13 August, 2012

Jawatankuasa khas royalti taktik lapuk Umno untuk PRU13


Jawatankuasa khas mengkaji bayaran tunai hasil petroleum dilihat sebagai taktik untuk membaiki imej Umno yang tercalar di mata rakyat Kelantan. Pengumuman yang dibuat menjelang Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib hadir untuk iftar dan solat terawih di Kelantan semakin mengesahkan taktik itu. Agak terserlah tatkala Mohd Najib berucap di Kelantan pada 5 Ogos lalu telah ‘merayu dan merintih’ kononnya pihak Umno dan Kerajaan BN sentiasa mengamalkan prinsip adil dan telus terhadap rakyat Kelantan. Atas prinsip ini telah dilaksanakan jawatankuasa khas tersebut. 

Kemudiannya, pengerusi perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed telah mengaku, kononnya rancangan penubuhan jawtankuadsa khas ini merupakan inisiatifnya sekian lama bagi membolehkan rakyat Kelantan dibayar wang tunai (cash payment) daripada hasil petroleum. Lagak Mustapa telah disambut dengan lakonan anugerah wira para penyokongnya. 

Rentetan tersebut membuktikan kelahiran jawatankuasa khas ini adalah perancangan mengubah persepsi rakyat Kelantan agar pemimpin dan Umno dilihat bersih dan tidak lagi dicop sebagai ‘penyekat’ royalti petroleum kepada Kelantan. Sekaligus dianggap mereka pejuang royalti petroleum sebenar? Bukan Kerajaan Negeri pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz sebagai pejuang royalti petroleum sebenar. 

Justeru, apakah rakyat Kelantan sedia melupakan detik sejarah yang sudah disaksi, betapa pemimpin Umno-lah penyekat sebenar segala macam hak kerajaan dan rakyat Kelantan selama ini? Sebagaimana ucapan Mustapa ketika kempen pilihan raya kecil Manek Urai (Julai 2009) dan Galas (November 2010) amat lancar kata-kata penafian akan hak Kelantan atas hasil petroleum yang dikeluarkan dari perairan Kelantan. Sedangkan ramai mengetahui daripada laporan rasmi Kerajaan Pusat dan antarabangsa memang wujud hasil petroleum yang dimaksudkan sebagaimana dalam rajah berikut.

Demikian pula jawapan Mohd Najib di parlimen (4 November 2009) beralaskan kedudukan telaga minyak dan gas perairan Kelantan adalah di luar jarak tiga batu nautika menurut Ordinan Darurat. Maka Kelantan dikatakan tidak layak. Sedangkan ordinan darurat yang dirujuk telah tidak terpakai lagi. Hakikatnya butiran perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Kelantan adalah di bawah kuasa Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang tidak memerlukan pentafsiran mengenai maksud kedudukan telaga minyak dan gas di perairan (offshore) dan daratan (onshore). Jelas sekali, ia suatu pembohongan politik berniat untuk menafikan hak Kerajaan Kelantan.

Oleh itu jika merujuk kepada peta lokasi berikut adalah jelas di perairan Kelantan telah ada telaga minyak dan gas PM301 yang dimaksudkan.

Maka bagi menjawab pembohongan itu, gerakan NGO menuntut royalti petroleum telah dilipatgandakan dalam memberi kesedaran atas hak Kerajaan Kelantan. Justeru pada 10 November 2011 telah diserahkan kepada Kerajaan Pusat nota peringatan ulang tahun ke-25 amanat perdana menteri kedua, Tun Abdul Razak Husein berhubung hak pembayaran tunai kepada mana-mana negeri yang ada telaga minyak dan gas. Pada majlis itu, dimaklumkan timbalan menteri kewangan (anak Kelantan), Datuk Awang Adek Hussin telah tidak mahu menerima penyerahan nota tersebut dan terpaksa diserahkan kepada menteri yang lain. Justeru itu, dua pemimpin Umno dari Kelantan (Mustapa dan Awang Adek) telah berdosa kepada rakyat Kelantan atas sifat fizikalnya menolak hak Kerajaan Kelantan. 

Demikian pula, berlaku di parlimen (17 Novermber 2009) menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohamed Nazri Abd Aziz turut menghujahkan bahawa pengumuman Mohd Najib di parlimen (4 November 2009) kononnya berasaskan kajian mendalam dan teliti aspek perundangan oleh Pejabat Peguam Negara dan Petronas sedia memberi wang ihsan bukannya wang tunai kepada Kerajaan Kelantan.

Alasan yang diberikan bersandarkan Akta Kemajuan Petroleum 1974 bersama dengan perjanjian di antara Petronas dan kerajaan negeri dikatakan hanya memperuntukkan bayaran tunai bagi petroleum yang dicari gali dan diusaha hasil di dalam sempadan negeri. Asas sempadan negeri yang dipakai kononnya berasaskan takrif sempadan negeri yang tiada sumber kekuatan melainkan Ordinan Darurat yang telah dipakai. Justeru disifatkan tiada petroleum yang diusahakan daripada perairan Negeri Kelantan dan tiada asas perundangan untuk bayaran royalti petroleum kepada Negeri Kelantan. Maksudnya tiada sumber petroleum dari kawasan Negeri Kelantan sama ada di onshore atau offshore.

Jika demikian pendirian rasmi Kerajaan BN sejak tiga tahun lepas, persoalannya kenapa saat dekat PRU13 ini, muncul pula cadangan mengkaji secara mendalam atas hak bayaran tunai oleh Petronas kepada kerajaan negeri. Sedangkan hujah Nazri tersebut sudah pun berasaskan kajian mendalam. Ia sudah menampakkan pendirian politik yang bertujuan meraih sokongan rakyat ketika terdesak.

Hakikatnya, selama ini hujah pemimpin Umno peringkat Pusat mahu pun di Kelantan (tidak termasuk Ketua Bahagian Umno Guaa Musang, Tengku Razaleigh Hamzah) sememangnya berhempas pulas dan terkial-kial cuba menafikan hak Kerajaan Kelantan atas bayaran wang tunai lima peratus oleh Petronas. Nampak nyata, mereka mencipta pelbagai alasan menafikan hak Negeri Kelantan. Sebagaimana pandangan Naib Presiden PAS, Dato’ Mahfuz Omar dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat yang juga seorang peguam, N. Surendran bahawa kerajaan pusat menggunakan nama jawatankuasa khas sebagai taktik BN membuat persiapan dalam minit-minit terakhir menjelang PRU13. Ia sesuatu yang tidak perlu. Apa yang perlu, terus membayar secara tunai atas hak kerajaan negeri.

Rumusannya, usaha yang kononnya ‘baik’ oleh Mohd Najib dan Mustapa menubuhkan jawatankuasa khas adalah taktik politik lapuk Umno. Persepsi umum kini adalah bodoh dan sia-sia jawatankuasa khas dirangka, sedangkan butiran perjanjian antara Petronas dengan kerajaan negeri masih sah dan Akta Kemajuan Petroleum masih berkuatkuasa. Maka hasrat kepemimpinan Umno kepada jawatankuasa khas mengkaji pembayaran tunai atas tuntutan kerajaan negeri adalah tidak perlu. Apa yang perlu, kerajaan negeri (khususnya Kelantan) hendaklah terus mendesak dalam meminta Kerajaan Pusat membayar mengikut butiran perjanjian yang telah termeterai. Bagi merungkaikan semua ini, mungkin kes saman ke atas Petronas oleh Kerajaan Kelantan dalam isu bayaran tunai ini wajar disegerakan.

Kehangatan politik Sabah, fatwa Umno dan royalti


Perkembangan politik Sabah semacam sudah di luar kawalan Umno dan BN di peringkat Kuala Lumpur. Ia telah menggusarkan sang penguasa BN di Sabah dan Kuala Lumpur. Berikutan tindakan Tan Seri Lajim Ukin dan Tan Seri Wilfred Bumburing dua minggu lepas, maka sekali lagi suhu politik Sabah memuncak pada minggu ini (12 Ogos 2012). Ia menyaksikan pengumuman Naib Presiden United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organization (UPKO), Senator Datuk Maijol Mahap keluar parti.  

Satu perkembangan yang cukup getir buat BN dan dianggap gentlemen di sisi rakyat Sabah, kerana seperti mana Lajim dan Bumburing, Maijol turut membuat pengumuman tersebut di rumahnya di Kampung Kokobuan, Kota Marudu. Pengumuman itu juga disaksikan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sekaligus bakal menambahkan lagi gugatan peluang BN mempertahankan Sabah, termasuk di parlimen Kota Marudu yang kini diwakili Timbalan Pesiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Johnity Ongkili.

Ketokohan Maijol walaupun bukan seorang bertaraf menteri, namun pengumumannya telah membanyakkan lagi titik perubahan akan berlaku di Sabah menjelang PRU13. Paling tepat ia turut mengongsi sikap yang telah dibuat oleh lajim dan Bumburing sebelum ini. Kesemuanya adalah kerana peranan Pakatan Rakyat bersama Anwar Ibrahim telah mencipta satu semangat yang meresapi keyakinan kepimpinan dan rakyat Sabah.

Senario kebelakangan ini telah mencetuskan analisis faktor perubahan politik Sabah sedang merebak. Rata-ratanya bersetuju bahawa pemimpin Sabah sedia beralih arah disebabkan tidak berpuas hati cara kerajaan BN menangani beberapa isu mendesak dalam kepentingan masa depan rakyat. Antara yang terpenting ialah isu pendatang tanpa izin yang sudah dianggap sedang merampas hak anak negeri Sabah. Ia ada kaitannya dengan gaya Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dikatakan lambat mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Diraja (RCI) menyiasat kes pendatang itu, sedangkan ia telah diputuskan kabinet sejak 8 Febuari lalu. Justeru pelaksanaan RCI sebagai gimik politik.
Apa pun kegagalan Mohd Najib menangani politik Sabah sudah ditutup rapat oleh media arus perdana. Justeru pilihannya, media arus perdana sudah diarah untuk membesar-besar isu-isu yang memburukkan parti-parti Pakatan Rakyat.  

Fatwa Umno mengharbikan DAP

Sehubungan itu, pakar agenda setting Umno terpaksa melaksanakan pendekatan mengalih isu-isu yang teruk melanda BN dan isu mencalar imej kepimpinan Mohd Najib. Pakar tersebut secara ditegas diarah melakukan pemulihan isu-isu teruk kepada BN dan imej buruk Mohd Najib sendiri. Justeru tujuannya ialah untuk memastikan serangan dan mengadu-domba terhadap hubungan parti-parti dalam Pakatan Rakyat. Matlamatnya Pakatan Rakyat perlu diporak-perandakan menjelang PRU13.
Atas agenda tersebut, pihak akhbar Utusan Malaysia (8 Ogos) dilihat turut mensasarkan kepada DAP menerusi penyiaran satu fatwa untu menyekat umat Islam menyokong DAP. Fatwa yang dimaksudkan seolah-olah satu sepakat kalangan ulama, tetapi hakikatnya adalah fatwa parti Umno yang beralaskan kenyataan seorang penceramah Umno Kelantan, Haji Abdullah Saamah yang bukan pun ahli Majlis Fatwa Kebangsaan.

Meskipun demikian, fatwa yang dilihat cacat itu hanya disokong oleh orang-orang yang sekepala dengan Abdullah sahaja. Antaranya ulama muda Umno Fathul Bari Jahaya dan Mufti Perak, Tan Seri Harussani Zakaria.Sebaliknya, fatwa yang menyentuh secara langsung maruah DAP itu (haram sokong DAP kerana kafir harbi) telah disanggah oleh Dr. Mazlee Malik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (Sinar Harian 13 Ogos).

Mengadu-domba isu hudud

Secara langsung dapat difahami tujuan akhbar tersebut menyerang DAP ialah untuk menghangat semula persoalan DAP sebagai anti-Islam.Sekaligus mengheret hubungan PAS-DAP atas isu hudud yang belum selesai. Sedangkan isu hudud menjadi hangat semula adalah kerana ADUN Kemelah (Umno) Johor, Dato’ Ayub Rahmat yang mencadangkan kerajaan BN melaksanakan hudud yang labih baik dengan apa yang dicadangkan oleh PAS. Menurut Rahmat, hudud yang sebenar hendaklah dikuatkuasakan atas umat Islam dan bukan Islam. Cadangan itu telah memaksa MCA menyerang Umno. Sampai kini pemimpin Umno terkedu seolah-olah diserang penyakit kencing manis di tahap kritikal. Maruah Umno sudah tersungkur ke bumi dalam isu hudud. Ia telah mengesahkan pendirian pemimpin Umno, termasuk Mohd Najib sendiri yang menolak hudud.

Apa pun fatwa liar Abdullah perlu dilihat secara serius, sebagaimana cadangan Dr Mazlee agar phak keselamatan bertindak atas ‘fatwa liar’ yang seolah-olah memberi lampu hijau untuk umat Islam memerangi DAP dan membunuh ahli-ahli dan kepimpinannya.

Memburukkan lagi keadaan ekoran fatwa liar tersebut apabila akhbar yang sama kemudian menyiarkan kempen ‘Haram sokong DAP’ (9 Ogos). Ia semakin menampakkan pendekatan terdesak perancang agenda setting Umno untuk memburuk imej DAP sekaligus mendedahkan provokasi untuk membangkit rasa marah umat Islam.

Reaksi kepada kempen itu, pemimpin DAP Lim Kit Siang telah menyatakan bantahan dan menyifatkan akhbar Utusan sedang melancarkan kempen melampau diilhamkan oleh Umno dengan tema "Haram sokong DAP" sebagai anti-nasional yang menolak warisan tiga Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak dan Tun Hussein (sidang media Lim Kit Siang 12 Ogos).

Pihak DAP sebelum itu (9 Ogos) telah membuat laporan polis ke atas kempen itu, antaranya di Pulau Pinang oleh Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari dan di Perak oleh sayap Pemuda Sosialis DAP (DAPSY).

Menurut Zairil, apa yang disiarkan akhbar tersebut bermotifkan politik dan bertujuan untuk menabur fitnah. Sedangkan DAP jelas mendukung agama Islam sebagai agama Persekutuan dan pada masa yang sama ingin memelihara kebebasan rakyat untuk mengamalkan agama-agama lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan.

Tindakan akhbar Utusan dikuasai Umno itu sebagaimana diulas oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi (Sinar Harian 9 Ogos) sebagai kegagalan Umno bagi  menunjukkan contoh dan sifat Islam sebenar kepada bukan Islam, sebaliknya menonjolkan amalan boleh mencalarkan imej agama suci itu.

Seterusnya Tuan Guru Haji Abdul Hadi (Sinar Harian 12 Ogos) menegaskan sebagai rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat yang memperjuangkan pemerintahan Islam, PAS akan terus berusaha menjelaskan kepada pemimpin DAP termasuk Karpal mengenai prinsip keadilan dalam undang-undang jenayah Islam itu.

Hangat di Kelantan

Sementara di Kelantan masih belum reda kehangatan perbincangan mengenai penubuhan jawatankuasa khas mengkaji bayaran tunai (royalti) hasil petroleum sebagaimana diumumkan Mohd Najib pada Jumaat, 3 Ogos lalu. Reaksi kalangan pemimpin Pakatan Rakyat hampir sepakat menganggapkan ia tidak perlu. Apa yang perlu ialah bayaran tunai hendaklah dibuat mengikut butiran perjanjian antara Petronas dengan Kerajaan Negeri.

Oleh itu, dengan merujuk kepada tuntutan royalti Kerajaan Kelantan, Anwar Ibrahim (The Malaysian Insider, 9 Ogos) menegaskan penubuhan jawatankuasa khas itu adalah tidak perlu, sebaliknya perlu membayar tunai kepada negeri yang terlibat medngikut berdasarkan peruntukan dalam Akta Petroleum 1974. seperti yang dinikmati oleh Sabah dan Sarawak.

Demikian pula, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw turut mempersoalkan tujuan penubuhannya kerana perjuangan untuk mengembalikan hak rakyat Kelantan ini sudah terlalu lama. Jadi permainan apa yang ingin dimainkan BN dengan tubuhkan jawatan kuasa ini?

Sehubungan itu, satu Persidangan Meja Bulat 58 NGO telah diadakan di Kota Bharu pada 11 Ogos lepas dan meluluskan enam resolusi. Antaranya meminta Kerajaan Kelantan menolak penubuhan jawatankuasa khas mengkaji bayaran tunai itu. Di samping mengecam ‘pencabulan Kerajaan Malaysia’ terhadap perjanjian di antara Kerajaan Negeri Kelantan dengan Petronas pada 9 Mei 1975. Justeru itu, NGO berkenaan akan mengajurkan satu majlis Solat Hajat dan Munajat Royalti untuk mohon mengembalikan hak rakyat Kelantan. Mungkinkah munajat ini nanti bakal melimpahi Stadium Sultan Muhamad IV sebagaimana munajat 28 Januari 2010 lalu?

Melihat kepada mood terkini, hampir pasti seluruh rakyat Kelantan mahukan royalti petroleum dibayar kepada Kerajaan Kelantan. Semangat kekitaan ini sedang memuncak menyokong kegigihan dan keikhlasan Kerajaan Kelantan pimpinan Menteri Besar, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz dalam menuntut Kerajaan Pusat mengarahkan Petronas mengembalikan hak rakyat yang dirampas beralaskan wang ihsan.

Sesungguhnya, nilai kegigihan dan keikhlasan kepimpinan Tuan Guru adalah cerminan kepada perjuangan Islam dalam PAS sekarang. Mungkin atas nilai inilah, anak Allahyarham Tun Ghafar Baba, Datuk Tamrin sedia meninggalkan Umno dan menyertai PAS secara rasmi pada 12 Ogos lalu. Justeru mengukir luahan hati Pengerusi ANAK Mazlan Aliman, beliau merasa bangga kerana anak bekas Timbalan Perdana Menteri kini bersama PAS. Di mana lagi kehebatan semangat perjuangan kebangsaan Umno? Tinggal lagi mereka yang berpayungkan perkauman masih tergila-gila memburukkan Islam yang diperjuangkan PAS. Sudah tentu kesemua senario ini bakal menghangat PRU13 nanti.