28 December, 2011

Saat PRU-13: Umno kini makin terbeban

Semingguan bermacet di Jakarta, Bogor dan Bandung. Ia satu misi memperkasa motivasi pasukan media baru bagi merungkai kecamuk dan cabaran gerakan Islam parti Islam PAS berbanding parti Islam di Indonesia. Suatu langkahan kepedulian antara rakan pergerakan politik-dakwah yang meneliti dan mengongsi pengalaman demi membahagiakan keputusan pilihan raya umum ke-13 nanti.

Kepulangan sudah tentu mengalirkan suatu energi baru, lebih-lebih lagi ketidaksabaran untuk menerima titipan buah-buah perspektif Tok Guru Nik Aziz, menteri besar yang dicintai ramai. Ia kemudian mengimbau latar ucapan tokoh Parti Bulan Bintang (hasil didikan Pak Nasier, Indonesia) mengulas tentang Tok Guru: Seorang tokoh ulama disegani seantero gerakan Islam sedunia ,kerana kesederhanaan dan titipannya yang istiqamah di landasan siasah syariyyah.

Lalu terketik jari-jemariku, mengakui kehebatan kepimpinan Tok Guru setelah 21 tahun mengurus tadbir politik rakyat Kelantan.

Jelas ia benar, tatkala sekembali mengurus tugas setiausaha politik di pejabat menteri besar, pasti banyak ulasan Tok Guru mengenai perkembangan isu-isu kerajaan dan rakyat serta kepimpinan parti selama semingguan tidak bersama.

Justeru isu-isu yang sudah dijangka, pastinya meliputi hal semasa kerajaan negeri yang sedang diasak oleh fitnah pihak lawan (Umno), agenda setting media arus perdana yang mengumpil kerukunan rumah tangga PAS, dan rangkuman pengalaman semingguan bermacet di kota raya Indonesia.

Apa pun semuanya itu agak panjang untuk ditintakan dari ulasan Tok Guru yang melebihi 30 minit. Namun yang terkesan dan sesuai ditintakan ialah persepktif yang bermaruah ‘istiqamah’ tatkala membicarakan soal Umno yang sedang mengasak kerukunan politik rakyat Kelantan. Justeru hakikatnya Umno adalah parti goblok ekstrem Melayu kerana tegar menolak syariah – hukum Islam.

“Tok Guru kemudian titipkan poin-poin bebanan Umno masa kini yang memeningkan pemimpin Umno sendiri di musim tiupan angin pembubaran dewan untuk pilihan raya ke-13.”

Satu persatu dihitung bebanan Umno yang biru gelap itu. Ia bermula dengan gelagat Dr. Mahathir yang rakus menggugat gaya ETP perdana menteri Najib. Diikuti dengan pertembungan Dr. Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pinjaman IMF. Kemudian berganjak kepada titik hitam di dahi Umno kerana Khir Toyo yang tidak berkuasa itu dijatuhi hukuman sabit rasuah beli tanah buat rumah.

Singgah pula meneliti rupa kondominium yang dibeli oleh suami ketua wanita Umno berketurunan “mami’ itu dikatakan dibeli dari punca RM250 duit projek fedlot yang membangkitkan fenomena ‘politik lembu’ di paras nasional.

Undur pula ke pantai Perupok Bachok yang hangat dengan cerita ada orang Bachok menerima habuan ketua bahagian Umno yang kononnya duit hasil suapan satu syarikat dari Johor. Lalu tersisip satu khabar ada kesepakatan pemuda PAS bertindak membuat report polis atas responden berkenaan. [Peristiwa report itu telah berlaku di IPD Kota Bharu, Pengkalan Chepa kira-kira pukul 3.15 petang pada Isnin, 26 Disember lalu].

Kesemuanya membebankan Umno. Lalu Tok Guru menarik nafas bernada syukur untuk sejenak: Huh, syukurlah PAS tegas untuk menolak berbaik dengan Umno. Jika tidak PAS akan tumpang sama berkerut dahi kerana tempias bebanan Umno itu.

Apa pun, Tok Guru bertegas: Dengan apa yang berlaku semua itu, sebaiknya PAS semakin yakin bahawa keputusan menolak berbaik dengan Umno itu adalah betul dan benar!

[Terlintas pula dibenak fikiranku, kalau dibuka satu lagi cerita pasal isteri perdana menteri yang first lady – kerana bercium pipi dengan bintang filem Hollywood, mungkin banyak minit lagi Tok Guru akan menjuruskan perspektifnya. Namun faham sudah, selaku setiausaha politik tidak wajar untuk meneruskan sembang agenda setting isu sampai meleret-leret, kerana Tok Guru harus menyiap langsung semua tugasan pejabat menteri besarnya. Hatiku setia mendoakan kebaikan dan kerahmatan-Nya buat Tok Guru. Amin]

Seorang rakan facebook mencatatkan di dindingnya: Khir Toyo rasuah dibalas dengan penjara, Isa Samad rasuah dapat jadi Pengerusi Felda. Ali Rostam rasuah dapat jadi Ketua Menteri Melaka.... Renung-renunglah.

11 December, 2011

PRU-13: Perlu pengurusan manfaatkan Media Baru

PRU-13: Ledakan maklumat dan kempen media baru – Siri 1


Pemilikan peribadi alatan maya telah mencetuskan budaya baru kehidupan (the culture of real virtuality) bermula dari telefon tanpa wayar, pager, telefon bimbit (handphone), kepada komputer riba (laptop atau notebook), kemudian widget iPad atau iPon, sehinggalah memiliki pelbagai alat atau perkakas perhubungan (the gadgets of communication) seperti broadband dan WiFi sehingga berlakunya perniagaan kafe siber (cyber cafe). Keadaan yang telah membina jaringan siber (cyber networking). Lalu munculnya gerakan jutaan pembekal maklumat melalui pentas maya (virtual stage). Kesemuanya telah melengkapkan proses komunikasi sehingga memunculkan masyarakat berjaringan (the rise of the network society) seumpama sarang laba-laba (sesawang). Ia merupakan sifat bagi masyarakat siber (attribute of cybersociety) yang tercetus daripada peranti berasaskan teknologi komputer. Suatu perkembangan yang melengkapkan era globalisasi berteraskan information and communications technology (ICT).

Gambaran daripada perkembangan tersebut, sudah tentu ia banyak melibatkan tiga golongan utama dalam masyarakat iaitu golongan muda, pihak pengurusan dan penggemar maklumat. Golongan muda merupakan paling ramai yang membudayakan aktiviti komunikasi maya, diikuti dengan pihak pengurusan yang menjadi pengguna bijak mengikut profesyen masing-masing. Namun bagi penngemar maklumat ia merupakan golongan terkhusus kepada penganalisis dan penggiat (aktivis) gerakan masyarakat termasuk aktivis politik.

Manfaat ICT di sisi PAS Perkembangan yang digambarkan juga sebagai ledakan teknologi maklumat yang pasti menambah baik penguasaan sesuatu yang baru. Tidak dapat dinafikan ia menjadi asas ke arah membuat keputusan yang lebih tepat. Ia relevan dalam konteks budaya politik kepartian yang mengamalkan demokrasi berteras pilihan raya. Paling relevan apabila pilihan raya itu berorientasi kempen terbuka terhadap pengundi.

Justeru itu, PAS sebagai sebuah gerakan Islam massa telah bertindak seiringan dengan perkembangan teknologi perhubungan maklumat (ICT) ini, kerana suatu peluang yang bermanfaat. Persidangan IT dan Media Baru pada bulan lepas adalah anjakan perkasa PAS menerokai dan memanfaatkan peluang yang ada. Berbekalkan tema konvensyen, “revolusi teknologi maklumat menghadapi PRU-13” banyak idea dan pengharapan hasil lumayan yang terluah.

Perutusan khas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang kepada pengamal media baru supaya menganggap sebagai alat yang paling penting, senjata yang unggul bagi menarik penyokong memenangkan PAS.

Apa pun, Presiden PAS meletakkan harapan agar pengamal media baru melaksanakan tanggungjawab yang lebih penting memenerusi media baru, iaitu untuk menyelamat manusia di dunia sehingga ke akhirat. Suatu harapan yang tidak mungkin terluah jika seseorang itu bertindak menggunakan media baru sebagai ruang memfitnah dan cacian tidak berasas.
Justeru itu, Tuan Guru Presiden tegar mengingatkan bahawa saluran media baru seharusnya berperanan menyampai maklumat yang benar, khususnya berdepan dengan demokrasi yang tempang. Tatkala suasana demokrasi di Malaysia kini yang sakit dan tempang, akibatnya rakyat tidak mendapat makumat yang benar dan tepat, khusus maklumat mengenai PAS.

Selanjutnya, menurut Tuan Guru Presiden lagi , “media baru bertanggungjawab besar bagi mendapat fadilat besar Allah SWT apabila melakukan atas niat ibadat dan ikhlas kerana Allah. Logiknya faktor keikhlasan, sudah tentu mendapat bimbingan Allah untuk memasukkan kebenaran ke lubuk hati manusia.

“Maka pilihlah uslub yang boleh difahami masyarakat. Sesuai dengan sabda Nabi, Kami para Nabi-nabi diperintah oleh Allah supaya meletak seorang dengan tugas yang kena pada tempatnya dan bercakap kepada orang ramai dengan bahasa yang difahami oleh mereka.”

Elak fitnah
Apa yang utama pengamal media baru termasuk para blogger (termasuk facebooker) sewajarnya mengambil iktibar daripada pesanan Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz pada sesi ucapan Persidangan IT dan Media Baru tersebut. Menurut Tuan Guru Mursyidul Am, “setiap blogger serta pengamal media baru perlu terus belajar dan jangan henti untuk kita terus belajar kerana ia akan dapat melahirkan kita sebagai penulis yang lebih berhemah. Kita melihat apa yang berlaku sekarang ini kebanyakan blogger memaparkan dengan perkara yang tidak betul dan melemparkan fitnah-fitnah.”

Pesanan Tuan Guru Mursyidul Am ini sepatutnya popular untuk pengamal media baru PAS. Meskipun ia tidak popular di kalangan Umno. Asasnya, hendaklah berfakta dan bersumberkan peristiwa yang sahih. Tujuannya supaya rakyat atau pengundi nanti dihidangkan peristiwa dan isu yang tulus dan ikhlas demi mencapai ganjaran kebaikan daripada dunia sampai ke akhirat.

Umno pakai media baru
Selepas PAS yang dilihat peka dengan perkembangan media baru, Umno juga tidak tidur lena. Mereka mengambil langkah pro-aktif tatkala menyedari PAS mahu pun Pakatan Rakyat amnya lebih mendahului dalam aspek ini. Masing-masing semacam setuju akan keperluan pengurusan media baru yang boleh membantu parti ke arah kemenangan pilihan raya umum ke13.

Perkembangan tersebut memaksa Umno turut mengadakan persidangan juak-juak media baru mereka. Persidangan yang bergelar “Konvensyen Media Sosial 1Malaysia” telah dirasmikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib. Dalam ucapannya disebutkan asas pengamal media baru adalah pahlawan atas talian (the online warrior) yang patut turun ke bawah (mendedah maklumat) hanya menggunakan Balckberry, laptop, iPon dan iPad. Sesuai dengan fungsinya sebagai saluran utama menerima maklumat dalam dan luar negara.

Logiknya ucapan Mohd Najib adalah segala maklumat perlulah sahih dan benar. Tetapi ia tidak dijelaskan secara ‘beragama’ untuk pegangan juak-juak Umno dalam mengamalkan media baru. Maka dalam online sekarang bersempah-sempah blog, portal dan facebook atau twitter pro-Umno yang bersifat pemfitnah.

Dalam konteks mudah, masyarakat pengundi seharusnya bijak membaca, menilai dan menolak serta menerima mana satu yang benar, ikhlas dan menepati peristiwa. Para pengundi seharusnya mendidik diri berpandukan ilmu tulen, iaitu prinsip ajaran Islam. Atas prinsip ini, pihak PAS perlu melaksanakan pengurusan media baru secara berkesan.

PRU-13: Ledakan maklumat dan kempen media baru – Siri 2


Pengurusan media baru yang berkesan merupakan strategi ampuh bagi mengisi peluang ‘ledakan maklumat yang merentasi sempadan’ sekarang ini. Media lama bersifat cetakan (seperti akhbar) dan elektronik (seperti televisyen) merupakan tatapan harian masyarakat yang celik maklumat. Ia dilihat boleh mengkayakan maklumat dan peristiwa yang berlaku pada setiap hari.

Namun begitu, media lama dilihat terbatas bagi golongan yang sibuk, berpejabat dan bekerja ketika waktu puncak (prime time). Maka golongan ini dikatakan lebih akses dengan maklumat saluran alternatif yang dicetus oleh media baru. Ini kerana media baru lebih bersifat mesra masa dan tugasan. Ia bermaksud, capaian maklumat menerusi media baru boleh dibuat ketika masa luang, kerehatan sementara dan seketika menunggu mesyuarat bermula serta ketika menunggu pelanggan, tetamu atau acara berlangsung.

Justeru itu, capaian maklumat menerusi gadget atau widget yang berorientasi smart telecommunications adalah sesuatu yang menepati dalam strategi mengatasi jurang maklumat (information gap). Ini merupakan budaya capaian maklumat golongan sibuk yang perlu diberi perhatian oleh jentera pilihan raya semua parti politik.

Menguasai golongan sibuk

Berdasarkan peluang dan budaya meraih maklumat sedemikian, jika PAS ingin memanjangkan maklumat perjuangan kepada golongan pengguna smart telecommunications, maka bidang media baru harus diurus secara terbaik. Ini bermaksud, PAS hendaklah mengisi ruang media baru dengan melonggok segala-gala maklumat ke dalam facebook, blog, onlines news atau apa sahaja laman web sosial yang berorientasikan maya (virtual) atau siber (cyber). Atas kepentingan ini, jentera kempen PAS bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13 seharusnya dapat mengaktifkan unit penggempur siber (cyber warriors) yang boleh berperanan secara bijaksana (smart). Antara peranannya adalah menguasai golongan sibuk.

Unit penggempur siber dikira relevan dalam konteks golongan sibuk kerana mereka begitu mesra dengan alat telekomunikasi (gadget, widget) yang mengandungi sistem aplikasi facebook, blog atau onlines news. Alat seperti Blackberry, iPhone dan iPad yang sentiasa berada di tangan, sudah pasti menjadi peluang terbaik. Maka, tugas melonggok segala maklumat semasa yang bertujuan menerang, menyebar dan mempengaruhi masyarakat wajar diurus dengan baik. Lebih-lebih lagi dalam suasana sekarang ini, rata-rata perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (Kelantan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah) sedang betempur dengan provokasi, manipulasi dan serangan persepsi yang negatif.

Sementelah pula, rancangan pihak BN yang bertuankan Umno sudah melakukan kempen media dan menetapkan agenda setting dengan strategi ciptaan pelbagai isu atau paparan semula peristiwa untuk memburukkan prestasi PAS dan Pakatan Rakyat. Matlamat agenda setting BN bertuankan Umno itu tidak lain adalah untuk mempengaruhi pemikiran rakyat supaya menolak prestasi terbaik Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat. Oleh itu, ruang terbaik bagi menangkis serangan ciptaan isu itu adalah terletak atas bahu unit penggempur siber kerana ruang siber yang kaya dengan pelbagai maklumat maya patut dikuasai sepenuhnya.

Pelan penguasaan maya

Berdasarkan perkembangan semasa, media baru yang banyak dimanfaatkan oleh massa adalah facebook dan blog. Meskipun disedari pengaruh papan tanda kempen (billboard), sepanduk (banner), papan iklan elektronik (electronic screen) dan bahan sebaran (pamplets) dilihat juga mesra massa. Apa pun semua media yang berpengaruh ini (papan tanda, sepanduk dan bahan sebaran), kesemuanya boleh dilonggok (uploading) di dalam facebook dan blog secara digital dan siber. Ini kelebihan sistem aplikasi facebook dan blog.

Sehubungan itu, jentera pilihan raya PAS di semua peringkat perlu merangka pelan penguasaan maya yang mengutamakan pendekatan siber. Maka unit penggempur siber PAS adalah bertanggungjawab mengumpulkan kepakaran untuk menguasai medan facebook dan blog. Asasnya ialah di dalam facebook atau blog amat mudah memasukkan (menghubungkan) jaringan tempelan (link) berupa kumpulan sembang (group), iklan, senarai rakan, keahlian, menyenarai blog yang diminati, arkib, meletakkan pages rakan-rakan.

Begitu pula, urusan lampiran, menerima ruang posting, paparan dinding dalam blog atau facebook amat mudah dibuat menggunakan gambar (berupa sepanduk, billboard, wajah atau apa-apa rakaman foto) secara digital. Ia disokong lagi dengan paparan imej maya yang amat jelas dan menarik. Kesemuanya amat mesra (touching) dengan emosi, pemikiran dan keyakinan semua pengunjung facebook dan blog. Kelebihan ini harus dimasukkan sebagai pelan penguasaan maya jentera pilihan raya PAS (unit penggempur siber) bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Kandungan isu

Apa yang penting, nilai political will pengurus jentera pilihan raya PAS hendaklah merumuskan kandungan isu dan paparan untuk dilonggokkan ke dalam media baru seperti facebook dan blog. Atas kesedaran ini, pasukan kempen PAS (penerangan, Muslimat, Pemuda dan Ulama) hendaklah mengharmonikan setiap isu yang menyentuh kepentingan pengundi. Harus disedari kumpulan pengundi perlu dibekalkan dengan maklumat dan penjelasan atas isu kemasyarakatan yang diperjuangkan oleh PAS.

Memandangkan gerakan provokasi dan putar belit isu semakin rancak dicanang oleh unit gerak saraf dan organ media baru (dan lama) milik BN-Umno, maka sekarang bukan masanya untuk berlengah-lengah. Harapan menuju kemenangan pasti dapat dicapai apabila semua pihak bertindak secara berperancangan menguasai medan pilihan raya. Justeru, pengurusan media baru perlu mengutamakan gerakan menggempur setiap isu agar difahami oleh masyarakat. Ruang menggempur yang cepat masa kini antaranya adalah menerusi facebook dan blog. Logiknya unit penggempur siber PAS dapat diaktif dan berperanan sebaiknya.

Simpang siur hal Pilihan Raya

PAS Kelantan tuntut SPR mansuh dulu undi pos

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : October 31, 2011

KOTA BHARU – PAS Kelantan berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mansuhkan dulu undi pos sebelum bercadang membenarkan golongan pengundi dalam kalangan pengamal media, perubatan, penerbangan dan cari gali minyak mengundi pos atau undi awal.

Ketua Penerangannya, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sepatutnya SPR serius dengan tuntutan pihaknya supaya undi pos dimansuhkan kerana ia meragukan, tidak telus dan boleh dieksploitasi.

“Apa yang kita tuntut adalah mansuhkan undi pos. Tiba-tiba hendak tambah lagi kepada beberapa pemilih dalam sektor tertentu seperti perubatan, media dan sebagainya.

“Lagipun kategori golongan sibuk tu macam mana. Relatif. Cuma setahun sekali keluar sekejap untuk menunaikan tanggungjawab mengundi takkan tidak boleh,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mempertikaikan cadangan SPR untuk membenarkan pemilih termasuk pemberita, juruterbang, doktor dan mereka yang bekerja dalam industri cari gali minyak mengundi secara pos atau mengundi awal bersama polis dan tentera pada PRU-13.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff pula berpendapat cadangan SPR itu perlu diperkemas supaya golongan dalam beberapa sektor pekerjaan itu hanya dibenarkan undi awal dan bukannya undi pos.

“Jika undi pos ia boleh dimanipulasikan dan itu yang dibimbangkan. Bagaimanapun doktor ada waktu tertentu yang mereka boleh keluar mengundi, sama juga dengan pengamal media dan sebagainya.

“Golongan yang memang tidak dapat hadir wajarlah diberi undi awal dan ia boleh dipertimbangkan. Isu utama yang dibangkitkan Pakatan Rakyat selama ini adalah hapuskan undi pos supaya diganti dengan undi awal,” katanya.

Beliau berharap Kerajaan Pusat menunaikan dulu tuntutandibuat pihaknya selama ini sebelum cuba untuk membuat pendekatan baru dalam proses pengundian kepada golongan yang dimaksudkan itu.

http://www.sinarharian.com.my/politik/PAS -kelantan-tuntut-spr-mansuh-dulu-undi-pos-1.3184 [31 Oktober 2011]

PAS persiapkan calon PRU

Oleh : MOHD ZAILANI ABD RAHMAN
Tarikh : December 3, 2011

KOTA BHARU - PAS Kelantan memuktamadkan senarai calon untuk bertanding di Pilihan Raya Umum 13 (PRU 13) dengan mengemukakan beberapa nama baru untuk mempertahankan penguasaan Kerajaan Negeri lebih 20 tahun.

Bagi tujuan tersebut, Menteri Besar yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyerahkan nama-nama berkenaan kepada PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS III negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya mengemukakan beberapa calon baru untuk menggantikan wakil rakyat yang menarik diri atas pelbagai faktor seperti kesihatan.

“Insya-Allah calon tersebut yang terbaik dari segi peluang kita yakin peluang mempertahankan Kelantan cerah kerana tidak banyak isu yang boleh dimainkan Umno, sebab itu isu air dibangkitkan.

“Namun saya percaya ia tidak menjejaskan penguasaan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

http://www.sinarharian.com.my/politik/pas-persiapkan-calon-pru-1.9519 [3 Disember 2011]


PAS sambut baik cadangan sumpah bai’ah Umno

Oleh : Wartawan Sinar Harian
Tarikh : December 4, 2011

KOTA BHARU – PAS Kelantan menyambut baik cadangan seorang perwakilan supaya Umno turut mengamalkan pendekatan sumpah bai’ah seperti Pas bagi mengelak perbuatan khianat dan sabotaj ketika menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yussof, berkata, cadangan Umno itu membuktikan amalan yang dilakukan PAS selama ini adalah betul sehingga terdapat cadangan menirunya.

“Jika Umno juga tiru amalan itu, PAS sambut baiklah. Ia bukti kukuh pendekatan dibawa PAS selama ini di landasan betul. Jika tidak betul perwakilan Umno tidak akan membuat cadangan itu sehingga disambut setuju oleh perwakilan-perwakilan lain.

“Pas menganggap amalan yang dilakukan itu (bai’ah) selama ini benar dan memberi kebaikan kepada perjuangan parti. Kalau Umno hendak tiru baguslah,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau mengulas cadangan Perwakilan Umno Terengganu, Kamarudin Omar kepada pucuk kepimpinan supaya mengadakan sumpah bai’ah di kalangan perwakilan untuk mengelak parti disabotaj oleh ‘pengkhianat’ dalam pilihan raya umum.

Dalam perhimpunan agung Umno itu, beliau dilaporkan menyebut, bai’ah itu juga bagi menyatakan sokongan kepada kepimpinan berhubung pemilihan calon boleh menang dalam pilihan raya itu.


PAS tidak gentar calon Umno

Oleh : WARTAWAN SINAR HARIAN

Tarikh : November 12, 2011

KOTA BHARU – PAS Kelantan tidak gentar dengan kesediaan Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk menjadi bakal Menteri Besar kerana berkeyakinan rakyat negeri itu bijak menilai dan tetap memilih PAS sebagai pemimpin.

Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Wan Nik Wan Yusoff berkata, jika keperibadian Ketua Perhubungan Umno Kelantan itu menjadi faktor beliau dijadikan calon paling layak, lebih ramai lagi pemimpin PAS yang jauh lebih baik daripadanya.

“Kita tengok dulu rakyat Kelantan pilih beliau (Tok Pa) atau tidak dalam Pilihan Raya Umum (PRU)13 nanti. Jika Tok Pa dikatakan baik, bagi PAS lebih ramai lagi pemimpin-pemimpin parti ini yang jauh lebih baik daripada beliau.

“Dulu pada PRU 2004, Tok Pa sudah dicalonkan sebagai bakal Menteri Besar tetapi rakyat Kelantan tetap tidak memilih beliau. Fakta sejarah membuktikan ketika itu beliau hampir menang tetapi rakyat negeri ini tidak memberi mandat kepadanya,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan portal berita mengenai kesediaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu untuk berhadapan dengan kepimpinan Mursyidul Am PAS , Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi mengetuai Kelantan jika Barisan Nasional berjaya mengambil alih negeri itu pada PRU 13.

Menurutnya, kenyataan Ahli Parlimen Jeli itu menunjukkan keyakinan beliau dalam pilihan raya akan datang tetapi keputusan itu terpulang kepada pucuk pimpinan Umno sendiri untuk memilih siapa yang layak.

Ini kerana, katanya, pada 2004 beliau bertanding dua kerusi dan hanya memenangi Dewan Undangan Negeri Ayer Lanas manakala empat tahun kemudian Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussin pula digambarkan sebagai bakal Menteri Besar tetapi tumpas di kedua-dua kerusi.

Wan Nik berkata, beliau berpendapat kemungkinan Mustapa akan bertanding dua kerusi juga dalam PRU 13 nanti tetapi beliau perlu berwaspada kerana pengundi Kelantan mempunyai taktik dengan calon bertanding dua kerusi.

“Cara pengundi Kelantan jika seseorang calon itu bertanding dua kerusi, mereka akan bagi laluan kepada satu kerusi sahaja. Ia pernah berlaku kepada Tok Pa dulu. Namun Awang Adek tumPAS di kedua-dua kerusi yang dipertandingkan apabila rakyat Kelantan menolaknya pada 2008,” katanya.

Mustapa dilaporkan berkata, di bawah situasi normal, sesiapa sahaja ketua Umno negeri akan mengetuai (kerajaan) negeri jika menang (pilihan raya). Pertama, dia (ketua Umno negeri) akan mengetuai parti dalam pilihan raya.

”Ia laluan normal yang diambil, tetapi kita tidak boleh membuat andaian terlalu awal. Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak akan menentukan perkara ini, saya akan ikut arahan sebagai ‘seorang pengikut setia anda’,” katanya.

http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/PAS -tidak-gentar-calon-umno-1.5134 [12 Nov 2011]