07 October, 2012

Tuntutan royalti penyatu hasrat rakyat

Menteri Besar Kelantan
YAB TG Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat mengangkat bendera R tanda bermula konvoi R di Pondok Pasir Tumboh Kubang Kerian, Kelantan.
Ahli rombongan bergambar sebelum bertolak.

Dato' Ustaz Haji Ahmad Yakob mengimamkan solat hajat di depan Istana Kehakiman sebelum penghakiman kes rayuan Kerajaan Kelantan lawan Petronas di Putrajaya [3 Oktober 2012]

Apabila memahami strategi politik ‘perguna kuasa untuk mengatasi kuasa’ maka ia pasti dilakukan oleh pemimpin Umno yang berkuasa di peringkat pusat untuk mengekang kuasa musuh politiknya demi kekal berkuasa. Strategi ini sedang berlaku di Malaysia hari ini. Ia telah berlaku sejak 22 tahun lalu di Kelantan.

Tindakan politik Umno di Kelantan jelas berorientasikan hegemoni, maka segenap segi kekuatan yang ada (aparatus di bawah kerajaan persekutuan), termasuk Petronas telah dipergunakan untuk mencetuskan tekanan ke atas kerajaan negeri. Dalam hal ini, pihak Umno sudah melakukan di Terengganu pada tahun 2000 dulu, menyebabkan kerajaan negeri (dikuasai PAS) pada masa itu telah merosot kekuatan kewangannya. Sebaliknya Umno mendapat kekuatan baru apabila bayaran tunai kira-kira RM1,000 juta dari Petronas dirampas oleh kerajaan persekutuan dan disalur kepada aparatus Umno menerusi Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Pertimbangan diskriminatif

Tindakan itu menampakkan cara Umno yang bercanggah dengan demokrasi dan mengetepikan prinsip federalisme. Tatkala hak kerajaan negeri dinafikan, sekaligus pula rakyat disekat daripada menikmati limpahan wang hasil minyak dan gas dari perut bumi negeri sendiri. Ini tindakan pemimpin Umno demi menjaga hayat Umno dan perut pemimpin serta mengawal penyokong agar terus mendapat kepentingan walaupun mereka tidak berkuasa di Kelantan. Ia membuktikan Umno melaksanakan pertimbangan diskriminatif yang bermaksud menzalimi pihak yang tidak bersetuju dengan mereka.

Disebabkan pertimbangan itu, pihak pemimpin Umno akan terus mengawal ruang yang membolehkan rakyat dipaksa menerima cara mereka dan menolak cara PAS-Pakatan Rakyat masa kini. Justeru kerajaan negeri dan rakyat Kelantan adalah mangsa diskriminatif sejak 22 tahun lalu. Faktanya berlaku dalam banyak perkara, selain royalti hasil minyak dan gas tidak terkecuali peruntukan pembangunan dalam rancangan lima tahun Malaysia juga turut dinafi dan diolah secara politik birokrasi. Akibatnya, hampir kesemua peruntukan pembangunan yang ada dalam buku rancangan itu tidak disalur kepada kerajaan negeri, tetapi disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan. Malah hak rakyat Kelantan untuk mendapatkan lebuh raya, pelabuhan entreport, stadium baru, pelebaran jalan, lapangan terbang antarabangsa dan perumahan kesemuanya dinafikan.

Sekiranya ada yang disalurkan kemudahan seperti pembiayaan bekalan air, itupun dalam bentuk pinjaman dan berlaku pula campurtangan secara langsung dalam pengurusan projek apabila perlantikan kontraktor tidak diberikan kepada kerajaan negeri.

Perkembangan terbaru ini, menerusi pelbagai projek 1Malaysia yang dilancarkan era pentadbiran Mohd Najib ini, kesemuanya diurus oleh Jabatan Pembangunan Persekutuan. Seolah-olah di Kelantan tidak ada kerajaan negeri. Hal yang sama berlaku di negeri Pakatan Rakyat – Selangor, Kedah dan Pulau Pinang.

Justeru ia suatu tindakan pihak kerajaan persekutuan yang bersalahan dengan prinsip kedaulatan (sovereignity) dan keabsahan (legitimacy) pada carta maruah sejagat. Ia adalah amalan Umno yang menggunakan kuasa kerajaan persekutuan, maka amalan sedemikian adalah bercanggah dengan prinsip keadilan dalam Islam. Menurut sistem politik Islam setiap wilayah dalam kaedah penaungan mestilah diberi kuasa khusus (autonomi), lebih-lebih lagi apabila kuasa itu terkandung di dalam perjanjian dan diperolehi menerusi mandat pilihan ramai.

Sesungguhnya perkembangan tersebut telah menyebabkan rakyat begitu mual dengan permainan politik Umno-Barisan Nasional. Kesannya rakyat Kelantan sedang melakukan tindakan hegemoni balas (counter hegemony), tatkala mereka sepakat menyokong sebarang usaha menuntut hak dan kepentingan mereka. Selari dengannya kemunculan “Gerakan R” adalah ruang yang menuju ke arah realiti tuntutan hak dan kepentingan rakyat yang sekian kali didiskriminasikan.

Gerakan R

Gerakan R telah dicipta hasil gabungan 58 buah pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) di Negeri Kelantan bagi menggerakkan kesedaran akan hak kerajaan negeri Kelantan berhubung tuntutan bayaran tunai daripada Petronas sepertimana termaktub dalam perjanjian. Impiannya adalah untuk menuntut bayaran tunai (royalti) hasil minyak dan gas dari perut bumi Kelantan. Ia sedang melalui pergerakan positif selari dengan keputusan kerajaan negeri yang membawa kes tuntutan tersebut ke Mahkamah Persekutuan. Ia telah berlaku pada 3 Oktober lalu, apabila lima hakim yang bersidang sudah memenuhi rayuan kerajaan negeri untuk meneruskan tuntutan menerusi jalan mahkamah.
Kepimpinan Gerakan R (dari kiri): Nazri, Fauzi dan Hisyamudin pada sidang media.

Meskipun laluannya berliku-liku kerana turut dicelah oleh taktik politik Umno melalui kerajaan persekutuan mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas yang kononnya akan mengkaji secara adil dan telus berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Jawatankuasa Khas ini akan membuat satu kajian menyeluruh dalam tempoh masa enam bulan dari tarikh penubuhannya dengan mengambil kira semua aspek tuntutan dan akan membuat syor yang sesuai kepada kerajaan persekutuan.

Apa yang berbangkit bagi kerajaan negeri dan Gerakan R ialah bayaran mengikut perjanjian adalah tanggungjawab Petronas, tetapi kerajaan persekutuan selaku penguasa ke atas Petronas telah campur tangan. Justeru dalam urusan royalti, kerajaan persekutuan telah menentukan untuk tidak membayar. Keputusan kerajaan persekutuan itu telah menafikan hak kerajaan negeri Kelantan hanya dengan alasan yang dangkal – kononnya hasil petroleum berlaku dalam perairan di luar dari jarak tiga batu nautika dari pesisir pantai negeri.

Hakikatnya tindakan tidak membayar itu telah bercanggah dengan kerangka perundangan dan perjanjian di antara kerajaan negeri Kelantan dengan Petronas. Mengikut perjanjian di bawah Seksyen 4 Akta Kemajuan Petroleum 1974 pada 9 Mei 1975, Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan lima peratus dari nilai petroleum yang didapati dan diperoleh di Kelantan.

Jelaslah, tidak ada pun fakta ukuran tiga batu nautika yang dihujahkan. Oleh sebab itu, apakah pendirian ini berpandukan keputusan mana-mana mahkamah, atau ia hanya tafsiran atas hasrat pemimpin Umno untuk menyekat hak (bayaran tunai) kepada kerajaan negeri? Apa yang pasti, kesemuanya adalah hasil keputusan yang berpaksikan matlamat politik rakus pemimpin Umno.

Berpandukan realiti ini, rakyat Kelantan harus menjadikan isu tuntutan royalti hasil minyak dan gas bersama-sama dengan semua isu yang berbangkit akibat diskriminasi kerajaan persekutuan dapat dijadikan medium penyatu hasrat rakyat untuk membetulkan keadaan demokrasi pincang amalan Umno-Barisan Nasional sekarang. Masa terbaik adalah ruang pilihan raya umum ke-13 ini adalah peluang terbaik bagi melakar sejarah baru bersama Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya, demi keadilan untuk semua negeri dan rakyat.