12 December, 2012

Hak non-Muslim di Kelantan

Sejak Oktober 1990 dasar pentadbiran Islam terlaksana di Kelantan dan mulai saat itu UMNO tidak berani mengungkit-ungkit dari segi rasionalisasinya. Meskipun begitu pada 1993, saat diluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) melibatkan hukum hudud, takzir dan seumpamanya, Dr Mahathir selaku Perdana Menteri ketika itu memulakan 'pendekatan mengkritik' dan menolaknya sambil melabelkan enakmen itu sebagai "Hudud PAS." Ia suatu serangan melibatkan akidah dan politik takut kepada non-Muslim.

Apa pun pendekatan Dr Mahathir itu belum cukup untuk masyarakat non-Muslim (ketika itu) berani campur tangan (atas label yang Dr. Mahathir mengenai enakmen kanun jenayah), kerana itu hal ehwal umat Islam. Malah sebahagian besar non-Muslim di Kelantan boleh menerima enakmen itu kerana ia tidak melibatkan penguatkuasaan ke atas non-Muslim.

Namun kesan daripada pendekatan dan label Dr Mahathir itu membuatkan pemimpin MCA (sekarang menjelang pilihan raya) mula berani mengambil langkah penentangan selepas 22 tahun PAS mentadbir. Bukan sahaja MCA sesekali turut melibatkan pemimpin DAP, selain UMNO juga mulai  lantang mengkritik pentadbiran Islam di Kelantan. Ia sudah menjadi kemenangan moral untuk PAS yang sudah banyak berjasa menengahkan prinsip Islam dalam kerajaan negeri.

Apa pun pada Oktober lalu, timbul isu (kerana dekat pilihan raya) peniaga kedai gunting tidak senang dengan penguatkuasaan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) yang menyaman kedai gunting kerana beroperasi tidak mengikut syarat lesen. Syarat lesen hanya mengunting sesama wanita atau sesama lelaki sahaja. Tetapi ada kedai gunting yang mengunting berlainan jantina (unisex). Maksudnya pegunting wanita mengunting pelanggan lelaki. Sedangkan yang dibenarkan wanita boleh mengunting pelanggan wanita sahaja. Perlanggaran syarat lesen itu mungkin disengajakan atas hak non-Muslim (khususnya sosial orang Cina) yang tidak melarang, malah agama mereka dikatakan membolehkan wanita menggunting lelaki. Maka mereka sedia tidak mematuhi syarat lesen. Kesannya,ia telah menjadi isu politik apabila MCA dan DAP mulai bising, kononnya undang-undang Islam sudah dikenakan ke atas non-Muslim!

Sebelum ini tidak pun dibisingkan soal syarat tersebut. Ia sudah telah dilaksanakan kira-kira 20 tahun lalu. Ia kerana senario sosial (kesan pentadbiran BN di Kelantan) yang banyak terbuka ruang maksiat, termasuk pelacuran di sebalik perniagaan salon unisex. Hal ini diakui sendiri oleh Cikgu Lau (bekas Setiausaha Parti Gerakan Kelantan). Justeru peraturan melarang menggunting wanita-lelaki atau lelaki-wanita dilaksanakan. Rasional seawal pentadbiran Islam (selepas PAS mengambil alih daripada BN) adalah atas alasan untuk mencegah perkara mungkar (maksiat dan pelacuran).

Realitinya pada masa itu, masyarakat non-Muslim boleh menerima tujuan baik kerajaan negeri Pimpinan Ulama, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Setiap kali pilihan raya, peraturan mencegah kemungkaran itu diuar-uarkan dan ia mendapat sokongan padu umat Islam. Pendekatan dakwah-politik itu tidak mampu dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah kuasa BN. Justeru pemimpin UMNO terdiam dan akur dan cuba mengelak daripada dijadikan bahan kempen (bimbang takut makan diri).

Apa pun selepas dibisingkan isu tuntutan peniaga kedai gunting (mahukan peraturan itu dipinda), timbul hujah dan alasan--kedai gunting sekarang sudah profesional, keadaan kedai gunting sudah telus dan beroperasi di tempat terbuka--maka mereka mendesak (melalui perjumpaan wakil persatuan peniaga Cina) pihak kerajaan negeri Kelantan membenarkan kedai gunting unisex. Sosial non-Muslim (khususnya kalangan masyarakat Cina) sekarang bersikap adalah 'tidak salah' menggunting lelaki oleh wanita atau sebaliknya. Justeru mereka menganggap peraturan lama (20 tahun lalu) itu perlu diperbaharui (dibolehkan kepada non-Muslim), kerana ia suatu perniagaan dan perkhidmatan sosial dan tidak lagi bersifat maksiat lagi.

Apa pun keadilan tetap menjadi keutamaan di sisi kerajaan negeri yang berteraskan amalan Membangun Bersama Islam. Atas hak non-Muslim, mereka sudah dibenarkan membuka restoran khusus untuk mereka menikmati hidangan yang hartama di sisi Islam. Mereka juga dibenarkan berniaga dan minum minuman keras (arak atau alkohol). Malahan kerajaan negeri tidak menutup pasar Pokok Pinang di Kota Bharu yang menjual daging babi di tempat terbuka.

Kesemuanya di sisi norma sosial masyarakaat Islam adalah tidak sensitif dan ia menggembirakan masyarakat non-Muslim. Ia suatu keharmonian yang ditunjukkan oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz.

Apa pun, persepsi harmoni dan sejahtera hidup pelbagai kaum di Kelantan itu membuatkan parti politik pesaing (UMNO dan rakan BN-nya) amat iri hati. Atas asas ini, isu kedai gunting yang disaman itu telah digunakan sepenuhnya untuk mengeruh keharmonian dan kesejahteraan. Ia suatu tindakan politik terdesak oleh puak BN di Kelantan.

Walau pun begitu, pihak kerajaan negeri Kelantan tetap bersifat terbuka. Sesi dialog dan penjelasan serta mendengar pandangan daripada pihak terbabit telah diadakan. Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz memberi mandat kepada ahli exco, Dato' Takiyudin Hassan dan Dato' Dr. Mohamad Fadhli Hassan merunding dan mengambil langkah positif bagi mendengar pandangan dan langkah terbaik demi keadilan untuk semua pihak.

Mengambil mandat itu, maka pihak PAS Negeri Kelantan turut menyatakan sikap sebagaimana diputuskan dalam mesyuarat perhubungan minggu lalu, bersetuju agar hak sosial non-Muslim Kelantan diberi secara adil, termasuklah dalam bab kedai gunting. Kalau kedai babi dan kedai arak dibenarkan apalah susah sangat untuk meraikan hak mengunting. Apa pun hak yang mungkin diberikan secara eksklusif kepada non-Muslim itu perlu mematuhi norma sosial yang positif kepada keharmonian dan kesejahteraan.

Natijahnya kedai gunting untuk semua jantina hendaklah bebas daripada aktiviti tidak bermoral yang ditegah oleh semua agama. Ia boleh diurus secara baik dan profesional. Apa pun ia terserah kepada kebijaksanaan pihak kerajaan negeri Kelantan dalam merangka beberapa peraturan dan syarat yang telus demi menghormati sensitiviti sosial umat Islam. Jika hal ini dapat diolah secara terbaik, UMNO akan terus ternganga dan non-Muslim akan terus selesa bersama Kepimpinan Ulama.

11 December, 2012

PAU ke-66 mengabsahkan UMNO tidak relevan


Persidangan agung Umno (PAU) ke-66 sudah berlalu dengan meninggalkan pelbagai kesan yang dilihat amat negatif di sisi PAS dan Pakatan Rakyat. Amat negatif kerana di medan persidangan itu terbitnya segala macam fitnah dan putar belit yang langsung ditujukan terhadap PAS dan parti-parti rakan PAS (Pakatan Rakyat). Tidak kurang pula, timbulnya persoalan yang tidak berkesudahan kalangan penyokong Umno kerana sebahagian telah menyaksikan sendiri betapa ruang persidangan tidak dijadikan titik muhasabah berguna bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU13). 

Sebaliknya, banyak ucapan perwakilan termasuk presiden, timbalan presiden, naib-naib presiden, ketua-ketua sayap yang kesemuanya asyik menuding jari dan menghukum PAS dan musuh-musuh politik mereka. Sebagaimana ucapan presidennya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang berleter-leter dan berdegar-degar sehingga terungkapnya kata-kata ‘sampai titisan darah terakhir’ demi mempertahan kuasa di Putrajaya. Ia sudah mengulangi kisah ketiga-tiga sayap Umno ketrika perhimpunan tahun 2011 yang lalu. Justeru ia dilihat semacam Umno sahaja yang layak meratah nikmat se-Malaysia. Kesemuanya telah menampakkan sirip-sirip Umno sudah tidak relevan lagi untuk survival masyarakat Malaysia pada masa hadapan! 

Walaupun begitu, PAS sebagai sebuah gerakan Islam terulung masa kini tidaklah perlu terkilan dengan longgokan kata nista pada persidangan parti asbiah terbesar itu. Sebaliknya PAS harus mengambilnya sebagai cabaran bagi menggalas komitmen yang lebih besar untuk merasmikan nilai-nilai ketidakrelevanan Umno dalam PRU13 nanti. Atas sebab ini, PAS tidak sama dengan Umno.

PAS pengasas se-Malaysia

Realitinya PAS adalah sebuah parti Islam yang cukup relevan dengan ciri-ciri dan impian masyarakat Malaysia. Ia terbukti daripada latar sejarahnya, betapa PAS sejak awal penubuhannya sudah memakai perkataan se-Malaysia. Ketika penubuhannya tahun 1951, PAS sudah sepadan dan dikenali sebagai sebuah pertubuhan untuk se-Tanah Melayu. Selepas itu, berlaku pembentukan Malaysia tahun 1963, maka PAS telah meminda nama dari Persatuan Islam se-tanah Melayu kepada kepada Parti Islam se-Malaysia. Justeru bukti kerelevanan PAS telah mendahului zaman dan ia adalah berkat pemikiran tajam (futuristik) para alim-ulama (asalnya pendukung biro agama Umno dan merupakan bekas pimpinan Hizbul Muslimin yang ditubuh di Gunung Semanggol) yang mengasaskan PAS ketika itu sudah memikirkan konteks masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sejarah penubuhan PAS itu amat berbeza dengan Umno. Ini kerana penubuhan Umno berlaku dalam keadaan menggendung sarat warisan pusaka penjajah yang inginkan penerus kepada cara-cara penjajahan Inggeris. Justeru pengasas Umno tidaklah terfikir akan realiti masyarakat berbilang kaum. Apa yang difikirkan oleh pemimpin Umno hanyalah penyatuan Melayu melalui kempen untuk menyahkan Malayan Union, demi mempertahan raja-raja dan tanah air daripada terus diratah penjajah. Ketika itu pemimpin Umno sedang menggendung sarat segala macam hasutan, sehingga  terperangkap dengan amalan devide and rule bawaan penjajah. Justeru syarat merdeka yang dipasak penjajah pada hati pemimpin Umno ialah masing-masing kaum hendaklah ada kapal sendiri (Melayu-Umno, Cina-MCA dan India-MIC). Maka kapal masing-masing itu hendaklah sedia berlabuh dan terikat kuat di jeti yang sama. Sekiranya Umno sedia menerima syarat itu, barulah penjajah sedia memberi hak merdeka.

Apa pun, Onn Jafar pada masa itu telah mengambil jalan berbeza, beliau sudah melihat konteks hubungan antara masyarakat berbilang kaum. Kemudian pada tahun 1951 Dato’ Onn keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) dan selepas itu  Parti Negara. Nilai ketidakrelevanan Umno sudah berputik apabila pengasasnya sendiri bertindak keluar parti. Ia diikuti pula dengan alim-ulama biro agama Umno. Lalu munculnya PAS dan Onn Jaafar (IMP dan kemudiannya Parti Negara) sebagai parti pesaing Umno. Apa pun IMP dan Parti Negara telah berkubur lebih awal. Tinggallah PAS sebagai pesaing tunggal untuk terus menafikan kerelevanan Umno di sisi masyarakat se-Malaysia.

Kempen 1Malaysia Najib

Kepimpinan Najib menggantikan Pak Lah cuba direlevankan untuk masyarakat Malaysia menerusi kempen 1Malaysia. Ia dilihat pada awalnya sudah memberi nafas segar untuk transformasi politik demi masa depan Umno. Apa pun kesemua impian itu sudah dilihat hodoh, apabila segala-gala gerakan transformasi (baca politik 1Malaysia) yang dibuat Najib semacam ‘cakap tak serupa bikin.’ Ia kedengaran nyaring tetapi tusukanya terlalu lemah untuk diyakini rakyat. Ia berpunca daripada kegagalan Najib sendiri menguasai rakan dan regu dalam Umno dan sesama pemimpin komponen BN.

Justeru indeks sosial, ekonomi dan integriti semakin hari dipertikaikan. Paling besar dipertikaikan apabila pendekataan transformasi membela rakyat (berslogankan rakyat didahulukan) sudah dilihat sebenar adalah membangkrapkan rakyat. Rakyat saban hari dirayu bekerja keras demi transformasi 1Malaysia, tetapi saban waktu pula pemborosan, kronisme, korupsi dan ketirisan telah menyibukkan banyak pihak.

Kini Najib sudah diimejkan dengan transformasi menuju kegagalan apabila beliau sendiri terpaksa memikul tugas sebagai menteri pembangunan wanita, mengitar semula suara lapuk Dr. Mahathir, di samping urusan kewangannya semakin lemah apabila negara turut dibebankan dengan hutang melebihi RM500 billion.

Nyata sekali, projek membangkrap rakyat tetap diteruskan tatkala sistem saman AES dilaksanakan pada saat rakan lamanya seorang tauke karpet, Deepak Jaikishan muncul dengan berkata benar merobek semula kisah pembunuhan Altantuya Shaariibuu, pembelian kapal selam dan kisah penyiasat persendirian Balasubramaniam yang dikatakan membuat pengakuan bersumpah secara dipaksa oleh pihak tertentu yang dikaitkan dengan Najib. Kononnya perancangan awal (menggunakan Deepak dan Balasubramaniam) untuk memberrsihkan maruah Najib.

Kesemunya (isu-isu mengenai Najib dan kelemahan tarnsformasi 1Malaysia) telah tertutup rapat sepanjang persidangan Umno lalu, kerana arahan Najib kepada perwakilan agar menumpukan kepada (strategi menyerang) membongkar identiti PAS dan Pakatan Rakyat pada pandangan puak Umno!

Pasca persidangan yang menggigilkan 

Kajian Sinar Online mengenai keyakinan pembacanya terhadap apa yang berlaku di persidangan Umno dan kesannya setakat yang direkodkan amat mengejutkan sehingga menggigilkan ahli Umno di akar umbi. Tiga persoalan yang dibangkitkan membuktikan pembaca Sinar itu (setakat jam 2 pagi pada 2 Disember 2012) membuahkan tahap keyakinan amat rendah kepada peluang Umno dalam PRU13. Di sebalik persoalan, “susulan perhimpunan agung Umno, jika anda seorang pengundi, parti pilihan anda:” Jawapan diterima hanya enam peratus (255 daripada 4,382 jawapan) yang memilih Umno. Selebihnya adalah PAS sebagai pilihan. Logiknya jawapan itu bersandarkan Umno dalam setiap kali pilihan raya akan berdepan dengan PAS. Justeru PAS menjadi pilihan majoriti kalangan pembaca Sinar online itu.

Kajian online itu juga turut mempersoalkan atas isu, susulan perhimpunan agung Umno iaitu pilihan pembaca sama ada kerjasama (perikatan) BN atau Pakatan Rakyat, maka yang memilih BN hanya enam peratus (272 daripada 3,999 jawapan). Begitu pula di sebalik persoalan, keyakinan terhadap “BN boleh menguasai dua pertiga pada PRU13” juga menunjukkan markah yang mengecewakan Umno. Pembaca yang yakin bahawa BN boleh menguasai dua pertiga hanya lima peratus (266 daripada 4,236 jawapan).

Mungkin kajian itu belum mantap untuk memberitahu hal sebenar, namun sedikit gambaran yang terbuka kalangan pembaca online news seperti Sinar online itu adalah suatu nilai persepsi, betapa Umno sedang bermasalah untuk kembali ke puncak. Justeru senario itu diburukkan lagi oleh coretan bekas Umno, seorang bloger, Aspan Alias sebagaimana dicoretkan (2 Disember 2012) dalam blognya. 

Menurut Aspan, “acuan Umno tidak boleh dipakai lagi, kita terpaksa menukar acuan baru.” Ia cukup pedih dibaca, tetapi itulah pengamatan tajam seorang bekas Umno yang mengamati perjalanan perhimpunan agung Umno lalu berjalan dengan nada lesu, gaya longlai dan langkahnya cukup sumbang. Beliau menggambarkan hampir 60 peratus perhimpunan berjalan tanpa cukup kuorum, penuh dengan ucapan menakut-nakutkan orang Melayu.

Dicoretkan lagi kononnya bila Pakatan Rakyat berkuasa, maka agama Islam akan hilang, Melayu akan hilang, raja-raja akan hilang dan segala-galanya akan hilang. Justeru secara sinis disebutkannya, apakah dengan ahli Umno 3.2 juta daripada 15 juta pengundi itu, maka yang bukan ahli Umno itu berada dalam tidak selamat?

Natijahnya pengamatan Aspan itu ada kebenarannya dan segala-galanya membuktikan kebodohan sudah menguasai pemikiran perwakilan Umno. Lihat sahaja di Kelantan yang telah 22 tahun di bawah kuasa PAS sebagai kerajaan. Apakah Umno boleh membuktikan seramai mana yang mengundi PAS atau seramai 1.3 juta rakyat Kelantan sudah mati kelaparan kerana Umno tidak berkuasa, apakah sultan di Kelantan sudah jatuh dari takhta, dan adakah majlis agama Islam sudah terbubar kerana tiada kuasa Umno dalam hal ehwal agama Islam di bumi Kelantan? Ini semua persoalan ‘gila’ sudah menguasai Umno di bawah Najib. Ia suatu bukti ‘fears factor’ cuba dibawa ke dada masyarakat. Mungkin Umno akan bertambah gila dan takut lagi, bila mana terdengar berita kejayaan Himpunan Kebangkitan Rakyat di Parit Soleh Ros, Muar, Johor (2 Disember lalu), tatkala laporan perisikan yang menggambarkan lautan rakyat bangkit bersama menyatakan sokongan terbuka kepada perubahan kuasa di Putrajaya.

Hanya Allah Maha Berkuasa di atas setiap kuasa, dan sesungguhnya kuasa itu hanyasanya milik mutlak Allah SWT. Justeru mungkin sudah sampai masanya doa “KO BN, BN KO” sedang di perjalanan meresapi setiap hati nurani rakyat se-Malaysia––menerima seruan Pakatan Rakyat.