06 November, 2010

PrK GALAS ambil pengajaran punca kalah PAS

Ungkapan mudah diluah setiap kali kalah ialah ambillah pengajaran daripada kekalahan. Meskipun ia pahit, tetapi manfaatnya seperti ubat yang bakal menyihatkan tubuh-badan pesakit. Apa pun, pilihan raya kecil Galas tetap menjadi hambatan strategik politik Kelantan. Ini kerana ada dua signifikan besar:

Pertama: tanda amaran rakyat kepada kealpaan Kerajaan Negeri Kelantan terhadap kepentingan rakyat pelbagai kaum atas isu tanah.

Kedua: Suatu petanda pelaksanaan operasi jentera PAS yang lemah meskipun atas strategi pilihan raya yang baik. Sehingga BN yang berada dalam keadaan bermasalah boleh mencapai kemenangan.

Signifikan pertama harus dilihat dari segi kesan undi diterima PAS semuanya merosot disebabkan permainan isu yang berorientasikan persoalan tidak selesainya isu tanah. Kalangan pengundi Melayu berbanghkit isu pemilikan tanah lambat diselesaikan sedangkan premium sudah dibayar dan penempatan untuk generasi ke-2 dan ke-3; Cina janji untuk selesai permohonan di Pulai & Tanah Putih, di samping permohonan tempoh pajak dari 33 kepada 66 tahun tidak diluluskan; dan kalangan Orang Asli konopnnya tanah-tanah mereka dirampas untuk projek Ladang Rakyat yang memberi untung kepada orang lain. Tidak kurang juga isu penempatan orang India di satu kawasan perumahan yang selesa.

Sementara signifikan ketiga harus dilihat kepada budaya kerja yang masih dilamun kemenangan 2008 kalangan kelompok pimpinan dan petugas PAS. Menyebabkan strategi yang dipasang agak baik untuk "berkubu dan meraih undi baru" tetapi ia tidak disokong oleh tindakan operasi yang berkesan. Macamana dikatakan berkubu sedangkan jaminan atas isu tanah tidak berlaku pada saat pilihan raya. Apa yang berlaku hanya penjelasan dan janji yang belum menyakinkan pengundi. Di samping penyampaian surat hak milik tidak melibatkan pengundi Cina. Hasilnya PAS semakin kalah di Kampung Pulai dan kalah 37 undi (dulunya menang 190 undi) di Bandar Lama. Amat mengejut pula di Sungai Terah kubu PAS, juga merosot undi agak besar daripada dulunya menang 510 undi sekarang hanya menang 258 undi. Sedangkan pada masa sama BN mampu menambah undi sebanyak 243 undi. Ini jelas kubu PAS telah bocor. Maknanya strategi berkubu tak menjadi, jauh sama sekali untuk meraih undi baru.

Begitu pula, faktor ancaman sebenar sudah dikenalpasti, iaitu undi Orang Asli. Pihak BN telah gunakan sepenuhnya jentera Kerajaan Pusat--Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia--sebagai petugas pilihan raya BN. Hasilnya BN berjaya memaksimumkan keluar mengundi pengundi Orang Asli sehingga 86%. Namun PAS gagal mengadakan jentera pengangkut dan pusat pengumpulan Orang Asli bagi menyaingi operasi BN. Maka, PAS merosot undi 66 sedangkan BN menambah sebanyak 567 undi Orang Asli.

Apa pun, pilihan raya kecil kali ini pihak BN amat terbuka menyalahgunakan jentera Kerajaan Pusat termasuk laman internet dan media elektronik (TV) serta cetak yang menyebarkan fitnah terhadap calon PAS serta manipulasi pemberian zakat Tok Guru Menteri Besar Kelantan kepada perbuatan merasuah pengundi. Sedangkan pada tempoh kiempen juga, Timbalan Perdana Menteri,Tan Sri Muhyiddin yang menghulurkan wang bersampul RM300 tidak dianggap rasuah.

Penggunaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli, termasuk Pasukan Tentera dan Polis untuk menjaga pengundi Orang Asli turut bercanggah dengan prinsip kebebasan berkempen atas nama parti yang bertanding. Jentera BN tidak bertugas di kawasan Orang Asli, sebaliknya yang menjadi pengangkut, tukang masak, mengendali pusat pengumpulan dan pengawalkeselamatan kesemuanya agensi kerajaan.

Atas usaha dan strategi tidak legalise BN itu, dan senario kempen PAS yang sedemikian lesu, selayaknya PAS gagal di pilihan raya kecil Galas. Ambillah pengajaran daripada nilai dua signifikan yang menyebabkan PAS kalah dan BN mula mendapat nafas baru di Kelantan.

Semoga Tuhan Yang Esa memberi ganjaran setimpal kepada hamba-Nya yang berjuang atas landasan agama-Mu, meskipun kalah berdepan dengan BN yang kebangsaan itu.

04 November, 2010

Pilihan Raya Kecil DUN Galas & Parlimen Batu Sapi

Pengundian bermula jam 8.00 pagi. Blog ini memberi fokus kepada laporan penjalanan di Galas . Keadaan agak tenang. YAB Tuan Guru Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Bentara Setia Hj Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat sedia mengiringi calon, Dr. Zulkefli Mohamad (Dr. Zul) melawat pusat-pusat pengundian. Lawatan bermula di Sungai Terah yang mengundi di Sek. Men Tengku Muhammad Fakhry Petra. Semasa lawatan Tuan Guru bersama Calon PAS, Dr. Zul, pihak BN yang diketuai Dato' Mustapha Mohamed telah melakukan provokasi yang memaksa Pegawai Pengurus, Hj Wan Mustafa sendiri mengawal keadaan. Apa pun seperti biasa pihak BN selalu mengasak. BN dijangka terdesak dan sehingga pagi ini tiada kelihatan Tengku Razaleigh di pusat mengundi. Hal ini mengingatkan saya kepada masalah dihadapi dalaman BN/Umno Gua Musang (lihat Jadual).

Berdasarkan jadual itu, masalah paling ketara ialah percanggahan Pemuda & Wanita dengan Tengku Razaleigh. Puncanya adalah isu Tengku Razaleigh yang bersetuju dengan tuntutan wang royalti Kerajaan Negeri.

Peliknya, atas isu royalti minyak itu tersebar risalah kempen BN yang turut menawarkan wang royalti minyak jika BN menang. Ini bermakna selama ini pemimpin BN/Umno Kelantan yang menafikan tuntutan Kerajaan Negeri tidak lebih daripada sandiwara politik dayus (tidak bermaruah) di hadapan rakyat Kelantan.

Menariknya lagi, di sebalik risalah itu wujudnya unsur penipuan dan pembohongan serta salah laku atas ikrar pemimpin BN sendiri yang berjanji tidak ada lagi projek "mee segera" dalam kempen di Galas. Antaranya mengisytihar projek padang golf, taman tema dan kampus UMK. Jelas politik pembangunan tetap menjadi isu di sebelah BN. Di sebelah Pakatan Rakyat pula, pihakPAS sedia menampilkan calon yang mampu menang dan menjawab semua isu-isu berbangkit seperti peneylesaian tanah dan kemudahan asas (air bersih dan perumahan).

Jam 11 pagi 22% telah keluar mengundi yang majoritinya di saluran pengundi tua. Sehingga jam 12, peratus keluar mengundi sebanyak 49.61 peratus. Seramai 5732 orang telah mengundi.
Selepas sembilan jam tempoh pengundian bermula 8 pagi hingga 5.00 petang dan keputusan diumumkan adalah berpihak kepada BN. Keputusan itu menyaksikan PAS mendapat 4,134 undi berbanding BN memndapat 5,324 undi. Maka BN ialah 1,190 undi. Pilihan raya kali ini pula menyaksikan 83 peratus atau 9,950 keluar mengundi dan 132 undi rosak.

Menariknya daripada trend pengundian kali ini ialah tingginya keluar mengundi seperti mana juga pilihan raya umum 2008. Hal ini juga mempunyai penilaian politik tersendiri dalam konteks menjawab kenapa PAS kalah pada pilihan raya kecil Galas kali ini. Antara penilaian itu ialah betapa kejayaan BN menggunakan jentera kerajaan untuk kepentingan politik BN sehingga memenangkan BN.

Semoga Allah mengurniakan ketenangan kepada rakyat Galas dan Kelantan amnya di sebalik peristiwa pilihan raya kecil kali ini.

31 October, 2010

Membangun Bersama Islam: Kelantan menerajui perubahan (Siri 4)

Suatu perkara penting yang mencorakkan senario baru politik negara pasca 1990 adalah terjelmanya kuasa politik Islam yang dibawa oleh PAS tatkala berkuasa di Kelantan. Hal itu telah mencetuskan suatu keyakinan baru umat Islam betapa dasar-dasar Islam yang selalu diceramahkan di corong radio, TV dan tertera di dada akhbar sudah mencapai realiti. Justeru, kunci kepada senario baru itu adalah komitmen Tok Guru Nik Aziz memakai kandungan dasar perjuangan Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan PAS sebagai prinsip pentadbiran yang wajar dipraktikkan. Antara kandungan itu ialah Fasal 5, Perlembagaan PAS menyebut untuk memperjuangkan sebuah masyarakat dan pemerintahan di dalam negara ini yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan juga mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan negara. Seterusnya diperjelaskan lagi oleh Fasal 6, iaitu dinyatakan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk merealisasikan tujuan Fasal 5 itu, antaranya dengan menyeru umat manusia kepada Syariat Allah dan Sunnah Rasul-Nya sama ada melalui lisan, tulisan dan amalan. Kini dua dekad PAS mentadbir Kelantan memakai prinsip kuasa politik berteraskan dasar-dasar Islam. Ia telah dan sedang dibuktikan dalam aspek pentadbiran Negeri.

Pentadbiran Islam

Dasar pentadbiran Kerajaan Negeri berpandukan moto Membangun Bersama Islam yang merupakan tema manifesto PAS bagi pilihan raya umum 1990. Teras membangun Bersama Islam ialah berpaksikan kepada tiga teras utama iaitu ubudiah, masuliah dan itqan (UMI). Kunci kepada kejayaan pentadbiran di bawah dasar Membangun Bersama Islam kerana memberi penumpuan kepada nilai-nilai takwa yang mencapai keberkatan.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (Tuhan berfirman lagi): Kalau sekiranya penduduk negeri itu beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membukakan kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan” (Al-Quran Surah Al Araf:96).

Ubudiah berkait soal iman atau aqidah iaitu merujuk tanggungjawab manusia sebagai hamba Allah SWT. Penekanan terhadap seseorang penjawat awam ditekan dari aspek sifat diri, tujuan hidup dan aktiviti harian yang dilakukan hendaklah selaras dengan kehendak agama (berimana dan bertakwa). Begitu juga dalam tugas seharian hendaklah menepati matlamat yang ditetapkan kerajaan.

Masuliah menekankan soal amal tanggungjawab (akauntabiliti) yang selaras dengan tuntutan syariat. Penegasan tanggungjawab itu ialah tugas harian seseorang kakitangan awam di pejabat itu sebenanrya mempunyai hubung kait dengan agama (aspek dosa dan pahala). Setiap kakitangan awam diperingatkan segala gerak kerja mereka akan diadili di akhirat kelak.

Itqan berkait dengan amalan soleh atau akhlak. Akhlak bagi seseorang kakitangan awam menekankan aspek ketekunan, kesungguhan dan komitmen tinggi dalam melaksanakan tugas. Seseorang penjawat awam yang mempunyai akhlak tinggi tentunya tidak terbabit dengan sebarang penyelewengan dan salah laku atau bekerja sambil lewa dan curi tulang. Sifat itu menerbitkan asas kualiti dalam setiap tugas yang dilakukan.

Kesan amalan pentadbiran ini telah mencetuskan perubahan dan transformasi Islamik seperti diulas sebelum ini (di bawah beberapa sub-topik di atas) turut menzahirkan betapa aspek jimat cermat, hemat dan berpada termasuk di dalam berbelanja. Slogan popular yang kerap digunakan Menteri Besar iaitu ”berbelanja jangan sampai boros dan berjimat jangan sampai kedekut.”

Sebagai ketua kerajaan Tok Guru Nik Aziz mempraktikkan amalan berjimat cermat di pejabatnya. Lampu pejabat dipadamkan pada waktu rehat atau dibuka suisnya mana yang perlu sahaja. Ini kerana semua harta itu adalah hak orang ramai. Maka setiap pegawai mesti menganggapnya sebagai amanah yang perlu dijagai demi mencapai keberkatan Allah dan kepercayaan rakyat. Amalan itu kini menjadi lumrah di pejabat Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan anggota-anggota Exco kerajaan negeri serta para pegawai.

Selain itu mulai tahun 2010, kakitangan lelaki di Kota Darulnaim digalakkan memakai pakaian baju Melayu bersamping pada setiap hari Khamis di bulan Ramadan. Pemakaian baju Melayu menggantikan baju batik seperti diamalkan sebelum ini adalah usaha memberi imej kemuliaan jati diri beragama kalangan kakitangan awam. Juga turut dilakukan pembaharuan dengan merasmikan setiap awal bulan hijriah (pada hari pejabat) diadakan himpunan warga Kota Darul Naim bagi mendengar ucapan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan mengikuti amanah Menteri Besar Kelantan. Ia suatu langkah pembinaan semula (reinventing) integriti dan penyatuan semangat bekerja selepas dua dekad dinaungi oleh dasar Membangun Bersama Islam.

Negeri berkebajikan

Dalam aspek kebajikan Kerajaan Negeri terus bersungguh-sungguh melaksanakan konsep Negeri Berkebajikan. Ia termasuklah langkah mewujudkan Tabung Amanah Darulnaim atau dikenali sebagai Tabung Serambi Mekah (tahun 1991). Tabung tersebut digunakan bagi membantu rakyat yang ditimpa kesusahan dan sesuatu musibah seperti kebakaran, ribut atau banjir.

Dana bagi menggerakkan tabung adalah sumbangan daripada orang ramai dan syarikat-syarikat korporat. Setiap tahun diadakan sambutan ulang tahun bagi menerima sumbangan dan derma daripada orang ramai dan anak-anak syarikat kerajaan negeri. Hasil sumbangan dan derma tersebut kemudian digunakan kembali bagi membantu rakyat.

Selain itu kerajaan negeri juga mewujudkan Tabung Amanah Tok Kenali bagi melaksanakan program pembangunan ihsan. Dana tabung tersebut dikumpul dari sumbangan dibayar Tenaga Nasional Berhad hasil royalti penggunaan air di empangan Hidro Elektrik Pergau di Jeli.

Turut melalui perubahan adalah dasar kecaknoan Kerajaan Negeri terhadap golongan warga emas juga terbukti apabila dilaksanakan program Skim Takaful Kifalaah bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Setiap warga emas didaftarkan dalam polisi takaful tersebut sebagai perlindungan kepada mereka apabila meninggal dunia dibayar pampasan sebanyak RM1,500. Keluarga warga emas yang meninggal dunia akan menerima pendahuluan sebanyak RM500 pada hari kematian.

Kerajaan Negeri juga membina rumah secara percuma kepada penduduk miskin yang mempunyai bilangan anak ramai. Program itu dikenali sebagai rumah dhu’afat. Rumah bernilai RM30,000 dibina di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri.

Selepas 2004, beberapa dasar sejahatera rakyat untuk pelbagai lapisan rakyat terus diperkasakan dengan terlaksananya beberapa projek kebajikan. Antaranya lagi ialah bantuan kepada para pesakit kronik, skim bantuan armalah, meningkatkan lagi peruntukan untuk membaiki rumah golongan daif dan miskin, mempertingkatkan sumber pendapatan menerusi skim dividen Ladang Rakyat. Ia diikuti dengan penubuhan Urusetia Hal Ehwal Penghulu dan penubuhan koperasi penghulu. Di samping pewujudan Urusetia Armalah di peringkat negeri bagi memantau program pembangunan rohani dan ekonomi armalah (ibu tunggal) di setiap daerah sdan mukim.

Pertanian

Selama 20 tahun berada di bawah dasar Membangun Bersama Islam, sektor pertanian terus diperkasakan. Kelantan tidak pernah berganjak daripada paksi pertanian sebagai bidang utama yang menjadi sebahagian punca rezeki kepada rakyat. Ini kekuatan yang menjadi backup atau ‘serandang’ kepada pendapatan rakyat kerstabilan ekonomi negeri.

Ini selaras dengan firman Allah yang bermaksud: ”Dan Dialah (Allah) yang menjadikan (untuk kamu) kebun-kebun yang menjalar tanamannya dan yang tidak menjalar dan pohon-pohon tamar (Kurma) dan tanaman-tanaman yang berlainan (bentuk, rupa dan) rasanya dan buah zaitun dan delima yang bersamaan (warnanya atau daunya) dan tidak bersamaan (rasanya). Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah dan keluarkahlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya dan janganlah kamu melampau (pada apa-apa jua yang kamu makan atau belanjakan), sesungguhanya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampau” (Al-Quran Surah al-An’am:141).

Berasaskan kepada maksud ayat di atas, Kerajaan Negeri mulai 2009 melancarkan kempen “Bertani Satu Ibadah.” Secara tersirat kempen ini adalah satu mesej kerohanian pihak Kerajaan Negeri kepada para petani, betapa segala usaha titik-peluh para petani, peladang, penternak dan nelayan adalah sebahagian daripada amal ibadat yang menjadi suruhan agama. Hakikat pahala dan keberkatan sentiasa wujud dalam apa sahaja usaha memakmurkan bumi Allah ini. Natijahnya rakyat terus dididik dengan falsafah kehidupan beragama iaitu manusia sebagai khalifah di bumi. Konsep kehidupan beragama itu seiring dengan dasar Membangun Bersama Islam yang digagas Kerajaan Negeri seawal mengambil alih teraju kerajaan pada Oktober 1990. Matlamat akhirnya supaya rezeki yang melimpah akan menjadi tambah berkat.

Selain itu Kerajaan Negeri juga mencetus harapan bagi menjadikan Kelantan sebagai Jelapang Makanan Negara pada 2015. Sehingga kini usaha ke arah itu sedikit sebanyak membuah hasilnya apabila beberapa sektor pengeluaran pertanian terutamanya padi, apabila jumlah hasilnya sudah melebihi permintaan. Begitu juga buah-buahan sehingga kini memasuki pasaran di luar Kelantan. Ia diikuti dengan usaha pertanian tanah tinggi Lojing bagi meningkat pengeluaran sayur-sayuran melalui cadangan pembinaan pusat pengumpulan hasil berasaskan teknologi penyimpanan bilik sejuk. Atas perkembangan ini, pihak Kerajaan Pusat turut membina Terminal Makanan Negara (Teman) dekat Bandar Baru Tunjong, Kota Baharu.

Projek masa depan

Pemerkasaan peranan Islam dalam setiap bidang kehidupan merupakan misi projek masa depan Kerajaan Negeri di bawah kepemimpinan ulama’ di Kelantan. Justeru itu, kesungguhan ke arah yang lebib baik berteraskan Membangun Bersama Islam turut dimantapkan dalam setiap bidang pembangunan rakyat dan Negeri.

Biar pun ada pihak mendakwa ulama’ tidak pandai mentadbir, namun dua dekad lalu dan selepas 2010 nanti Kerajaan Negeri telah merangka suatu acuan kukuh berpaksikan siasah syariyyah. Hingga kini, keberadaan di bawah dasar Membangun Bersama Islam, maka rakyat boleh melihat dan merasai sendiri perubahan yang berlaku.

Mengukuhkan nilai keberadaan itu, perubahan fizikal dapat dilihat di mana-mana di seluruh Kelantan. Biar pun tanpa lebuh raya seperti di negeri-negeri lain, namun pembangunan bandar dan pusat pertumbuhan baru diwujudkan di beberapa lokasi strategik bersifat masa depan (futuristic development). Antaranya yang utama pelaksanaan perbandaran Islam, pelancongan Islam, pelancongan pondok Islam dan penjanaan ekonomi Negeri di wilayah anjung selatan (khsusunya di Gua Musnag dan Lojing). Sedia terlaksana juga bagi tujuan masa depan adalah Bandar Baru Tunjung, Bandar Satelit Islam Pasir Tumbuh, Bandar Baru Kubang Kerian, Bandar Baru Gua Musang dan Bandar Baru Pasir Mas serta pembangunan pusat komersial Bandar Tasek Raja Pasir Mas, kewangan berteraskan syariah (dinar dan dirham), perladangan (sawit, hutan dan getah klon serta koridor depu), perindustrian dan perlombongan serta tuntutan royalti minyak.

Berdasarkan kepada perkembangan tersebut kini tidak lagi kedengaran dakwaan mengatakan Negeri Kelantan tidak membangun. Ini secara tidak langsung membuktikan Kelantan berkemampuan melangkah jauh menuju masa depan bersama kepemimpinan ulama’ selepas dua dekad ini. Ia bakal dibuktikan oleh kesungguhan seluruh rakyat Kelantan memanfaatkan ‘kuasa yang Allah berikan’ bagi memilih kuasa yang mentadbir Negeri setiap penggal pilihan raya. Semoga Kelantan terus Membangun Bersama Islam memenuhi harapan menerajui perubahan untuk semua rakyat.