13 March, 2009

Bukit Gantang: PR/BN perlu kempen strategik-1


Demografi pemilih

Dalam pilihan raya umum (PRU) 8 Mac 2008, terdapat 55,471 orang pengundi di parlimen Bukit Gantang. Selepas berlaku proses pendaftaran baru, pertukaran alamat dan pemutihan senarai pemilih mati, maka jumlah pemilih yang diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia pada Februari 2009 lalu yang akan mengundi pada pilihan raya kecil (PrK) berjumlah 55,562 orang.


Ini bermakna pertambahan bersih pengundi hanya seramai 91 orang. Daripada 55,562 orang bakal mengundi itu, komposisinya adalah terdiri daripada 35,160 (63.28 %) Melayu, 15,101 (27.18 %) Cina dan 5,299 (9.54 %) India. Daftar pemilih bagi PrK Bukit Gantang juga mengandungi seramai 18,959 (34.12 %) adalah mewakili kumpulan pengundi muda, iaitu melibatkan pertambahan 690 orang berbanding jumlah semasa PRU lalu. Pembahagian pengundi muda mengikut kaum pula mendapati 68.68 % Melayu, 23.91 % Cina dan 9.42 % India.

Sementara pembahagian pengundi muda mengikut jantina pula didapati, 9,808 (51.73 %) lelaki dan 9,151 (48.27 %) wanita. Dibandingkan dengan jumlah pengundi muda pada PRU, maka pada PrK ini pertambahan lebih besar (0.18 %) berlaku bagi pengundi muda wanita (366 orang) berbanding lelaki (324 orang).


Selain daripada itu, daftar pemilih yang disahkan oleh SPR untuk PrK ini turut mendapati seramai 11,286 (20.31 %) pengundi dalam kohot umur warga emas dan 25,189 (45.33 %) adalah dalam kohot umur dewasa. Bagi warga emas jumlahnya merosot sebanyak 527 orang berbanding dengan musim PRU lalu. Ini mungkin berlaku disebabkan kematian pengundi dalam kohot umur warga emas.

09 March, 2009

Selamat Maulidur-Rasul 1430

Selamat Memperingati Kelahiran Nabi Muhmmad Sallallahu ‘alaihi wasallam.
Sambutan pada 12 Rabiulawal setiap tahun hijriah ini juga dikenali dengan Sambutan Maulidur-Rasul. Setiap umat Islam wajib menyambut dan memperingatinya sebagai suatu cara menyubur balik sejarah baginda Muhammad SAW agar terus istiqomah dengan ajaran Islam dan sunnah baginda. Ia juga satu cara bagi memastikan kita dan umat Islam seluruhnya berada di dalam kemajuan dari segi aqidah, ibadah, muamalat dan siasah.
Mudah-mudahan kita dapat mendalami lagi sejarah kehidupan baginda dan menjadikan nilai-nilai kehidupannya sebagai pengukuh ke arah kebahagiaan hidup di dunia dan kesejateraan di akhirat kelak.
Apa yang penting setiap umat Islam hendaklah meletakkan segala suruhan dan panduan daripada Nabi Muhammad SAW sebagai panduan penting untuk terus menegakkan syariat Islam di muka bumi ini.
Sesungguhnya, umat Islam yang engkar, menjauhi atau menidakkan perjuangan baginda adalah umat yang tergelincir daripada landasan ajaran Islam.
Kita berdoa, agar kita semua menjadi golongan yang menghidup subur perjuangan baginda untuk mencahayakan seluruh alam ini sampai ke kiamat!!