04 February, 2011

Pengundi Umno-BN : Sekular-jahil?

Semusim kempen pilihan raya kecil Tenang berlangsung (22-30 Januari 2011), Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku al-Musyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan telah berkesempatan membuat kenyataan yang mencuit perasaan ‘agama’ kalangan pemimpin Umno. Kenyataan mencuit itu berhubung dengan penggunaan kalimah ‘jahiliah’ yang dirujuk kepada mana pengundi yang tidak sedia membuat perubahan dari mengundi BN kepada PAS.

Ekoran daripada itu, Tan Sri Muhyidin Yasin dan Datuk Seri Utama Rais Yatim adalah antara pemimpin Umno yang memberi respons bernada bangkangan. Bagi pemimpin Umno itu kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai fatwa dan menganggapnya bercanggah dengan Islam. Sebenarnya itu hanya suatu cuitan dari seorang pemimpin PAS yang faham dengan apa yang ia nyatakan.

Mungkin dua pemimpin Umno totok itu terasa terhina dengan cuitan itu. Bagi mereka semua pengundi BN itu adalah tidak jahiliah, berilmu dan faham Islam. Sekiranya mereka berdua bersetuju dengan penggunaan ‘jahiliah’ itu merujuk kepada pengundi BN, maka seolah-olah mereka berdua juga adalah pemimpin yang jahil. Sedangkan mereka adalah bertaraf pemimpin dan menteri. Mereka tidak jahil kerana merekalah yang memimpin pengundi BN agar tidak mengundi PAS. Lantaran itu, mereka marah bila dikaitkan kalimah ‘jahiliah’ itu dengan mengundi BN.

Si-tua lagi jahil

Dr. Mahathir juga turut celupar menilai kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz berikutan respons terhadap pandangan Lee Kuan Yew yang meminta orang Islam di Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada agama sekiranya ingin berintegrasi dengan masyarakat lain ke arah membina negara-bangsa.

Sememangnya patut Kuan Yew bercakap begitu kerana dia bukan Islam. Justeru Tuan Guru Nik Abdul Aziz membidas Umno yang tegar dengan dasar kebangsaan yang mendakwanya dirinya Islam, tetapi pada masa sama menolak langsung perjuangan Islam. Mungkin kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz mempunyai makna yang mendalam. Apa tidaknya, pengalaman selaku Menteri Besar ketika menguruskan dasar Islam dalam pentadbiran negeri Kelantan, acapkali berdepan dengan bangkangan totok pemimpin Umno yang berjuang ikut ideologi kebangsaan (nasionalis). Disebabkan sifat totok nasionalis itu, sehingga menampakkan pemimpin Umno itu lebih mengutama dan membesarkan ideologi nasionalis daripada ajaran Islam itu sendiri.

Masih dalam ingatan, tatkala Kerajaan Negeri Kelantan menjalankan dasar memuliakan wanita mellui pemberian curti bersalin 60 hari (kini 90 hari). Ramai pemimpin wanita parti nasionalis itu mengutuk, membangkang dan mempersenda program cuti itu beralaskan logik akal dan ideologi ‘free-thinking’ kononnya memundurtkan ekonomi wanita. Begitu pula, apabila cuti dua hari diperkenalkan untuk pentadbiran awam, mereka secara totok mengulangi hujah yang sama dan menolak prinsip psikologi Islam untuk kakitangan awam. Kemudian tatkala memperkenalkan dinar dan dirham atas prinsip mengembalikan maruah wang syariah, maka pelbagai komentar jengkel dan tumpul diluahkan oleh pemimpin Umno yang idealis nasionalis.

Paling tidak boleh dilupai oleh umat Islam dan rakyat Kelantan adalah penghinaan Dr. Mahathir terhadap hukum Allah tatkala menfatwakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II sebagai ‘hudud PAS,’ sedangkan ia digubal berteraskan hukum Islam dan diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan serta diperkenankan oleh Sultan Kelantan selaku Ketua Agama Islam.


Apakah amalan Islam Dr. Mahathir kukuh ketika itu? Nampak jelas, Dr. Mahathir kini ibarat si-tua lagi jahil dengan asas ilmu untuk mempertahan Islam. Sebaliknya, ia sudah berjaya menjadi si-tua yang totok menghuduhkan wajah perjuangan Islam. Justeru tidak layak Dr. Mahathir (seperti mana disebut di dalam blognya, 31 Januari 2011) menghentam Tuan Guru Nik Abdul Aziz dengan rangkapan bangkangan yang amat mengelirukan.


Tidak cukup dengan tindakan bangkangan tersebut, sifat pemimpin Umno seperti Dr. Mahathir yang jelas tidak mesra Islam turut terpengaruh atau dua-kali-lima dengan pihak penjajah zaman negara ini dijajah. Mengikut sejarah, gerakan kesedaran dan kebangkitan semangat Islam telah dimulakan oleh alim-ulama sehingga tertubuhnya parti Islam pertama Hizbul Muslimin. Kemudian parti Islam itu diharamkan, malah pemimpinnya Ustaz Abu Bakar al-Baqir dipenjara oleh penjajah tahun 1948 ekoran daripada hasutan pemimpin Umno. Hal ini mengundang perpecahan umat Islam disebabkan tindakan pemimpin tersebut. Maka sejarah mencatatkan pihak yang memecah-belah perpaduan umat Islam yang pertama di negara ini bukannya pemimpin PAS, tetapi pemimpin Umno.


Dr. Mahathir cuba menutup sejarah atau hanya baca sekerat dan skip sekerat lagi. Kalau baca kesemuanya kandungan sejarah itu, maka rupanya buruklah Umno. Selayaknya disebut bahawa sejarah membuktikan pemimpin Umno-lah punya angkara atas kesemua perpecahan ummah.


Tidak cukup dengan sejarah itu, betapa pemimpin Umno-lah menangkap pejuang kemerdekaan generasi pertama, seperti Ahmad Bostaman, Burhanudin al-Helmi dan Ishak Haji Mohamad (Pak Sako). Mereka jugalah yang menangkap alim-ulama yang membaca ayat-ayat al-Quran ketika menegur perjuangan kebangsaan. Termasuklah juga, kerana arahan merekalah polis telah membunuh Ustaz Ibrahim Libya yang membuka pondok pengajian Islam di Memali.


Di mana Islam era Najib?


Sekelumit pertanyaan, apa sudah jadi dengan Islam Hadhari yang diperkenalkan oleh (Tun) Abdullah Ahmad Badawi pengganti Dr. Mahathir? Ke manakah perginya penerapan Islam (Islamisasi) era Mahathirisme. Kenapakah pula, era Najibisme sekarang Islam tidak disebut lagi sebagai slogan––Islam Hadhari pun tidak, penerapan Islam pun tidak?


Apakah hal Islam era Najibisme sudah diranapkan oleh keangkuhan nasionalisme-sekularisme-jahiliah yang memerintah? Malangnya, era Najibisme kini telah menyerlahkan slogan ‘permata’ mendapat keutamaan dan peranan isterinya, Rosmah itu lebih dipopularkan dari slogan Islam.

Tidakkah terasa bahawa atas sifat ‘kekuasaan’ dan tindakan pemimpin Umno mempertahankan ‘kuasa’ maka berlaku tindakan politik nasionalis sedemikian? Apakah itu semua tidak boleh dianggap ‘teruk’ dan membodohkan rakyat di negara ini kepada memahami Islam sebagai agama yang suci.

Nasionalisme-sekularimse-jahiliah

Segala-galanya yang dibentangkan adalah menampakkan pemimpin parti nasionalis itu akan membangkang apa sahaja usaha Kerajaan Negeri Kelantan apabila mengaitkan programnya dengan Islam atau atas tanggungjawab memakmurkan wajah Islam. Maka, amat padan Tuan Guru Nik Abdul Aziz menghamburkan ‘political cynisism’ bagi menerangkan rupa sebenar pejuang nasionalis berperangai ‘political animal’ dan selalu bersifat totok terhadap PAS yang komited mempertahankan nilai Islam sebagai perjuangan rakyat Malaysia. Justeru layaknya perjuangan Umno disiniskan sebagai parti nasionalisme-sekularisme-jahiliah.

Sesungguhnya perjuangan Umno-BN itu sebagai nasionalisme-sekularisme-jahiliah adalah berdasarkan pemahaman dan realiti serta idealisme yang berlaku. Dikatakan nasionalisme kerana perjuangannya adalah berpegang kepada satu ideologi (keyakinan) untuk mencipta dan mempertahankan kedaulatan Malaysia melalui satu konsep beridentitikan ‘satu Malaysia’ bersama untuk sekumpulan pendukung parti ikatan (Barisan Nasional). Kesannya, membawa kepada ketaksuban nasionalisme etnik, iaitu nasionalisme yang meletakkan kepuakan (asabiah) demi mencapai dan mengekalkan kuasa yang bertapak di kepaukan rakyat. Prinsip nasionalisme rakyat ini bukan dibangunkan oleh Nabi Muhammad, tetapi dibangunkan oleh pemikir German, Johann Gottfried von Herder (1744–1803) melalui konsep Volk (bahasa German bermaksud "rakyat") yang mengutamakan "national spirit" dan "soul of the volk."

Demikian pula, perjuangan Umno-BN dikatakan sekular apabila memahami karya agung Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas (1978) “Islam and Secularism” yang menegaskan bahwa Islam menentang gagasan sekular. Disokong pula oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradawi (1987) menerusi karyanya “al-Islam wa al-'Ilmaniyyah Wajhan li Wajhin” yang sependapat bahawa sekularisme adalah bertentangan dengan Islam. Sekularisme dan terjemahannya kedalam bahasa Arab 'ilmaniyyah dari akar kata al-'ilm (ilmu) atau 'almaniyyah berasal dari perkataan al-'alam (alam). Al-Qaradawi lebih cenderung kepada 'ilmaniyyah, sedangkan al-Attas lebih kepada 'almaniyyah. Sekularisme mempunyai makna yang khusus, iaitu makna yang tidak mempunyai hubungan dengan agama (al-din), ataupun kalau ada hubungannya dengan agama, maka hubungan itu adalah hubungan pertentangan.

Namun mengenai hubungan agama dan sekularisme, al-Qaradawi mengakui teori kebebasan agama yang dianut oleh sekularisme tidak sesuai untuk Islam. Menurutnya, walaupun ada seglongan berfahaman sekularisme liberal, iaitu tidak melarang umat manusia untuk beriman kepada Allah, Rasul-Nya dan hari akhir, tetapi prinsip sekularisme jenis ini adalah "mengakui kebebasan beragama bagi setiap manusia". Atas prinsip ini, bolehlah dikatakan Perlembagaan Persekutuan (Malaysia) adalah bersifat sekular kerana mengamalkan kebebasan beragama sebagaimana Perkara 3 yang mengiktiraf Islam tetapi pada masa sama mengiktiraf agama-agama lain. Justeru sama-sama sepakat bahawa sekularisme itu bukan saja bertentangan dengan Islam, bahkan tidak mendaulat atau mengagungkan Islam.

Kepekaan kedua-dua ilmuwan Islam itu terhadap permasalahan umat yang mendasar, sekaligus menunjukkan bahwa isu sekularisme tidak boleh dianggap ringan oleh orang-orang Islam sendiri. Ini kerana amat bahayanya faham sekularisme dan sekularisasi serta proses-prosesnya, sama ada di peringkat individu ataupun masyarakat, peribadi ataupun negara.

Demikian pula, perjuangan Umno-BN dikira terangkum dalam kancah jahiliah kerana kesan daripada parti itu memerintah sudah lebih 53 tahun penyakit jahil agama, buat al-Quran, kebangkangan kepada perjuangan menegak amal-maaruf dan nahi-mungkar, kejumudan perundangan sivil, ketakutan kepada perundangan syariah, kebobrakan sosial, peningkatan jenayah, rasuah menjadi fenomena, ketidak adilan terhadap rakyat marhain, tingginya jurang kemewahan elit vis-a-vis kedaifan rakyat, kebendaan tanpa madani, kronisme dan nepotimse kian parah dan pelbagai gaya hidup masyarakat umat Malaysia yang bertentangan dengan ketamadunan acuan Islam.

Gerakan anti-jahiliah

Justeru munculnya gerakan pendesak yang anti-jahiliah seperti Kumpulan Hizbut Tahrir Malaysia menggambarkan Malaysia berada dalam era jahiliyyah sama seperti masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Pendirian Hizbut Tahrir itu berlandaskan apa yang berlakunya dalam negara ini yang mengalami kes jenayah yang menghantui kehidupan masyarakat, seperti jenayah rogol, pembunuhan, kekerasan, narkotik, pil psikotropik, jenayah harta benda dan jenayah komersial. Ditambah lagi dengan kes pengguguran dan pembuangan bayi (sama ada hidup atau mati), pelacuran dan perzinaan bermaharajalela, kepuakan dan kebanggaan kepada kaum dijadikan agenda perjuangan pemerintah (kerajaan BN). Puncanya ialah undang-undang sekular peninggalan penjajah yang diterapkan hari ini masih kekal dan tidak bersedia melaksana perundangan Islam yang adil. Sekaligus membuktikan kegagalan Umno-BN sebagai pareti kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang madani (berteraskan agama).

Berdasarkan apa yang digambarkan oleh Hibut Tahrir itum ia seakan sama dengan suasana kehidupan masyarakat Arab di ambang kelahiran Islam, iaitu berada dalam keadaan porak-poranda, seperti membunuh anak perempuan hidup-hidup, pelacuran ada di mana-mana, perempuan di hina dan menjadi ‘alat’ memuaskan seks, pergaduhan dan peperangan sering terjadi hanya kerana hal yang remeh-temeh, sikap kebanggaan kepada asabiah dan wathaniah (patriotisme), sistem ekonomi yang penuh dengan penipuan timbangan dan pelbagai lagi kerosakan lainnya. Kesemuanya menjadi norma kehidupan ketika itu. Justeru masa kini pula, apabila Islam ditolak sebagai penyelesai kepada persoalan hidup manusia, maka suasana jahiliyah akan merundung kehidupan kita.

Apakah benar sekarang kita berada seperti di zaman jahiliyyah tatkala kita menolak dasar Islam dalam pentadbiran negara? Wan Azalina (Oktober 2008) dalam Milenia Muslim melihat masalah yang menimpa golongan ini sebenarnya adalah suatu akibat atau kesan yang berpunca daripada satu sistem kehidupan yang telah punah dan pincang. Golongan remaja, misalnya haari ini menjadi mangsa keadaan yang terjerumuis dalam kehidupan songsang yang di terapkan dengan ideologi sekular dan liberal yang diadun atas nama kemajuan, kemodenan, pembangunan, globalisasi dan materialistik yang di hiasi dengan sistem kapitalis. Sehingga nilai agama, adat dan budaya bangsa ditolak ke tepi. Ia melahirkan corak kehidupan masyarakat yang memisahkan urusan agama dari setiap aspek kehidupan harian seorang insan dengan fahaman bebas dan terbuka (dibaca sekularisme – penulis).

Diperkukuhkan lagi dengan jiwa masyarakat yang diserang dengan penyakit ‘wahan’, cinta kepada dunia dan takut kepada kematian. Berlumba-lumba mencari harta dunia dan kemewahan bagi memenuhi tuntutan hidup. Segala-galanya adalah tentang wang dan keuntungan. Akibatnya, lahirlah dan masyarakat yang runtuh moral dan akhlaknya, robek imannya hingga terkakis satu persatu nilai suci agama yang seharusnya menjadi pedoman dan penyelamat kehidupan manusia di dunia dan akhirat. Sampai ketika dan kemuncak kepada kehidupan jahiliyah ini ialah bila diajak berjuang Islam mereka akan berdalih sebagaimana sikap Abu Jahal dan rakan ahzabnya yang menentang Nabi Muhammad SAW. Ia begitu kerana tidak sanggup bersama dengan perjuangan berasaskan agama yang berlawanan dengan nafsu keduniaan yang telah menyelubungi ragam dan resam hidup mereka.

Bila datang musim pilihan raya, maka pilihan bagi golongan ini ialah pastinya akan mengundi Umno-BN, kerana mereka akan meraih untung diunia dengan pelbagai pemberian dan umpan serta janji. Jika adapun kalangan mereka yang cuba beralih arah untuk menyokong kebenaran dan keadilan yang diperjuangakan oleh PAS-Pakatan Rakyat, akan muncul ‘defender jahiliah’ kalanhgan Umno-BN datang mengugut dan mengancam dengan pelbagai cara bagi mengikat golongan yang insaf agar kekal dengan semangat jahiliah. Natijahnya inilah maksud Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang mencuit sentimen agama pemimpin dan puak Umno-BN ketika kempen pilihan raya kecil Dun Tenang yang lalu. Apakah cuitan Tuan Guru ini dianggap satu fatwa yang mencabar Majlis Fatwa Kebangsaan? Hanya jauhari yang mengenal manikam.


Oleh:

Wan Nik Wan Yussof, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan merangkap ahli Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

31 January, 2011

PrK Tenang: Perjalanan tidak tenang

Perjalanan proses pilihan raya kecil Dun Tenang sudah selesai pada 30 Januari lalu. Prosesnya bermula sejak penamaan calon pada 22 Januari itu telah menyaksikan seorang wakil rakyat yang tidak berintegriti (bakal berdepan dengan kes saman mahkamah pada Februari nanti) adalah menyerlahkan pegangan yang tidak berubah-ubah majoriti pengundi yang tegar dengan Umno-BN sebagai kepercayaan politik. Ia juga suatu gambaran betapa masih besar siaz rakyat Johor yang tetap berpeluk erat kepada ideologi politik sekular-kebangsaan yang rupanya pelbagai wajah, demi survival hidup. Sekaligus, memberi gambaran kira-kira 4,000 pengundi di Tenang adalah warga peneroka Felda yang setia wala’ kepada pemimpin Melayu yang terus melayukan mereka.

Tenang dan Galas

Oleh sebab itu, secara logiknya, status pengaruh PAS-Pakatan Rakyat di Dun Tenang adalah lebih rendah berbanding Dun Galas. Setidak-tidaknya PAS di Galas mempunyai 22 cawangan (termasuk 5 di kawasan Orang Asal), tetapi Galas masih merupakan kawasan politik tradisi BN. Inikan pula Dun Tenang dimana PAS tidak mmpunyai kekuatan cawangan yang setara dengan Galas, maka munasabahnya PAS boleh kalah sebanyak 1,190 di Galas pada 4 November 2010.

Justeru itu, logiknya PAS boleh kalah 3,707 di Tenang. Tambahan pula di Tenang, Umno-BN sudah memiliki ‘undi simpanan tetap’ melebihi 4,000 peneroka Felda yang merupakan 100 peratus pengundi tegar BN. Maka PAS yang hanya bergantung kepada sokongan pengundi tegar kurang 20 peratus, selayaknya bagi Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yasin Umno-BN mendakwa mereka boleh mencapai majoriti 5,000 undi dalam piihan raya kecil pada 30 Januari lalu.

Suasana tidak tenang

Namun suasana perjalanan kempen dan hari mengundi di Tenang telah dicorakkan oleh keadaan cuaca yang tidak mengizinkan. Suasana cuaca mempengaruhi kelancaran aktiviti pengundian. Akibatnya banyak aktiviti tergendala berikutan berlaku hujan sejak awal dan banjir di seluruh Dun Tenang. Maka jumlah keluar mengundi turut merosot dan jauh daripada sasaran 80 peratus, malah lebih rendah berbanding pilihan raya umum. Pada pilihan raya umum lalu, keluar mengundi 74 peratus sudah dianggap rendah berbanding paras nasional 80 peratus. Maka pada pilihan raya kecil Tenang ia sudah merosot lagi kepada 69 peratus sahaja. Ini disebabkan halangan hujan yang turun mencurah-curah sejak malam terakhir kempen menyebabkan kira-kira jam 11 pagi beberapa jalan-jalan ke pusat mengundi di sudah ditenggelami air. Antara yang paling awal tenggelam ialah Kampung Redong, Kampung Tenang, Pekan Ayer Panas, Felda Tenang, Tenang Station dan Bandar Labis. Melainkan di dalam kawasan Felda, laluan tidak tergendala kerana permukaan buminya lebih tinggi. Senario itu telah mencacatkan pergerakan pengundi dan ia merupakan faktor utama merosotnya jumlah keluar mengundi bagi pilihan raya kecil Tenang.

Keputusan yang dijangka

Keputusan rasmi terpaksa diumumkan lewat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia juga kerana banjir. Hatta di pusat penjumlahan Dewan Serbaguna Labis turut digenangi air. Walhasilnya, BN mendapat undi 6,699, PAS pula 2,992 undi. Maka, majoriti BN ialah 3,707. Keputusan ini sudah dalam jangkaan banyak pihak. Ia sekaligus membenarkan penemuan kajian Merdeka Centre yang diumumkan tiga hari sebelum hari mengundi.

Bandingan pilihan raya 2008, BN memperolehi 6,367 undi dan PAS pula meraih 3,875 undi dan majoriti BN sebanyak 2,492. Maka pilihan raya kecil kali ini menyaksikan perubahan undi, iaitu BN bertambah 332 dan PAS merosot 883 undi. Sementara perubahan majoriti BN pula bertambah sebanyak 1,215 undi.

Apakah makna perubahan ini? Bagi BN ia suatu peningkatan sokongan dan PAS pula adalah suatu kemerosotan sokongan. Kenapakah PAS merosot? Satu daripada punca adalah
sebahagian pengundi PAS 2008 telah kembali kepada BN (mungkin seramai 332 undi yang menambah kepada BN) itu kerana telah diugut. Ia berikutan ada kes-kes dilaporkan demikian ekoran daripada kerjasama pengundi kepada petugas PAS. Sementara, seramai 551 mungkin tidak keluar mengundi, tidak balik mengundi atau kerana terkandas banjir. Jumlah ini dikatakan sama dengan jumlah pengundi PAS yang dikesan berada di luar Dun Tenang.

Justeru itu, kemungkinan pengundi tidak dapat balik mengundi disebabkan terkandas banjir adalah logik. Namun ada yang berkata, rahmat banjir itu telah memberi kesempatan kepada BN. Ini berikutan BN begitu ghairah untuk menang, lantas semua jentera kerajaan, termasuk askar, JPA3 dan Rela digunakan untuk mengangkut pengundi. Tanpa jentera ini, akan ramai pengundi BN tidak sedia keluar mengundi. Sedangkan PAS tidak berpeluang menggunakan semua kemudahan jentera kerajaan itu. Kelemahan ini menyebabkan pengundi PAS ramai terperangkap dalam banjir.

Analisis DAP

Pilihan raya kecil Tenang kali ini telah menyampaikan sesuatu mesej yang boleh dianalisis dari pelbagai sudut. Antaranya analisis bersifat perkauman bila mana agak ketara jurang nilai pengundian antara pelbagai kaum. Menurut penganalisis DAP, Tony Pua yang menulis menerusi twitter, kalangan pengundi India sokongan kepada BN telah meningkat daripada 30 peratus kepada 80 peratus. Sementara keluar mengundinya pula merosot 23 peratus.

Kalangan pengundi Cina pula, sokongan kepada PAS keseluruhannya dianggap tidak berubah sekitar 64 peratus dengan sokongan paling tinggi di LabisTengah sebanyak 72 peratus. Namun jumlah keluar mengundinya 18 peratus.

Amat luar biasa pula ialah sokongan kepada BN di kalangan pengundi Melayu didapati meningkat di semua daerah mengundi, iaitu melebihi 80 peratus dan paling ketara di Chempelak sebanyak 88 peratus.

Jelas sekali, analisis Tony Pua ini merupakan nilai perkauman yang dicanangkan oleh Umno-BN di Tenang.

Pola keluar mengundi berbeza

Natijahnya, Tenang yang mengandungi pengundi pelbagai kaum telah menterjemahkan sokongan orang Melayu Johor amat kukuh kepada Umno-BN. Dalam konteks Tenang, orang Melayu amat ghairah mengundi adalah bukti Umno-BN berjaya berkempen atas sentimen kaum. Sementara bukan Melayu begitu merosot keluar mengundi juga kerana tertekan dengan suasana kempen perkauman. Apa pun sentimen perkauman ini telkah disaluti keadaan cuaca, menyebabkan jumlah keluar mengundi semakin merosot.

Pada pilihan raya umum 2008 keluar mengundinya tidak sampai 75 peratus dan pada kalinya merosot lagi, iaitu tidak sampai 70 peratus. Faktor utama ialah kerana berlaku banjir. Walau bagaimanapun, ekoran banjir yang menyusahkan pihak pengundi untuk keluar mengundi didapati telah membawa kepada peningkatan sokongan kepada BN. Meskipun, dilaporkan ada pusat mengundi yang lengang berikutan ramai pengundi terkandas, tetapi keluar mengundinya tetap tinggi, antaranya ialah di Kg. Redong, Pekan Ayer Panas dan Sawah Bahru yang melebihi 70 peratus. Kesemuanya ini adalah kawasan pengundi Melayu.

Namun, di kawasan pengundi Cina, iaitu sekitar bandar Labis keluar mengundinya didapati di bawah 60 peratus dan paling teruk di kawasan India iaitu di Ladang Bukit Dato hanya 47.5 peratus. Apakah ada permainan kotor di sebalik banjir itu? Mungkinkah ada hubungannya dengan tiadanya bantuan pihak tentera, JPA3 dan Rela di daerah mengundi ini?

Banjir untungkan Umno-BN

Dalam suasana banjir, perjalanan kempen amat tidak menyebelahi PAS-Pakatan Rakyat. Ia ada kaitan dengan peranan media maklumat utama pengundi Dun Tenang yang kuat dipengaruhi dan atau bergantung kepada media pro Umno-BN. Majlis ceramah dan perjumpaan anjuran PAS-Pakatan Rakyat banyak terganggu sambutannya kerana faktor cuaca. Begitu juga pergerakan perayu undi rumah ke rumah dan di tempat-tempat awam turut terjejas.

Sebaliknya, bagi Umno-BN aktyiviti berkempen musim cuaca hujan tidak mencacatkan misi kerana peranan akhbar dan televisyen sudah dianggap berjaya masuk ke setiap rumah pengundi. Siaran berita utama dalam televisyen sudah mempamerkan 100 peratus berita positif kepada calon Umno-BN dan 100 peratus pula negatif kepada calon PAS-Pakatan Rakyat. Begitu pula, peranan media cetak mahupun internet pro Umno-BN dapat diakses dengan mudah oleh pengundi. Sepertimana didedahkan oleh kajian agensi Alexa (The Web Information Company), sehingga 30 Januari 2011 didapati daripada sembilan laman berita utama nasional yang paling popular, lima laman adalah pro Umno-BN, dua bebas dan dua sahaja pro PAS-Pakatan Rakyat. Justeru suasana kempen musim cuaca yang tidak tenang, maka penyebaran maklumat awam laman berita itu sudah pasti menyebelahi Umnno-BN.

Harapan bersama

Sehubungan itu, takdir Ilahi telah menentukan keputusan pilihan raya kecil Tenang (30 Januari 2011) pastinya memberi banyak pengajaran untuk PAS-Pakatan Rakyat terus bangkit menghadapi pilihan raya umum ke-13. Segala-gala kelemahan dan kecacatan gerakan politik pilihan raya yang dipimpin oleh Haji Salehuddin Ayub (Pengarah Strategik) dan Dzulkefly Ahmad (Pengarah Operasi) sudah tentu boleh diperbaiki. Masa yang ada bukannya penghalang untuk PAS-Pakatan Rakyat terus mengukuhkan susunan gerakan tersebut. Pastinya, keazaman tinggi pimpinan dan penyokong Pakatan Rakyat seluruh negara merupakan penyubur harapan bersama rakyat untuk menyaksikan perubahan politik negara. Maka pilihan raya kecil Tenang di antara titik strategik boleh membantu ke arah kejayaan mengubah masa depan rakyat Malaysia.

30 January, 2011

PrK Tenang: Keputusan sukar diterima

Keputusan rasmi, BN mendapat undi 6,699, PAS pula 2,992 undi. Maka, majoriti BN ialah 3,707. Bandingan pilihan raya 2008, BN memperolehi 6,367 undi dan PAS pula meraih 3,875 undi dan majoriti BN sebanyak 2,492. Maka pilihan raya kecil kali ini menyaksikan perubahan undi ialah BN bertambah 332 dan PAS merosot 883 undi. Justeru perubahan majoriti BN sebanyak 1,215 undi.

Apakah makna perubahan ini? Bagi BN ia suatu peningkatan sokongan dan PAS pula adalah suatu kemerosotan sokongan. Kenapakah PAS merosot?

Satu daripada punca adalah sebahagian pengundi PAS 2008 telah kembali kepada BN (mungkin seramai 332 undi yang menambah kepada BN) itu telah diugut berikutan ada kes-kes dilaporkan demikian. Bakinya lagi, seramai 551 mungkin tidak keluar/tidak balik mengundi atau kerana terkandas banji
r. Jumlah ini dikatakan sama dengan jumlah PAS yang dikesan berada di luar.

Justeru itu, kemungkinan pengundi tidak dapat balik mengundi disebabkan terkandas banjir adalah logik.
Namun ada yang berkata, rahmat banjir itu telah memberi kesempatan kepada BN. Ini berikutan BN begitu ghairah untuk menang, lantas semua jentera kerajaan, termasuk askar, JPA3 dan Rela digunakan untuk mengangkut pengundi. Tanpa jentera ini, akan ramai pengundi BN tidak sedia keluar mengundi. Sedangkan PAS tidak dapat menggunakan semua kemudahan jentera kerajaan itu. Kelemahan ini menyebabkan pengundi PAS ramai terperangkap dalam banjir.

Inilah realiti kemenangan BN yang pada sikap saya adalah sukar terima. Hanya Allah lebih tahu segala-gala yang berlaku.


PrK Tenang: Selamat mengundi guru Muslimah

PrK Tenang kali ini (30.1.11) menyaksikan persaingan antara dua parti yang ultra Melayu: PAS dengan Umno; dua kerjasama politik: PR dengan BN; dua kuasa politik: pengimbang kepada penguasa (state) dengan kerajaan sebagai penguasa. Sifat duaan nilaian asas ini telah menyaksikan muncul dua calon yang memerlukan pengundi Dun Tenang mengundinya, iaitu Cikgu Mala dan ADO Azahar.

Pilihan yang tepat bagi saya (dalam konteks Tenang) ialah Cikgu Mala kerana tiga nilai asas kepimpinan untuk masyarakat Labis ini (kerana Tenang dalam parlimen Labis dan bandar utamanya Labis).

Pertama, Cikgu Mala adalah bekas seorang guru yang sudah terbukti ada jasa cemerlang mendidik anak bangsa seagama dan seummah.

Kedua, sifat kepimpinan guru amat dekat dengan masyarakat yang sudah terbukti mencipta rekod membawa perubahan
pemikiran masyarakat mengurus masa depan yang berakhlak bersimbolkan ilmu.

Akhirnya, ketiga inilah masa dan peluang membuktikan "semangat keibuan" dan "sifat keibuan" itu diterjemahkan secara sepakat untuk diterapkan di dalam kepimpinan siasah syariyyah-Islamiah.


Bertolak daripada tiga kekuatan nilai asas kepimpinan itu, maka terserah kepada pengundi Labis yang menggambarkan nilai majmuk realiti masyarakat Malaysia - Melayu, Cina, India, Orang Asal dan lain-lain kumpulan kecil kaum lain. Atas sifat masyarakat yang bersifat majmuk ini, sewajarnya pengundi Tenang dapat menerima perjuangan PAS "Untuk Semua" dan Pakatan Rakyat "Untuk Malaysia." Justeru 14,753 orang pemilih akan membuat keputusan.

Selamat mengundi, 'siiru ala barakatil Lah'. Allahu Akbar.