12 December, 2013

Muzakarah, isu bersama dan survival kerajaan PAS Kelantan

CETUSAN Presiden PAS, Tuan Guru Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang semasa penggulungan Muktamar PAS ke-59 (pada 24 November) yang lalu berhubung muzakarah dengan Umno atas isu-isu Islam dan Melayu mendapat perhatian.

Kandungan maksud cetusan Presiden PAS itu bukanlah ke arah permuafakatan politik atau untuk membina jambatan PAS-Umno. Meskipun begitu, tajuk muzakarah tetap menghangatkan perbahasan dalam media sosial dan arus perdana. Malah turut menggemakan nada perbahasan Perhimpunan Umno ke-67 yang lalu.

Sebelum itu (sehari selepas cetusan Presiden PAS), pihak media ada melaporkan respons positif Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak yang bersedia dan menyambut baik. Sikap pertama beliau adalah bersetuju menerima kunjungan Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob ke pejabatnya di Putrajaya pada Khamis (28 November) lalu.

Walaupun hakikatnya, permohonan berkunjung itu telah dibuat melalui surat rasmi kira-kira dua bulan sebelumnya. Apa yang pasti, kunjungan itu telah menjadi realiti dan hasilnya agak positif. Mungkin ada hubung kait dengan cetusan muzakarah pihak Presiden PAS.

Kunjungan untuk kemajuan

Kunjungan tersebut dijelaskan oleh Ustaz Ahmad adalah (berbincang hal-hal) berkaitan dengan pelbagai bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan Pusat kepada Negeri. Contohnya berkaitan infrastruktur dan juga hal-hal lain untuk kebajikan rakyat. Hal-hal ini kemudian dijelaskan oleh ahli exco kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Mohamad Fadzli yang turut mengiringi Menteri Besar.

Menurutnya, pertemuan itu turut menyentuh hasrat dan cadangan atau rancangan berkaitan pelaksanaan  Islam, pembinaan lebuh raya, meningkatkan bekalan air bersih, royalti, pembangunan infrastruktur yang diperlukan untuk negeri Kelantan seperti lapangan terbang, pelabuhan dan sebagainya. Kesemuanya adalah untuk kemajuan dan manfaat serta kebajikan rakyat Kelantan.
Apa yang utama maksud pertemuan itu sebagai memenuhi tanggungjawab betapa perlunya amalan Persekutuan diperkukuhkan menerusi hubungan antara kerajaan Negeri dengan kerajaan Pusat (baca hubungan G to G). Ini kerana hubungan dua kerajaan (Pusat dengan Negeri) tidak boleh tidak, perlu diurus oleh ketua kerajaan di peringkat Negeri dan Pusat.

Hal ini adalah suatu yang pasti bagi melaksanakan tuntutan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam maksud merealisasi jadual bersama atau Jadual Kesembilan.Terutamanya realiti Kelantan, ada hak kerajaan Negeri yang tidak dilayan selunaknya, malah dilihat bersifat diskriminasi. Contohnya bantuan bekalan air bersih telah menjadi isu diskriminatif apabila bantuan RM600 juta hakikatnya dikenakan syarat pinjaman berkadar bunga 4 peratus dan bukan berstatus geran. Di samping pengurusan kontrak projek bekalan air pula diuruskan langsung oleh kerajaan Pusat, sementara kerajaan Negeri tiada hak memutuskan penender projek.

Maka kunjungan Menteri Besar Kelantan itu secara tersiratnya adalah susulan daripada persetujuan sebelum ini yang telah dirintis oleh Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Kelantan dengan kerajaan Pusat (ketika bertemu Tun Dr. Mahathir selaku Perdana Menteri). Justeru Ustaz Ahmad adalah untuk menarik perhatian Mohd Najib atas pinjaman bersifat berat di sisi kerajaan Negeri.

Isu bersama

Dalam konteks tersebut, kunjungan Ustaz Ahmad kepada Mohd Najib bukanlah bermaksud mencetus kerjasama kepartian. Sebaliknya ia suatu gerak kerja diplomasi dalam isu dan urusan melibatkan kepentingan bersama antara kerajaan Negeri dengan Pusat dalam mentadbir agenda pembangunan negeri.


Jika tujuan kunjungan itu atas kepentingan isu bersama (pembangunan negeri), mungkin ia boleh dianggap sebagai sebahagian daripada isi muzakarah yang dicetuskan Presiden PAS. Sementara banyak lagi isi muzakarah yang perlu diambil langkah secara lebih praktikal oleh kepimpinan tertinggi PAS dalam menterjemahkan isu muzakarah yang dimaksudkan (atas tapak Islam dan Melayu).

Isi muzakarah itu seharusnya diperincikan oleh kepimpinan tertinggi PAS dalam masa terdekat demi membimbing Ustaz Ahmad meneruskan kerjasama Negeri-Pusat di dalam banyak perkara lagi melibatkan kepentingan ‘G to G.’

Survival kerajaan

Di sebalik isu-isu kerjasama yang telah dinyatakan semasa kunjungan Menteri Besar Kelantan itu, ada lagi isu-isu tertangguh yang seharusnya dikongsi sama dengan kepimpinan PAS Pusat untuk dibangkitkan dalam muzakarah PAS-Umno. Ia dianggap penting bagi memastikan survival politik (baca sokongan rakyat) terhadap PAS kekal di hati warga negeri Kelantan.

Antara isu tertangguh ialah pembangunan tebing Sungai Golok untuk mengatasi limpahan air (menyebabkan banjir), pembinaan pelabuhan dan lapangan terbang bertaraf antarabangsa, pendaratan hasil minyak dan gas di daratan Kelantan, peruntukan pembangunan rumah mampu milik dan kerjasama erat dengan bahagian Perumahan Negara, penyelesaian isu tuntutan royalti minyak dan gas.

Sementara isu yang paling penting adalah pendekatan bersama dalam pembiayaan peruntukan pembangunan sebagaimana termaktub bajetnya di dalam buku rancangan Malaysia. Mungkin sesuai dijadikan isu muzakarah juga ialah pemulihan kuasa Majlis Keselamatan Negeri Kelantan kepada Menteri Besar dan penutupan Jabatan Pembangunan Persekutuan Negeri Kelantan dengan mengembalikan kuasa pelaksanaan rancangan dan projek pembangunan kepada Pejabat Pembangunan Negeri di bawah Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan.

Sehubungan itu, penyelesaian bersama (melalui muzakarah) isu-isu pentadbiran dan pembangunan negeri Kelantan tersebut seharusnya dijadikan sandaran penting bagi pimpinan PAS yang bakal memikul amanah menjayakan muzakarah PAS-Umno nanti.

Semoga cetusan Presiden PAS untuk bermuzakarah itu tidaklah difahami sebagai cetusan negatif yang boleh memudaratkan survival perjuangan PAS. Apa yang utama, perjuangan PAS dipastikan kekal relevan dalam memartabatkan umat Islam di negara ini.