Sambungan tulisan yang terdahulu...
Berikutnya
dirakamkan nilai-nilai kejayaan yang dicapai oleh Kelantan yang berpandukan
dasar Membangun Bersama Islam. Mudah disebut, ketika menjelang dua dekad tempoh
pelaksanaannya, bahawa banyak produk pembangunan Kelantan
bersifat menerajui perubahan dalam usaha mencapai keberkatan.
Justeru itu, memasuki tempoh dua
dekad (1990-2010), pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam telah banyak membuahkan
program dan projek serta perancangan pembangunan Negeri Kelantan. Dalam tempoh
itu (selama 20 tahun), rakyat Kelantan sudah merasai kesannya yang dapat
dilihat dalam tiga ketegori tema
pembangunan, iaitu kesan ke atas kemajuan
pentadbiran, menaikkan martabat
Islam dan meningkatnya kesejahteraan
rakyat. Meskipun di sebalik catatan ini, tidak dinafikan terdapat
kebejatan aspek pelaksanaannya. Namun,
komitmen dan kesungguhan serta nilai perubahan yang dicatatkan yang berpandukan
syariah adalah sesuatu yang tidak dapat dinafikan.
1. Kemajuan Pentadbiran Kerajaan
1.1 Pentadbiran
Islam
1.1.1 Meluluskan
Pekeliling Pentadbiran Islam Bilangan 1 (1994) Negeri Kelantan yang
menggariskan amalan pentadbiran berkonsepkan dasar Membangun Bersama Islam dan
prinsip pentadbiran, antaranya mengamalkan pentadbiran berteraskan al-ubudiah, al-masuliah dan al-itqaan,
memperkenal dan membudayakan adab membuka majlis/ mesyuarat dengan surah
al-Fatihah dan menutup majlis dengan bacaan al-‘Asr.
1.1.2 Mengutama prinsip penjimatan/tidak berboros dan tanpa membazir di
dalam berbelanja. Antaranya memastikan kenderaan dan perabot rumah dan pejabat
kerajaan dijaga dengan efisen dan ekonomik.
1.1.3 Menganjurkan amalan at-taawun
dalam pelaksanaan projek-projek kecil (konsep gotong-royong) sehingga boleh
menjimatkan kos projek dan memupuk perpaduan.
1.1.4 Menubuh Jawatankuasa Pembangunan Islam peringkat negeri dan
setiap jajahan dan memperkasakan lagi bahagian penguatkuasaan syarii di
jajahan.
1.1.5 Menubuh Jawatankuasa Pembangunan Ummah Mukim (JaPeM) sejak 1995
yang menjadi jentera penggerak pembangunan di peringkat mukim yang boleh
diperkasakan lagi sebagai wadah perpaduan di peringkat grass-root.
1.1.6 Melantik wakil kaum (hak bukan Islam) sebagai ahli majlis di
Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandara Raya Islam (MPKB-BRI).
1.1.7 Mewujudkan
perjawatan khusus (memberi hak) untuk wanita terlibat dengan institusi kerajaan
negeri, antaranya:
i. Melantik wakil wanita sebagai ahli majlis
bagi Majlis Daerah dan MPKB-BRI.
ii. Melantik Penghulu Wanita Tanpa Mukim di
setiap DUN dan parlimen.
iii. Melantik pegawai dan pembantu pegawai dakwah
anggota Unit Dakwah Halaqat
iv. Menubuh portfolio pembangunan wanita dan
Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan yang diurus oleh seorang
ahli Exco wanita.
v. Menambahkan perlantikan guru wanita menduduki
jawatan pengetua-pengetua di sekolah YIK.
vi. Memberi ruang wanita (wakil muslimat) dipilih
sebagai ADUN, ADR, ADN dan ahli Exco, PTN (pengambilan pertama 2007 seramai 15
orang) serta perlantikan politik termasuk Pengarah Urusetia Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Kesihatan.
vii.
Menginstitusikan Skim Bantuan Armalah dengan melantik pegawai armalah di setiap
DUN untuk mengurus program pembangunan insan kepada semua armalah.
1.1.8 Melaksanakan
konsep perbandaran Islam secara menyeluruh di semua bandar melalui pihak
berkuasa tempatan. Ia dimulakan dengan Kota Bharu telah dibangunkan sebagai
perbandaran Islam pertama di Malaysia dengan jolokan Kota Bharu–Bandar Raya Islam mulai November 2005. Antara
perancangan bandar Islam itu ialah amalan seni bina Islam, siaraya dakwah untuk pendengar bandar,
menjadikan masjid-masjid sebagai tumpuan pelancong. Ia diikuti pembudayaan
Islamik di dalam aktiviti harian serta perkhidmatan yang mengutamakan mesra, lestari
dan bersih. Sehingga kini, beberapa majlis daerah turut merancang ke arah
melaksanakan konsep perbandaran Islam seperti Ketereh Bandar Islam dan Bachok
Bandar Pelancongan Islam.
1.1.9 Masa pulang
diperawalkan dan tiada waktu rehat tengahari dalam bulan Ramadhan bagi
membolehkan ibadat digandakan dan membolehkan suri rumah/ kakitangan wanita
membuat persiapan untuk berbuka puasa.
1.1.10 Menamatkan majlis rasmi sebelum waktu sembahyang atau memulakannya
selepas sembahyang.
1.1.11 Mengamalkan pentadbiran yang prihatin dan mesra serta mengambil kira
nilai-nilai kepuasan kerja untuk pegawai dan kakitangan kerajaan negeri.
Antaranya melalui: peruntukan cuti bersalin
lebih panjang kepada ibu-ibu yang bekerja dari 40 kepada 60 hari, jadual
kerja harian pejabat kerajaan negeri dan agensinya
selama lima (5) hari seminggu (Ahad
hingga Khamis), mengisytiharkan hari Sabtu sebagai hari untuk keluarga, dan
hari Jumaat digalakkan sebagai hari ilmu (mengikuti kuliah agama di masjid atau
Dataran Ilmu MPKB-BRI).
1.1.12 Memperkemaskan
lagi Enakmen Keluarga Keluarga Islam Kelantan 1993 (pindaan 1999), antaranya
diperkemaskan dari pengisian borang, jumlah saksi dan syarat pasangan berkahwin
dikehendaki mengambil kursus perkahwinan dan membuat saringan penyakit aids.
1.1.13 Memperkenalkan sistem pendaftaran e-nikah (sejak 2007)
yang sistematik dan kad nikah pintar itu berasaskan teknologi elektronik
canggih yang dapat memuatkan semua maklumat dan dokumen pernikahan.
1.1.14 Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menjadi
agensi pertama melaksanakan pembayaran gaji mengikut kalendar Islam (setiap 25
haribulan Hijriah) bermula 25 Rejab 1430 bersamaan 18 Julai 2009.
1.2 Pengurusan
kewangan
Aspek penting pengurusan kewangan adalah mengamalkan dasar belanjawan ‘Berbelanja Cermat dan
Berhemat’ sejak tahun 1990. Prinsipnya adalah berbelanja mengikut keperluan dan
mengelak perbelanjaan yang tidak berfaedah atau seperti dinyatakan oleh Menteri
Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, “berbelanja jangan sampai boros, berjimat
jangan sampai kedekut.” Dasar Berbelanja Cermat dan Berhemat diterjemahkan
dalam empat strategi yang saling berhubungan, iaitu usaha meningkatkan
produktiviti, sebarang peningkatan kos pengurusan perlu dipantau dan
kawalselia, tumpuan khas perlu diberi kepada projek untuk golongan miskin dan
daif, dan pengurusan dan pentadbiran dana awam diperbaiki. Dalam pada itu,
Kerajaan Negeri Kelantan turut menjadikan Belanjawan Negeri sebagai strategi
untuk menjaga Islam. Justeru dasar Membangun Bersama Islam adalah mengamalkan
dasar belanjawan ‘Berbelanja Cermat dan Berhemat’ secara khususnya menekankan
dimensi kejuruteraan ekonomi dan sosial secara kolektif bagi memperkukuhkan
dimensi pembangunan yang berimbang dari segi material dan rohaniah. Oleh itu,
kerajaan negeri amat komited menjayakan program-program berikut:
1.2.1 Mengasingkan akaun kerajaan antara yang halal dengan yang haram.
1.2.2 Memindahkan simpanan tetap dari bank riba ke Bank Islam.
1.2.3 Mengutamakan amalan tender terbuka dalam pembalakan demi menjamin
hasil yang besar kepada kerajaan negeri dan mencegah ketirisan hasil.
1.2.4 Menubuhkan Tabung Serambi Mekah sejak 1991 bagi menerima pelbagai
sumber derma/sumbangan dan diasingkan sumber halal dan haram untuk pengunaan
awam.
1.2.5 Melaksanakan Sistem Gadaian Islam (ar-Rahn) mulai 1992 dan mengarahkan
semua pajak gadai riba ditukar kepada sistem Islam mulai tahun 1993. Kemudian
sistem pajak gadai itu telah diterima pakai oleh Bank Rakyat tahun 1993 dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam
Malaysia (YPEIM) dan diterima pakai oleh beberapa agensi kewangan lain.
Sehingga kini, Ar-Rahn Kerajaan Negeri Kelantan selain di Kota Baharu telah
membuka cawangannya di jajahan Pasir Puteh, Bachok dan Tanah Merah. Di samping
sedang mengembangkan cawangan ke luar Kelantan. Kini telah dibuka 11 cawangan luar
Kelantan, iaitu di Kuala Lumpur, Kajang, Bentong, Raub, Kuantan, Alor Star dan
Sungai Petani serta Kangar.
1.2.6 Memastikan agensi perniagaan di bawah kerajaan negeri seperti
PKINK dan anak-anak syarikat yang lain dapat membayar zakat daripada wang keuntungannya.
1.2.7 Mengamalkan sistem pinjaman tanpa riba kepada kakitangan kerajaan
dan wakil rakyat, melibatkan pinjaman perumahan, kenderaan dan komputer.
1.2.8 Melancarkan
penggunaan wang syariah (tahun 2010) daripada emas dan perak dikenali “emas
dinar dan dirham” sebagai satu mata wang alternatif untuk simpanan dan
pelaburan serta hadiah. Pihak Permodalan Kelantan Berhad (PKB) melalui Kedai
ar-Rahn telah diberi amanah sebagai agensi pelaksana.
1.2.9
Mengusahakan pelbagai punca hasil baru, antaranya:
i. Mendapatkan bayaran daripada Tenaga Nasional
Berhad atas ganti rugi kawasan perhutanan Empangan Pergau dan mendapatkan
bayaran hasil tahunan daripada penggunaan air untuk menggerakkan tenaga
hidro-elektrik.
ii. Mendapatkan bayaran daripada pelbagai agensi
kerajaan pusat (seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan KESEDAR) atas penggunaan tanah
kerajaan negeri untuk pelbagai projek perladangan getah dan kelapa sawit.
iii. Menggerakkan pihak Majlis Daerah dan MPKB-BRI
membuat kutipan hasil cukai bandar kepada semua bangunan-bangunan kerajaan
negeri dan persekutan – sebelum ini sebahagian besar pemunya bangunan tersebut
(misalnya, bangunan sekolah – pemunya adalah Kementerian Pelajaran) tidak
pernah membayar cukai bandar kepada Majlis Daerah.
iv. Mempercepatkan proses penyelesaian tanah,
kesannya lebih cepat penyelesaian berlaku akan lebih cepat bayaran premium akan
dibayar kepada kerajaan negeri.
1.2.10 Kerajaan
negeri telah menunjukkan kesungguhan di dalam isu tuntutan wang royalti minyak.
Mengambil inisiatif mendapatkan hak royalti minyak daripada Petronas (kerajaan
Pusat) berasaskan perjanjian carigali minyak di kawasan perairan Kelantan yang
termeterai sejak 1975. Ia sebagai punca hasil baru negeri yang tidak dibayar
oleh Petronas sedangkan hasil penerokaan minyak dan gas itu sudah melebihi 10
tahun didaratkan di Songkhla dan disalurkan ke pelantar minyak di Terenganu.
Kerajaan negeri yakin, kandungan perjanjian 1975 dan undang-undang joint development area (JDA) adalah
memberi hak kepada Kelantan mendapatkan bayaran daripada Petronas.
1.3 Amalan bersederhana dan berkebajikan
1.3.1 Penggunaan kenderaan sedia ada untuk MB dan Exco. Pembelian
kenderaan baru untuk MB adalah di atas dasar kenderaan lama yang melibatkan kos
penyelenggaraan yang tinggi dan tidak ekonomik.
1.3.2 Memastikan pimpinan kerajaan negeri termasuk ahli Exco mematuhi
enakmen saraan dari segi penggunaan harta kerajaan termasuk tidak
menyalahgunakan kenderaan khas dan tidak menggunakan kemudahan kerajaan untuk
kempen pilihan raya.
1.3.3 Memotong elaun bulanan untuk tabung kebajikan parti dan potongan
tahunan untuk Tabung Serambi Mekah: Tuan Guru Dato’ Menteri Besar, misalnya
telah memotong elaunnya sebanyak 45 peratus (40 peratus kepada Parti dan 5%
kepada Perbendaharaan Negeri) dan setiap wakil rakyat kerajaan juga memotong
20% kepada tabung kebajikan parti serta setiap pegawai/kakitangan lantikan
politik memotong 5% (antaranya semua pegawai lantikan di Pusat Kajian
Strategik; Urusetia Penerangan, Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan
NGO; Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan; pegawai khas ahli Exco,
termasuk penghulu, ahli majlis dan Bahagian (dulu Unit) Dakwah Halaqat) dan
menggalakkan pegawai/kakitangan awam/badan berkanun yang lain turut membuat
potongan 5% kepada tabung kebajikan parti dan Tabung Serambi Mekah. Hikmah
amalan potongan itu ialah untuk menzahirkan keikhlasan dan pengorbanan untuk
kebajikan awam.
1.3.4 Tuan Guru Dato’ Menteri telah menunjukkan contoh terbaik dari segi
kesederhanaan, meskipun beliau berhak menikmati kesemua kemudahan bertaraf
“lima bintang”. Antaranya:
i. Tidak segera menukar perabot rumah dan
hiasan dalaman Kediaman Rasmi MB.
ii. Lebih 15 tahun tidak menggunakan sepenuhnya
(berjimat-cermat) peruntukan khas Menteri Besar bagi mengadakan sambutan hari
raya sebanyak RM 30,000 dengan tidak menghalang sambutan yang diadakan secara
bersederhana.
iii. Tidak membelanjakan sepenuhnya peruntukan khas Menteri Besar
untuk majlis berbuka puasa sebanyak RM15,000.
iv. Mengembalikan elaun sewa rumah khas Menteri Besar apabila
tidak menduduki kediaman rasmi sebanyak RM 3,000 sebulan. Sebaliknya kekal
tinggal di rumah sendiri di belakang Masjid Pulau Melaka.
v. Tidak menggunakan khidmat pengawal
keselamatan di rumah sendiri.
1.4 Pentadbiran tanah
1.4.1 Melaksanakan prinsip penyelesaian penerokaan tanah kerajaan yang
dibuat oleh mana-mana rakyat sebelum 1990. Sementara tanah yang kerajaan yang
diterokai selepas 1990, langkah penyelesaian dibuat mengikut budibicara dan
pemberian ganti rugi sekiranya tanah berkenaan akan dimajukan oleh pihak
swasta/agensi kerajaan negeri.
1.4.2 Mempermudahkan
urusan pemilikan selepas tanah-tanah dilulusmilik dengan memberi keutamaan
kepada permohonan hak milik tanah yang telah dibayar deposit, menyedia
kemudahan bayaran ansuran untuk premium bagi meringan beban golongan kurang
mampu untuk memiliki tanah, dan menurun kadar bayaran premium tanah.
1.4.3 Mempertingkatkan kutipan tunggakan hasil tanah dan
memperturunkan kuasa kepada Ketua Jajahan untuk memberi kelulusan tanah (yang
kurang 10 ekar) melalui keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Tanah (JHET) jajahan.
1.4.4 Tidak
meminda undang-undang tanah bagi mengelakkan pemilikan tanah akan terlepas
kepada pihak bukan peranakan Kelantan. Kesannya, negeri Kelantan adalah antara
negeri yang memiliki tanah simpanan Melayu yang terluas di negara ini.
1.4.5 Mengadakan
kawalan ke atas tanah-tanah pertanian (terutama sawah padi) daripada bertukar
status kepada tanah bangunan demi mengekalkan kawasan pengeluaran makanan
Negara.
1.4.6 Sentiasa
bekerjasama dengan pihak kerajaan Pusat di dalam menyediakan kawasan tanah dan
membuat pengambilan balik untuk pembangunan bersama/ kepentingan rakyat. Antara
yang terbaru projek Universiti Kelantan di Jeli dan Bachok, projek Taman
Makanan Negara (TEMAN) di Jalan Salor, pembinaan sekolah dan sebagainya.
2.
Meningkatkan Martabat Islam
2.1
Pendidikan Islam––memastikan peningkatan sumbangan
YIK dan YAKIN ke arah menjadikan
negeri Kelantan menjadi hab pendidikan Islam dan wujudnya persekitaran
pembelajaran yang kondusif di Malaysia menerusi:
2.1.1
Memperuntukkan tambahan perbelanjaan pembangunan sekolah YIK untuk
membangunkan bangunan baru dan tambahan kelas, mampu menampung lebih ramai
pelajar dan memberi peluang belajar agama lebih ramai kepada anak tempatan dan
luar negeri.
2.1.2
Memulakan pengajian tahfiz al-Quran melalui penubuhan Maahad Tahfiz
Al-Quran di Pulai Chondong, diikuti dengan Maahad Tahfiz Sains di Tanah Merah.
Kesannya berlaku perkembangan pengajian tahfiz secara meluas termasuk
penganjuran pihak swasta. Sehingga kini pelajar sulung tahfiz telah berjaya
menduduki pelbagai bidang pekerjaan termasuk ahli professional seperti doctor dan engineer.
2.1.3
Menambah bilangan guru terlatih (kursus KDC), tetap dan berelaun.
Ko-kurikulum berpandukan Kementerian Pendidikan (akademik) Sukatan pendidikan
(agama) dari Universiti Al-Azhar Mesir. Memperbanyakkan jawatan guru tetap dan
berpencen (zaman BN hanya 54 orang, di zaman PAS sekarang berjumlah 336 orang).
Menaikan elaun guru sekolah bantuan YIK. Mengembang Pusat Pengajian Pondok YIK
dan mendapat kebenaran untuk melanjut pengajian di Universiti al-Azhar memasuki
tahun dua. Menambahkan peruntukan untuk pengurusan dan pembangunan YIK, dari
RM18 juta (masa BN) kepada RM30 juta dan sekarang bertambah kepada RM60 juta.
Membuka kelas kemahiran dan sains – sains tulen, teknik, vokasional dan perdagangan.
2.1.4
Berikutan perkembangan baik langkah kerajaan negeri memperkenalkan Maahad
Dakwah Wal-Imamah oleh YAKIN sebagai pusat pengajian dan kepimpinan dakwah, ia
telah membawa kepada penubuhan Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra
yang bertaraf IPT yang beroperasi sepenuhnya pada tahun 2000. Sehingga kini,
kolej ini dikenali dengan KIAS telah menarik pelajar dalam dan luar negeri
datang belajar di Kelantan. Lepasan kolej ini boleh melanjutkan pengajian ke
timur Tengah, Indonesia, China dan di semua universiti tempatan. KIAS juga
telah meluaskan lagi hubungan dengan universiti luar negara selain dengan timur
tengah juga dengan Indonesia, termasuk dengan Acheh Darusalam.
2.1.5
Terus memperkasakan komitmen kerajaan negeri terhadap peluang pendidikan
Islam di Timur Tengah termasuk di Universiti al-Azhar Mesir dengan menyedia
kemudahan pinjaman pendidikan menerusi YAKIN (peruntukan lebih daripada RM8
juta setahun) dan menyedia asrama yang berharga RM17 juta di Kaherah, Mesir.
2.1.6
Kini, YIK melangkah lagi dengan memulakan pengajian Kolej YIK di Kok Lanas.
Dikuti dengan perancangan ke arah pembangunan Gua Musang sebagai bandar
pendidikan anjung selatan yang dimulakan dengan pembukaan kelas tahfiz sains
dan pembesaran sekolah YIK sedia ada di Gua Musang.
2.1.7
Menyalurkan bantuan untuk pengajian tahfiz al-Quran,
pelajar pondok (melalui Majlis Agama/MAIK) dan memberi elaun guru tahfiz
(selian guru YIK), di samping guru-guru pondok turut diberi sagu hati bulanan.
2.1.8
Menubuh dan menyalurkan peruntukan khas kepada Perbadanan
Pembangunan Pondok Berhad (badan bukan kerajaan) bagi memastikan berlakunya
pembangunan pusat pengajian pondok secara berterusan.
2.2
Pendidikan awam dan swasta
2.2.1
Menubuh Pusat ICT Desa melalui projek ICT desa di setiap DUN bagi memberi
khidmat kepada pelajar luar Bandar menguasai dan mahir di bidang teknologi
maklumat komunikasi (ICT).
2.2.2
Kelantan telah mencapai taraf hub pendidikan yang lestari dan kondusif.
Ramai penguasaha pusat pendidikan tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) telah
mengembangkan cawangan di Kelantan. Sehinggi kini IPTA yang beroperasi secara
kampus tetap ialah Universiti Malaya di Nilam Puri, UiTM Machang dan UiTM
Kampus Bandar Kota Bharu dan USM Kampus Perubatan Kubang Kerian serta Kolej
MARA, di samping pengajian jarak jauh UKM dan USM. Kini, dibuka satu lagi
universiti baru dengan imej Kelantan, UMK Pengkalan Chepa.
2.2.3
Tidak ketinggalan IPTS yang berasaskan pengajian profesional seperti ITTAR,
PTPL, OUM, Wawasan Open University, KIST dan Masterskill.
2.2.4
Kesan percambahan IPTA dan IPTS secara tidak langsung turut merancakkan
pembangunan ekonomi dan sosial yang berkait serta menjadikan Kelantan pusat
pendidikan terulung pantai timur.
2.2.5
Melaksanakan amalan kebertanggungjawaban sosial kalangan agensi kerajaan
negeri di dalam memastikan pelajar miskin terus dibantu, misalnya melalui
Majlis Agama Islam Kelantan, Perbadanan Menteri Besar dan YAKIN disediakan
bantuan pelajaran bulanan kepada pelajar miskin sewaktu dibangku sekolah lagi.
2.2.6
Selain YIK dan YAKIN, Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) juga bertanggungjawab
mengembangkan pendidikan berasaskan teknologi komunikasi maklumat. Darul
Digital telah ditubuhkan berperanan melahirkan tenaga pakar seni animasi
berasaskan teknologi digital bagi melahirkan animator, pengamal filem yang
Islamik bertaraf antarabangsa.
2.2.7
Mengiktiraf pendidikan pra-sekolah
PASTI sebagai pusat pendidikan Islam dan kelas fardu ‘ain untuk kanak-kanak;
menerima bantuan tahunan sebanyak RM200,000 setahun.
2.3 Pembangunan/pengimarahan
masjid
2.3.1. Menambahkan
peruntukan untuk kemajuan masjid melalui MAIK daripada RM 1 juta kepada RM 2
juta. Selain peruntukan tahunan melalui wakil rakyat untuk membaiki dan
mencantikan masjid serta melengkapkan perlatan baru.
2.3.2 Melantik Ketua Jajahan selaku pengerusi pembanguna Islam
jajahan dan memperuntukan wang pembangunan agama/masjid kepada Pejabat Tanah
dan Jajahan sebanyak RM 100 ribu setahun untuk diuruskan oleh Ketua Jajahan.
2.3.3 Menyalurkan peruntukan untuk pengurusan masjid kepada jawatankuasa
kemajuan masjid mukim.
2.3.4 Menambah elaun imam-imam mukim dan bilal serta siak antara RM 250
hingga mencecah RM400 sebulan. Di samping setiap setiap tahun menjelang
aidil-fitri diberikan saguhati kepada imam-imam solat tarawih di setiap
madrasah dan masjid bukan mukim.
2.3.5 Melaksanakan tabung al-Qardhul Hasan di masjid: Sebuah masjid satu
jajahan, peruntukan tahunan RM 140 ribu, purata RM 10,000 sebuah masjid.
2.3.6 Membekalkan
imam-imam solat tarawih daripada kalangan hafiz setiap tahun ke setiap masjid
jajahan/mukim bagi mengembangkan bacaan al-Quran secara betul (tertil).
2.3.7 Menyalurkan
peruntukan khusus setiap Ramadhan bagi program tadarus al-Quran dan tazkirah
melalui wakil rakyat untuk dilaksanakan di masjid dan madrasah.
2.3.8 Membina
masjid berkonsepkan seni bina Cina Muslim (Masjid Jubli Perak Sultan Ismail
Petra, Rantau Panjang) sebagai simbol perkembangan dakwah awal Islam dan
sebagai syiar dakwah kepada pelbagai kaum, di samping mengiktiraf seni warisan
binaan berkonsepkan Islam meskipun ia berasal dari bukan Melayu.
2.4 Perkembangan
dakwah
2.4.1 Memperkenalkan Unit Dakwah
Halaqat bgai menjalankan aktiviti pengajaran dan kuliah agama kepada orang awam
dan menubuhkan Insititut Latihan Islam bagi melatih bakal-bakal pendakwah.
2.4.2 Memperuntukkan RM 20 ribu
untuk kursus mubaligh, imam dan guru pondok
2.4.3 Menambah bilangan guru-guru
Al-Quran dan fardhu ‘ain, sekurang-kurangnya 50 orang bagi satu DUN.
2.4.4 Memperkemaskan penglibatan
dan hubungan Kerajaan Negeri dengan Jabatan Orang Asli, badan-badan dakwah dan
pertubuhan Islam seperti PERKIM dan ABIM bagi meluaskan lagi aktiviti
pengembangan Islam dan pemurnian akidah.
2.4.5 Mempertingkatkan fungsi
Bahagian Dakwah di Jabatan Agama Islam Kelantan.
2.4.6 Menjemput dan menggalakkan
orang belum Islam menghadiri program kebesaran Islam seperti sambutan hijratul
rasul, berbuka puasa (iftar) dan perayaan dalam Islam.
2.4.7 Menganjur sambutan bulan
Sembahyang, ulang tahun al-Quran dan mempertingkatkan kempen amalan
kecemerlangan solat.
2.4.8 Menganjur sambutan Hari
Hudud setiap tahun.
2.4.9 Memasukkan program Ehya'
Ramadhan sebagai aktiviti ibadat terbuka seperti pelaksanaan Kariah Ramadhan
oleh MPKB-BRI yang menarik kunjungan pelancong dalam dan luar negeri.
2.4.10 Memasukkan acara seni dan
budaya Islam dalam karnival kebudayaan Kelantan dan mempopularkan pertandingan
nasyid di peringkat negeri selain memperkenalkan pementasan hiburan alternatif
berkonsepkan dakwah dan tautan kasih sayang.
2.4.11 Menetapkan Dasar Islam
dalam Dasar Kebudayaan Negeri 1998.
2.4.12 Menguatkuasakan Enakmen
Kawalan Hiburan Negeri 1998 berkonsepkan pendekatan Islam; dan mengemaskini
peraturan kawalan hiburan 1999.
2.4.13 Merekacipta rehal
(simbolik al-Quran adalah perlembagaan hidup rakyat Kelantan) dan sebagai seni
bina menjadi mercu tanda Kota Bharu Kota Budaya.
2.5 Pembangunan
insan
2.5.1 Satu matlamat penting kepimpinan ulamak yang berteraskan dasar
Membangun Bersama Islam ialah untuk melahir sumber insan (human capital) yang menghayati dan menguasai pembangunan insan.
Sehingga kini, gandingan pelbagai pihak dan agensi kerajaan negeri
(bertanggungjawab secara langsung menjayakan program pembinaan iman, taqwa dan
kefahaman agama sebagai ad-din) antaranya:
i. Jabatan Agama Islam melalui
Unit) Dakwah Halaqat (sejak 1991),
ii. Urusetia Pembangunan Wanita,
Belia dan Sukan (sejak 2004 – sebelum dipecahkan bagi membentuk urusetia yang
baru),
iii. Urusetia Pembangunan Insan,
Belia, Sukan dan NGO (sejak 2008 – selepas dipecahkan Urusetia Pembangian
Wanita, Belia dan Sukan),
iii. Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan (sejak 2008
selepas dipecahkan Urusetia Pembangunan Wanita, Belia dan Sukan),
v. Skim Bantuan Armalah (sejak 2007),
vi. Takaful Kifalah (sejak 2007).
Selain itu melalui
beberapa institusi pendidikan sedia ada (KIAS dan YIK) turut merealisasikan
program pembangunan insan kepada pelajar, malah secara khusus KIAS turut
menganjurkan kursus untuk orang awam mengikuti kursus dakwah bersijil melalui
Program Tafaqquh fiddin (sejak 2007). Di samping pihak Perbadanan Pembangunan
Ladang Rakyat turut menubuhkan bahagian pembangunan insan kepada pesertanya.
2.5.2 Melengkapkan
aktiviti pembangunan insan adalah peranan Majlis Daerah dan Majlis Perbandaran
(MPKB-BRI) turut mewujudkan jawatankuasa pembangunan Islam masing-maisng bagi
mendidik dan memupuk kefahaman dan dakwah kalangan warga tempatan.
2.5.3 Sementara
melalui setiap wakil rakyat pula setiap tahun disalurkan peruntukan untuk
menjalankan pelbagai aktiviti kepada semua peringkat rakyat, seperti tadarus
al-Quran, sepanjang Ramadhan, mukhayyam, program mengimarah masjid, dan siri
kuliah pagi Jumaat, forum, ceramah, tazkirah dan kursus kefahaman Islam.
2.5.4 Pihak
jabatan kerajaan negeri dan berkanun juga diarah mengadakan tazkirah berkala
untuk kakitangan di samping mengamalkan budaya kerja berasaskan amalan UMI demi
mencapai integriti dan kecekapan serta kecemerlangan produktiviti.
2.6 Mempertingkatkan
pelaksanaan syariat Islam
2.6.1 Pengharaman premis judi (kedai empat digit/nombor ekor dsb)
berkuatkuasa pada 1 Januari, 1992.
2.6.2 Menutup kelab-kelab malam dan mengharamkan aktiviti hiburan sosial
yang menyebabkan maksiat dan pergaulan bebas serta penagihan dadah dan arak;
melalui penguatkuasaan Majlis Daerah dan MPKB-BRI.
2.6.3 Menghapus kegiatan pelacuran dan pusat-pusat hiburan yang
menjadikan wanita sebagai pelayan atau teman sosial.
2.6.4 Menguatkuasakan peraturan yang mesra wanita dan boleh menaikkan
martabat wanita. Antaranya:
i.
Menggalakkan dan menguatkuasa etika pakaian Islam
(menutup aurat) bagi kakitangan awam (wanita) yang beragama Islam, sementara
bagi bukan Islam dianjurkan berpakaian sopan dalam menjalankan urusan
(bertugas) dan peraturan ini dijadikan syarat pengeluaran lesen premis
perniagaan oleh pihak berkuasa tempatan. Di samping mempertingkat kesedaran
menutup aurat kalangan semua muslimah, termasuk peniaga
ii. Pengawalan kedai gunting (salon) agar tidak
berlaku manipulasi tukang gunting wanita yang memberi khidmat bergunting/urut
kepada lelaki (bukan mahram).
iii. Melaksanakan kaunter bayaran berasingan antara
lelaki dan wanita di pasaraya.
iv. Mengamalkan pengasingan tempat duduk antara
wanita dan lelaki bagi majlis rasmi kerajaan, jamuan makan dan perhimpunan awam
anjuran kerajaan negeri, dan digalakkan dipraktikkan oleh semua pihak.
v. Tidak membenarkan papan tanda perniagaan atau
promosi yang memperagakan wanita terdedah aurat atau mana-mana yang bercanggah
dengan Islam.
2.6.5 Menyusun semula penjualan arak mulai 1 Julai, 1993 dengan
mengambil kira kedudukan premis yang khusus (boleh menjual dan meminum) untuk
bukan Islam dan larangan di tempat awam (hotel, restoran ataupun pasaraya) yang
menjadi kunjungan majoriti orang Islam.
2.6.6 Menutup pusat hiburan, permainan snooker dan biliard yang
berkonsepkan judi dan pergaulan bebas. Sebaliknya membenar pusat snooker
berkonsepkan kesukanan.
2.6.7 Pemasangan papan tanda
(pihak Majlis Daerah dan MPKB-BRI) berunsur dakwah, berpandukan ayat al-Quran
dan doa serta seruan mengamalkan cara hidup sihat.
2.6.8 Meluluskan Enakmen Kanun
Jenayah Syariah II (1993) dikenali sebagai enakmen hudud sebagai bukti
kesungguhan untuk memartabatkan undang-undang jenayah Islam, meskipun kuasa
pelaksanaannya masih tergantung disebabkan batasan Perlembagaan Persekutuan.
2.6.9 Walau bagaimanapun, di bawah bidang kuasa Perlembagaan Negeri yang
tiada halangan/batasan daripada Perlembagaan Persekutuan, pihak kerajaan negeri
terus komited dengan mengislam dasar dan enakmen-enakmen, antaranya:
i. Meluluskan Dasar Kebudayaan
Negeri 1998 berteraskan prinsip Islam.
ii. Meluluskan Enakmen Kawalan Hiburan
Negeri1998 yang mengutamakan penguatkuasaan nilai-nilai hiburan menurut Islam.
iii. Meluluskan Dasar Pelancongan
Negeri 1998 yang berprinsipkan Islam.
iv. Meminda Enakmen Keluarga Islam
(1993) tahun 1999 agar lebih kemas dari segi hukum kekeluargaan Islam.
v. Meluluskan Dasar Wanita Negeri
2000 yang menerapkan nilai-nilai Islam – termasuk mempraktikkan amalan bersukan
secara Islam melalui penganjuran Sukan Wanita Islam dan menyediakan tempat
bersukan khas untuk wanita.
vi. Meluluskan Dasar Belia Negeri
2001 yang mengutamakan pendekatan Islam
vii. Menjadikan nilai-nilai Islam
di dalam kegiatan pencegahan maksiat sosial dan gejala sosial.
viii. Mengiktirafkan modul
pencegahan secara Islam (melalui Pondok Islah Baitul Taubah di Jeram Pasu,
Pasir Puteh sejak 2007) bagi pemulihan penagih dadah dan menganggapkan
penagihan dadah adalah maksiat yang perlu dicegah bukan sekadar dirawati.
3. Pembangunan
kesejahteraan rakyat
3.1 Pembangunan
keimanan (spiritual) dan tradisi
Islam
3.1.1 Melaksanakan projek Desa Taqwa sejak 1997 dan sehingga kini
terdapat 100 buah kampung bertaraf Desa Taqwa yang layak mendapat pembiayaan
program sebanyak RM50 ribu setahun.
3.1.2 Memastikan setiap pasar awam terdapat kemudahan beribadat bagi
memudahkan pengunjung dan peniaga bersolat, di samping menganjur kuliah agama
(waktu zohor) seperti mana di Pasar Besar Siti Khadijah berpusat di Masjid
Baraah.
3.1.3 Mendidik masyarakat dengan zikir dan ayat al-Quran dengan cara
mempamerkan melalui papan-papan tanda di setiap sempadan antara jajahan/kawasan
majlis daerah, di pintu masuk negeri seperti di Gua Musang, Pasir Puteh, Jeli
dan Lapangan Terbang.
3.1.4 Memperluaskan
penggunaan replika rehal pada tiang bangunan, mercu tanda di Bulatan Jam Besar
Kota Bharu dan pintu gerbang Istana Kota Lama, di samping menghiasi tiang-tiang
lampu dengan kalimah suci sebagai simbol ketakwaan dan pegangan teguh kepada
ajaran Islam.
3.1.5 Mempamerkan
seruan Islam (ayat-ayat suci) melalui papan tanda (billboard) yang mengajak rakyat beramal, beriman, berakhlak mulia,
menjaga kebersihan hati dan jiwa serta menggalak solat, menutup aurat dan
mengindari maksiat – di pasang di pusat-pusat tumpuan umum/orang ramai.
3.1.6 Menguatkuasakan
penggunaan tulisan jawi di peringkat kerajaan negeri (buku harian rasmi
kerajaan, minit mesyuarat ahli Exco, papan tanda), penguatkuasaan di peringkat
jajahan dan majlis daerah yang mengenakan syarat/isentif bagi penggunaan
tulisan jawi di papan perniagaan, nama jalan, nama premis pejabat dan tempat awam
dan penganjuran pertandingan tulisan khat oleh YIK dan Jabatan Hal Ehwal Agama
Islam. Begitu juga mengekalkan tulisan jawi sebagai tulisan rasmi dalam
peperiksaan di sekolah-sekolah YIK.
3.1.7 Penerapan
unsur dakwah dan kerohanian di dalam seni dan budaya termasuk lirik dikir
barat, nasyid dan puisi serta dijayakan melalui pertandingan di peringkat
negeri.
3.2 Pelancongan berteraskan
Islam
3.2.1 Menjadikan
tradisi Islam sebagai produk tarikan pelancong antaranya:
i. mempromosikan
program Ehya’ Ramadhan dan Kariah Ramadhan di pekarangan Stadium Sultan
Muhammad Kota Bharu,
ii. memperkenalkan
homestay ibadat di pondok Pasir
Tumbuh,
iii. merancang bandar satelit Islam di Pasir
Tumboh,
iv. mempopularkan tempat-tempat bersejarah Islam seperti Masjid Kg Laut
Nilam Puri, Masjdi Pondok Tok Kenali, dan Masjid Lama Mulong kerana mengekalkan
seni bina tradisi serta Muzium Islam di Kota Bharu
v. mengguna
pakai nama-nama tokoh Islam terkemuka di pusat aktiviti perniaga seperti Pasar
Siti Khatijah di Kota Bharu, Pasar Siti Aisyah di Kuala Krai, dan Bazar Tok
Guru di Kota Bharu serta Pusat Perniagaan Saidina Ali di Kok Lanas.
vi. mengukuhkan lagi faktor tarikan pelancongan yang sedia ada dengan
sifat keunikan budaya beragama – masjid pusat pengajian Islam yang formal,
kuliah pagi Jumaat di bandar Kota Bharu-BRI dengan mengisytiharkan Jalan Dato’
Pati sebagai Dataran Ilmu.
vii. Memperluas penggunaan tulisan jawi di papan
tanda, billboard dan nama-nama
tempat.
viii.Memperluas
papan-papan tazkirah dan ayat-ayat al-Quran serta kalimah suci sebagai hiasan
bandar yang berunsur dakwah.
ix. menggalakkan seni arkitektur Islam bagi bangunan baru di Kota
Bharu, dan di bandar-bandar lain.
3.2.2 Memulakan
pengurusan hotel Islamik oleh Permodalan Kelantan Berhad (PKB) yang pertama
menerusi projek perintisnya di Hotel Ansar Kota Bharu – menyediakan kemudahan
bilik penginapan yang dilengkapi arah kiblat, sejadah solat dan al-Quran serta
musalla. Di samping menyediakan pakej pelancongan Islam (temasuk lawatan ke
pusat pengajian pondok), kakitangan menutup aurat dan hiasan dinding
berkonsepkan dakwah dan doa.
3.2.3 Sedang
merancang menjadikan Pusat Pengajian Pondok sebagai destinasi pelancongan utama
menerusi pondok homestay yang bakal menarik pelancong Islam bertaraf antarabangsa.
3.3.4 Mengisytiharkan
sepanjang PCB sebagai Zon Warisan Tardisi
yang rapat dengan budaya Islam sebagai langkah pengiktirafan seni
tempatan untuk tarikan pelancong.
3.3 Pembangunan ekonomi
3.3.1 Terus mengekal dan memajukan ekonomi pertanian sebagai economic base ke arah memacu ekonomi
rakyat, di samping memastikan Kelantan sebagai jelapang makanan negara dan
menjadi ekonomi teras kepada kejayaan Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang
dilancarkan pada 2007. Bagi memastikan tercapainya matlamat ini, kerajaan
negeri kepimpinan ulamak terus komited:
i. Menggubal Dasar Pertanian Negeri 2001 dan
merangka pelan strategik yang terawal berbanding negeri-negeri lain, di samping
bekerjasama dengan agensi keajaan pusat bagi menjayakan Dasar Pertanian Negara.
ii. Menjadikan PKINK melalui syarikat Kumpulan
Pertanian Kelantan Bhd sebagai peneraju sektor perniagaan tani, pengeluaran
input tani, pemasaran hasil tani dan pertanian tanah tinggi Lojing; memperkasa syarikat
Ladang Sungai Terah peneraju sektor perladangan sawit, getah dan perkilangan
sawit dan getah.
iii. Mempelbagai aktiviti penanaman, penternakan
dan perkilangan melalui penglibatan syarikat swasta dengan menyedia tanah dan
pelbagai insentif terutama di dalam memajukan kawasan tanah kerajaan di jajahan
Jeli, Gua Musang dan Kuala Krai.
iv. Menyedia pelbagai kemudahan termasuk subsidi baja dan input bagi
penanaman padi, dan menggalakkan penggunaan teknologi organik dalam perladangan
padi.
v. Menubuhkan Kelantan Biotech sejak 2007 (anak syarikat Perbadanan
Menteri Besar Kelantan) sebagai teras penerokaan teknologi-bio bagi memacu
pembaharuan industri pertanian.
vi. Menggalakkan generasi belia menceburi bidang pertanian sebagai asas
usahawan melalui kempen “bertani satu ibadah” pada 2009 dan menyahut seruan
kerajaan pusat “pertanian adalah satu perniagaan”
3.3.2 Mempelbagaikan
kegiatan PKINK dalam bidang perlombongan, pembalakan, perladangan, hartanah
serta pembinaan. Di samping terlibat aktif di dalam usaha melahirkan usahawan
Bumiputera yang berjaya di dalam berbagai-bagai bidang perniagaan, pertanian
dan perkhidmatan.
3.3.3 Mempertingkat
usaha penanaman semula hutan (reforestration)
menerusi Projek Tanaman Ladang Hutan oleh Jabatan Hutan, Kumpulan Perkayuan
Kelantan (anak syarikat PKINK), Yayasan Kelantan Darul Naim (YAKIN), Yayasan
Islam Kelantan (YIK) dan projek penanaman getah klon sebagai sumber balak.
3.3.4 Menyekat
pembalakan haram dan menambahkan penguatkuasaan ke atas kegiatan tersebut dan
memastikan pemuliharaan kawasan hutan simpan kekal.
3.3.5 Memperbadankan
Syarikat Ladang Rakyat sebagai syarikat kerajaan negeri (GLC) yang memajukan
industri perladangan dan membuka para peserta (seluruh negeri) kalangan rakyat
yang layak bagi menerima keuntungan setiap bulan.
3.3.6 Memacu
pertumbuhan bandar baru, kemudahan bangunan perniagan, projek perumahan dan
perladangan sawit melalui GLC. Antaranya Perbadanan Menteri Besar Kelantan
(PMBK) telah memajukan Bandar Baru Tunjung dan perladangan kelapa sawit.
3.3.7 Mewujudkan
penyelarasan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi memastikan
berlaku pelaburan dari dalam dan luar negeri bagi memajukan pelbagai projek
ekonomi di Kelantan. Antaranya, diwujudkan:
i. Pusat Serenti Perindustrian
ii. Menyediakan skim galakan pelaburan.
iii. Menganjurkan promosi pelaburan di luar negera,
terutamanya ke Republik Rakyat China, Indonesia, Amerika Syarikat, Jepun,
Singapura, Kuwait dan Amerate Arab Bersatu.
3.3.8 Memaju dan
memberi kerjasama kepada pihak yang menjayakan pelbagai projek untuk kemudahan
dan kemajuan ekonomi negeri seperti Projek Kemasin-Semerak, Empangan Pergau dan
penyediaan tapak perindustrian.
3.3.9 Pelancaran projek Kelantan Koridor Depu pada pertengahan tahun
2008 dengan mengusahakan penanaman pokok depu/karas bagi pengeluaran gaharu
untuk industri minyak wangi-wangian berteraskan teknologi manipulasi suntikan
yang menghasil gaharu. Sehingga kini projek ini telah menjana hasil sekitar
10,000 kilogram sebulan.
3.3.10 Pelancaran program pertanian berkonsepkan “Bertani satu Ibadah”
sempena Hari Peladang peringkat negeri Kelantan pada 20 Julai 2009. Tujuan
utama untuk melahirkan petani yang berjaya di dunia dan akhirat serta memautkan
keinsafan bahawa golongan petani, nelayan, penternak dan pekebun sentiasa
mendapat keberkatan Allah sekiranya dipautkan dengan niat beribadat.
3.4 Pembangunan
prasarana
3.4.1 Mempertingkat fungsi Pejabat Pembangunan Negeri dalam
menyelaraskan projek-projek di kampung-kampung.
3.4.2 Mempertingkat peranan Pejabat Tanah & Jajahan dengan
memberi kuasa kepada Pegawai Daerah untuk melaksanakan projek jajahan.
3.4.3 Meneruskan semua pelaksanaan pelbagai projek kecil dan
kesejahteraan rakyat - mengetar, menaik taraf dan membatu jalan, membina parit
dan saliran, menyedia input pertanian, membina dan membaiki jambatan, kalbot
(saluran air), wakaf dan seupamannya:
i. Menyalur peruntukan kesejahteraan melalui
wakil rakyat – membaiki rumah, belalan air bersih, bekalan elektrik, projek
infratruktur awam.
ii. Mempertingkat peranan Majlis Daerah dan MPKB dalam
menyediakan pelbagai kemudahan dan perkhidmatan untuk semua rakyat. Setiap ahli
majkis disediakan peruntukan khas bagi menjalankan projek-projek kecil di zon
masing-masing.
3.4.4 Melaksanakan
dasar ‘rumah tiga bilik’ bagi setiap projek perumahan, demi mewujudkan hubungan
mesra keluarga mengikut syarak: satu bilik untuk ibu-bapa, satu bilik untuk
anak lelaki dan satu bilik lagi untuk anak perempuan.
3.5 Pembinaan masyarakat madani
(civil society)
3.5.1 Selain
mengutamakan kesejahteraan rakyat, kerajaan negeri juga amat prihatin kepada
isu-isu kewanitaan, maka kerajaan negeri berusaha melaksanakan program-program
berlandaskan kehendak Dasar Wanita Negeri Kelantan. Antaranya:
i. Pembinaan Hospital An-Nisa, salah sebuah
pusat bersalin milik kerajaan negeri, selain menggalakkan pembukaan hospital
bersalin anjuran swasta.
ii. Anugerah Ibu Mithali sebagai mengiktiraf
kejayaan ibu-ibu di dalam mendidik anak-anak
dan mencapai kecemerlangan kekluargaan.
iii. Perayaan Hari Ibu-bapa sebagai usaha mengajak
anak-anak mengingati jasa ibu-bapa kepada masing-masing sesuai dengan prinsip ‘syurga
di bawah tapak kaki ibu.’
iv. Berusaha mengembangkan konsep keluargaku
syurgaku melalui penggubalan ‘dasar keluarga mawaddah’ mulai tahun 2009.
3.5.2 Prihatin kepada warga emas sebagai golongan yang dilayan mesra
melalui pelbagai program kerajaan negeri, antaranya:
i. Memperluaskan Skim Perlidungan
Sosial Warga Emas dengan menyediakan pelan takaful kifalah kepada
semua warga emas berumur 60 tahun ke atas.
ii. Mewujudkan bantuan pesakit
kronik dengan mengutamakan warga emas kurang mampu bagi menampung kos rawatan.
iii. Menggalak penubuhan Kelab
Vateran di peringkat jajahan dan DUN sebagai saluran kerajaan menyediakan
bantuan untuk aktiviti sosial mereka.
iv. Menyalurkan bantuan rumah
dhuafat dengan keutamaan kepada keluarga warga emas yang tidak berumah. Melalui
bantuan itu, rumah mereka dibina baru ataupun diperbaiki mana yang patut
diperbaiki.
3.5.3 Mengiktiraf
peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai langkah membantu menjayakan
dasar dan program anjuran kerajaan negeri, terutama NGO berorientasikan dakwah,
belia, wanita dan aktiviti kebudayaan dan kesenian. Misalnya, kerajaan negeri
telah menubuhkan portfolio NGO yang diuruskan oleh ahli Exco melalui Urusetia
Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO. Antara NGO yang mendapat bantuan ialah
NGO dikir barat yang telah berjaya menjadikan pentas hiburan konsep Islam yang
menyebarkan nilai-nilai hidup Islam menerima hiburan.
3.5.4 Keprihatinan
dengan kehidupan rakyat: Mempertingkatkan usaha membantu rakyat dhaif dan
miskin melalui MPKB-BRI (menghapuskan bayaran lesen beca roda tiga, mengenakan
bayaran lesen berpatutan kepada penjaja), Jabatan Pertanian (input pertanian, tanaman
kelompok), Pejabat Pembangunan Negeri (bantuan bekalan eletrik, bekalan air bersih,
skim subsidi baja padi, bekalan anak benih tanaman dan input nelayan), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (ternakan
lembu, kerbau, kambing, biri-biri, ayam itik).
3.6 Kebaikan
di dunia dan kesejahteraan di akhirat
3.6.1
Persepsi dan keyakinan rakyat: Sehingga kini, rakyat Kelantan masih menaruh keyakinan
kepada kepimpinan dan ketokohan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz untuk terus
memimpin kerajaan negeri. Asas keyakinan adalah kepimpinannya yang berakhlak,
bersederhana, bebas daripada penyelewangan, melayani denyut rasa rakyat, tidak
pernah serik menyumbang ilmu kepada masyarakat dan ikhlas serta tawaduk.
3.6.2
Cabaran: Persekitaran sosial dan kehidupan beragama adalah serasi dengan jolokan
Kelantan, negeri Serambi Mekah. Namun, suasana aman, sejahtera dan selesa,
kebelakangan ini tercabar dek pengaruh luar akibat kedudukan bersempadan
Thailand menjadikan Kelantan sebagai laluan perniagaan haram seperti
penyeludupan dan pengedaran dadah antarabangsa. Akibat tahap penguatkuasaan
yang mencabar (seperti Kastam, Polis, Imigresen, Maritim) yang dikawal kerajaan
Pusat, kesannya berlaku penularan maksiat dadah, jenayah dan keruntuhan sosial
remaja. Walau bagaimanapun, usaha pembangunan insan kalangan rakyat dan pelajar
YIK sedikit sebanyak mengurangkan peningkatan gejala sosial dan jenayah yang
tidak diingini. Namun, cabaran ini herus diberi perhatian serius demi membina
jari diri dan pemupukan generasi pewaris perjuangan.
3.6.3
Istiqomah: Pelaksanaan syariat Islam tetap
menjadi keutamaan dan prinsip perjuangan kepimpinan ulamak. Menerusi ruang
kuasa dan bidang pentadbiran kerajaan negeri, usaha secara praktikal pihak
kerajaan negeri tetap disempurnakan dengan pemakaian/pindaan enakmen dan
pelbagai peraturan Islam mengikut kemampuan (kuasa yang ada). Bermula dengan
semuadah peraturan, dilakukan penguatkuasaan pakaian menutup aurat, pengharaman
judi dan melulus Kanun Jenayah Syariah II (Hudud) adalah pencapaian cemerlang
kepimpinan ulamak di Kelantan. Ia tidak berlaku di negeri-negeri yang
diperintah oleh kerajaan Barisan Nasional, sedangkan mereka memiliki kuasa di
peringkat pusat. Bermakna, kesungguhan menegakkan syari’at hanya berlaku di
Kelantan. Oleh itu, kerajaan di bawah kepimpinan ulamak dengan dasar Membangun
Bersama Islam di Kelantan adalah model terulung di dunia yang berjaya melakukan
pemerkasaan usaha ke arah mendaulatkan Islam. Berikut adalah catatan kejayaan
itu:
·
Kemuncak usaha itu ialah meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993
(HUDUD) pada 25 November 1993, meskipun Perdana Menteri waktu itu mengugut dan
menghalangnya secara bertulis menerusi surat rasmi (8 Jun 1994), di samping
mentohmah undang-undang Islam sebagai sebagai “hudud zalim”, “tidak adil” dan
“hudud PAS”. Maka, di manakah jiwa agama pemimpin dan penyokong Barisan
Nasional.
·
Sehingga kini, tiada seorangpun pemimpin Barisan Nasional yang tampil
memohon maaf kepada kepada seluruh umat Islam atas kerja-kerja zalim yang
menyekat terlaksananya syariat di Kelantan.
3.6.4
Terus membangun: Walau apapun, di sebalik penolakan pihak tertentu (yang tidak mengiktiraf
kejayaan kepimpinan ulama di Kelantan), realitinya negeri Kelantan tetap di
bawah limpahan taufik dan rahmah Allah SWT. Maka, berlakunya pembangunan
lestari, selari dan berkat dengan izin Allah dan sedang dinikmati rakyat. Di
sebaliknya, keupayaan kewangan yang terhad telah mendorong penjimatan dengan
amalan berbelanja secara berhemat; tiada ketirisan, sogokan, dan kekal sebagai
negeri yang bebas daripada amalan rasuah – Kelantan terus membangun.
3.6.5
Rakyat didera: Ada pihak yang memeiliki kuasa di peringkat Pusat mahupun konco-konconya tidak
senang dengan sokongan rakyat di Kelantan terhadap pentadbiran Memabngun
Bwersama Islam, mereka melakukan apa sahaja untuk merungkai keyakinan rakyat.
Tidak cukup dengan itu, mereka sanggup mendera rakyat Kelantan, termasuklah
tindakan yang di luar batas-batas Perlembagaan Persekutuan. Di antara apa yang
mereka lakukan ialah mengalih pendaratan minyak dan gas ke Songkhla, sedangkan
ia hak rakyat Kelantan. Tidak membayar wang royalti minyak kepada Kelantan,
sedangkan perjanjian dengan Petronas telah termaktub sejak 1975. Natijahnya,
rakyat Kelantan tidak mudah termakan permainan kuasa dan helah politik pemimpin
yang sedemikian. Semoga rakyat Kelantan terus yakin dengan kepimpinan ulama
sampai bila-bila.
3.6.6 Kemajuan 20 Program Menerajui Perubahan: Rumusan daripada perkembangan selama dua dekad
pelaksanaan pentadbiran Membangun Bersama Islam negeri Kelantan telah
merakamkan sekurang-kurang kemajuan 20
Program Dasar “Membangun Bersama Islam – Menerajui Perubahan” yang kini
mendapat establishment dan manfaat
besar pelbagai pihak. Kesemuanya
diringkaskan dalam jadual yang berikut.
Bil.
|
Program/projek
|
Pihak
pemanfaat
|
1
|
Sistem gadaian Islam
ar-Rahn di bawah Permodalan Kelantan Berhad.
|
Bank Rakyat - sistem
pajak gadai ar-Rahnu; YAPEIM. Kini turut dilaksana oleh Bank Islam.
|
2
|
Peraturan pembinaan rumah
kos rendah – tiga bilik.
|
Pemaju Perumahan
|
3
|
Skim bantuan rumah dhu’afat
|
Membantu beban golongan
miskin, kini ditiru oleh Kerajaan Pusat sebagai projek rumah mesra rakyat.
|
4
|
Kurikulum pendidikan sekolah
YIK telah diterima pakai oleh sekolah agama di negeri lain.
|
Johor dan Sarawak;
termasuk di luar negera (Singapura, Kampuchea)
|
5
|
Sukatan peperiksaan STU
diterima sekian lama sebagai saluran memasuki pengajian di Universiti
al-Azhar Mesir.
|
Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) menerima idea STU ini
dan telah melahirkan STAM (ganti STU) sebagai syarat masuk universiti
tempatan dan Al-Azhar Mesir.
|
6
|
Kurikulum Pendidikan
Sepadu YIK (pengajaran selari pendidikan Islam dengan sains-iktisas) berjaya melahirkan
pelajar cemerlang.
|
Pihak KPM secara tidak
langsung telah mengesahkan kelebihan kurikulum sepadu YIK apabila memasukan
aliran agama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)
|
7
|
Amalan tazkirah di
pejabat-pejabat Kerajaan Negeri telah diterima secara meluas.
|
Seluruh negara oleh
swasta/korporat/bank.
|
8
|
Amalan tazkirah dalam
waktu solat tarawih di masjid dan surau.
|
Di seluruh negara.
|
9
|
Sekolah tahfiz al-Quran
telah berkembang pesat atas usaha Kerajaan Negeri Kelantan
|
Selepas itu berkembang di
seluruh negara, termasuk inisiatif swasta.
|
10
|
Perbankan Islam dicetus
di Kelantan ekoran tindakan memindah akaun kerajaan kepada Bank Islam
|
Merangsang bank-bank
konvensional membuka kaunter Sistem Perbankan Tanpa Faedah/Sistem Perbankan
Islam.
|
11
|
Penggunaan wang syariah
beteraskan emas dan perak melalui Dinar dan Dirham Kelantan mendapat sambutan
hangat dan alternatif dalam sistem pertukaran/perniagaan.
|
Kelantan mendahului
negeri-negeri lain, termasuk menjayakan hasrat Dr. Mahathir sebelum bersara
dari Perdana Menteri; menambahkan lagi produk perniagaan Islam untuk
menghalang riba.
|
12
|
Mencetuskan produk
pelancongan Islam – industri pelancongan agama dengan menjadi masjid, pusat
pengajian pondok, dan bulan Ramadan sebagai produk agama, termasuk membuka
Kariah Ramadan setiap tahun.
|
Memberi ilham kepada
kemajuan industri pelancongan negara untuk menarik pelancong umat Islam dari
negara Arab datang ke Malaysia. Pihak Kementerian Pelancongan pula turut
menubuhkan Pusat Pelancongan Islam dan Kebudayaan Malaysia.
|
13
|
Cuti hari Sabtu/dua hari
dalam seminggu bagi pejabat Kerajaan Negeri
|
Diterima pakai oleh
Kerajaan Pusat.
|
14
|
Pengisytiharan Kota Bharu
Bandar Raya Islam, November 2005
|
Dtiru oleh Kerajaan
Terengganu – Kuala Terengganu Bandar Raya Pesisir Air.
|
15
|
Cuti bersalin 60 hari
bagi kakitangan awam wanita
|
Diterima pakai di
Terengganu (era pentadbrian PAS) dan dipakai oleh Kerajaan Pusat.
|
16
|
Memula dan menangguhkan
majlis/mesyuarat berpandukan “etika pentadbiran Islam” membaca
al-Fatihah/al-Asri dan tasbih kafarah
|
Dipakai oleh Kerajaan
Pusat – dibuat pengubahsuaian, antaranya bacaan al-Fatihah diubah kepada
bacaan doa.
|
17
|
Membina masjid seni bina
tradisi Cina untuk Masjid Keputeraan Sultan Ismail Petra (dikenali Masjid
Beijing) di Rantau Panjang tahun 2008.
|
Ditiru oleh Persatuan
Muslim Cina Malaysia dan JAKIM.
|
18
|
Melaksanakan skim khairat
kematian “takaful kifalah” untuk warga emas.
|
Turut dilaksanakan di
negeri Pulau Pinang, Selangor dan Kedah. Kemudian ditiru oleh pihak Barisan
Nasional atas nama “Takaful Merdeka.”
|
19
|
Merakyatkan pembangunan
menerusi projek “Ladang Rakyat.”
|
Diterima pakai Kerajaan
Selangor sebagai “merakyatkan Ekonmi Selangor (MES)”; turut ditiru oleh
Perdana Menteri – dijadikan slogan “...rakyat didahulukan.”
|
20
|
Berkat pentadbiran Islam
yang menaungi rakyat, kini seruan ‘Allahu Akbar’ telah mendapat ampun
perkenan Tuanku Sultan Muhammad ke-V menggantikan seruan tradisi ‘daulat
tuanku’
|
Natijah ini telah
melengkapkan fungsi dan kedudukan Al-Sultan sebagai Ketua Agama Islam di
Negeri yang dilihat telah mendahului negeri-negeri lain ke arah memartabatkan
Islam sebagai dasar mentadbir negeri.
|
Keyakinan bersama harapan rakyat
Pengisian Membangun Bersama Islam kini melangkah maju memenuhi harapan
rakyat, sekaligus adalah memenuhi maksud ‘pembangunan’ yang menjurus kepada
wujudnya ciri-ciri keislaman dalam diri individu, keluarga, sosial dan
kehidupan umat serta keislaman di dalam pengurusan kerajaan negeri. Penegasan
makna ini adalah selari dengan penegasan yang menyatakan dinamisme umat sendiri
untuk berada dalam keadaan Islam.
Justeru itu,
intisari pembangunan Negeri Kelantan berdasarkan Membangun Bersama Islam
merupakan suatu pelaksanaan pembangunan yang selari dan seimbang antara dua
tuntutan hakiki, iaitu kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat. Dua
tuntutan ini adalah dicapai menerusi program dan projek yang seiring dengan
kehendak Maha Pencipta dan hasrat semua rakyat.
Natijahnya, Kelantan kini terkenal sebagai Negeri Berkebajikan untuk
semua rakyat. Sekaligus mencetuskan persepsi rakyat, betapa model pembangunan
Islam berteraskan dasar Membangun Bersama Islam yang diterajui kepimpinan
ulama’ komitmen pemimpinnya adalag bersedia menebarkan kebaikan dan
kesejahteraan untuk generasi masi kini dan masa depan.
Karya: Dr Wan Nik Wan Yussof.