21 October, 2014

Muhasabah dari Pengkalan Kubor

Selepas pilihan raya umum ke-13 (5 Mei 2013), telah berlaku enam pilihan raya kecil (PRK). Bermula Dun Besut (24 Julai 2013), diikuti Dun Sungai Limau (4 November 2013), Dun Kajang (23 Mac 2014),  Dun Balingian (29 Mac 2014), Teluk Intan (31 Mei 2014) dan terakhir baru-baru lalu ialah di Dun Pengkalan Kubor (25 September 2014). Berdasarkan keputusan PRK itu banyak berpihak kepada Barisan Nasional (BN), melainkan di Dun Sungai Limau kekal dimenangi PAS dan Dun Kajang juga kekal dimenangi PKR. Apapun berbeza di parlimen Teluk Intan yang asalnya dimenangi DAP, tetapi keputusannya PRK telah berubah kepada BN.

Demikian pula bagi PRK Pengkalan Kubor Kelantan adalah asalnya dimenangi BN telah kekal kepada BN. Lantaran Dun Pengkalan Kubor adalah kubu BN sejak tiga penggal PRU lalu (2004; 2008 dan 2013). Malah pada PRK yang lalu, berlaku penambahan jumlah majoriti undi untuk BN. Hal ini menuntut satu muhasabah di sebelah PAS parti yang mendominasi Kerajaan Negeri Kelantan.
Berdasarkan keputusan rasmi PRK itu, jumlah kesemua pemilih yang layak ialah 24,039 orang. Didapati 17,555 pemilih (73.04%) yang keluar mengundi dan daripada jumlah ini, BN meraih 9,961, PAS pula meraih 7,326 dan Bebas mendapat 38 undi dengan 230 undi rosak. Maka majoriti berpihak kepada BN sebanyak 2,635 undi. Layaklah calon BN, Mat Razi Mat Ail sebagai Adun telah mengangkat sumpah ketika persidangan bajet Dewan Negeri Kelantan pada 13 Oktober yang lalu.
Sehubungan keputusan PRK Pengkalan Kubor kali ini, sesuatu yang menarik untuk diambil perhatian untuk bermuhasabah, khasnya di sisi Kerajaan Negeri dan pihak parti kerajaan, iaitu dari aspek jumlah keluar mengundi yang merosot. Di dapati secara bandingannya, pada PRU 2013 keluar mengundi ialah 19,021 (78.94%), dan pada PRK lepas seramai 17,555 (73.03%) – merosot sebanyak 1,466 (5.91%).  Kenapa merosot?

Demikian pula, bandingan keputusan pengundian pada PRU 2013 di setiap daerah mengundi menggambarkan prestasi Pakatan Rakyat yang diwakili PKR, sambutannya agak lemah, iaitu sekitar 45.34%. Ketika itu, PKR hanya memang di lima daerah mengundi (Ketil, Tebing, Geting, Telaga Bata dan  Kedai Geting). Sementara pada PRK lalu, giliran PAS pula bertanding, namun sambutannya semakin lemah.  PAS hanya mampu bertahan dan menang di tiga daerah mengundi sahaja (Tebing, Geting dan Kedai Geting). Apakah perubahan (baca merosot) itu disebabkan merosotnya mutu khidmat kepada rakyat, ataukah kerana jentera kerajaan Pusat berwajah BN kuat menghimpit dan bergasak kuat di padang yang tidak sama rata?

Kesan daripadanya kemerosotan keluar mengundi itu, didapati undi popular PAS/PKR turut menurun daripada 8,438 (45.18%) pada pilihan raya umum 2013 kepada 7,326 (42.29%) pada PRK lalu, iaitu merosot sebanyak 2.89%.

Apapun faktor kemerosotan itu, sesuatu yang pasti, antara lainnya adalah kerana pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan hari mengundi (25 September) jatuh pada hari bekerja (Khamis).

Akibatnya lebih daripada 2,000 pengundi Dun Pengkalan Kubor yang bekerja di lokaliti dan yang berada di luar Kelantan gagal keluar/balik menunaikan tanggungjawab mengundi. Ini berlaku berikutan kekangan cuti yang mendesak, baru selesai cuti penggal persekolahan dan bakal menjelang cuti hari raya Haji. Maka sudah tentu ada pengundi yang berhalangan untuk balik mengundi. Justeru munasabahnya sejumlah 1,466 kemerosotan jumlah keluar mengundi. Berasaskan faktor ini, adalah tidak tepat untuk meletakkan senario kemelut dalaman PAS dan isu perlantikan Menteri Besar Selangor dianggap penyumbang utama pengundi tidak berselera untuk balik mengundi. Namun begitu, isu-isu politik di luar kerajaan berkaitan dengan PAS dan Pakatan Rakyat di Selangor tetap menjadi penyebab bagi segelintir pengundi yang buat tidak kesah tentang tanggungjawab keluar atau balik mengundi. Logiklah jumlah keluar mengundi telah merosot.

Jauh sama sekali pula untuk mengaitkan kemerosotan itu dengan prestasi kepimpinan baru Kerajaan Negeri pasca Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Malahan, tidak dinafikan mood pengundi turut terpengaruh dengan kempen agresif berumpankan janji dan sogokan serta ugutan atas jenama jentera Kerjaaan Pusat. Kempen yang telah mengubah sikap sebahagian pengundi (yang dulunya menyokong PAS) untuk tidak keluar mengundi. Kesannya BN mampu mempertahan kubunya dalam jumlah kekurangan 213 undi, berbanding PAS yang kekurangan undi sebanyak 1,112 undi.

Hal ini dapat dibaca setelah meneliti jumlah pengundi yang dikatakan menyokong PAS tetapi berada di luar, iaitu seramai 2,653 orang. Namun jumlah yang balik mengundi sebanyak 1,425 (53.71%) sahaja .

Maka sekali lagi ditegaskan, perkara penting yang harus dimuhasabahkan ialah dari segi prestasi balik dan keluar mengundi. Balik mengundi merujuk kepada pengundi yang barada di luar dan keluar mengundi merujuk kepada pengundi yang berada di lokaliti. Berlaku demikian mungkin selain hari mengundi jatuh pada hari bekerja, ia juga berkait dengan pendekatan memotivasi agar pengundi berkenaan balik adalah kurang berkesan. Mungkin juga asas motivasi itu bergantung kepada senario bahawa keputusan PRK (pihak mana yang menang) ia tidak akan mengubah apa-apa. Justeru mood untuk balik tidak membuah asas kukuh kerana ia tidak mencetuskan nilai perubahan pada kuasa politik Negeri dengan kerana Dun Pengkalan Kubor kekal dimenangi oleh BN. Namun begitu, semangat berpilihan raya (untuk mengundi) dikatakan ada kaitan juga dengan senario pentadbiran negeri yang selesa dan tidak ada isu-isu mencabar.

Hakikatnya, jika prestasi undi PAS dijadikan asas sokongan kepada perjalanan pentadbiran Kerajaan Negeri, maka darjah sokongan di Pengkalan Kubor tetap meletakkan statusnya masih popular terutama kalangan penyokong tegar. Inilah yang harus disedari sebagai langkah muhasabah untuk kembali menyusun semula mutu khidmat kerajaan bersama pusat khidmat wakil rakyat. Paling penting untuk diakui ialah untuk memenangi hati majoriti rakyat, ia tidak padan dengan kerana penyokong teras sahaja. Realitinya ia masih memerlukan sokongan pelbagai lapisan rakyat, termasuk komuniti pengundi Siam yang begitu minimum bersama dengan dasar Kerajaan Negeri.

Justeru nilai yang harus diambil kira dalam muhasabah, terutama dalam masa kempen pilihan raya lalu ada segelintir pengundi yang bersikap tidak kisah. Mereka ada yang membuat keputusan berpihak kepada parti pembangkang (mengundi BN). Sedangkan di dalam sebuah negeri yang ditadbir secara Islam, sepatutnya golongan simpati (baca: mereka yantg bersikap tidak kisah) akan berpihak kepada dasar-dasar yang harmoni yang terbukti berlaku di bawah kepimpinan ulama’ di Kelantan hari ini. Mungkin ia tidak berlaku kerana kumpulan simpati itu belum mampu menghayatinya. Ini memerlukan penerangan yang lebih meluas lagi dasar-dasar Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi.


Rumusannya, natijah maklumat dan isu-isu kebaikan daripada dasar, program dan aktiviti Kerajaan Negeri seharusnya tidak berlegar di kalangan orang yang sama. Menjadi keutamaan agar jentera penerangan parti dan Kerajaan Negeri mampu mengisi kefahaman dan memenuhi peluang bagi memikat hati kumpulan simpati yang bersikap tidak kisah. Hal seperti ini harus dimuhasabahkan dan diambil tanggungjawab segera dan terkhusus bagi membangkitkan semula nilai dan senario kemenangan di Pengkalan Kubor dan seluruh negeri ini pada PRU akan datang.