27 January, 2011
PrK Tenang: Calon BN penipu, jangan undi
Menurut catatan wartawan SH yang memilih tajuk “Tok Ai enggan terjebak permainan kotor” dikatakan Mohd Azahar kini menghadapi serangan demi serangan berbentuk peribadi daripada pembangkang, tetapi calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim tetap tenang dan enggan terjebak dengan permainan kotor itu.
Seterusnya dilaporkan, Mohd Azahar tidak akan terikut-ikut dengan taktik pembangkang yang membuat serangan peribadi dengan menabur pelbagai fitnah dan tohmahan terhadapnya. Ini kerana beliau bersikap ‘gentleman’ dalam meneruskan kerja-kerja berkempen, tanpa terikut-ikut dengan pembangkang yang membuat serangan peribadi.
Mohd Azahar ketika ditemui wartawan di di rumahnya (kenapa di rumah, tidak pergi berkempen) turut memberitahu sepanjang kempen, pihak pengundi tidak pernah menyentuh isu-isu peribadi yang menuduhnya cuai mengurus tanah menyebabkan ada pemilik tanah terlepas miliknya kepada pihak lain. Lalu menyifatkan pengundi tahu apa yang diperkatakan tentang dirinya seorang yang cuai semasa bertugas ADO adalah tohmahan dan fitnah semata-mata.
Apa pun, wartawan tersebut tidak pula menulis fakta-fakta terperinci butiran tanah sehingga menyebabkan dilelong oleh pihak bank. Sedangkan kes itu berlaku di bawah tanggungjawab Mohd Azahar yang ketika itu menjadi Penolong Pentadbir Tanah Segamat (2000-2006). Maka di sebalik kenyataan Mohd Azahar itu sudah jelas mengandungi pembohongan terbesar dalam sejarah pilihan raya kecil negara ini. Lagi berbohong apabila Mohd Azahar (tahun 2003) sebagai penjawat awam ketika itu mengatakan beliau hanya bertindak mengikut prosedur jabatan (Pejabat Tanah Daerah Segamat).
Apakah makna ‘mengikut prosedur’ sehingga tanah atas Lot 2091, Mukim Jabi Segamat itu terlelong tanpa kerelaan tuan punya. Apakah, peruntukan Kanun Tanah Negara 1965 mengiktiraf ‘selot tanah’ yang dilelong tanpa pengetahuan tuannya adalah suatu seni pengurusan yang cekap?
Sekadar ingatan, Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib mengumumkan Mohd Azahar sebagai calon Umno-BN atas alasan kerana beliau merupakan anak tempatan, dan juga seorang berpengalaman (baca cekap dan tidak cuai bertugas) dalam hal ehwal tanah.
Apa yang terjadi, pihak Umno tidak melakukan scanning yang telus, lalu virus kotor tidak kelihatan. Ataukah, pihak Umno tidak menganggap kecuaian menjalan tugas sebagai pegawai daerah sehingga ‘memangsakan’ tuan tanah bukannya virus kecuaian?
Apa pun, sudah ada pihak yang mencabar, agar membuktikan bahawa calon Umno-BN, Mohd Azahar itu tidak terlibat dalam memangsakan tuan tanah sehingga berlaku kes “skandal lelong tanah.” Apakah pengundi Tenang boleh bertenang untuk undi calon yang ada skandal?
Calon Umno-BN itu turut dilapor berkata dalam akhbar (SH 27 Januari 11) sebagai berlaku "permainan kotor" dan "serangan peribadi" pihak PAS-Pakatan Rakyat ke atasnya. Apakah 'rekod kecuaian bertugas’ menyebabkan tanah milik terlepas milik itu sebagai isu peribadi. Sedangkan individu tuan tanah bertekad ingin melangsai bayaran sebelum tergadai, tetapi beliau kecewa kerana tekadnya sudah tidak dilayan. Apabila perkara tersebut mula terdedah, Mohd Azahar mengatakan ia suatu ‘permainan kotor pembangkang.’
Nyata sekali, isu ini bukannya peribadi lagi. Ia sebenarnya melibatkan integriti seorang calon pilihan raya kecil dan sekiranya terpilih ia adalah pemimpin di mata rakyat yang menguruskan semua urusan pembangunan untuk rakyat. Justeru ia memerlukan seorang yang berintegriti, cekap dan ikhlas. Sesungguhnya, ketiga-tiga sikap ini sudah tiada pada calon Umno-BN, Mohd Azahar Ibrahim. Antara buktinya di sini dipaparkan cabutan (gambar salinan) yang menyatakan kes tersebut dalam Mahkamah Tinggi melibatkan plaintif dan defendan Mohd Azahar Bin Ibrahim yang ketika itu menjalankan kuasa sebagai Penolong Pentadbir Tanah di Pejabat Daerah Segamat, Johor. Kes tersebut (No.24 (L) – 674 Tahun 2004) adalah melibatkan tanah atas Lot 2091 Mukim Jabi, Segamat Johor. Apakah semuanya ini suatu isu peribadi yang bersifat permainan kotor PAS-Pakatan Rakyat?
Di sebalik gambar salinan itu, muncul beberapa persoalan. Antaranya, apakah Mansor Mohamad (mangsa pertama) sebagai palintif dalam kes tuntutan tanah akibat dilelong kerana cuai dan semacam salah guna kuasa seorang Penolong Pentadbir Tanah Daerah Segamat pada masa itu (dirujuk kepada Mohd Azahar Ibrahim), adalah kes yang bersifat peribadi yang tidak ada kena mengena dengan orang lain.
Cuba perhatikan, jalur kes ini bermula dengan saman pihak Mansor (palintif) kepada pentadbir tanah dan Bank Bumiputera Commerce. Itu sudah jelas melibatkan hal ehwal kepentingan awam, bukam peribadi. Ini kerana kesan cuai dan salah guna kuasa itu, ada pihak menjadi mangsa, iaitu munculnya individu lain (mangsa kedua) bernama Norhana Mohd Ali. Pihak Norhana pula telah menyaman balik, kerana tanah yang dibelinya (melalui lelongan) sudah dikaveat oleh mangsa pertama, Mansor. Mungkin Norhana sudah terasa dirinya tertipu!
Apa yang jelas, jawapan sekadar sedap di mulut oleh Mohd Azahar (Utusan online 26 Januari 11) adalah jawapan yang tidak bertanggungjawab, menyembunyikan fakta kes, menghina mahkamah dan amat serius ia turu menghina pengundi Tenang yang mengharapkan seorang bakal Adun yang berintegriti.
Paling malang lagi, sikap Mohd Azahar itu sudah jelas suatu pembohongan kepada pimpinan tertinggi Umno-BN, khusus Perdana Menteri selaku Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib yang memilih beliau sebagai calon mewakili Umno-BN atas dasar beliau terbaik, cekap mengurus urusan tanah kerajaan/rakyat dan mempunyai integriti bersih yang boleh membawa aspirasi Umno-BN. Sehingga beliau dilihat berwibawa dan kredibel untuk membersihkan imej Umno-BN di Labis yang sudah kotor dan tidak berintegriti kerana mempunyai seorang ahli parlimen anak Soi Lek pengamal ‘makan luar’ bersama wanita bukan isteri.
Kembali kepada persoalan pokok, calon Umno-BN kini sudah terbukti sebagai seorang yang tiada integriti, tidak cekap (cuai) dan semacam ada niat berbohong (penipu). Ditambah pula, responsnya yang tidak berterus terang, maka ia sudah menjadi pembohong kepada parti dan pemimpin parti yang memilihnya. Selayaknya, kes cuai, salah guna kuasa dan bacaan umum atas dirinya sudah semacam ada niat menipu serta sudah berimej buruk sebagai calon pilihan raya yang bakal diplih oleh pengundi, maka mana-mana pihak yang mempunyai locus standi harus bertindak memprotes hatta membuat laporan kepada SPRM atas isu yang dihadapi oleh calon Umno-BN tersebut.
Paling mulia, pihak pengundi sendiri (mempunyai locus standi) seharusnya bertindak memprotes calon yang sudah tiada integriti. Ini kerana isu yang dinyatakan itu sudah bertaraf prima facie dengan apa yang telah dipamerkan oleh media dan pihak mangsa sendiri. Semoga Tuhan yang Maha Esa akan memberi kekuatan kepada mana-mana peguam untuk mengusung kes calon Umno-BN ini sampai ke Putrajaya.
26 January, 2011
PrK Tenang: Strategi Umno-BN yang celaru
Namun, persoalan nama bukanlah sesuatu yang cukup strategik untuk dinilai dari segi peluang kemenangan masing-masing calon atau parti bertanding. Persoalan yang agak serius untuk dinilai ialah bagaimana kedua-dua pihak yang bertanding berjaya mempamerkan suatu strategi dan pendekatan kempen benar-benar mampu meraih sokongan majoriti pengundi. Oleh itu, secara khusus perlu dianalisis bagaimana Umno-BN telah memula dan melaksanakan strategi kempen yang kelihatan bercelaru di medan Tenang.
Pemilihan calon
Bekas ADO, Mohd Azahar dikatakan calon terbaik yang berpengalaman luas dalam isu tanah, demikian kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib. Nama Mohd Azaharf telah mengenepikan pimpinan kanan parti tempatan yang banyak berjasa kepada parti. Kesannya Rusdin, Hashim dan Jaim serta Ketua Wanita, Haslida merupakan pimpinan kanan Umno Bahagian Labis sudah diketepikan. Pada penilaian umum, kekuatan Mohd Azahar dikatakan hanya selaku pegawai kerajaan, ia adalah anak tempatan dan anak bekas ketua bahagian Umno Labis yang dianggap mewakili pengundi muda.
Namun, kekuatan itu dilihat tidak mampu menutup gambaran kecelaruan dihadapi Umno-BN kerana tokoh muda sebenar dari pimpinan parti sepatutnya pimpinan pemudanya, timbalan ketua pemuda, Mohd Sahir seorang bekas pegawai perpaduan masyarakat atau ketua wanitanya, Haslinda seorang usahawan.
Agak celaru lagi, apabila masyarakat di situ sudah mengetahui rekod perkhidmatan Mohd Azahar yang dikatakan pernah diturun pangkat dari pejabat daerah utama kepada pejabat daerah kecil Rengit kerana mempunyai rekod integriti buruk bersabit dengan salah guna kuasa melibatkan isu tanah. Di samping wujud pula isu tak puas hati penduduk terhadap pejabat daerah kerana gagal menyelesaikan isu pemberian milik lot tanah kepada kira-kira 50 orang pengundi yang dijanjikan oleh arwah Adun Tenang.
Justeru itu, manifestasi pemilihan calon yang celaru itu telah berlaku protes sebagaimana didakwa oleh pimpinan Umno Labis berlaku pengedaran risalah boikot calon BN, sehingga memaksa Wanita Umno membuat laporan polis untuk membuktikan risalah itu bukan daripada mereka (Bernama 23 Jan. 11).
Sehubungan kecelaruan itu, pasukan kempen BN cuba mengalih isu dengan menimbulkan keraguan dan menjatuhkan maruah calon PAS-Pakatan Rakyat, Cikgu Mala dengan memperbesarkan isu tidak bersalam dengan pengundi lelaki (Blog pro-Umno, 23 Jan. 11). Lalu menyindirnya dengan isu memakai sarung tangan dan menganggap tindakan itu sebagai menghina pengundi lelaki. Tidak cukup dengan itu, sejarah perkahwinan pertama Cikgu Mala turut dicoret di dalam risalah haram yang diedar secara fitnah, kononnya seorang isteri yang tidak pandai menjaga hati suami sehingga mencetus perceraian. Sedangkan cerita sebenar, Cikgu Mala adalah seorang mangsa kepada lelaki bernama suami pertama. Maka, strategi membunuh kredibeliti calon PAS-Pakatan Rakyat sudah mengulangi pendekatan yang sama diambil oleh pasukan kempen Umno-BN semasa di Galas dan Hulu Selangor. Di Galas, calon PAS seorang doktor berbanding dengan calon mereka seorang pengurus kilang, maka calon PAS difitnah kononnya seorang yang pernah ditangkap berkhalwat dengan isterinya, meskipun perkara itu suatu pembohongan dan rekaan semata-mata.
Kecelaruan kempen calon itu, jelas membuktikan Umno-BN menghadapi nilai-nilai ‘makan-diri (backfire) di sebalik pemilihan Mohd Azahar. Maka atas faktor calon adalah tidak layak Umno-BN mendabik dada mereka akan menang mudah.
Isu agama
Umno-BN sedar isu-isu berkaitan agama amat sensitif kepada pengundi yang pelbagai kaum seperti di Tenang. Justeru seawalnya (sebelum penamaan calon), Presiden MCA, Chua Soi Lek dikatakan telah memberi peringatan (difahami berunsur ‘menakutkan’) kepada pengundi Cina di Tenang agar berhati-hati terhadap janji Negara Islam yang diperjuangkan PAS. Kemudian peringatan itu disambut oleh Timbalan Presiden Umno, Muhyidin Yasin tatkala turun berkempen di sana. Malahan turut difitnahkan kononnya tiada kebebasan beragama di sebalik dasar PAS.
Di sini, isu negara Islam telah menjadi isu agama untuk menakutkan pengundi dengan sensitiviti agama. Sedangkan pada hari raya Thaipusam pihak Mohd Najib sendiri pula berucap semacam mengiktiraf kebaikan dan kebebasan amalan beragama antara kaum. Maka, tidak ada alasan untuk ditakutkan masyarakat Cina dengan perjuangan Islam dibawa oleh PAS.
Apa pun persoalan pendekatan kempen bercelaru Umno-BN itu sedia dijawab oleh Naib Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man (Harakahdaily 23 Jan.11) dengan melahirkan rasa kesal terhadap cara Umno menghadapi isu Negara Islam untuk mengalihkan perhatian rakyat di pilihan raya kecil Tenang. Namun PAS tetap bertegas akan memperjuangkan Islam ke arah membentuk sebuah negara yang dikehendaki oleh rakyat ialah sebuah negara yang bebas dari budaya rasuah, salah guna kuasa, memaksa akta yang menindas rakyat, bebanan hidup rakyat yang semakin meningkat, manakala pada waktu yang sama pemimpin Umno-BN hidup mewah melampau dan rakyat terpaksa membayar kos yang bukan kos sebenar.
Justeru itu, bagi Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (The Malaysian Insider 23 Jan.11) bahawa PAS tidak bimbang sekiranya Umno-BN terus menggunakan isu Negara Islam untuk meraih sokongan pengundi di Tenang, dan ini bukan kali pertama BN bertindak begitu ketika pilihan raya kecil. Baginya, menghadapi soal ini, pihak pimpinan KeADILan dan DAP sudah sedia memberi penjelasan kepada pengundi.
BN tidak harmoni agama
Natijahnya, kempen Umno-BN menggunakan isu agama sudah dilihat tidak harmoni lagi dalam konteks masyarakat berbilang agama. Justeru Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua (The Malaysian Insider 23 Jan.11) turut mempersoal Najib dalam isu kebebasan beragama berikutan tindakan kerajaan BN yang menghalang beberapa nilai kebebasan bagi penganut agama selain Islam, seperti meroboh kuil Hindu, menghalang pembinaan Tokong Cina di Sabah, melarang penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Gereja Katholik, The Herald Weekly.
Mungkin hujah Tony Pua itu boleh dikaitkan juga dengan peristiwa yang dihadapi umat Islam sendiri yang turut disekat kebebasannya, seperti diketahui umum sebelum ini kerajaan BN Terengganu bertanggungjawab meroboh masjid rakyat di Kemaman, menghalang guru agama berkuliah dan menyenarai hitam pengkuliah agama yang tidak menyokong Umno-BN.
Kekuatan isu untuk PAS
Secara umumnya, analisis isu-isu kempen Umno-BN sudah jelas kelihatan amat bercelaru ekoran daripada pemilihan calon yang semata-mata atas kehendak pimpinan atasan, bukan kehendak akar umbi. Kelangsungan itu telah membawa kepada kecelaruan strategi untuk berdepan dengan asakan isu-isu yang lebih penting pengundi tempatan yang tidak mungkin meredakan kehendak dan aspirasi sebenar permasalahaan pengundi Tenang.
Selain isu pemilihan calon yang bukan daripada pemimpin Umno tempatan, Umno-BN kelihatan terkapai-kapai menjelaskan isu-isu semasa melibatkan kehidupan rakyat, seperti janji lama untuk membela kehidupan peneroka belum tertunai, pemberian tanah untuk kediaman, kenaikan mendadak harga barang dan sifat pembangunan Bandar Labis yang bersifat ‘mati dan ‘ala-cowboy’ turut menghimpit penceramah dan perayu Umno-BN rapat ke dinding.
Tidak menjawab isu nasional
Senario isu tersebut sebenar belum lagi mengambil kira beberapa isu nasional yang menjadi beban Umno-BN sekarang yang tidak dijawab di depan pengundi. Misalnya, isu ketuanan Melayu nampaknya sudah memakan diri Umno, tatkala cubaan Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor sudah berhasrat untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengembalikan kuasa sultan sudah dibangkang (dalam media) oleh Umno Selangor yang dipengerusikan oleh Mohd Najib sendiri.
Begitu pula, mengenai isu cabaran debat Ketua Pembangkang, datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Mohd Najib masih tiada jawapan konkrit. Tatkala Mohd Najib turun berkempen awal (sebelum penamaan calon), secara terpaksa ia dilihat telah menolak cabaran untuk menjawab isu ‘Janji 100 hari Pakatan Rakyat’ jika memerintah negara.
Malahan, turut tidak dijawab oleh pasukan kempen Umno-BN di Tenang ialah isu gejala rasuah melibatkan pemimpin kroni, pembaziran wang rakyat menerusi projek mega ‘menara warisan 100 tingkat dan sikap berbelanaja mewah isteri Mohd Najib sendiri serta tindakannya melawat ke luar negara melampaui kuasa menteri kabinet.
Desakan pengundi Cina
Berikutan itu pula, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mewakili hasrat dan tuntutan pengundi Cina turut mengemukakan memorandum ketika pilihan raya kecil Tenang berlangsung. Menurut Nyam Kee Han, Penyelaras Tuntutan Pilihanraya Kecil DUN Tenang, NGO itu membabitkan Jawatankuasa Kerja Sahabat Suaram Johor bersama dengan Persekutuan Persatuan-Persatuan Bekas Pelajar-Pelajar Sekolah-Sekolah China Johor, Persatuan Persahabatan Phoenix Malaysia (Johor Bahru), Persatuan Kwang Sai Segamat, Jawatankuasa Mempertahankan SJK (C) Damansara Asal (Kluang), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA) dan Jaringan Rakyat Tertindas (Jerit) Johor.
Kesemua NGO tersebut telah secara sepakat mendesak kerajaan (khususnya kerajaan BN) atas beberapa kepentingan pengundi Cina, terutama isu sekolah Cina, guru Cina dan keadilan untuk semua kaum. Misalnya, secara khusus NGO berkenaan telah mendesak agar di Labis (Dun Tenang) dapat diwujudkan semula sekolah swasta, iaitu Sekolah Menengah Cina Seg Hwa. Sedangkan sudah diketahui, Labis sudah sekian lama di bawah MCA dan kini Chua Soi Lek muncul semula, namun suara pengundi Cina tidak dilayan. Atas keadaan sedemikian, dilihat pengundi Cina bakal membuat sekali lagi kejutan untuk pilihan raya kecil Tenang nanti.
Celaru lagi kotor
Sebagaimana termaklum, setiap kali pilihan raya umum mahupun kecil, Umno-BN tidak sepi daripada menggunakan strategi yang bercelaru tetapi mampu dijayakan dengan pelbagai taktik kotor yang kontra dengan nilai-nilai demokrasi sebenar. Padang permainan yang rata hanya di sebelah mereka tidak untuk PAS-Pakatan Rakyat. Dalam kes media perdana, misalnya pihak TV3 dan Bernama pada hari pertama kempen Tenang sudah memutar fitnah memperlekehkan kepimpinan Tuan Guru Nik Abdul Aziz di Kelantan tatkala menyiarkan berita yang kontra dan fitnah, kononnya 50@5,000 pengundi Dun Chempaka berdemo kerana tidak berpuas hati dengan pembangunan di situ.
Sehubungan itu, secara logiknya kesemua isu-isu yang bersifat ‘menguntungkan’ Umno-BN bagi meraih sokongan pengundi berkaitan apa yang berlaku di Negeri-negeri Pakatan Rakyat sudah pasti akan diputarligat. Justeru itu, pasukan kempen PAS-Pakatan Rakyat seharusnya mengambil langkah ‘menerang dan menjawab balas’ (counter and attack) secara berkesan bagi mempastikan pengundi tidak diputar keyakinannya untuk mengundi calon PAS-Pakatan Rakyat, Cikgu Mala. Semoga rahmat Allah atas usaha kempen PAS-Pakatan Rakyat kali ini sedia membawa misi ‘ubah sekarang’ demi menyelamatkan hak dan kepentingan rakyat dari kerakusan kuasa elit Umno-BN.