14 May, 2015

Dua tahun, Ustaz Ahmad Penerus Kepimpinan Ulamak Negeri Kelantan

Oleh: Dr Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan

Pada 5 Mei 2015 lalu telah genap Ustaz Ahmad Yakob selaku Menteri Besar yang menerajui Kepimpinan Ulamak Negeri Kelantan. Ia suatu rekod yang sedang tercipta nilai-nilai kebaikan ke arah menghadapi tiga tahun ke hadapan dan bakal menyambut Jubli Perak (genap 25 tahun) pentadbiran Membangun Bersama Islam yang diasaskan oleh Almarhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Justeru mengimbau tempoh dua tahun Ustaz Ahmad melaksanakan amanah dan tanggungjawab Menteri Besar, maka telah berlakunya beberapa program dan pembaharuan pentadbiran. Antaranya penubuhan Institut Pemikiran Tok Guru Dato’ Bentara Setia (2013), penubuhan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Kelantan (2014), pelaksanaan Sistem Pemantauan Pelaksanaan Projek Kerajaan Negeri Kelantan-SPARK (2013), pembentukan Unit Hubungan Seranta Negeri Kelantan (2014), pelaksanaan Pelan Strategik Merakyatkan Membangun Bersama Islam (2014), penyusunan semula portfolio Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan (2015), meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (2015) dan pengutuhan Dasar Berkebajikan dan Kesejahteraan Rakyat Kelantan (2015) serta berusaha meneruskan agenda tertangguh seperti tuntutan royalti minyak di mahkamah, memulakan pembinaan Lebih Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai dan mengurus pembinaan Kompleks Sukan (Stadium) Bukit Merbau. Kesemuanya adalah tanda komitmen dan keupayaan Ustaz Ahmad penerus legasi Tok Guru ke arah memperkasakan pelaksanaan pentadbiran dan pembangunan menurut dasar Membangun Bersama Islam di Kelantan.

Demikian lagi, kepimpinan Ustaz Ahmad telah berjaya melancarkan Akaun Amanah Tabung Pendidikan Kelantan (Julai 2014) dan mendapat sumbangan awam bertujuan meningkatkan pembiayaan pendidikan melalui Yayasan Islam Kelantan dan sebagainya. Begitu pula sejak Februari 2011 program ceramah UMI (Ubudiah, Mas’uliyah, Itqan) telah dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam dan Hal Ehwal Islam Negeri Kelantan untuk anggota perkhidmatan awam, namum ia dipertingkatkan lagi (menjadi syarat wajib) kepada Pegawai Tadbir Negeri mengikutinya dalam bentuk modul latihan UMI (2015).

Kepimpinan mendepani ujian

Meskipun begitu, kepimpinan Ustaz Ahmad turut berdepan dengan ujian getir (ketentuan Allah SWT) pada penghujung tahun 2015 melalui satu banjir besar yang membabitkan hampir semua jajahan terutamanya Jajahan Gua Musang dan Kuala Krai. Banjir yang disifat terbesar dalam tempoh 30 tahun ini turut membabitkan lebih 1,800 buah rumah hilang, lebih  tiga ribu kerosak kediaman dan turut mengalami kerugian dianggarkan melebihi RM3 billion. Atas ujian getir ini, Ustaz Ahmad telah mengajak semua lapisan rakyat dan pertubuhan serta badan korporat untuk berkongsi bakti dan sumbangan ke arah meringan beban penduduk yang terlibat banjir. Malah satu inisiatif berkebajikan dibuat menerusi penubuhan Tabung Amanah Bencana Banjir Negeri Kelantan (Disember 2014) dan berjaya mengadakan pelancarannya pada 14 Januari 2015, sekaligus berjaya mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak sebanyak RM8.1 juta. Apapun sumbangan secara berterusan diterima dari pelbagai pihak, khususnya dari badan korporat dan NGO selepas pelancaran tersebut.

Kemudian Ustaz Ahmad turut diuji lagi dengan pemergian buat selama-lamanya idola Kepimpinan Ulamak dan tokoh Murabbi Ummah, Tok Guru Nik Abdul Aziz, mantan Menteri Besar Kelantan pada 12 Februari 2015. Satu takdir yang menguji rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT untuk memastikan legasi Tok Guru diteruskan dengan sepenuh kesungguhan kuasa pentadbiran dan tenaga empat kerat yang dimiliki. Ekoran daripada itu, pentadbiran Ustaz Ahmad terpaksa berdepan dengan satu pilihan raya kecil di Dun Chempaka pada 22 Mac 2015. Keputusannya calon PAS, Ustaz Ahmad Fathan Mahmood yang menggantikan tempat Tok Guru telah berjaya meraih kemenangan besar. Ini sedikit sebanyak meredakan mood kekalahan satu pilihan raya kecil yang sebelumnya, iaitu di  Dun Pengkalan Kubor pada 25 September 2014 ekoran kematian Adun Barisan Nasional, Datuk Noor Zahidi Omar (25 Ogos 2014).

Demikianlah ujian di antara pelbagai lagi ujian telah dihadapi oleh Ustaz Ahmad sepanjang perjalanan usaha ke arah meneruskan khidmat dan kepimpinannya. Ia dilihat cukup cekal dan tabah dalam mendepaninya. Meskipun ia juga turut dirasai oleh jemaah (parti), rakan sepasukan (kerajaan) dan masyarakat amnya (rakyat). Malah belum terkira nilai-nilai ujian yang bersifat personal seperti kedudukan jawatan di dalam parti yang semakin terbeban dengan amanahnya. Sebelum ini Ustaz Ahmad adalah Timbalan Ketua Ulamak PAS Pusat, kemudian Pemangku Ketua Ulamak (selepas pemergian ketuanya Tuan Guru Harun Taib), dan kini selaku Timbalan Al-Mursyidul Am PAS (selepas pemergian Tok Guru Nik Abdul Aziz). Kesemuanya adalah ujian di sebalik amanah dan tanggungjawab yang belum terkira bebanan tertanggung melibatkan pengundi dan masyarakat di Dun dan Kawasannya serta hal-hal kekeluargaan. Apa yang pasti, kesemuanya adalah ujian Allah SWT yang bakal menambah nilai-nilai ketakwaan sepanjang jalan perjuangan di jalan-Nya.

Petunjuk penerimaan rakyat

Walau apapun liku-liku ujian yang dihadapi sepanjang dua tahun kepimpinan Menteri Besar, Ustaz Ahmad sentiasa mendapat sokongan rakyat. Justeru ia diyakini rakyat pasti meletakkan hasrat dan harapan agar Kepimpinan Ulamak terus diperkasa dan dipersegarkan di Negeri Kelantan

Hasil kajian oleh Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan pada 1 Mac  hingga 5 Mac 2015 melibatkan kira-kira 3% atau 645 orang responden daripada 21,364 pengundi berdaftar di Dun Chempaka adalah antara yang membayangi hasrat dan harapan itu. Walaupun tujuan kajian tersebut ialah bagi meninjau sikap politik masyarakat bersempena menghadapi pilihan raya kecil Chempaka (22 Mac 2015), namun ia turut meneliti pandangan rakyat terhadap pimpinan Menteri Besar, Ustaz Dato’ Ahmad Yakob.

Kajian dijalankan secara soal selidik melibat taburan pengundi selaku responden di  semua sepuluh Daerah Mengundi Dun Chempaka telah dilakukan oleh pembantu penyelidik yang bertemu secara  bersemuka  (face  to  face)  bagi mendapat maklum balas berhubung isu yang dikaji.

Sehubungan itu, kajian tersebut mendapati: Pertama, 94.3% bersetuju agar Dasar Membangun Bersama Islam yang dimulakan oleh Tok Guru perlu diteruskan oleh Ustaz Ahmad. Keduanya, 91.9% bersetuju bahawa kepimpinan Menteri Besar sekarang merupakan kesinambungan kepada Kepimpinan Ulamak yang diasaskan oleh Tok Guru Nik Abdul Aziz. Ketiganya pula, 89.9% bersetuju sungguhpun PAS telah lama mentadbir Kelantan (hampir 25 tahun), secara umumnya dilihat telah berjaya.

Menurut kajian itu lagi, nilai kejayaan PAS itu dilihat berasaskan petunjuk iaitu, 87.3% bersetuju bahawa kejayaan itu dicerminkan dengan tidak adanya (hukuman di mahkamah - P) kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Hal ini dikaitkan pula dengan dasar pentadbiran yang diaplikasikan oleh Kerajaan Negeri selama ini. Justeru didapati 94.7% bersetuju bahawa kejayaan PAS mentadbir Kelantan adalah kerana menjadikan Islam sebagai dasar pentadbirannya.

Ustaz Ahmad penyambung amanah

Berdasarkan hasil kajian tersebut, dapat dirumuskan bahawa kepimpinan seumpama  Almarhum Tok  Guru  Nik  Abdul Aziz amat diinginkan oleh pelbagai  lapisan  masyarakat Kelantan, malah di Malaysia amnya. Ia ada hubungkait dengan kejayaan sepanjang Tok Guru mentadbir Kelantan berasaskan Dasar Membangun Bersama Islam.

Demikan pula, kajian tersebut turut memberikan petunjuk bahawa kepimpinan Menteri  Besar, Ustaz Ahmad Yakob sekarang, selaku pengganti dilihat mendapat kepercayaan majoriti rakyat dan menyifatkan sebagai penerus kesinambungan Kepimpinan  Ulamak  yang dimulakan oleh Tok Guru demi melangsungkan lagi pentadbiran Negeri Kelantan. 


Oleh sebab itu, secara  umumnya kejayaan PAS  mentadbir Kelantan yang kini di ambang sambutan Jubli Perak dan kini memasuki dua tahun di bawah teraju kepimpinan Ustaz Ahmad, ternyata telah dan sedang mencipta rekod terbaik di dalam memenuhi hasrat dan harapan rakyat. Segala-galanya adalah kerana prinsip Islam terus dipersegarkan sebagai teras kepimpinan dan pentadbiran di Kelantan.