14 January, 2012
Selamat berkonvensyen Pakatan Rakyat
Selamat berkonvensyen semua kepimpinan Pakatan Rakyat.
Konvensyen kali ke-3 yang akan berlangsung 14 Januari 2012 di Stadium Sultan Abdul Halim Alor Setar Kedah Darulaman.
Berbekalkan slogan "Bersihkan Malaysia" ia dijangka memberi keyakinan baru untuk rakyat menilai kewibawaan PAS, KeADILan dan DAP memecut laju mencapai puncak Putrajaya.
Semoga segala daya usaha mendapat bantuan Allah SWT jua.
P.s - Perutusan Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat.
901 - PERTEMBUNGAN ANTARA ASAKAN DAN MARUAH
Justeru saya mencatatkan sebagaimana berikut:
Hari 9 Januari 2012, merupakan tarikh yang menentukan pertembungan antara asakan dan maruah. Asakan adalah daripada musuh politik Datuk Seri Anwar Ibrahim sementara maruah adalah di pihak Datuk Seri Anwar secara peribadi dan kepimpinan Pakatan Rakyat amnya. Justeru antara asakan dan maruah pasti bertembung dan akan ada pihak yang menang.
Peristiwa yang pasti ditunggu pada 9 Januari itu. Ia suatu simbolisme daripada kod tarikhnya dipaparkan –– 901 . Ia juga bermakna suatu petanda betapa banyaknya permasalahan dihadapi kepimpinan Umno-BN hari ini sehingga sukar diramal akan masa depannya.
Justeru itu, mereka terlalu gerun dengan ‘kebangkitan’ suara rakyat yang menyebelahi Datuk Seri Anwar yang kini bersama Pakatan Rakyat. Lebih-lebih lagi saat menghadapi pilihan raya umum ke-13 (PRU-13), sudah tentu keputusan penghakiman di Jalan Duta nanti boleh menjadi aras penentu bersifat “threshold” – antara asakan dengan maruah.
Asakan bermaksud pihak kepimpinan Umno-BN akan terus mengasak Datuk Seri Anwar dan maruah pula, pihak Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat akan terus popular meraih simpati rakyat yang inginkan keadilan atas suatu kerakusan kuasa beralaskan mahkamah.
Paling teruk, sama ada penghakiman nanti berpihak atau tidak, sudah pasti tindakbalas pemimpin Umno-BN ialah akan menggunakan segala kuasa yang ada untuk mengasak dan mengerah segala aparatusnya menghadapi saat penentuan pada PRU-13. Hal ini turut dihangatkan lagi dengan gendang yang sedang dipalu mahasiswa menentang AUKU 1971. Paling teruk lagi, muncul pihak polis sedia member amaran kepada usaha perhimpunan pada tarikh tersebut. Di samping gelandangan blogger pro-Umno yang memfitnah, diikuti dengan kesibukan media milik kroni mereka memutar segala isu untuk memburukkan prestasi dan reputasi Datuk Seri Anwar bersama Pakatan Rakyat.
Kekotoran ‘tangan’ Umno
Kesemua cerita karut-marut, fitnah dan pengaiban melampau terhadap Datuk Seri Anwar adalah terlalu panjang. Ia suatu nilai kekotoran ‘tangan’ Umno yang dihulurkan sejak beliau menyertai Umno. Tatkala Datuk Seri Anwar menjadi ikutan (semasa dalam Umno), kemudian dimusuhi oleh Melayu anti Islam di dalam Umno sendiri. Hasad-dengki terus membara sehingga memaksa konspirasi dihalalkan sehingga terpecatnya beliau dari kedudukan kuasa dalam kerajaan dan parti.
Episod konspirasi itu berlaku era Dr. Mahathir yang dianggap perdana menteri kreatif mencipta yang baru, meskipun semua pihak tahu beliaulah perdana menteri yang memecat hakim-hakim dan mengharamkan partinya sendiri menerusi permainan di galeri mahkamah.
Maka mahkamah jugalah yang mengasak Datuk Seri Anwar sehingga ke pejara Sungai Buloh dan Dr. Mahathir bernafas lega seketika. Namun, arus tetap berubah yang memaksa Dr. Mahathir yang popular sebagai tokoh bijaksana itu akhirnya kalah dengan permainan politik dalaman Umno yang terpaksa menangis ketika mengundur diri.
Era Dr. Mahathir berlalu, diganti pula Pak Lah Badawi yang ’bersih’ seketika. Semasa Pak Lah maruah Datuk Seri Anwar agak terbela tatkala penghakiman ke atasnya (atas isu yang dicipta) telah dibatalkan. Pak Lah cuba membuat yang terbaik sebagai perdana menteri yang ‘bersih. Tugas Pak Lah nampaknya cuba untuk menyucikan kekotoran era Dr. Mahathir, tetapi tetap ditolak oleh kelompok Umno.
Di antara usaha Pak Lah lagi ialah pemurniaan institusi kehakiman menerusi penubuhan suruhanjaya kehakiman. Diikuti dengan layanan kepada hakim-hakim yang dipecat era Dr. Mahathir menerusi tindakan pemaafan dan pembayaran imbuhan yang berjuta ringgit.
Apa pun perdana menteri seumpama Pak Lah tidak kekal lama kerana asakan terhadap Datuk Seri Anwar dilihat tumpul oleh lawan dan regu yang masih takut dengan bayang-bayang. Justeru Pak Lah ‘terguling’ akibat kemerosotan populariti Umno dalam pilihan raya 2008. Maka, perdna menteri sekarang yang mewarisi darah Umno tulen dibangkitkan sebagai penggempur baru menghadapi Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat. Tindakan dan taktiknya sama dengan Dr. Mahathir, iaitu memusuhi semua tindakan berkaitan dengan Datuk Seri Anwar dan Pakatan Rakyat.
Kini Datuk Seri Anwar bertungkus-lumus sedang membela maruah diri dan Pakatan Rakyat tetap sepadu sedia menghadapi musim-musim pasca 901 di ambang PRU-13. Semoga kekuatan dari Yang Maha Esa mengiringi kemurnian perjuangan demi maruah yang mewakili suara kebenaran.
Demikian nukilan pandangan yang pastinya tercatat nilai sejarah untuk mereka yang sedia menilai realti.