Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang seperti dilapor dalam mstar.com (5 Januari 2010) berkata bahawa PAS menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.
"Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.
"Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama," kata Hadi.
Mantan Perdana Menteri yang juga pengasas dasar Islamisasi, Dr. Mahathir pula di dalam blognya (5 Januari) menulis, sebenarnya kalimah "Allah" tidak terdapat dalam kitab Taurat atau Talmud Hebrew atau kitab Injil Kristian dalam bahasa Latin, Greek atau bahasa-bahasa Eropah. Nama bagi Tuhan dalam bahasa Yahudi ialah "Yahweh", yang diterjemahkan kepada bahasa Inggeris sebagai "Jehovah".
”Dalam kitab Injil, Jesus (Isa) dan God adalah sama. Tidak ada kalimah Allah dalam kitab Injil dalam bahasa-bahasa yang disebut di atas.
”Dalam usaha menerangkan agama Kristian di kalangan orang Islam atau masyarakat yang mahir dengan agama Islam, perkataan God diterjemah kepada "Allah" supaya mudah difaham oleh pendengar.
”Mungkin juga kalimah "Allah" dapat menyamakan agama Kristian dengan agama Islam kerana menyembah Tuhan yang sama. Dengan ini penerimaan agama Kristian oleh orang Islam boleh jadi lebih mudah. Terjemahan ini salah. Sepatutnya perkataan "Tuhan" digunakan untuk God.
”Tetapi dalam agama Kristian terdapat konsep "Trinity" yang mana terdapat "God the Father, God the Son and the Holy Ghost". Jika dalam bahasa Melayu terdapat dalam kitab Injil atau syarahan berkenaan "Allah sebagai Bapak, Allah sebagai Anak dan Roh yang Suci", maka tentulah ini akan ditentang oleh orang Islam. Dalam Islam Allah tidak ada bapak, tidak ada anak. Ia tidak dilahirkan dan Ia tidak melahirkan sesiapa. Allah hanya satu. Ia tidak boleh disekutu dengan sesiapa.
”Di Amerika Syarikat, orang Kristian yang sudah tidak teguh iman biasa berkata dan menulis, "God is dead". Apakah perasaan orang Islam apabila ini diganti denagn "Allah is dead"?
”Di Semenanjung Malaysia kita tidak pernah mendengar orang Kristian menggunakan kalimah "Allah" apabila bercakap berkenaan God dalam bahasa Melayu. Kenapa pula kita sekarang akan mengguna kalimah ini?
”Saya harap pihak Kerajaan berhati-hati dalam perkara ini supaya negara berbilang agama yang aman ini tidak menjadi tegang dan tidak stabil secara berterusan.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar pada 9 Januari, melahirkan kebimbangan dengan kejadian pengeboman tiga buah gereja di sekitar Lembah Klang. Kebimbangan itu diluahkan berikutan kemungkinan ia berpunca daripada permainan 'tangan-tangan ghaib' yang cuba mengapi-apikan ketegangan dan mengambil kesempatan untuk tampil sebagai pembela Islam bagi mengembalikan sokongan politik yang kini kian pudar.
Mungkin permainan itu, boleh disamakan dengan peristiwa tahun 1987 yang bermula dari pertembungan antara Perdana Menteri sekarang yang waktu itu selaku Ketua Pemuda UMNO dan pemimpin MCA yang diketuai Datuk Lee Kim Sai. Akhirnya mencetuskan kemarahan antara satu sama lain di kalangan orang-orang Melayu dan Cina, tetapi yang menjadi mangsa ialah pemimpin pembangkang yang dikambinghitamkan sehingga ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) melalui Operasi Lalang. Sedangkan permainan itu dimulakan oleh Mohd Najib dan Lee diberi cuti rehat ke Australia dan UMNO berjaya meraih kembali sokongan orang-orang Melayu dan MCA pula mendapat kembali sokongan orang-orang Cina.
Sebelum itu, pada 4 Januari, Mahfoz juga melihat isu kalimah Allah adalah sengaja dirancang bagi mengalih perhatian orang ramai daripada membincangkan isu kecurian enjin jet milik TUDM yang bernilai RM100 juta dan kes skandal rasuah Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) berjumlah RM12.5 bilion.
Walau apapun, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS (7 Januari) turut mengingatkan bahawa realiti kehidupan dalam negara kita ialah, kedudukan masyarakat Kristian adalah dalam lingkungan kehidupan masyarakat umum yang hidup secara bersama, khususnya masyarakat yang hidup di dalamnya umat Islam, mahu tidak mahu ianya akan menyentuh perasaan mereka, kerana perkataan Allah adalah sangat mulia di sisi umat Islam.
Sementara di dalam al-Quran sendiri turut menjelaskan hakikat penerima ketuhanan “Allah” dikalangan orang bukan Islam, maka sewajarnya umat Islam memehaminya. Namun, penggunaan kalimah Allah haruslah difahami dalam konteks maknanya yang tepat dan tidak memahaminya dalam maksud yang boleh menyentuh perasaan umat Islam.
Justeru itu, kita tidak boleh melarang mereka menggunakan perkataan Allah di kalangan mereka sendiri, dalam ibadat mereka dan amalan mereka, walau pun salah maksud dan maknanya yang asal mengikut bahasa kita. Adapun menggunakan perkataan Allah oleh mereka terhadap masyarakat Islam untuk menyebarkan agama mereka dengan fahaman mereka, atau menjadikan perkataan Allah sekadar mengubah jenama bagi melariskan barangan dalam masyarakat Islam, tidak boleh dizinkan sama sekali.
Namun, isu kalimah Allah yang masih dalam pertimbangan mahkamah kerana ada rayuan daripada pihak Kementerian Dalam Negeri dan ketika umat Islam sedang merancang untuk mengadakan perhimpunan membantah selepas solat Jumaat di sekitar Kuala Lumpur, tiba-tiba negara dikejutkan dengan tindakan liar pihak tertentu yang menyerang tiga gereja Kristian - Gereja Metro Tabernacle, Desa Melawati; Gereja Assumption Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara.
Tindakan liar dan tidak beragama itu telah mendapat reaksi yang berbagai-bagai daripada para pimpinan poitik. Ia turut disusuli dengan kenyataan harmoni kepimpinan Pakatan Rakyat yang sedia mengeluarkan kenyataan akhbar bersamaJanuari) oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Ketua Umum PKR; LimGuan Eng, Setiausaha Agung DAP; Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Antara lain kenyataan itu berbunyi;
Kami mengutuk tindakan pihak tertentu yang menyerang 3 gereja di sekitar Lembah Klang awal pagi tadi. Serangan tersebut adalah satu perbuatan yang dikecam semua agama dan peradaban.
Perbuatan seperti itu tiada tempat dalam mana-mana negara pun di atas dunia ini. Kami percaya ianya berpunca dari politik amarah yang sempit, ditambah dengan unsur provokasi jahat yang semakin menular dan runtuhnya rasa saling hormat menghormati dalam negara kita yang tercinta ini.
Setiap rakyat dalam negara ini, tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan etnik seharusnya dapat menikmati keamanan spiritual dan fizikal mereka. Seharusnya sebarang perbezaan pendapat dan pandangan tidak terus dilebarkan.
Kami yakin sebarang perselisihan dapat diselesaikan dengan menumpukan usaha untuk membawa semua pihak ke meja rundingan.
Oleh yang demikian, seluruh kepimpinan Pakatan Rakyat dengan tegas meminta supaya individu atau mana-mana kumpulan yang menyebarkan api kebencian dan kekerasan sebegini agar dihukum dengan setimpalnya.
Selanjutnya pihak PAS secara sedar menyifatkan isu agama adalah terlalu sensitif dan tindakan liar semacam menzalimi kebebasan beragama di negara ini patut dielakkan. Lalu kenyataan Presiden PAS pada 9 Januari, sekali lagi melahirkan kekesalan berhubung isu serangan ke atas beberapa buah gereja yang belaku kelmarin. Lebih menyedihkan jika perkara tersebut dilakukan orang Islam sendiri. Ini kerana, Islam sentiasa menghormati penganut agama lain termasuk rumah-rumah ibadat mereka walaupun dalam keadaan peperangan. Dalam peperangan sekalipun gereja perlu dipelihara.
Presiden PAS turut menyatakan sikap terbuka PAS dalam soal ini termasuklah bersedia berdialog dan menghadiri majlis-majlis memberi kefahaman kepada rakyat.
Sesungguhnya sikap terbuka dan toleransi serta semangat keharmonian itu merupakan sikap asli PAS terhadap masyarakat berbilang kaum, budaya dan agama. Justeru itu, tradisi dan komitmen PAS adalah mengamalkan kemasyarakatan Islam yang mementing kahrmonian hidup berteraskan agama.
Dalam hal ini, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am PAS selaku Menteri Besar Kelantan (9 Januari) turut menegaskan betapa tindakan liar membakar mahupun menyerang rumah ibadat penganut bukan Islam seperti gereja Kristian adalah berlawanan dengan ajaran Islam. Apa yang penting, Semua kaum patut menghormati orang lain dan mematuhi ajaran agama masing-masing. Kalau kita buat jahat, dosanya akan kita tanggung di akhirat."
Menurutnya, punca kejadian serangan membakar gereja adalah kerana telah hilangnya sensitiviti dosa dan pahala dalam masyarakat di negara ini. Kesan hilangnya sensitiviti itu telah menyebabkan masyarakat melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak menghormati agama lain sehingga membakar gereja dan mengarak kepala lembu seperti berlaku di Shah Alam baru-baru ini.
”Tiap-tiap orang nak bakar gereja kena reti gereja ini harta kawan kita orang Kristian, bila kita bakar, kita lukakan hati dia, berdosa kita di akhirat kelak.
”Selain itu, disebabkan hilangnya sensitiviti tersebut telah mengakibatkan banyak perkara-perkara yang tidak sepatutnya berlaku, telah berlaku dalam negara kita.
”Sebab itulah berlakunya ada menteri yang rasuah, orang kampung yang rasuah, parti-parti pun rasuah. Hatta enjin kapal pun boleh dijual senang-senang sahaja. Mana boleh jual kalau tidak ada rasuah.
Meskipun demikian, rentetan peristiwa kontroversi penggunaan kalimah Allah pasti ada hikmah kepada masyarakat Malaysia. Para pemimpin negara, bukan setakat pimpinan politik Pakatan Rakyat malah Perdana Menteri turut prihatin sehinggalah ke peringkat Yang Dipertuan Agong terpaksa mengeluarkan kenyataan untuk mengharmonikan suasana yang hampir tegang.
Walaupun begitu, perhatian utama banyak pihak dalam perkembangan isu kalimah Allah ini ialah kepada reaksi pemimpin PAS. Ini kerana PAS sebelum ini digambarkan sebagai parti yang keras dan tiada diplomasi dalam isu-isu melibatkan hubungan antara agama. Sekarang terbukti, daripada kenyataan awal Prersiden PAS, diikuti dengan kenyataan rasmi PAS (selepas mesyuarat khas lajnah politik, 4 Januari) dan kenyataan Mursyidul Am PAS serta disusuli dengan tindakan fizikal para pemimpin kanan parti (Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda dan lain-lain - 8 Januari) turun meninjau dan mengadakan ziarah mesra PAS ke Gereja Metro Tarbenacle, Desa Melawati, Setapak.
Oleh kerana itu, PAS kini dilihat mesra antara agama dan selayaknya PAS yang kini sudah 20 tahun mencipta pentadbiran cemerlang di bawah Mursyidul Am PAS di Kelantan telah membuktikan perjuangan PAS untuk semua. Lantaran itu, kesan perkembangan isu kalimah Allah, politik rakyat belum tentu akan menabalkan Barisan Nasional sebagai ”juara rakyat” kerana PAS dan Pakatan Rakyat turut menyumbang keharmonian yang sedia bersama rakyat berbagai kaum, budaya dan agama. Maka, layaknya (pada 8 Januari) Hock Teck Leong selaku Ketua Paderi Gereja Metro Tarbenacle, memuji ketegasan PAS mengutuk pengeboman tiga gereja terbabit oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Sekadar rekod, kejayaan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz selaku Menteri Besar mentadbir Kelantan terbukti dengan berlakunya hubungan harmoni antara agama dan kaum apabila masing-masing agama mendapat kebebasan yang setara menjalan ibadat dan membina rumah ibadat. Meskipun Kelantan dikenali sebagai negeri yang hanya 5 peratus daripada 1.4 juta penduduk yang bukan Islam. Namun, sehingga kini Negeri Kelantan memiliki 15 gereja Kristian, di samping lebih 100 buah to’kong dan wat serta kuil. Berikutan daripada itu, dialog antara agama, perjumpaan sami, padri dan pemimpin agama sentiasa berlangsung di Kelantan. Misalnya penghujung bulan Januari ini, pihak Majlis Paderi Kristian Malaysia berminat berhimpun di Kelantan dan satu agenda penting majlis itu ialah mengadakan dialog dengan Tuan Guru Menteri Besar. Langkah majlis itu amat dialu-alukan demi memastikan perkembangan dan keharmonian hidup rakyat di sebuah negeri yang ditadbir dengan agama dapat dikongsi bersama dan mudah-mudahan bakal membawa rahmat kepada semua pihak.
Semuga Tuhan Yang Esa memberi hidayah dan petunjuk cahaya keimanan kepada semua pihak yang layak menerimanya.