20 August, 2015

Kajian PKS: Anak Muda Kelantan aset Kepimpinan Ulamak

Oleh: Dr. Wan Nik Wan Yussof, Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan

Bersempena pada tahun 2015 ini merupakan ‘sambutan jubli perak’ Kepimpinan Ulamak mentadbir kerajaan Negeri Kelantan, maka tahap sokongan anak muda (golongan belia) boleh dijadikan asas penerimaan survival program dan dasar yang dilaksanakan semenjak 1990. Menyedari kepentingan asas penerimaan ini, maka Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan melalui kajiannya ke atas ‘tahap pengetahuan anak muda’ telah mendapati kepelbagaian tahap kefahaman yang perlu diambil perhatian oleh pihak kerajaan Negeri Kelantan.

Kajian yang dijalankan pada April lalu telah mengukur dua aspek, iaitu pengetahuan terhadap program berkaitan anak muda dan penilaian terhadap dasar-dasar yang dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri Kelantan.

Ia melibatkan 450 responden yang terdiri daripada 258 (57.3%) lelaki dan 192 (42.7%) wanita. Pemilihannya secara random, iaitu seramai 10 orang bagi setiap Dun (keseluruhannya 45 Dun). Panduan random pula adalah setiap responden adalah dalam kategori umur belia (baca, anak muda) yang berumur antara 21-25 tahun (277 orang, 61.6%) dan 26-30 tahun (173 orang, 38.4%). Rasional pemilihan mengikut dua kategori ini ialah bagi meninjau status pemilih responden pada pilihan raya lalu. Maka kajian ini mendapati responden yang mengundi pada pilihan raya lalu (5 Mei 2013) yang berstatus sebagai 'pengundi pertama' seramai 247 orang (54.9%) dan yang berstatus 'bakal mengundi' seramai 203 orang (45.1%). Selain itu, kajian ini turut mengambil kira maklumat responden tentang pendidikan, pekerjaan dan pendapatan bulanan.

Penemuan Kajian

Penemuan kajian ini difokuskan kepada dua aspek umum, pertama tahap pengetahuan anak muda mengenai 15 program Kerajaan Negeri dan keduanya tahap penilaian anak muda terhadap 10 program bersifat dasar Kerajaan Negeri.

Maka penemuan umum tahap pengetahuan diukur berpandukan 15 program popular anjuran Kerajaan Negeri. Penemuannya dinyatakan seperti mana Jadual 1 berikut:



Berdasarkan Jadual 1 tersebut, daripada 15 program itu didapati tiga program popular yang diketahui oleh anak muda, iaitu Pengisytiharan MPKB sebagai Bandar Raya Islam (87.6%), Medan Ilmu di Kota Bharu sebagai pusat kuliah agama pada pagi Jumaat (72.2%) dan Program Ihya’ Ramadhan (64.9%).

Namun begitu, terdapat pula tiga program yang paling kurang diketahui, iaitu Membina Generasi Solat (20.7%), kem kenegaraan pelajar (21.1%) dan program badan dakwah (24.9%). Ini berlaku kerana tiga program ini dikendalikan oleh Sekolah-sekolah YIK, maka sebahagian kalangan responden tidak pernah terlibat/belajar di Sekolah YIK. Apapun, agensi pelaksana terbabit haruslah mempromosikan secara meluas untuk pengetahuan umum.

Kajian ini selanjutnya mendapati berdasarkan pelaksanaan 10 program dasar Kerajaan Negeri,secara keseluruhannya adalah mendapat nilaian (bersetuju), iaitu melebihi 86%. Tiga daripadanya adalah mendapat persetujuan tertinggi (sekitar 95% dan ke atas) iaitu Peraturan Tutup Aurat (94.9%), Waktu pejabat Kerajaan Negeri dipendekkan semasa Ramadhan (94.9%) dan Kerja lima hari seminggu (94.7%). Sementara itu, Amalan pentadbiran Kerajaan Kelantan adalah berintegriti telah mendapat nialaian terendah (86.4%).

Jadual 2 berikutnya menjelaskan penemuan ini yang menggambarkan 10 program dasar ini amat popular dipersetujui. Ini berlaku kerana, kesemua program dasar ini dianggap mesra dan serasi dengan kehidupan majoriti rakyat termasuk dalam kalangan anak muda.



Penemuan korelasi silang (crosstab) mengikut Dun

Tahap pengetahuan anak muda di semua Dun, secara keseluruhannya menunjukkan tahap pengetahuan tertinggi untuk program (B11) Pengisytiharan Majlis Perbandaran Kota Bharu sebagai Bandar Raya Islam iaitu tahap puratanya 87.6%. Dalam hal ini, Dun yang menunjukkan tahap pengetahuan anak mudanya tertinggi 100% bagi program B11 ini ialah sebanyak 11 Dun, dan Dun yang terendah (bawah 50%) pula ialah juga sebanyak 11 Dun. Walaupun begitu, bagi program B11 ini, tahap pengetahuan anak muda bagi ketiga-tiga Dun dalam Parlimen Machang adalah amat rendah (hanya 10% yang tahu di Pulai Chondong dan 100% adalah kurang tahu di Kemuning dan Temangan).

Sementara program yang terendah (kurang diketahui) kalangan anak muda ialah program (B1) Membina Generasi Solat iaitu pada tahap puratanya 20.7%. Dalam hal ini, Dun yang menunjukkan tahap pengetahuan anak mudanya tertinggi bagi program B1 ini ialah di Dun Air Lanas dan Kelaboran iaitu masing-masingnya 100% dan 70%. Bagi Dun yang paling rendah pula ialah sebanyak tujuh Dun yang masing-masing tahap pegetahuannya 10%. Apabila dilihat secara bandingan antara Dun-Dun pula, bagi program B1 ini, sebanyak 27 Dun tahap pengetahuan anak mudanya adalah kurang 50%. Sementara sembilan Dun pula adalah anak mudanya belum mengetahui kewujudan program B1 ini. Maklumat terperinci adalah sepertimana Lampiran 1: Korelasi Dun dengan 15 program melibat anak muda.

Tahap penilaian anak muda di semua Dun, secara keseluruhannya menunjukkan tahap penilaian tertinggi untuk program (C1) Peraturan tutup aurat dan (C2) Waktu pejabat Kerajaan Negeri dipendekkan semasa Ramadhan, iaitu masing-masingnya 94.9%. Dalam hal ini, Dun yang menunjukkan tahap penilaian anak mudanya tertinggi 100% bagi program C1 ini ialah sebanyak 28 Dun, dan Dun yang terendah (50%) pula hanyalah satu Dun (Semerak). Sementara Dun-Dun yang selebihnya lagi (16 Dun) menunjukkan tahap penilaian (bersetuju) juga tertinggi iaitu antara 80-90%. Sementara itu, program (C7) Amalan pentadbiran Kerajaan Negeri adalah berintegriti kerana mengamalkan prinsip Ubudiyah, Masuliyah dan Itqan adalah tahap nialian terendah tetapi masih pada tahap nilaian (bersetuju) yang terbaik, iaitu 86.4%. Justeru bagi program C7 ini, sebanyak 18 Dun tahap bersetuju anak mudanya 100%, sebanyak 24 Dun lagi berada pada tahap antara 60-90% dan hanya tiga Dun berada pada tahap 50%. Ini menunjukkan pentadbiran berintegriti pihak Kerajaan Negeri adalah suatu aspek yang diketahui dan dipersetujui secara meluas. Maklumat terperinci adalah sepertimana Lampiran 2: Korelasi Dun dengan 10 program dasar Kerajaan Negeri.

Penemuan korelasi silang mengikut Status Pemilih

Satu aspek menarik juga daripada kajian ini ialah berhubung korelasi silang tahap pengetahuan ke atas 15 program dengan Sataus Pemilih; dan tahap penilaian anak muda ke atas 10 program dasar dengan status pemilih.

Kajian ini telah mengkategorikan responden dalam dua status pemilih, iaitu pertamanya status pengundi pertama (mengundi kali pertama) dan keduanya status bakal mengundi pada PRU akan datang.

Penemuan kajian ini mengenai korelasi 15 program dengan status pengundi pertama (lihat Jadual 3 berikutnya):

(1) Mendapati enam daripada 15 program adalah yang popular diketahui dalam kalangan responden status pengundi pertama. Program tersebut ialah Program Skim Az-Ziwaj (63.6%), Program ehya Ramadhan di Kota Bharu (67.2%), Tadarus Al-Quran (64.8%), Pengasingan kaunter bayaran (63.6%), Pengisytharan Bandar Raya Islam (85.8%) dan Medan Ilmu pusat kuliah di Kota Bharu (76.5%).

(2) Sementara lima daripada 15 program adalah yang popular kalangan responden status bakal mengundi pada PRU14. Program tersebut ialah Program ehya’ Rmadhan di Kota Bharu (62.1%), Tadarus Al-Quran (64%), Pengasingan kaunter bayaran (60.6%), Pengisytharan Bandar Raya Islam (89.7%) dan Medan Ilmu pusat kuliah di Kota Bharu (67%).



Begitu pula, 10 program dasar yang dijadikan ukuran bagi menilai tahap persetujuan responden dalam kalangan status pemilih (pengundi pertama dan bakal mengundi), kesemuanya menunjukkan nilaian tertinggi melebihi 85%. Walaupun begitu, kedua-dua status pemilih tersebut meletakkan enam daripada 10 program sebagai yang tertinggi iaitu melebih 91% ke atas (lihat Jadual 4 berikutnya). Program itu ialah:
(1) Peraturan Tutup Aurat,
(2) Waktu pejabat Kerajaan Negeri dipendekkan semasa Ramadhan,
(3) Cuti bersalin selama 60 hari,
(4) Kerja lima hari seminggu,
(5) Negeri pertama meluluskan Kanun Jenayah Syariah, dan
(6) Negeri pertama yang akan melaksanakan Hudud.



Sehubungan itu, secara bandingannya didapati kesemua 15 program yang berkaitan anak muda adalah sebahagian sahaja yang diketahui secara popular (enam program kalangan pengundi pertama dan lima program kalangan bakal mengundi). Maka 9 program (kalangan pengundi pertama) dan 10 program (kalangan bakal mengundi) adalah belum diketahui secara meluas. Ini berbeza dengan kesemua 10 program berkaitan dasar Kerajaan Negeri adalah dinilai dengan nilaian tertinggi oleh kedua-dua status pemilih, iaitu melebihi 85%. Ini bermakna kesemua program dasar dianggap baik dan diterima umum. Dengan kata lain, dasar-dasar Kerajaan Negeri di sisi anak muda adalah baik dan diterima.

Rumusan

1. Kajian ini telah berjaya mencungkil tahap-tahap pengetahuan dan penilaian anak muda terhadap pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan. Dua kumpulan program telah disandarkan sebagai ukuran, iaitu pertama melibatkan 15 program berkaitan anak muda dan keduanya melibatkan 10 program yang menyentuh dasar-dasar pentadbiran (yang dimaksudkan sebagai program dasar).

2. Kajian ini juga turut membukti ada korelasi agak signifikan antara tahap pengetahuan program dan tahap penilaian dasar dalam kalangan anak muda diukur dengan lokasi Dun-dun. Maka didapati berlakunya tahap pengetahuan/penilaian anak muda yang rendah di sesetengah Dun. Ia berkemungkinan disebabkan kurang aktifnya penghebahan program dan rendahnya penglibatan anak muda dengan program tersebut. Hal ini perlu diambil perhatian dan dibuat penambahbaikan.

3. Sementara itu, kajian ini turut membuktikan ada korelasi yang signifikan antara tahap pengetahuan program dan tahap penilaian program dasar dengan status pemilih responden. Kajian ini mendapati tahap pengetahuan/penilaian untuk keseluruhan program adalah hampir sama dalam kalangan anak muda pengundi pertama atau mereka yang bakal mengundi. Apa yang pasti, 15 program berkaitan anak muda yang berstatus pengundi dan yang bakal mengundi adalah mempunyai pola pengetahuan/penilaian tinggi untuk program yang bersifat umum, tetapi program yang dikhususkan untuk anak muda (seperti bantuan usahawan belia) didapati tahapnya agak rendah (antara 20 hingga 52%), kecuali skim Az-Ziwaj yang menunjukkan kadar diketahuinya agak tinggi (63.6%) kalangan kategori pengundi pertama. Namun skim az-Ziwaj ini pula agak rendah diketahui dalam kalangan status bakal mengundi. Ini mungkin golongan ‘bakal mengundi’ belum memberi perhatian kepada isu-isu perkahwinan.

4. Namun demikian, pengetahuan/penilaian anak muda yang mengambil tahu terhadap program dasar yang berkaitan dengan syariah adalah tinggi. Ini dapat dilihat ke atas program dasar berkaitan tutup aurat dan pelaksanaan kaunter berasingan serta program pelaksanaan syariah-hudud adalah melebihi 91%.

5. Apapun, kajian ini turut membuktikan masih banyak program anjuran agensi-agensi Kerajaan Negeri yang belum cukup popular dalam kalangan anak muda. Sementara itu, didapati kebanyakan program yang menyentuh aspek dasar Kerajaan Negeri telah mendapat persetujuan (penilaian baik) dalam kalangan anak muda.

5. Oleh kerana itu, kajian ini amat berguna dan boleh dijadikan sandaran untuk mana-mana agensi pelaksana program strategik di bawah ‘pelan strategik merakyat dasar Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan’ demi melihat keberkesanan pencapaiannya menepati selera anak muda atau sebaliknya. Memandangkan salah satu faktor keutuhan survival dasar Kerajaan Negeri Kelantan adalah sokongan kumpulan anak muda, maka hasil kajian ini membuktikan relevansi yang bermanfaat.


Nota:

Kajian ini turut dijayakan dengan bantuan pembantu penyelidik, Nurul Hidayah Adnan (Penolong Pegawai Penyelidik Ekonomi) dan Adib Faisal Yaacob (Pentadbir).



LAMPIRAN






19 August, 2015

PAS~DAP: Hubungan terbuka dan tegang

Democratic Action Party (DAP) atau sebutan Bahasa Melayu ialah Parti Tindakan Demokratik, iaitu sebuah parti pelbagai kaum, sekular dan sosialisme demokratik. Ia ditubuhkan pada 18 Mac 1966.

Konsep perjuangan DAP ialah Malaysia untuk semua rakyat Malaysia (Malaysian Malaysia) dengan berlandaskan prinsip-prinsip hak asasi manusia, kesamarataan, keadilan sosial dan ekonomi, dan berasaskan institusi demokrasi parlimen. Bentuk sosialisme yang menjadi pilihan DAP ini adalah sosialisme sederhana yang bersifat anti-komunis dan anti-kapitalis serta kuat mempertahankan kekuasaan negara sekular. Justeru peranan DAP dalam poilitik Malaysia adalah signifikan dan berpengaruh yang termasuk sebagai tiga parti oposisi sebaris dengan PKR dan PAS yang pernah bersama di dalam Barisan Alternatif (1999-2001), Gabungan Bersih (2006-2008) dan bersama-sama membentuk Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum 2008 dan 2013.

Kini Pakatan Rakyat yang dibentuk hasil permuafakatan tiga parti (PKR, DAP dan PAS) sudah tinggal semangatnya sahaja. Ia kerana DAP telah memutus hubungan dengan PAS dan begitu juga PAS. Realitinya kedua-duanya telah tidak lagi sealiran ekoran masing-masing sudah memutus hubungan. Namun semangat Pakatan Rakyat masih berlaku dalam bentuk hubungan terpusat dengan PKR sahaja, iaitu antara PAS dengan PKR dan DAP denganPKR. Hubungan terpusat kepada PKR tetap penting demi mengekalkan kuasa dalam kerajaan negeri (terutama di Selangor dan Pulau Pinang).

Sehubungan itu, penulisan ini tidak berhajat untuk mengulas tentang hubungan antara parti selepas keputusan PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Sebaliknya, tumpuan penulisan ialah untuk mendedahkan fakta kronologi hubungan kerjasama perjuangan politik sudut oposisi antara PAS dengan DAP yang bersifat terbuka dan tegang.

Sentimen terbuka dan tegang

Sejarah hubungan lampau dan terkini PAS-DAP boleh disifatkan sebagai berlaku berdasarkan keadaan politik dan isu. Di dalam sesetengah keadaan ia berlaku sentimen hubungan terbuka dan dalam keadaan yang lainnya pula berlaku secara tegang. Hubungan terbuka boleh berlaku secara terang demi memenuhi nilai-nilai politik bersifat simbiosis. Contoh hubungan terbuka ialah semasa kerjasama Barisan Alternatif (1999) di atas kebersamaan (PAS-DAP-KeADILan) untuk menuntut keadilan dan menentang kezaliman yang dibayangi oleh peristiwa pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Begitu pula, atas nama Gabungan Bersih (menghadapi pilihan raya 2008) bagi menuntut pilihan raya yang telus, adil dan bersih. Diikuti dengan berlaku permuafakatan atas nilai-nilai hak dan kebebasan demokrasi lalu ditubuhkan Pakatan Rakyat (2008) sehingga pilihan raya 2013.

Sementara hubungan tegang pula merujuk kepada sentimen hubungan PAS-DAP dalam konteks percaturan pengaruh bagi membuktikan ketulusan prinsip perjuangan masing-masing demi mengukuhkan keyakinan ahli dan penyokong. Misalnya, pernah PAS mahupun DAP bersepakat untuk menentang Barisan Nasional di dalam pilihan raya atas dasar untuk memecah undi agar sentimen pengundi (atas prinsip agama dan kaum) bagi mengalahkan Barisan Nasional. Demikian pula, di atas prinsip pengukuhan sokongan terhadap dasar perjuangan parti, PAS akan membuktikan ketegasan di atas isu-isu berkaitan Islam sebagai dasar perjuangan (contohnya matlamat negara Islam). Begitu pula bagi DAP akan tetap bertegas untuk membuli matlamat negara Islam atas semata-mata membuktikan ketegasan matlamat perjuangan negara sekular demi menarik sokongan kelompok tegar yang anti-negara Islam.

Di atas nilai-nilai sentimen politik dan prinsip perjuangan sedemikian, maka tidaklah pelik untuk memahami tujuan tersirat masing-masing parti sanggup melakukan hubungan tegang. Dalam konteks ini, pendirian PAS begitu kental mempertahankan prinsip perjuangan Islam dengan menstatuskan pendekatan siasah syariyyah beralaskan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah-Hudud, meskipun ia ditentang keras oleh DAP. Lantas berlakulah hubungan tegang antara PAS dengan DAP di atas isu ini. Sebaliknya pula, pihak DAP menyambut sifat hubungan tegang itu dengan menyerang dan membuli secara berterusan bagi meraih keyakinan ahli dan penyokong yang inginkan DAP kekal di atas prinsip negara sekular. Maka sentimen pengundi akan berpihak kepada masing-masing parti yang mereka persetujui. Lazimnya, PAS akan diyakini kalangan mereka yang bersetuju atas prinsip Islam (di zon majoriti Melayu) dan DAP dapat kekal popular (di zon bandar majoriti Cina) dalam kalangan pengundi pro-sekular demokrat.

Kronologi putus hubungan

Sebagaimana dinyatakan pada awalnya, hubungan (baca, kerjasama) PAS dengan DAP mempunyai nilai politik yang bersifat timbal-balas. Pada 22 September 2001, DAP terpaksa keluar Barisan Alternatif kerana tidak bersetuju dengan perjuangan PAS untuk menegakkan negara Islam. Sebelum itu DAP telah mengemukakan lima formula bagi mengelak perpecahan Barisan Alternatif, namun PAS terpaksa menolak formula itu kerana didapati bercanggah dengan perjuangan Islam. Tinggallah PAS kekal bekerjasama dengan KeADILan sehingga pilihan raya 2004 yang menyaksikan kemerosotan kerusi PAS dan KeADILan kerana Umno melakukan pembaikkan menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003. Penggantinya Abdullah Ahmad Badawi (31 Oktober 2003 – 3 April 2009) yang dkenali sebagai Pak Lah seorang ‘bersih’ sepanjang khidmatnya sebagai Perdana Menteri.

Sejarah kerjasama kali kedua termaktub semula menjelang pilihan raya 8 Mac 2008, apabila PAS, PKR (dulunya KeADILan) dan DAP boleh bersama dan hasilnya mencapai kemenangan yang hampir menumbangkan Barisan Nasional. Ia membawa penubuhan Pakatan Rakyat selepas itu yang memperjuangkan prinsip bersama di atas persetujuan bersama. Ia dirumuskan sebagai prinsip bersetuju dan untuk tidak bersetuju (agree but disagree), iaitu bersetuju memperjuangkan isu-isu yang dikongsi sama, tetapi tidak bersama dalam isu-isu dasar masing-masing parti. Medan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat adalah forum yang mengesahkan asas bersetuju atau tidak bersetuju itu.

Walaupun begitu, perjalanan politik Pakatan Rakyat agak berliku-liku yang memaksa masing-masing parti cuba menggerakkan agenda parti sendiri tanpa keabsahan atau meskipun melanggari keputusan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Hal yang menjadi rujukan antaranya melibatkan DAP melalui Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu pada 9 Mei 2012 Dewan Negeri Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-Undang (Enakmen) Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Prai) tanpa persetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Apapun enakmen tersebut terbatal apabila pada 14 Ogos 2014 Mahkamah Persekutuan memutuskannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Demikian juga, satu lagi hal yang dirujuk ialah pada 27 Januari 2014, Adun PKR bagi DUN Kajang bertindak meletak jawatan bagi menjayakan matlamat “Kajang Move” iaitu untuk menggantikan Menteri Besar Selangor. Satu ‘move’ yang menggugurkan Abdul Khalid Ibrahim untuk digantikan dengan Anwar kemudian Wan Azizah, tetapi yang jadinya ialah Azmin Ali. Suatu ‘move’ yang juga tanpa keputusan Majlis Pakatan Rakyat. Maka, di celah-celah polemik isu “Kajang Move” dan menukar Menteri Besar itu, pada awalnya PAS tidak bersetuju. Kemudian PAS mengambil jalan yang bersetuju sebagai menghormati syarat-syarat pihak berkuasa Istana yang mahukan menyenaraikan lebih daripada dua nama calon menteri besar. Lalu mencetuskan tanggapan negatif di sisi PKR dan DAP yang mengendurkan permuafakatan sehingga memaksa pelan tanpa persetujuan itu diterima dengan penuh kegusaran. Malangnya segala-gala kegusaran dihadapkan kepada Presiden PAS tanpa belas kasih, termasuklah sikap DAP turut mencetuskan persepsi buruk kepada PAS. Hal ini turut merencatkan usaha PAS untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan.

Berlakunya hubungan tegang PAS-DAP apabila beberapa kali penjelasan PAS untuk mendapat persetujuan bersama berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah sentiasa ditentang oleh DAP. Menyebabkan muncul persepsi awam termasuk dalam kepimpinan PAS sendiri yang menganggap matlamat pelaksanaan itu sebagai faktor pemecah-belah Pakatan Rakyat. Malah tidak kurang pula muncul tohmahan kononnya Presiden PAS dan kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan tertipu dengan mainan politik (baca, tipu muslihat) Umno dari dalam.

Namun kesungguhan untuk melaksanakan undang-undang Islam itu tetap diteruskan, meskipun berberapa kali siri penjelasan dibuat kepada kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk di Ibu Pejabat DAP dan di Pejabat Agung PAS. Kali terakhir taklimat ialah pada 12 Mac 2015 di Bangunan Parlimen. Natijahnya DAP paling lantang menentang, malah melihat hasrat dan usaha PAS sebagai permainan ke arah Unity Government (UG). Lantas Presiden PAS dilabelkan sebagai penerus agenda UG dan pembawa suara Umno.

Meskipun begitu, demi melunaskan komitmen perjuangan dan mandat rakyat Kelantan atas prinsip menghormati demokrasi dan ruang perundangan yang ada, maka Presiden pada 18 Mac 2015 telah mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi membawa usul rang undang-undang persendirian (private member bill) bertujuan meminda Akta 355 berkaitan bidang kuasa hukuman mahkamah syariah ke arah memenuhi kehendak syariah. Ia disusuli dengan persidangan Dewan Negeri Kelantan yang meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac 2015.

Apa yang dilakukan oleh PAS itu menyebabkan DAP bertindak lebih tegang dan mengambil sikap memutuskan hubungan secara taktikal sebelum ditafsirkan sebagai memutuskan hubungan secara rasmi. Ia bermula pada 23 Mac 2015, DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, malah melabelkan Presiden PAS seorang yang tidak jujur dan tidak bermaruah. Bukan sekadar itu, di dalam kenyataan media yang sama (23 Mac), Setiausaha Agung DAP turut menyindir supaya menumbangkan Presiden PAS di dalam pemilihan PAS.

Tindakan DAP itu sedemikian turut dilakukan melalui pemimpin kanannya pada 23 Mac 2015 apabila ayah kepada Setiausaha Agung DAP pula menulis provokasi di dalam blognya, membayangkan PAS bakal kalah kerana ingin melaksana hudud di Kelantan dan turut menuduh Presiden PAS melakukan kerosakan kerana berusaha membawa usul persendirian mengenai undang-undang jenayah syariah (meminda Akta 355) ke parlimen.

Provokasi atas sentimen tegang tersebut telah diteruskan apabila pada 27 Mac 2015, DAP Sarawak telah mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat. Kemudian disusuli pula ucapan yang penuh provokasi oleh ayah kepada Setiausaha Agung DAP pada 30 Mac 2015 di hadapan pimpinan DAP Wilayah Persekutuan, malah di dalam ucapan itu, beliau turut meramalkan PAS bakal kalah di Johor, Perak, Melaka dan juga d Pahang dan Kedah serta tidak mustahil akan kalah juga di Kelantan. Kesemuanya (kekalahan akan dihadapi oleh PAS) adalah kerana PAS meneruskan usaha pelaksanaan hudud. Sementara di Sabah pula, pada hari yang sama (30 Mac 2015), pihak DAP turut mengumumkan putus hubungan dengan PAS Sabah. Nampak jelas ia suatu tindakan terancang pihak DAP.

Kesemuanya boleh dianggap sebagai gerakan provokasi untuk melabelkan PAS yang merencanakan perpecahan di dalam Pakatan Rakyat atas sentimen DAP yang tegar menggunakan pendekatan hubungan tegang untuk meraih sentimen penyokong. Menurut Setiausaha Agung PAS ketika itu (berhubung tindakan memutus hubungan), ia suatu strategi DAP untuk popular menjelang pilihan raya Negeri Sarawak yang akan berlaku tidak lama lagi.

Usul putus hubungan

Walaupun demikian, DAP tidak berhenti di situ, beberapa riak politik yang diatur membayangkan sememangnya DAP inginkan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. Ini terserlah tatkala pada 25 Mei 2015, DAP mengeluarkan kenyataan lagi dengan menuduh Presiden PAS mahu wujudkan UG bersama UMNO. Meskipun kenyataan formula UG (bekerjasama dengan Umno atau Kerajaan Barisan Nasional) itu turut disebut kemudiannya oleh beberapa pemimpin PKR dan DAP sendiri.

Justeru kenyataan menjelang Muktamar PAS itu telah diterjemahkan oleh sebahagian perwakilan sebagai ‘campur tangan DAP’ untuk menyokong beberapa pimpinan yang bertanding (pada Muktamar ke-61) untuk jawatan tertinggi PAS Pusat. Kesan daripada gaya DAP itu menyebabkan kesemua tokoh PAS yang berkenaan tidak terpilih dalam Muktamar PAS di Kuala Selangor pada 4-6 Jun 2015 lalu.
Paling kritikal daripada kesan provokasi dan asakan tegang DAP itu, Muktamar PAS Pusat telah menerima tanpa bahas usul ‘mencadangkan kepada Majlis Syura dan PAS Pusat supaya memutuskan hubungan dengan DAP. Akhirnya usul itu dipersetujui Majlis Syura pada 11 Julai 2015, mengesahkan usul putus hubungan dengan DAP dan diangkat kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk dilaksanakan.

Sehubungan dengan kronologi hubungan PAS-DAP sebagaimana tertera, sudah tentu PAS menerima kesan yang parah kerana munculnya Gerakan Harapan Baru (GHB). Apapun PAS terpaksa berdepan dengan langkah berstrategi menghadapi GHB yang rata-rata digerakkan oleh sebahagian pemimpin yang tidak terpilih dalam Muktamar ke-61 yang lalu. Ini merupakan cabaran baru dicampurkan dengan cabaran yang dicetuskan DAP menyaksikan Pakatan Rakyat versi 2008-2013 sudah tidak relevan. Semoga bahtera PAS mampu belayar mendepani cabaran keseterusnya.


BUKTI-BUKTI KERATAN AKHBAR

22 September 2001

23 Mac 2015

28 Mac 2015

24 Mac 2015

29 Mac 2015

Berlaku 30 Mac 2015 dan disiarkan 1 April 2015

28 Mac 2015

31 Mei 2015

30 Mac 2015
11 Julai 2015