Pada Khamis lepas, YAB Tuan Guru Pesuruhjaya PAS merangkap Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menyampaikan amanat kepada pimpinan dan penceramah PAS Negeri Kelantan sempena
Taklimat Isu-isu Pilihan Raya (17 Rejab 2012 bersamaan 7 Jun 2012) bertempat di PUTIK,
Pengkalan Chepa. Antara catatan yang dapat saya nukilkan semula seperti mana di bawah.
Ia bermula dengan firman Allah
SWT,
yang bermaksud: “Tunjukilah kami
jalan yang lurus. Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat
kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai dan bukan
pula (jalan) orang-orang yang sesat” (Surah Al-Fatihah ayat 6-7).
Lantas Tok Guru meneruskan amanatnya:
"Bersyukur kita semua atas limpah
nikmat Allah, dan sebesar-besar nikmat ialah kita diberi hidayah daripada Allah
SWT. Hidayah atau petunjuk adalah jalan mencapai keredaan Allah sepanjang hidup
di dunia hingga ke akhirat.
Nabi bawa Islam
Bertolak daripada memahami nikmat
hidayah itu, maka harus juga kita memahami, betapa sebelum Nabi Muhammad SAW datang,
sudah ada kerajaan. Dalam sejarah manusia tidak ada sejarah yang tidak ada
kerajaan. Maknanya di mana sahaja ada manusia, maka adalah kerajaan yang
dibentuk, termasuklah di Mekah. Ketika kedatangan Islam masyarakat Mekah adalah
hidup dalam jahiliyah dan pada masa itu di sana telah ada kerajaan. Kerana apa
di Mekah yang telah ada kerajaan pun, Allah tetap mengutuskan Nabi Muhammad?
Jawabnya kerana kerajaan yang ada telah tidak mampu menyelamat manusia sampai ke akhirat.
Justeru Nabi diperintahkan oleh Allah SWT untuk membawa seruan Islam sebagai
penyelamat.
Oleh sebab itu, kita harus memahami
tujuan Nabi diutuskan ke muka bumi ini. Ia tidak lain untuk membawa ajaran
Islam bagi menyelamatkan manusia agar manusia dapat hidup dengan hidayah dan
keredaan Allah. Nabi telah menyeru manusia agar menerima hakikat uluhiyah,
nubuwwah dan mempercayai hidup kembali selepas mati. Tiga perkara utama ini
telah disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW kepada orang Mekah selama 13 tahun.
Kenapa tiga perkara besar ini
menjadi keutamaan ajaran Nabi ketika di Mekah?
Antaranya yang utama ialah kerana Islam mengajar manusia berfikir untuk
menerima, pertama ketuhanan (uluhiyah) yang sebenar hanyalah Allah, kedua
menerima kenabian (nubuwwah) Nabi Muhammad sebagai utusan Allah yang membawa
wahyu dari Allah atas nama Islam, dan ketiga membawa kefahaman agar manusia semua
yakin akan menghadapi kematian dan akan dihidupkan semula di akhirat kelak selepas
mati serta di sananya akan menghadapi pembalasan dari Allah.
Kesemua ajaran Nabi Muhammad SAW itu
ialah untuk memberitahu kita, bahawa ada kuasa yakni Allah yang Maha Kuasa atas
segenap kejadiannya. Justeru di sebalik diutuskan Nabi, betapa manusia diberi
ingatan ketika hidup di dunia ini perlu ada pemimpin bagi menyelamatkan manusia
dan pemimpin itu hendaklah menjadi penghubung untuk hidup dengan selamat di akhirat.
Maka Nabi adalah pemimpin dan penghubung antara manusia dengan Allah bagi mencapai
keredaan Allah sepanjang hidup di dunia sampailah ke akhirat. Pokoknya, ajaran
Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad itu hendaklah dipatuhi.
Dalam hal ini, Nabi adalah membawa seruan Islam untuk
mengajar manusia hidup sesuai dengan kehendak Allah untuk manusia menjalani
kehidupan yang selari dengan perintah-Nya. Jika tidak selari sudah tentu
dimurkai Allah dan di akhirat kelak tunggulah siksaan Allah. Maka seorang manusia
(hamba Allah) yang baik hendaklah memilih jalan hidup yang selari dengan
kehendak Allah, iaitu seperti mana maksud ayat dalam surah Al-Fatihah (dinyatakan
pada permulaan) – mohon Allah menetapkan kita hidup dalam keadaan istiqamah
dengan ajaran Islam yang di bawa oleh Nabi Muhammad SAW.
Ada manusia berani tolak wahyu?
Apapun setiap manusia harus sedar
dan insaf akan kelemahan masing-masing. Kita tidak mungkin dapat melihat
sesuatu yang bersifat ghaib. Sebagaimana untuk kita melihat benda yang halus
dan jauh dari pandangan mata, kita pasti memerlukan bantuan alat yang canggih.
Kita memerlukan mikroskop bagi melihat zarah atau kuman yang terlalu halus.
Demikian pula kita memerlukan teropong bagi melihat bulan, bintang atau objek
yang terlalu jauh dari kita.
Begitulah halnya, kita tidak mampu
melihat sesuatu yang ghaib seumpama syaitan, iblis, dosa atau pahala, syurga
atau neraka melainkan kita dapat melihatnya melalui wahyu yang disampaikan
melalui Nabi. Ini kerana wahyu adalah ilmu Allah yang tidak boleh dipertikaikan
lagi kebenarannya. Menerusi wahyulah kita diberitahu hakikat syurga dan neraka,
dan nabi Muhammad SAW sendiri diperjalankan dan dibawa naik ke langit serta menyaksikannya.
Ia berlaku dalam bentuk mukjizat dan wahyu, ia membuktikan kekuasaan Allah yang
tidak boleh ditolak.
Sehubungan itu, di mana hebatnya
manusia untuk menolak mukjizat dan wahyu Allah itu? Di manakah hebatnya kita
manusia dibandingkan dengan ilmu Allah? Soalnya, sampai sekarang masih ada
manusia yang berani menolak kandungan Al-Quran (wahyu Allah kepada Nabi
Muhammad).
Tidaklah pelik. Ia tabiat manusia
yang tidak sanggup istiuqamah atas jalan kebenaran. Walaupun dalam Al-Quran
mengajar kita agar tetap beristiqamah. Tapi bila kandungan Al-Quran pun mereka
tolak, maka tidak peliklah bila ada manusia yang berani menolak ajaran Islam. Firman
Allah SWT,
Bermaksud: “Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad)
sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan
kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran
mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum
Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” (Surah
Hud ayat 112).
Persoalannya, manusia yang mengaku
beriman, bila berkuasa (memerintah negara) mereka masih menolak untuk
melaksanakan apa yang diwahyukan oleh Allah SWT. Ia berlaku kepada UMNO sekarang
– sebuah parti yang berkuasa sejak 55 tahun lalu. Sampai kini tidak
melaksanakan sistem pemerintahan menurut Islam. Demikian pula, dasar parti UMNO
itu sendiri pun masih kekal dengan perjuangan Melayu, satu dasar berpaksikan
nasionalis, berjuang atas nama bangsa dan tidak berteraskan Islam.
Ia bermakna, bila tidak terima dasar
perjuangan berteraskan Islam, ia telah menafikan kebaikan Islam yang di bawa
oleh Nabi. Sedangkan Nabi sendiri berpesan agar kita jangan berjuang atas
landasan bangsa atau kaum (fahaman kebangsaan). Seperti mana sabda Rasulullah SAW bermaksud:
“Bukan
daripada kalangan kami orang yang mengajak kepada asabiyyah, bukan daripada
kami orang yang berperang di atas dasar asabiyyah dan bukan daripada kalangan
kami orang mati kerana asabiyyah.”
Bagaimanakah kita nak masuk syurga
(mendapat syafaat Nabi) bila kita berjuang atas landasan yang Nabi tidak suka?
Apakah di akhirat kelak, selepas dibangkit semula (hidup balik), kita ada hujah
untuk mendapat syafaat Nabi? Sedang sepanjang di dunia kita menolak ajaran
baginda.
Justeru, demi untuk kita selamat di
dunia dan di akhirat, buatlah pertimbangan yang berlandaskan ajaran Nabi.
Jangan sesekali menolak apa yang Nabi suruh. Jauh sama sekali untuk kita
menolak ilmu wahyu kerana wahyu itu adalah daripada Allah. Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui lagi Maha Berkuasa atas segala-galanya."