,992 (PRU) dan 1,851 (PRK), dan di Taman Delima pula 1,395 (PRU) dan 1,257 (PRK). Sedangkan di kedua-dua daerah mengundi ini, pengundi Melayu agak besar––Sungai Kantan (90.3%) dan Taman Delima (75.7%). Jelas di sini sentimen pengundi Melayu berpihak kepada calon Pakatan Rakyat, kerana bertambahnya undi untuk Wan Azizah. Realiti ini hampir sama dengan penemuan survey Ilham Centre yang meneliti peluang Pakatan Rakyat dapat melebarkan pengaruhnya di kawasan pengundi Melayu, termasuk di Sungai Kantan.

Faktor sosioekonomi

Selain daripada dua faktor yang disebutkan (sikap terhadap kuasa dan nilai kaum), sebuah portal berita online ketika menjelang hari mengundi meramal Pakatan Rakyat mencapai kemenangan besar atas sebab kepercayaan kepada Pakatan Rakyat berdasarkan pelbagai sebab sosioekonomi dan politik semasa seperti kenaikan harga barang yang sangat menjejaskan kehidupan rakyat, harga rumah terlalu mahal dan amalan rasuah yang berleluasa serta gaya hidup pemimpin BN yang dilihat bermewah-mewah. Hal ini, menurut portal itu, ia dibantu lagi oleh kekuatan peribadi calon Pakatan Rakyat (Wan Azizah) yang memiliki sifat kewanitaan dan isteri yang tahan diuji. Malah diperkukuhkan lagi oleh tingginya simpati pengundi kepada Anwar, khasnya membabitkan peristiwa terbaharu penghakiman (keputusan Mahkamah Persekutuan pada 7 Mac lalu) yang agak tragis semacam zalim terhadapnya.
Apa pun sepanjang 12 hari perjalanan kempen, darjah sokongan dilihat meningkat meskipun suasana gerakan kempen yang sederhana ekoran negara berduka akibat kehilangan pesawat MAS MH 370. Justeru itu, apa yang didakwa oleh sesetengah penganalisis PRK Kajang adalah benar tatkala menilai sokongan kepada Pakatan Rakyat bertambah menurut unjuran; pengundi Melayu meningkat daripada 45 kepada 53 peratus, pengundi Cina di paras 65 peratus, manakala kaum India pula 55 peratus.
Provokasi negatif
Bagaimanapun darjah sokongan tersebut tidak menjamin jumlah keluar mengundi yang agak tinggi. Ini kerana ada beberapa pihak pengundi yang tidak selesa dengan perkembangan kempen provokatif sesetengah pihak, seperti mengaitkan kehilangan pesawat MAS MH 370 sebagai angkara Anwar dan Langkah Kajang sebagai medan menukar Menteri Besar Selangor.
Tidak kurang pula, provokasi negatif yang mencetuskan kesesakan lalu lintas di pusat mengundi seperti lakonan baldi tanpa air, menjaja kangkung dan mengayuh beralaskan karpet serta meneropong, kononnya ia suatu aksi sindiran dan ini dilihat memualkan yang turut menjejaskan mood golongan pengundi untuk keluar mengundi. Ini turut berlaku di Sungai Kantan dan beberapa pusat mengundi lain.
Apa pun, secara umumnya dapat diakui prestasi Pakatan Rakyat di Selangor pada tempoh PRK Kajang ini masih stabil dan tidak mudah digugat oleh Barisan Nasional. Justeru keputusan PRK Kajang kali ini jika dibandingkan dengan prestasi pada PRU lalu (rujuk jadual berikut), ternyata bagi kawasan pilihan raya ‘campuran’ ia tetap berpihak kepada Pakatan Rakyat.


Hal ini berlaku apabila Pakatan Rakyat dapat melonjakkan sokongan popular daripada 58 peratus (PRU) kepada 59.6 peratus (PRK). Meskipun secara bandingan, didapati menurunnya kadar keluar mengundi, namun peratusan undi kepada parti-parti tetap bertambah daripada PRU 2013 hingga PRK 2014.

Sehubungan itu, Barisan Nasional seharusnya merasa tergugat dalam mendepani cabaran PRU akan datang. Di samping riak SPR untuk persempadanan semula bahagian pilihan raya nanti, pastinya keputusan PRK Kajang boleh dijadikan petunjuk yang boleh menyusahkan teori gerrymandering agar berpihak kepada Barisan Nasional. Ia sesuatu yang unik dalam iklim politik Malaysia menjelang PRU ke-14 nanti.