07 October, 2017

Polemik PAS: Sasaran 40 Kerusi

Akhbar Sinar Harian memetik kenyataan Setiausaha Agung PAS seperti mana berikut, 
PAS sasar tanding lebih banyak kerusi
23 September 2017

30 September, 2017

PAS menuju 'kingmaker'

PAS sebagai sebuah parti yang meletakkan perjuangan Islam sebagai dasar. Ini bermakna sasaran keorganisasiannya adalah bagi menguruskan kepentingan umat Islam yang terdiri daripada kepelbagaian latar belakangnya. Paling utama, PAS seharusnya meletakkan keutamaannya ialah untuk menguruskan kepentingan umat Islam yang majoritinya adalah orang Melayu. Ia bermakna segala kepentingan hak-hak kehidupan dan kuasa politik umat Islam hendaklah dijadikan agenda perjuangan PAS agar selari dengan ajaran Islam dan Perlembagaan Negara.

Sehubungan itu, misi PAS menggapai kemenangan 40 kerusi parlimen dalam PRU ke-14 nanti adalah suatu 'kejaran' yang realistik. Ini berdasarkan jumlah bahagian parlimen dari segi komposisi kaumnya yang majoriti pengundi Melayu dan dimenangi antara PAS dan UMNO dalam PRU lalu ialah sebanyak 107 kerusi (UMNO 86; PAS 21). Maka PAS menyasarkan setakat 40 kerusi. Apa pun di dalam pilihan raya lalu, jumlah kerusi UMNO itu termasuk kawasan Melayu/Bumiputera di Sabah. Sementara bagi PAS pula, jumlah yang dimenanginya boleh dikatakan di semua kerusi yang majoriti Melayu melepasi 60 peratus ke atas, kecuali Parlimen Kota Raja 45.86 peratus Melayu. Maka sasaran PAS ialah kesemua kerusi yang ditandingi UMNO, khususnya di Semenanjung.

Berdasarkan PRU lepas, PAS bertanding 73 kerusi sahaja, di semua kerusi majoriti Melayu kecuali Kota Raja. Sedangkan beberapa kerusi majoriti Melayu sekitar 17 kerusi ditandingi oleh PKR. Antara kerusi majoriti Melayu ditandingi PKR dan pernah ditandingi oleh PAS dalam PRU sebelumnya ialah Ketereh, Machang dan Tanah Merah di Kelantan, Gombak dan Bandar Tun Razak di Selangor, Kuala Kedah di Kedah dan beberapa kerusi lagi di Pahang. Ini bermakna PAS boleh bertanding di kerusi-kerusi tersebut setelah PAS mengambil langkah tidak berkompromi dengan PKR. Maka sasaran PAS boleh bertanding melebihi 80 kerusi dan dengan sasaran menang 40 atau separuh daripada kerusi yang ditandinginya. Jumlah kerusi itu adalah kesemua kerusi yang ditandingi UMNO dan atau mungkin dengan PKR, jika berlaku tiga penjuru. Jika berlaku demikian, maka persaingan sebenar bagi PAS adalah untuk memenangi pertandingan di kerusi-kerusi tradisi antara PAS dengan UMNO. Kesemua kerusi tersebut adalah 14 parlimen di Kelantan, lapan di Terengganu, sekurang-kurangnya lima di Kedah dan lima di Selangor dan selebihnya lapan lagi boleh disasarkan sekurang-kurangnya dua atau satu kerus di Pahang, Perak, Johor, Perlis, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan.

Apapun, paling utama bagi PAS dengan masa berbaki lagi tak sampai lima bulan menjelang PRU ke-14 sasaran 40 kerusi itu adalah sesuatu yang munasabah. Cuma apa yang perlu ialah melaksanakan gerak kerja di peringkat akar umbi perlu dipertingkatkan, terutama bagi menguasai hati budi pengundi secara berstrategi agar pengundi merasai kelebihan PAS berbanding dengan UMNO atau parti-parti lain.

Semoga misi PAS menjejaki 40 kerusi beroleh kejayaan.

08 September, 2017

Sasaran 40 Parlimen: PAS sebagai Kingmaker

Satu idea awal


Misi PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-14 ialah mencapai kemenangan 40 Parlimen (dari kerusi majoriti Melayu) bagi membolehkan PAS menjadi 'penentu kuasa' (kingmaker) kepada pembentukan Kerajaan Pusat yang akan datang.

Penentu kuasa (kingmaker) dalam definisi mudah adalah seseorang yang diberi kuasa bagi menggunakan pengaruh politiknya (a person who brings leaders to power through the exercise of political influence) dengan tujuan membentuk suatu kesepakatan kuasa.

Dalam konteks PRU akan datang, tonggak kuasa pelbagai parti dalam negara ini akan berpihak kepada parti yang memenangi majoriti kerusi, maka parti itu sebagai tulang belakang Kerajaan Pusat. Namun sekiranya tiada satu parti yang memenangi secara majoriti, maka ia memerlukan sejumlah dari parti yang lain sebagai kawan membentuk kerajaan.

Berdasarkan realiti yang ada, PAS tidak mungkin menjadi tulang belakang, sebaliknya PAS ada harapan untuk menjadi  kawan kepada satu parti lain yang bakal mengemudi Kerajaan Pusat. Oleh itu, sekiranya PAS boleh memenangi 40 Parlimen, maka sejumlah itu (40 kerusi) sudah cukup dijadikan modal untuk berkawan dengan parti yang bakal mengemudi kerajaan tersebut. Oleh itu, senario sebagai penentu (menggenapkan kuasa) pembentukan Kerajaan Pusat boleh dianggap sebagai peluang bagi PAS. Hal ini menjadi 'kejaran' bagi PAS dengan misi kemenangan 40 Perlimen.

Semoga apa yang diucapkan oleh Presiden PAS bakal menjadi realiti.

24 April, 2017

PAS~DAP: Hubungan terbuka dan tegang

Oleh:
Dr Wan Nik Wan Yussof,
Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan.


Democratic Action Party (DAP) atau sebutan Bahasa Melayu ialah Parti Tindakan Demokratik, iaitu sebuah parti pelbagai kaum, sekular dan sosialisme demokratik. Ia ditubuhkan pada 18 Mac 1966. Konsep perjuangannya ialah Malaysia untuk semua rakyat Malaysia (Malaysian Malaysia) dengan berlandaskan prinsip-prinsip hak asasi manusia, kesamarataan, keadilan sosial dan ekonomi serta berasaskan demokrasi berparlimen. Bentuk sosialisme yang menjadi pilihan DAP ini adalah sosialisme sederhana yang bersifat anti-komunis dan anti-kapitalis serta kuat mempertahankan kekuasaan negara sekular. Justeru peranan DAP dalam politik Malaysia adalah signifikan dan berpengaruh yang termasuk sebagai tiga parti oposisi sebaris dengan PKR dan PAS yang pernah bersama di dalam Barisan Alternatif (1999-2001), Gabungan Bersih (2006-2008) dan bersama-sama membentuk Pakatan Rakyat selepas pilihan raya umum 2008 dan 2013.
Kini Pakatan Rakyat yang dibentuk hasil permuafakatan tiga parti (PKR, DAP dan PAS) sudah tinggal semangatnya sahaja. Ia kerana DAP telah memutuskan hubungan dengan PAS dan begitu juga PAS. Realitinya kedua-duanya telah tidak lagi sealiran ekoran masing-masing sudah memutuskan hubungan. Namun semangat Pakatan Rakyat masih berlaku dalam bentuk hubungan terpusat dengan PKR sahaja, iaitu antara PAS dengan PKR dan DAP dengan PKR. Hubungan terpusat kepada PKR tetap penting bagi PAS di Selangor dan bagi DAP di Pulau Pinang demi mengekalkan kuasa dalam kerajaan negeri.
Sehubungan itu, penulisan ini tidak berhajat untuk mengulas tentang hubungan antara parti selepas keputusan PAS memutuskan hubungan dengan DAP. Jauah sama sekali untuk mengulas hubungan PAS dengan PKR yang terasa hawanya cukup panas kebelakangan ini. Sebaliknya, tumpuan penulisan ini hanyalah untuk mendedahkan fakta kronologi dan nostalgia hubungan kerjasama perjuangan politik sudut oposisi antara PAS dengan DAP yang bersifat terbuka dan tegang.

Sentimen terbuka dan tegang
Sejarah hubungan lampau dan terkini PAS-DAP boleh disifatkan sebagai berlaku berdasarkan keadaan politik dan isu. Di dalam sesetengah keadaan ia berlaku sentimen hubungan terbuka dan dalam keadaan yang lainnya pula berlaku secara tegang. Hubungan terbuka boleh berlaku secara terang demi memenuhi nilai-nilai politik bersifat simbiosis. Contoh hubungan terbuka ialah semasa kerjasama Barisan Alternatif (1999) di atas kebersamaan (PAS-DAP-KeADILan) untuk menuntut keadilan dan menentang kezaliman yang dibayangi oleh peristiwa pemecatan dan pemenjaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Begitu pula, atas nama Gabungan Bersih (menghadapi pilihan raya 2008) bagi menuntut pilihan raya yang telus, adil dan bersih. Diikuti dengan berlaku permuafakatan atas nilai-nilai hak dan kebebasan demokrasi lalu ditubuhkan Pakatan Rakyat (2008) sehingga pilihan raya 2013.

Sementara hubungan tegang pula merujuk kepada sentimen hubungan PAS-DAP dalam konteks percaturan pengaruh bagi membuktikan ketulusan prinsip perjuangan masing-masing demi mengukuhkan keyakinan ahli dan penyokong. Misalnya, pernah PAS mahupun DAP bersepakat untuk menentang Barisan Nasional di dalam pilihan raya atas dasar untuk memecah undi agar sentimen pengundi (atas prinsip agama dan kaum) bagi mengalahkan Barisan Nasional. Demikian pula, di atas prinsip pengukuhan sokongan terhadap dasar perjuangan parti, PAS akan membuktikan ketegasan di atas isu-isu berkaitan Islam sebagai dasar perjuangan (contohnya matlamat negara Islam). Begitu pula bagi DAP akan tetap bertegas untuk membuli matlamat negara Islam atas semata-mata membuktikan ketegasan matlamat perjuangan negara sekular demi menarik sokongan kelompok tegar yang anti-negara Islam.
Di atas nilai sentimen politik dan prinsip perjuangan sedemikian, maka tidaklah pelik untuk memahami tujuan tersirat masing-masing parti sanggup melakukan hubungan tegang. Dalam konteks ini, pendirian PAS begitu kental mempertahankan prinsip perjuangan Islam dengan menstatuskan pendekatan siasah syariyyah beralaskan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah-Hudud, meskipun ia ditentang keras oleh DAP. Lantas di atas isu ini maka berlakulah hubungan tegang antara PAS dengan DAP. 

Sebaliknya pula, pihak DAP menyambut sifat hubungan tegang itu dengan menyerang dan membuli prinsip PAS secara berterusan bagi meraih keyakinan ahli dan penyokong yang inginkan DAP kekal di atas prinsip negara sekular. Maka sentimen pengundi akan berpihak kepada masing-masing parti yang mereka persetujui. Lazimnya, PAS akan diyakini kalangan mereka yang bersetuju atas prinsip Islam (di zon majoriti Melayu) dan DAP dapat kekal popular (di zon bandar majoriti Cina) dalam kalangan pengundi pro-sekular demokrat.

Kronologi putus hubungan
Sebagimana dinyatakan pada awalnya, hubungan (baca, kerjasama) PAS dengan DAP mempunyai nilai politik yang bersifat timbal-balas. Pada 22 September 2001, DAP terpaksa keluar Barisan Alternatif kerana tidak bersetuju dengan perjuangan PAS untuk menegakkan negara Islam. Sebelum itu DAP telah mengemukakan lima formula bagi mengelak perpecahan Barisan Alternatif, namun PAS terpaksa menolak formula itu kerana didapati bercanggah dengan perjuangan Islam. Tinggallah PAS kekal bekerjasama dengan KeADILan sehingga pilihan raya 2004 yang menyaksikan kemerosotan kerusi PAS dan KeADILan kerana Umno melakukan pembaikkan menggantikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003. Penggantinya Abdullah Ahmad Badawi (31 Oktober 2003 – 3 April 2009) yang dkenali sebagai Pak Lah seorang ‘bersih’ yang sebelumnya sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Sejarah kerjasama kali kedua termaktub semula menjelang pilihan raya 8 Mac 2008, apabila PAS, PKR (dulunya KeADILan) dan DAP boleh bersama dan hasilnya mencapai kemenangan yang hampir menumbangkan Barisan Nasional. Ia membawa penubuhan Pakatan Rakyat selepas itu yang memperjuangkan prinsip bersama di atas persetujuan bersama. Ia dirumuskan sebagai prinsip bersetuju dan untuk tidak bersetuju (agree to disagree), iaitu bersetuju memperjuangkan isu-isu yang dikongsi sama, tetapi tidak bersama dalam isu-isu dasar masing-masing parti. Medan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat adalah forum yang mengesahkan asas bersetuju untuk tidak bersetuju itu.

Walaupun begitu, perjalanan politik Pakatan Rakyat agak berliku-liku yang memaksa masing-masing parti cuba menggerakkan agenda parti sendiri tanpa keabsahan atau tanpa pesetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Hal yang menjadi rujukan antaranya melibatkan DAP melalui Kerajaan Negeri Pulau Pinang, iaitu pada 9 Mei 2012 Dewan Negeri Pulau Pinang meluluskan Rang Undang-Undang (Enakmen) Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (Pulau Pinang dan Seberang Prai) tanpa persetujuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat. Apapun enakmen tersebut terbatal apabila pada 14 Ogos 2014 Mahkamah Persekutuan memutuskannya sebagai bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Demikian juga, satu lagi hal yang dirujuk ialah pada 27 Januari 2014, Adun PKR bagi DUN Kajang bertindak meletak jawatan bagi menjayakan matlamat “Langkah Kajang” (Kajang Move) iaitu untuk menggantikan Menteri Besar Selangor. Suatu ‘move’ yang menggugurkan Abdul Khalid Ibrahim untuk digantikan dengan Anwar kemudian Wan Azizah, tetapi yang jadinya ialah Azmin Ali. Suatu ‘move’ yang juga tanpa keputusan Majlis Pakatan Rakyat. Maka, di celah-celah polemik isu “Kajang Move” dan menukar Menteri Besar itu, berlaku pada awalnya PAS tidak bersetuju. Kemudian PAS mengambil jalan yang bersetuju sebagai menghormati syarat-syarat pihak berkuasa Istana yang mahukan menyenaraikan lebih daripada dua nama calon menteri besar. Lalu mencetuskan tanggapan negatif di sisi PKR dan DAP yang mengendurkan permuafakatan sehingga memaksa pelan tanpa persetujuan itu diterima dengan penuh kegusaran. Malangnya segala-gala kegusaran dihadapkan kepada Presiden PAS tanpa belas kasih, termasuklah sikap DAP turut mencetuskan persepsi buruk kepada PAS. Hal ini turut merencatkan usaha PAS untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah di Kelantan.
Sehubungan itu, berlakunya hubungan tegang PAS-DAP apabila beberapa kali penjelasan PAS untuk mendapat persetujuan bersama berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah sentiasa ditentang oleh DAP. Menyebabkan muncul persepsi awam termasuk dalam kepimpinan PAS sendiri yang menganggap matlamat pelaksanaan itu sebagai faktor pemecah-belah Pakatan Rakyat. Malah tidak kurang pula muncul tohmahan kononnya Presiden PAS dan kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan tertipu dengan mainan politik (baca, tipu muslihat) Umno dari dalam.
Namun kesungguhan untuk melaksanakan undang-undang Islam itu tetap diteruskan, meskipun berberapa kali siri penjelasan dibuat kepada kepimpinan Pakatan Rakyat termasuk di Ibu Pejabat DAP dan di Pejabat Agung PAS. Kali terakhir taklimat ialah pada 12 Mac 2015 di Bangunan Parlimen. Natijahnya DAP paling lantang menentang, malah melihat hasrat dan usaha PAS sebagai permainan ke arah Unity Government (UG). Lantas Presiden PAS dilabelkan sebagai penerus agenda UG dan pembawa suara Umno.
Meskipun begitu, demi melunaskan komitmen perjuangan dan mandat rakyat Kelantan atas prinsip menghormati demokrasi dan ruang perundangan yang ada, maka Presiden pada 18 Mac 2015 telah mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi membawa usul rang undang-undang persendirian (private member bill) bertujuan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) berkaitan bidang kuasa hukuman mahkamah syariah ke arah memenuhi kehendak syariah. Ia disusuli dengan persidangan Dewan Negeri Kelantan yang meluluskan pindaan Kanun Jenayah Syariah 1993 (Pindaan 2015) pada 19 Mac 2015.
Apa yang dilakukan oleh PAS itu menyebabkan DAP bertindak lebih tegang dan mengambil sikap memutuskan hubungan secara taktikal sebelum ditafsirkan sebagai memutuskan hubungan secara rasmi. Ia bermula pada 23 Mac 2015, DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, malah melabelkan Presiden PAS seorang yang tidak jujur dan tidak bermaruah. Bukan sekadar itu, di dalam kenyataan media yang sama (23 Mac), Setiausaha Agung DAP turut menyindir supaya menumbangkan Presiden PAS di dalam pemilihan PAS.

Tindakan DAP itu sedemikian turut dilakukan melalui pemimpin kanannya pada 23 Mac 2015 apabila ayah kepada Setiausaha Agung DAP pula menulis provokasi di dalam blognya, membayangkan PAS bakal kalah kerana ingin melaksana hudud di Kelantan dan turut menuduh Presiden PAS melakukan kerosakan kerana berusaha membawa usul persendirian mengenai undang-undang jenayah syariah (meminda Akta 355) ke parlimen.
Provokasi atas sentimen tegang tersebut telah diteruskan apabila pada 27 Mac 2015, DAP Sarawak telah mengisytiharkan keluar dari Pakatan Rakyat. Kemudian disusuli pula ucapan yang penuh provokasi oleh Lim Kit Siang, ayah kepada Setiausaha Agung DAP pada 30 Mac 2015 di hadapan pimpinan DAP Wilayah Persekutuan. Malahan ucapan itu turut meramalkan PAS bakal kalah di Johor, Perak, Melaka dan juga di Pahang dan Kedah serta tidak mustahil akan kalah juga di Kelantan atas alasan kerana PAS meneruskan usaha pelaksanaan hudud. Sementara di Sabah pula, pada hari yang sama (30 Mac 2015), pihak DAP turut mengumumkan putus hubungan dengan PAS Sabah. Nampak jelas ia suatu tindakan terancang pihak DAP.
Kenyataan Lim Guan Eng.

Kesemuanya boleh dianggap sebagai gerakan provokasi untuk melabelkan PAS yang merencanakan perpecahan di dalam Pakatan Rakyat atas sentimen DAP yang tegar menggunakan pendekatan hubungan tegang untuk meraih sentimen penyokong. Menurut Setiausaha Agung PAS ketika itu (berhubung tindakan memutus hubungan), “ia suatu strategi DAP untuk popular menjelang pilihan raya Negeri Sarawak yang akan berlaku tidak lama lagi.”

Usul putus hubungan
Walaupun demikian, DAP tidak berhenti di situ, beberapa riak politik yang diatur membayangkan sememangnya DAP inginkan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat. Ini terserlah tatkala pada 25 Mei 2015, DAP mengeluarkan kenyataan lagi dengan menuduh Presiden PAS mahu wujudkan UG bersama UMNO. Meskipun kenyataan formula UG (bekerjasama dengan Umno atau Kerajaan Barisan Nasional) itu turut disebut kemudiannya oleh beberapa pemimpin PKR dan DAP sendiri.

Justeru kenyataan menjelang Muktamar PAS itu telah diterjemahkan oleh sebahagian perwakilan sebagai ‘campur tangan DAP’ untuk menyokong beberapa pimpinan yang bertanding jawatan tertinggi PAS Pusat (pada Muktamar ke-61). Kesan daripada gaya DAP itu menyebabkan kesemua tokoh PAS yang berkenaan tidak terpilih dalam Muktamar PAS di Kuala Selangor pada 4-6 Jun 2015. Sehinggalah, provokasi dan asakan tegang DAP itu menyebabkan Muktamar PAS ke-61 telah menerima tanpa bahas usul ‘mencadangkan kepada Majlis Syura dan PAS Pusat supaya memutuskan hubungan dengan DAP. Akhirnya usul itu dipersetujui Majlis Syura pada 11 Julai 2015, mengesahkan usul putus hubungan dengan DAP dan diangkat kepada Jawatankuasa PAS Pusat untuk dilaksanakan.

Kesan putus hubungan
Berpandukan kronologi hubungan PAS-DAP tersebut, hakikatnya PAS menerima kesan yang parah. Sebelum Muktamar PAS Ke-61 telah muncul gerakan NGO Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PASMA) dan pasca muktamar itu telah muncul pula kumpulan serpihan “Gerakan Harapan Baru (GHB)” yang dianggotai oleh kepimpinan yang tewas dalam pemilihan. Sehinggalah kini gerakan tersebut bertukar menjadi Parti Amanah Negara (PAN@Amanah).
Apapun PAS sewajarnya mengatur langkah berstrategi menghadapi gerakan pemimpin yang tidak terpilih dalam Muktamar PAS ke-61 itu. Ia merupakan cabaran besar bagi PAS dalam persiapan menghadapi PRU ke-14. Semoga bahtera PAS mampu belayar mendepani cabaran keseterusnya.

22 February, 2017

HARAKAH: 30 TAHUN PEMBAWA MISI DAMAI

Menjelang usia 30 tahun akhbar rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Harakah kini kekal tampil sebagai sebuah akhbar berkala yang menjadi penyambung bicara dengan masyarakat awam, khususnya dalam khalayaK Ahli PAS.
Mengharungi liku-liku arus media massa yang sentiasa dihimpit dengan pengaruh media baru berorientasikan jaringan internet dan olahan berita maya, ternyata Harakah masih di persada massa dari sudut peranannya sebagai akhbar parti. Peranannya yang amat besar dalam memajukan perjuangan PAS ke dada masyarakat. Perjuangan PAS dengan misi damai dan sejahtera ke arah pembentukan cara hidup Islam, maka Harakah tetap memilih jalan pemberitaan damai. Ia sesuai dengan fungsi Harakah yang menyampaikan berita secara informasi, mendidik dan membujuk (persuasive).
Akhbar nasional dan Kelantan
Bergerak dengan fungsi-fungsi pemberitaan sedemikian, maka Harakah telah mempersembahkan pemberitaan yang bernilai dalam memartabatkan perjuangan PAS sebagai sebuah gerakan Islam. Berbekalkan taglinenya ‘Membangun Bersama Islam’ sekaligus terkandung nilai berita yang menyebelahi kerahmatan Islam sebagai sistem hidup yang progresif berpaksikan sistem Islam. Lebih-lebih lagi, tagline tersebut amat bernilai kerana ia menerima pakai tajuk bagi dasar Kerajaan Negeri Kelantan, satu-satunya negeri yang ditadbir oleh PAS yang utuh semenjak tahun 1990.
Sesuailah Harakah dinamakan sebagai akhbar nasional bagi PAS dan pada masa sama juga merupakan akhbar untuk Negeri Kelantan. Ini kerada daripada sudut nilai Harakah itu sendiri adalah sebahagian daripada pemberitaan yang menelusuri tahap-tahap pembangunan dan pentadbiran Islam di Kelantan. Malah selama lebih 23 tahun Harakah sentiasa dilihat bernilai sebagai akhbar Kelantan di dalam memuatkan kandungan pemberitaan yang tuntas melaporkan peranan sosok tubuh tersohor Menteri Besar Kelantan era 1990-2013, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat. Sosok pemimpin yang satu-satunya menabur bakti untuk perjuangan Islam dan sekaligus selaku Ketua Negeri Serambi Mekah. Kini pasca pilihan raya umum 2013, ruang pemberitaan sosok tubuh itu diisi pula dengan peranan Ustaz Ahmad Yakob, Menteri Besar Kelantan yang merupakan penerus legasi Kepimpinan Ulama di Negeri Kelantan.
Justeru itu, kandungan pemberitaan Harakah terus utuh di atas prinsip perjuangan damai (silmi) yang dilihat berjaya mendekatkan isu-isu perjuangan siasah syar’iyyah yang menjadi tonggak kekuatan perjuangan politik-dakwah PAS. Maka di atas prinsip perjuangan damai inilah berlakunya peranan Harakah sebagai sumber berita yang mendamaikan para pencinta kehidupan Islamis di Negeri Serambi Mekah itu.
Jauh sama sekali bagi Harakah untuk melaporkan berita yang bernilai konflik mahupun provokasi. Sebaliknya pendirian Harakah sentiasa mengutamakan keilmuan menerusi penerbitan isu dan peristiwa yang mendekatkan jemaah dengan warga pembaca kalangan Ahli PAS. Ia turut mengundang minat para pembaca awam yang sukakan pemberitaan alternatif kepada akhbar milik kerajaan. Justeru tidaklah pelik jika dikatakan para pembaca Harakah juga terdiri daripada individu yang bukan Ahli PAS.
Apa yang menarik lagi, petak-petak kandungan dalam pemberitaan Harakah adalah bersifat complexity dan compulsory.  Complexity daripada segi keilmuan yang berpandukan minda kepimpinan PAS yang menghidangkan pelbagai sudut fikrah yang boleh melengkapkan nilai-nilai berita dan peristiwa aktiviti PAS di seluruh negara. Di samping turut menyiarkan berita-berita dari sumber agensi berita milik kerajaan (khususnya BERNAMA), lantaran keterikatan Harakah dengan syarat kelulusan permit penerbitan. Namun Harakah tetap dianggap akhbar parti dan syarat permitnya hendaklah untuk ahli PAS sahaja.
Cabaran survivability
Dalam  meneliti fungsi dan prestasi Harakah itu sudah tentu terdetik di hati bagi mendoakan agar akhbar kesayangan ahli PAS ini terus relevan sesuai dengan arus kontemporari. Walaupun himpitan pengaruh media baru kini memungkin kitaran pemasaran yang merundum, maka Harakah seharusnya dapat mengimbangi fungsinya agar seiring dengan minat dan trendy kalangan pembaca yang sekarang ini banyak merujuk kepada berita di hujung jari.  Apa yang pasti pendekatan baru Harakah berkonsepkan e-paper, online daily (Harakahdaily) dan penjualan Kad Istiqamah kepada warga pembacanya sedikit sebanyak telah dapat memenuhi selera sesetengah pembaca yang jemu membelek Harakah edisi cetak.
Namun begitu, inisiatif kempen ke arah meningkatkan jumlah pembaca dan kuantiti jualan telah diperkasa. Antaranya dengan memperkenalkan kempen 3B (Beli, Baca dan Beri) ia telah berjaya mengekang titik merundum kuantiti pengedaran dan jualan. Malahan menerima kempen satu Harakah satu keluarga PAS pula telah berjaya meningkat pembelian atas nama PAS Kawasan dan pihak PAS Kawasan kemudiannya mengagihbaca kepada ahli PAS di peringkat Cawangan.
Harakah tidak berkubur
Demikian pula, Harakah tidak mungkin berkubur dalam arus ledakan maklumat yang bersifat bestari berikutan keputusan Kerajaan Negeri Kelantan yang membeli dan mengagih kepada Pusatt Khidmat Dun (Wakil Rakyat ). Justeru 45 Pusat Khidmat Dun telah menyambung peranan Harakah dalam menyampaikan maklumat aktiviti PAS di seluruh negara. Oleh sebab itu, isi kadungan Harakah telah ditambah dalam ruangan berita hal ehwal Kelantan. Langkah tersebut amat tepat di dalam usaha memugar emosi ahli PAS dalam mengikuti apa yang berlaku dalam tempoh seminggu.

Ternyata fungsi dan konsentrasi pemberitaannya memerlukan nilai berita yang bersifat evergreen dan forever serta dapat melebar, malah menebalkan persetujuan masyarakat kepada PAS sebagai parti pilihan yang tepat. Semoga Allah memelihara survival Harakah sebagai pembawa misi damai untuk terus maju mengatur perjuangan Islam agar diterima oleh majoritit masyarakat Malaysia.

20 February, 2017

PUNCA KUASA UNDANG-UNDANG SYARIAH PERLU ADA dalam kerangka perundangan sebelum proses pelaksanaan

Syeikh Yusuf al-Qardawi: Bangunkan Kehidupan Islam Sebelum Laksana Hudud

Bicara al-Allamah Yusuf al-Qaradhawi, pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia tentang 'Hudud Dalam Wacana Feqh Masa Kini' yang disiarkan oleh setesen satelit, al-Jazeera, telah memberikan garis panduan asas berkenaan kaedah perlaksanaan hukum tersebut dalam masyarakat.

Garis panduan tersebut-yang dirumuskan daripada pengamatan beliau terhadap pendekatan Nabi SAW dalam melaksanakan hukum hudud-sangat penting dari segi menyatukan pandangan umat Islam hari ini dalam soal kaedah perlaksanaan hukum tersebut.
Atau paling kurang, merapatkan jurang perselisihan pandangan berhubung soal ini

Trend semasa wacana hudud di negara ini memperlihatkan, pihak-pihak yang memperkatakan tentang perlaksanaan hukum hudud atau yang berusaha melaksanakannya, kurang memberi perhatian terhadap kaedah atau pendekatan yang digunakan Nabi SAWdalam melaksanakan hukum itu.

Trend ini sedikit sebanyak telah menyumbang kepada pelebaran jurang perbezaan pendapat berhubung soal ini.

Merujuk kepada kaedah Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Qaradhawi telah mengetengahkan satu fakta, yang barangkali boleh ‘mengejutkan’ sesetengah pihak.

Fakta itu menyatakan:

 "Sebelum Nabi SAW melaksanakan hukum hudud, Baginda terlebih dahulu menegakkan Islam secara keseluruhannya, yakni menegakkan kehidupan Islam"

Jelas tersurat, fakta ini bermakna, *perlaksanaan hukum hudud adalah peringkat atau ‘projek’ terakhir dalam agenda perlaksanaan Islam.*

Dalam ungkapan yang lebih jelas-seperti yang dinyatakan Qaradhawi: 

"Dasar [berkenaan perlaksanaan hudud ialah] tidak dilaksanakan [hukum] hudud melainkan apabila kita telah melaksanakan-seperti yang telah saya katakan-ajaran-ajaran Islam keseluruhannya yang berkaitan akidah, syariat, akhlak, tata susila dan nilai-nilai [murni], kita bangunkan masyarakat Islam, dalam keadaan ini, kita laksanakan [hukum] hudud”.

Malaysia perlukan kuasa Syariah

Mufti Wilayah Persekutuan
Di Malaysia, Undang-undangJenayah Syariah seperti mana ajaran Al-Quran dan Al-Hadis masih belum diterima sebagai perundangan dalam sistem Kehakiman, walaupun ada Mahkamah Syariah. Jauh sama sekali di peringkat pelaksanaan.

Usaha dan keutamaan umat Islam di Malaysia hari ini ialah berusaha agar Perundangan Jenayah Syariah diterima, kemudian baru berusaha untuk pelaksanaan. Ini yang sedang diusahakan sekarang. Maksudnya, punca kuasa perundangan itu hendaklah ada terlebih dulu dalam kerangka perundangan kita.

Namun sekarang ini semacam ada salah faham, apa yang diusahakan sudah dianggap semacam untuk peringkat melaksanakan walaupun dalam kuasa Mahkamah masih belum ada punca kuasanya.

Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah 1965) (A355), punca kuasanya belum lagi bertaraf kuasa sebenar untuk pelaksanaan undang-undang jenayah syariah, maka punca kuasa itu perlu diadakan terlebih dahlu dan diberikan kuasa yang sebenar bagi membolehkan keadilan dibuat mengikut ajaran Al-Quran dan Hadis.


Himpunan H355

Atas dan bawah: Himpunan H355 di Padang Merbok Kuala Lumpur



Sehubungan itu, tahniah kepada pengajur Himpunan 355 pada `19 Februari 2017 lalu. Perhimpunan yang berlangsung separuh hari di Padang Merbok itu turut mendapat sambutan ribuan warga negara yang cintakan sistem perundangan Islam dijulang dalam negara Malauysia yang tercinta ini.