03 November, 2011

Iktibar PRU-2004 – tekad PAS Kelantan menghadapi PRU-13

Mengingati sejarah pilihan raya umum 2004 (PRU-2004), hasilnya PAS berjaya mempertahankan dominasi di Kelantan dengan penguasaan 51 peratus undi. Dinisbahkan dengan bilangan kerusi, PAS memenangi 24 daripada 45 Dun serta 5 daripada 14 Parlimen. Ia cukup memberi pengajaran untuk PAS lebih bertanggungjawab dalam menjaga kemenangan. Ia hampir kontra dengan prestasi PAS pada PRU-1999. Ketika itu PAS mencapai kemenangan besar, iaitu 41 daripada 43 Dun dan 13 daripada 14 Parlimen. PAS hanya kalah di kubu tradisi BN, iaitu Dun Paloh dan Galas serta Parlimen Gua Musang.

Strategi materialisme

Pada PRU-2004, strategi kempen Umno di bawah pimpinan Dato’ Mustapa Mohamed begitu yakin untuk mendapat sokongan baru rakyat Kelantan. Poin keyakinan itu berpunca daripada sebaik sahaja berlakunya peralihan kuasa dalam Umno daripada (Tun) Dr. Mahathir yang dilihat zalim (kerana memenjara Datuk Seri Anwar Ibrahim) diganti dengan (Tun) Abdullah Ahmad Badawi yang dilihat bersih (kerana dikaitkan dengan anak dan cucu kepada tokoh agama). Ia diperkukuhkan pula dengan strategi kempen berpaksikan ‘materialisme’ yang mampu membayar dan membeli sokongan rakyat melalui pelbagai projek dan ‘one-off’ termasuk membeli penyokong PAS dan atas pagar. Pada masa itu, setiap calon parlimen (atau di mana tiada ahli parlimen ia disalurkan kepadan ketua bahagian Umno) diberi ‘bekalan’ RM1 juta setiap orang (sejak tahun 2000 sehingga tahun pilihan raya 2004) yang boleh dibelanjakan tanpa pengauditan. Logiklah, Umno mampu menang besar di kerusi Parlimen mahu pun Dun, bila umpan yang besar di pasang pada mata kail kempen pilihan raya.

Selari dengan strategi materialisme itu, berlaku pula pelbagai cara kempen media oleh pimpinan Umno di peringkat Dun bagi merampas kuasa Negeri Kelantan dari PAS. Antara yang masyhur ialah menggunakan media milik Kerajaan Pusat untuk memburuk dan menidakkan usaha pembangunan berteraskan Membangun Bersama Islam Negeri Kelantan. Di samping usaha belakang tabirnya pula ialah konspirasi pendaftaran pemilih dengan pihak tertentu, mengeluarkan kad pengenalan khas atas nama pengundi yang diragui kewujudannya di dalam senarai daftar pemilih. Justeru itu, didapati pada tahun 2004 dapat kesan antara 600 hingga 1,000 pengundi yang tidak pernah mengundi sebelum ini telah hadir mengundi (melalui taktik pihak yang diupah mengundi mengguna kad pengenalan khas). Strategi ini menyebabkan Umno berjaya merampas sebahagian besar Dun-dun yang dimenangi PAS (tahun 1999) di bawah majoriti 1,000 undi.

Nampak jelas, keupayaan Umno bangkit pada 2004 yang hampir berjaya merampas kuasa di Kelantan adalah gabungan empat strategi penting, iaitu peralihan pimpinan, amalan kempen berteraskan materialisme, asakan buruk media dan manipulasi serta konspirasi pendaftaran pemilih.

Walau apapun, gabungan empat strategi itu hampir berjaya di sisi Umno, tetapi masih utuh dan kental di sisi PAS. Keupayaan PAS Kelantan paling utama ialah di dalam usaha mempertahankan asakan materialisme dan asakan kempen media. Ia adalah kerana selama Tuan Guru Nik Abdul Aziz menerajui pentadbiran Negeri, banyak asas-asas keimanan dan takwa berjaya dibina di dalam jiwa rakyat. Rakyat sudah mampu membezakan kepimpinan sebenar (berpandukan Islam) dengan kepimpinan hipokrit (berimankan kebendaan). Rakyat ketika itu telah dikaburkan pandangannya sehingga ada yang melihat kepimpinan Umno Kelantan lebih baik dan atau boleh mengatasi akhlak Tuan Guru Nik Abdul Aziz selaku menteri besar.

Demikian pula, masih utuh keyakinan rakyat terhadap khidmat wakil rakyat PAS dan komitmen iman dan takwa. Justeru tatkala PAS yang memenangi pilihan raya 2004, berapa ramai wakil rakyat PAS diuji dengan pelbagai tawaran pihak tertentu agar berpaling kepada Umno. Mereka masih kental dan tidak hipokrit, malah jauh sama sekali untuk menjual kerusi dengan harga kebendaan di dunia. Wakil rakyat PAS tetap yakin dengan balasan akhirat, jika menjual kerusi bermakna tunggulah laknat Allah.

Menyanggah taktik Umno

Walau bagaimanapun, pengajaran daripada sejarah 2004 tetap memberi kesan besar kepada wakil parti dan wakil rakyat PAS yang kalah. Ia berlaku (kalah) bukan sahaja kerana asakan kempen Umno tetapi turut disumbangkan oleh rasa selesa yang berpanjangan dan bebal serta tidak bertindak balas terhadap kerja buat Umno. Mereka itu telah menerima kesannya. Namun sebahagian mereka yang sedar (terhindar dari rasa selesa) telah bertindak bijak terutama di dalam menghadapi taktik kotor Umno. Salah satu tindakan yang diambil ialah bantahan pemilih telah dibuat oleh jabatan pilihan raya PAS Kelantan bersama-sama kepimpinan PAS Tanah Merah membantah terhadap 1,800 nama dari luar Kelantan yang didaftarkan sebagai pengundi.

Kesannya pihak SPR terpaksa menangguhkan kemasukan nama-nama tersebut dalam senarai pemilih untuk pilihan raya 2004. Hasilnya, PAS berjaya mempertahan Dun Bukit Panau dan Kemahang, walaupun terpaksa kalah di Gual Ipoh. Bayangkan jika bantahan itu gagal dibuat? Apa yang dapat digambarkan ialah PAS Kelantan mungkin hanya boleh memenangi 22 daripada 45 kerusi Dun!

Pengalaman di Tanah Merah itu cukup tragis yang melibatkan tindakan tegar dan terpaksa membuat laporan polis, menghantar memorandum kepada SPR dan mengadakan perbincangan dengan Suhakam. Ia melengkapkan lagi usaha bantahan semasa tempoh pameran dibuka. Hasilnya pihak SPR dan Suhakam telah memberi perhatian atas usaha yang dibuat. Terutama pihak Suhakam pada ketika itu untuk kali pertamanya dihadapkan dengan isu ‘hak warga negeri’ cuba dirampas oleh warga luar Kelantan di dalam memilih kerajaan. Ia satu tanggungjawab yang perlu diambil perhatian oleh Suhakam dalam memastikan amalan demokrasi di negara ini berlaku dengan yang terbaik.

Bersyukur ke hadrat Allah, kerana segala usaha gigih pada PRU-2004 telah membuah hasil dan memberi pengajaran dan ramuan berguna untuk PAS Kelantan menghadapi PRU-13. Justeru, PAS Kelantan ketika SPR mempamer (pada setiap suku penggal) senarai pemilih tambahan, maka urusan tuntutan dan bantahan akan sentiasa disempurnakan bersertakan dengan bantahan atau rayuan atas bantahan.