20 October, 2015

Sambutan Jubli Perak Pentadbiran Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan

NOTA KENANGAN UNTUK MURABBI TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ: PENGASAS DASAR MEMBANGUN BERSAMA ISLAM

"Pada 21 Oktober 1990 merupakan tarikh kembalinya PAS mentadbir semula Negeri Kelantan selepas terpaksa meninggalkan kerusi kerajaan pada 8 Mac 1978 (selepas darurat yang menyaksikan PAS berundur dari kerusi kerajaan pada pilihan raya khas Negeri Kelantan). 

Justeru pada Rabu ini, 21 Oktober 2015 merupakan tempoh genapnya 25 tahun pentadbiran Negeri Kelantan di bawah urusan Kerajaan PAS Kelantan. Suatu tarikh yang melambangkan genapnya period Jubli Perak. 


Sehubungan itu, penulisan ini adalah Bicara Hatiku yang cuba menukilkan beberapa nota kenangan pengalaman bersama-sama pengasas dasar Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan, Almarhum Tuan Guru Dato' Bentara Setia Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat (10 Januari 1937 - 12 Februari 2015). Satu nama dan susuk tubuh yang kini dalam kenangan semua warga Kelantan...."


~ ~ ~



Bersempena sambutan Jubli Perak Pentadbiran Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan, pada 21 Oktober 2015, maka satu nama besar yang semestinya dalam kenangan ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (Almarhum, baca Tuan Guru). Beliau adalah pengasas kepada pembentukan sebuah kerajaan negeri yang mentadbir negeri berteraskan Islam. Sudah tentu berlonggok-longok sumbangan dan kenangan kepada kerajaan dan pembangunan negeri yang zahir serta terlekat kukuh di dalam sanubari rakyat. Paling terlekat adalah nilai-nilai murabbinya dan amalan kerohanian yang mencorakkan gaya kepimpinan yang kini terabadi dalam lipatan sejarah.

Atas asas tanda sejarah ini, maka sepengalaman diriku lebih suku abad hidup menghirup ilmu dari murabbi besar itu, di sini dinukilkan beberapa nota pengalaman (secara terpilih) yang dapat diabadikan sebagai Bicara Diriku.

Murabbiku

Tuan Guru adalah murabbiku dan diriku adalah anak muridnya sejak pertengahan tahun 1984. Ia bermula setelah menamatkan pengajian di UKM, Bangi. Saban minggu mengikuti kuliah Tuan Guru––satu  sesi (malam Jumaat) belajar kitab sirah di Masjid Pulau Melaka dan satu sesi lagi (pagi Jumaat) menadah kitab tafsir al-Quran ar-Rahman di Dewan Zulkifli Muhammad, Bangunan PAS Kelantan (sekarang ini, Medan Ilmu). Dorongan mengikuti kuliah Tuan Guru atas kerana keinginan untuk belajar agama dan menganggap diri sebagai anak murid. Atas sebab itu, apabila bersalam dengan Tuan Guru, terdetik di hati agar direstui sebagai anak murid dan Tuan Guru adalah guru (baca, murabbi).

Sehubungan itu, bicara ini ikhlas menukilkan beberapa nilai kepimpinan Tuan Guru selaku murabbiku. Nota-nota yang merupakan jalinan daripada pengamatan dan manifestasi selama tempoh bersama Tuan Guru––selaku anak murid, petugas dan pelaksana amanahnya.

Pencetus idea

Seketika dilantik sebagai pengerusi penerbitan Risalah Pemuda (1985-1987), banyak isu daripada kuliah Tuan Guru telah dijadikan idea pencetus yang dimuatkan di dalam penerbitan. Risalah itu diedar di tempat kuliah Jumaat Tuan Guru di Dewan Zukifli. Apa yang pasti sumber kuliah tafsir Tuan Guru banyak mencetuskan inspirasi olahan berita dan maklumat yang mendidik masyarakat.

Semasa memikul amanah selaku setiausaha jentera pilihan raya parti (1989 -2004) banyak tugas jemaah yang melibatkan penyusunan modul kursus dan latihan kemahiran pilihan raya. Selain itu, terlibat juga dalam menyelaraskan tindakan gerak kerja petugas di Dun ke arah menghadapi pilihan raya. Kesemuanya dilakukan dengan semangat berjemaah berpandukan amanat Tuan Guru agar kefahaman dan kemahiran berlaku seiiringan sebagai syarat mencapai kemenangan perjuangan Islam. Tuan Guru turut menerapkan keyakinan mengenai pilihan raya adalah jihad yang dijanjikan pahala apabila dilaksanakan kerana Allah (Lil-Lah) serta ikhlas untuk kemenangan Islam.

Tahaluf siasi

Semasa menghadapi hujah segelintir pemimpin yang menentang tahaluf siasi Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan), turut terserlah sifat murabbi Tuan Guru apabila beliau mengambil pendekatan menerang dengan memberi kefahaman asas-asas siasah syariyyah yang membolehkan tahaluf melibatkan parti-parti Islam (tahun 1989). Selalu diungkapkan oleh Tuan Guru ialah bila berlaku pecah kapal akan ada sekumpulan (dimaksudkan kepada Tengku Razaleigh bersama-sama pengikutnya) yang akan kelemasan di lautan, maka ia perlu diselamatkan. Maka hendaklah ada pihak yang menyelamatkan asalkan mereka boleh menerima syarat yang menjadi penyelamat mereka. Antara syarat utama disebutkan oleh Tuan Guru ialah Angkatan hendaklah menerima Islam sebagai cara hidup (Ad-Din). Di sinilah nilai murabbi diutamakan oleh Tuan Guru, iaitu ciri-ciri siasah syariyyah yang perlu diterima sebagai asas tahaluf bersama Angkatan.

Pendekatan murabbi itu telah membolehkan beberapa pemimpin tidak lagi menentang pendekatan tahaluf Angkatan tersebut. Apa yang pasti, kesannya telah mencorakkan landskap baru siasah rakyat Kelantan yang secara total menolak Barisan Nasional. Ia telah membawa kemenangan dasar politik Islam di Kelantan bertapak subur (21 Oktober 1990) sehingga kini.

Malah titipan murabbi Tuan Guru terlaksana dengan jayanya apabila diamanahkan sebagai Menteri Besar Kelantan (1990-2013). Ia terbukti pada sepanjang tempoh khidmatnya apa yang diberi tumpuan ialah dasar dan program ke arah mendidik rakyat Kelantan berpandukan agama, di samping menyakinkan Islam sebagai cara hidup yang lengkap. Ia selari dengan falsafah perjuangan menegakkan Islam––mendirikan dasar-dasar agama dan mentadbir kehidupan di dunia ini dengan agama. Sejak dari situ sistem pentadbiran negeri dilihat jelas bercirikan asas-asas Maqasid al-Syariah, iaitu berusaha ke arah menjaga dan menyelamat lima persoalan hidup rakyat Kelantan––agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Kesemuanya dapat dilihat dari segi urusan pentadbirannya adalah berpandukan syariah (memperkenalkan hukum jenayah Islam, simpanan kerajaan di bank bebas riba, galakan berkebajikan menerusi Tabung Serambi Mekah, menjaga maruah melalui syarat berpakaian menutup aurat, menerap budaya kerja UMI, tidak boros dan berhemat dalam perbelanjaan kerajaan dan sebagainya lagi). Keutamaannya adalah berusaha mencapai pembangunan negeri yang selari dengan pembangunan insan menurut acuan dasar Membangun Bersama Islam––mesra syariah.

Sehubungan itu, Tuan Guru benar-benar dilihat sebagai murabbi pentadbiran negeri apabila beliau sendiri memulakan atas dirinya sebagai qudwah rakyat. Satu aspek penting qudwah ialah mengamalkan gaya kesederhanaan dalam kepimpinan sebagai pakaian hidupnya selama menjawat menteri besar. Bermula dengan cara berpakaian dan berbelanja sehinggalah berhemat serta bercermat dalam mengguna dan menjaga harta kerajaan. Gaya kesederhanaan itu adalah nilai murabbi yang utuh membangkitkan aura dan karismatik di sisi masyarakat dan warga negeri Kelantan. Paling terkesan gaya kepimpinan tersebut telah dijadikan pendekatan urus tadbir kerajaan Negeri Kelantan yang semestinya memerlukan kesederhanaan, terutama dalam aspek pengurusan kewangan dan pelaksanaan projek pembangunan. Prinsipnya adalah dasar Membangun Bersama Islam berpaksikan teras Ubudiah, Mas’uliah dan Itqan (UMI).

Kerohanian mengukuh pentadbiran

Realiti Tuan Guru amat istiqamah dalam menampilkan gaya kesederhanaan yang tersendiri dan bersifat unik, langsung ia telah mencorakkan pendekatan urus tadbir kerajaan negeri. Ini terjadi mungkin di sananya ada keberkatan dan asbabnya adalah kerana Tuan Guru memiliki amalan kerohanian yang bersistematik di dalam hubungannya dengan Allah SWT pada sepanjang hari. Asas kerohanian yang sistematik itu dapat diamati dan dihayati tatkala mengikuti rutin hidup Tuan Guru sama ada di dalam dan luar pejabat, di masjid atau ketika menjalankan urusan kerajaan mahupun tugasan sebagai pemimpin jemaah (Parti Islam Se-Malaysia).

Jika di Pejabat Menteri Besar, sebelum memulakan tugas Tuan Guru akan solat sunat dhuha terlebih dahulu. Sementara waktu Zohor dan Asar, acap kali Tuan Guru menunaikan solat berjemaah bersama-sama staf di pejabat. Begitu pula, selepas solat berjemaah, Tuan Guru istiqamah beristighfar, kemudian membaca Al-Fatihah dan ayat Al-Kursi dan tatkala berdoa adalah diamati bahawa Tuan Guru sentiasa mendoakan agar ahli keluarga tergolongan dalam kalangan yang istiqamah menunaikan solat dan menjadi orang yang muttaqin serta memohon kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat. Dalam hal ini, pernah ditanya, apakah amalan rutin Tuan Guru sebagai menguatkan kerohanian diri? Jawabnya, “jangan tinggal bacaan Fatihah dan Ayat Kursi setiap kali lepas sembahyang.”

Sementara sudut ibadat di masjidnya di Pulau Melaka, Tuan Guru sentiasa melaksanakan kehidupannya sebagai murabbi pada setiap hari Khamis dan Jumaat dengan diadakan kuliah (bermula Maghrib sehingga Isya’). Sementara setiap pagi Jumaat sebaik selepas solat subuh Tuan Guru mengamalkan bacaan wirid dan zikirnya tersendiri, diikuti dengan penyampaian kuliah Subuh kepada ahli jemaah. Selepas itu, Tuan Guru akan meraikan majlis tahnik bayi-bayi yang dibawa khusus oleh ibu bapa masing-masing. Hal ini merupakan suatu petunjuk penerimaan masyarakat atas sifat murabbi Tuan Guru sebelum dan selama masa menjawat menteri besar.

Murabbi Ummah

Sesungguhnya hari Jumaat merupakan kesibukan bagi Tuan Guru seperti juga hari-hari berkerja di pejabat. Justeru Tuan Guru sendiri pernh mengumumkan hari Jumaat sebagai 'hari ilmu.' Maksud 'hari ilmu' itu boleh difahami daripada cara bagaimana Tuan Guru sendiri mengisi ruang sepanjang hari itu dengan pendekatan murabbi kepada masyarakat. Paling penting ialah Tuan Guru mempunyai jadual yang tersusun, pertama pada sesi Subuh di masjidnya, keduanya pada jam 9.30 pagi menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu Kota Bharu dan ketiganya akan hadir jemputan berkhutbah Solat Jumaat di mana-mana masjid di dalam kawasan Dun Chempaka yang diwakilinya atau yang diatur oleh pejabatnya. Ada kalanya pula, pihak pejabat parti turut menyusun jadual untuk Tuan Guru menyampaikan ceramah (di sebelah malam) di serata pelusuk negeri. Demikian pula, sekali dalam sebulan pihak parti peringkat pusat (atas kapasitinya selaku Al-Mursyidul Am PAS) akan mengatur aktiviti ceramah di luar Kelantan. Kesemuanya disusun adalah atas kehendak Tuan Guru sendiri yang sentiasa memikirkan ruang dan masa untuk menyampaikan apa jua ilmu dan isu kepada masyarakat. Itulah prinsip murabbi yang dimiliki oleh Tuan Guru sejak awal sehinggalah sepanjang menjawat menteri besar. Suatu prinsip beristiqamah bagi mendidik masyarakat, maka selayaknya Tuan Guru bergelar Murabbi Ummah.

Menurut bekas Ketua Eksekutif KIAS, Senator Dr Johari Mat, Tuan Guru layak bergelar murabbi ummah kerana sifatnya yang gigih menyampaikan ilmu dan dakwah yang selari dengan sunnah Nabi Muhammad SAW. Menurutnya, murabbi ummah itu ialah seorang ‘pengasuh ummah’ yang dilahirkan oleh Allah, dan sifat pengasuh ada pada Tuan Guru. Ia boleh dilihat padanya dari pelbagai sudut, sehingga ada yang menulis, merakam dan menjadi sebutan orang (baca, topik perbincangan) atas apa yang Tuan Guru sampaikan di dalam kuliahnya.

Murabbi berdepan cabaran

Sepanjang menjadi menteri besar, Tuan Guru tidak terkecuali malah sering kali diasak dengan pelbagai karenah yang bersifat kontradiksi dengan kuasa, hak dan diskriminasi pelayanan daripada pihak berkuasa Pusat. Sehingga ada kalanya menimbulkan pelbagai kekusutan dalam pentadbiran negeri. Ia terjadi lantaran perbezaan mandat rakyat Kelantan yang memilih kuasa berbeza mentadbir negeri.

Justeru itu, pendekatan ketika berdepan kekusutan ialah Tuan Guru akan meminta pihak Dewan Ulamak mengadakan solat hajat dan munajat. Keyakinannya, hanya kepada Allah tempat mengadu dan berserah. Ini prinsip tawakal dan ikhtiar yang menintakan keberkatan kepimpinan Tuan Guru sepanjang memimpin dan menggalas amanah menteri besar. Keserasian nilai keberkatan itu terpamer tatkala rakyat berkongsi kerohanian berkumpul di atas padang, atau ada kalanya di dalam dewan, demi mengadu dan merayu pertolongan Ilahi. Pembudayaan yang mengakar perpaduan sejemaah dan perkongsian semangat kekitaan warga negeri. Apa yang pasti pendekatan merakyatkan solat hajat itu telah terlekat dalam hati yang dipasak dengan iman dan keyakinan yang sentiasa berpaut pada kekuasaan Allah SWT.

Munasabahnya pendekatan Tuan Guru itu kerana ia selari dengan sifat taqarrub melalui amalan tahajud demi menyuburkan nilai kerohanian diri selaku seorang pemimpin sebuah gerakan Islam dan kerajaan yang mesra syariah. Justeru di dalam banyak perkara berkaitan dengan tugas dan amanah, hanya pada-Nya Tuan Guru bermunajat dan memohon petunjuk dan jalan bagi melaksanakan urusan kepimpinannya. Di atas nilai amalan tahajud itu, ramai pemimpin sejemaah mengakui keputusan dan pilihan Tuan Guru sentiasa dihubungkan dengan restu Allah SWT. Ia kerana setiap kali qiamullail, di samping bertahajud Tuan Guru juga mendirikan solat sunat Istikharah, terutama di dalam menentukan saf calon-calon pilihan raya dan perlantikan saf kepimpinan dalam kerajaan dan parti. Tuan Guru meletakkan keyakinan atas asas: “Maha Suci Dikau yang tiada ilmu bagi kami kecuali apa yang Dikau ajarkan (tunjukkan) kepada kami. Sesungguhnya Dikau Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana!”

Demikian Bicara Diriku sebagai tanda kasih dan kenangan serta mengabsahkan Almarhum Tuan Guru adalah murabbiku dan murabbi ummah. Kini sudah 25 tahun rakyat Kelantan menikmati titipan murabbinya. Semoga Allah SWT menerima amal kebajikannya yang mendidik rakyat Kelantan pada sepanjang hayat. Limpahan rahmat-Mu jua untuk kebahagiaannya bersama-sama para pejuang, abid dan solihin.