22 August, 2009

PERMATANG PASIR: Selamat bersama Ramadhan

Selamat bersama Ramadhan 1430H, blog ini mengambil kesempatan mengucapkan salam, semuga kita semua, muslimin/muslimat berjaya membina diri sebagai insan bertaqwa.
Bersejarahnya pula, Ramdhan kali ini adalah disambut dalam suasana negara mengalami wabak selsema BabiH1N1 dan dalam keghairahan kempen pilihan raya kecil Permatang Pasir. tempoh kempen di sana melibatkanselama tiga berlaku pada Ramadhan. Kerana mengundi jatuh pada 25 Ogos, enam hari sebelum negara menyambut hari ulangtahun negara merdeka.

Semuga Tuhan Yang Esa mengabulkan doa insan yang berpuasa dengan ketaqwaan, mencapai darjat rahmat dan keampunan serta syurga. Jika dihitung kelebihan/fadhilat Ramadhan, ia begitu
mulia dan begitu rahmah. Antaranya seperti dicatatkan oleh Budiman Radhi dalam bukunya Fadilat Rejab, Syaaban, Ramadan, paling penting muslimin-muslimat berpuasa akan mencapai darjah keampunan dan balasan syurga seperti mana maksud hadis Nabi SAW:

عن ابي هريره قال قال رسول الله (ص) اعطيت امتي خمس خصال في رمضان لم تعطهن امة قبلهم خلوف فم الصائم اطيب عند الله من ريح المسك وتستغفر لهم الحيتان حتى يفطروا. ويزين الله عزوجل كل يوم جنته ثم يقول يوشك عبادي الصالحون ان يلقوا عنهم المؤنة ويصيروا اليك وتصفد فيه مردة الشياطين فلا يخلصوا فيه الى ما كانوا يخلصوا اليه في غيره ويغفرلهم في اخر ليله قيل يا رسول الله اهى ليلة القدر قال لا ولكن العامل انما يوفى اجره اذا قضى عمله.

Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum pernah diberikan kepada sesiapa pun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa adalah terlebih harum di sisi Allah daripada bau haruman kasturi. Ikan-ikan di lautan memohon istighfar (keampunan) ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa".

Allah mempersiapkan serta menghiasi jannah yang khas setiap hari dan kemudian berfirman kepadanya: "Masanya telah hampir tiba bilamana hamba-hambaKu yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu."

Pada bulan ini syaitan-syaitan yang durjana dirantaikan supaya tidak menggoda mereka ke arah maksiat-maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam terakhir Ramadhan (orang-orang yang berpuasa ini) akan diampunkan." Maka sahabat-sahabat Rasulullah SAW pun bertanya: "Wahai Pesuruh Allah, adakah itu malam lailatul Qadar?" Dijawab oleh Rasulullah SAW: "Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu diberi balasan setelah menyempurnakan tugasnya."

Harapan kita semua, di mana saja kita berada (termasuk berkempen di pilihan raya kecil Permatang Pasir), jadikan hari-hari Ramadhan peluang bagi kita menambahkan pahala demi mencapai keberkatan dan keampunan Yang Maha Esa.

20 August, 2009

PERMATANG PASIR: Calon BN hero yang haprak!

Sehingga kini, BN menghadapi hawa kempen yang merimaskan ekoran daripada calonnya Rohaizat Othman berdepan dengan 'penyakit' peribadi yang kini menular menjadi wabak yang bakal melemahkan seluruh urat saraf jentera kempen BN. ia suatu realiti yang sedang dihadapi, tatkala kelmarin Ketua Penerangan UMNO, Ahmad Maslan telah menabalkan Rohaizat sebagai hero (disebut juga wira). Namun, hari ini gelaran itu telah dilucutkan oleh kawan (rakan kongsi syarikat guamannya), Yusri Ishak, ekoran pendedahan peristiwa sebenar di sebalik tindakan pihak Malaysian Bar membatalkan status peguam calon BN itu. Maka, layaknya calon BN kali ini dilabelkan sebagai hero yang kini jadi haprak. Label haprak mungkin tak patut, tetapi dikira padan dengan rencahan 'bohong' yang tak berselindung dibuat oleh Ahmad Maslan dan Rohaizat sendiri. Natijah pembohongan kemudian haprak itu, mungkin boleh dinilai daripada lakaran perisitiwa-peristiwa berikut:
1. Terbaru - tindakan Yusri Ishak membuat kenyataan menjawab omongan Ahmad Maslan bagi pihak Rohaizat dalam kes penyelewengan (misconduct) wang pelanggan mereka ketika menjadi rakan kongsi firma guaman.

2. Kelmarin: Rohaizat - Hero atau haprak! Rohaizat seorang hero kata Ahmad Maslan ketika sidang media disiarkan RTM dalam siaran beritanya, 18 & 19 Ogos 2009.
3. Sebelum itu, 19 Ogos Tengku Razaleigh Hamzah telah membuat kenyataan discredit terhadap calon BN, Rohaizat ekoran kenyataan Malaysia Bar yang membatalkan Rohaizat selaku peguamcara dan peguambela.

4. Pada 18 Ogos, sidang media Ahmad Maslan antaranya menyebut Rohaizat, yang menjadi mangsa keadaan setelah rakan kongsi beliau meninggalkan firma berkenaan, terpaksa memikul tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah yang ditimbulkan rakannya. Rakan yang dimaksudkan ialah calon BN, Yusri Ishak.
5. Pihak Setiausaha Malaysian Bar, pada 18 Ogos telah mengeluarkan kenyataan mengesahkan nama Rohaizat telah dibatalkan statusnya sebagai peguam.
6. Pada 7 Mac 2008, Malaysian Bar telah membatalkan Rohaizat sebagai peguam, diikuti dengan penolakan rayuan makamah pada 12 Ogos 2009 lalu.
Sehubungan dengan peristiwa tersebut, nyata sekali isu Rohaizat adalah lebih buruk (bertaraf haprak) berbanding calon BN, Wan Mohd Farid calon BN di pilihan raya kecil parlimen Kuala Terengganu pada Disember 2008 lalu. Ketika itu, BN telah kalah di Kuala Terengganu ekoran daripada calonnya dilabelkan sebagai seorang yang sombong. Persoalannya, jika rakyat Kuala Terengganu telah menolak calon BN yang sombong, apakah rakyat di Permatan Pasir boleh menerima hero bertaraf haprak? Jika haprak itu lebih teruk lagi daripada sombong, selayaknya (lebih aula lagi) rakyat Permatang Pasir menolak calon BN itu. Jika begitu, besar kemungkinan BN akan kalah sekali lagi di Permatang Pasir!

Namun, Tuhan Yang Esa tetap bersifat amat pengampun lagi mengasihani. Setiap hambanya yang bertaubat pasti akan mendapat nikmat-Nya. Atas sifat berbohong adalah salah satu sifat haprak yang boleh diubah dengan cara meninggalkan amalan buruk itu dan kembali kepada beramal secara kebenaran.

19 August, 2009

PERMATANG PASIR: Persekitaran awal menyebelahi PAS

Pilihan raya kecil Permatang Pasir sudah bermula berikutan penamaan calon pada 17 Ogos lalu. Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) juga telah menetapkan 25 Ogos sebagai hari mengundi. Oleh itu, tempoh berkempen adalah bermula 18 Ogos sehingga 24 Ogos. Ini bermakna, suatu tempoh kempen yang singkat, hanya 7 hari. Walau bagaimanapun, tempoh sebenar bagi pilihan raya kecil Permatang Pasir itu boleh dibahagiakan kepada tiga persekitaran: awal, tengah dan akhir. Persekitaran awal bermula hari penamaan calon, 17 Ogos sehingga 19 Ogos, persekitaran tengah bermula 20 – 22 Ogos, dan persekitaran ketiga pula bermula 23 – 25 Ogos, iaitu pada hari mengundi.

Berdasarkan pemerhatian daripada perkembangan yang terjadi di medan Permatang Pasir, masing-masing parti yang bertanding telah bertindak ke arah menguasai persekitaran pilihan raya kecil. Implikasi tindakan tersebut, didapati telah berlaku beberapa isu yang menyerlahkan penguasaan parti-parti yang bertanding dalam tempoh persekitaran pertama ini. Antara isu-isu tersebut ialah berlaku bantahan ke atas Rohaizat sebagai calon BN, penangkapan ahli parlimen Padang Serai, Kedah N. Gobalakrishnan, kemudian Gobalakrishnan dimasukkan ke Hospital Bukit Mertajam akibat deraan polis, kenyataan Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang pekena UMNO, pendedahan Ketua Pemuda UMNO mengenai wujudnya 1,000 pengundi hantu, diikuti dengan pendedahan Majlis Peguam tentang kes pecah amanah (found guilty of misconduct) oleh calon BN, Salahudin cabar Zahid berdebat atas isu calon BN, reaksi Tan Sri Muhyidin terhadap penangkapan Gobalakrishnan, pendakwaan ke atas Gobalakrishnan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, kenyataan balas calon BN dan Ketua Penerangan UMNO mengenai dakwaan Majlis Peguam dan Mahfuz Omar mendesak Rohaizat tarik diri atas isu pecah amanah wang jual beli tanah Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Berhad.

Kesemua isu dan persoalan berbangkit tersebut jelas telah mewujudkan pelbagai persepsi kalangan pengundi pada persekitaran pertama proses pilihan raya kecil Permatang Pasir. Berdasarkan pemerhatian dan penelitian secara umum perkembangan isu tersebut di kalangan pengundi Permatang Pasir, maka ia dapat dianalisis seperti mana jadual berikut:

Analsis di atas adalah tanpa bersandarkan fakta yang terperinci maka, perkembangan, persekitaran isu kempen menunjukkan majoriti sudah berpihak kepada PAS. Ini agak selari dengan undian anjuran mStar online (19 Ogos 2009; 14:57 pm) seperti rajah berikut:

Namun, di sana masih kedapatan sekitar 13 % pengundi yang tidak berpihak masih menjadi peluang kepada BN untuk mengatasi PAS.

Bagaimanapun, perkembangan persekitaran kedua bakal menyusul, apakah move di pihak PAS dan BN akan berupaya mengubah senario undian tersebut. Berdasarkan, pengalaman Manek Urai, pihak BN dijangka menjayakan moving up sentimen pengundi atas pagar dan asakan terhadap pengundi Melayu dan Cina dengan pelbagai pendekatan. Sementara PAS, pastinya akan mengekalkan sentiment yang ada, malah dijangka mengemukakan beberapa resipi mood pengundi yang lebih mantap atas isu-isu yang bersifat accidental tersebut.

Jika demikian, persekitaran kedua, malah ketiga nanti akan menyaksikan persaingan lebih sengit demi menguasai persepsi dan keyakinan pengundi Permatang Pasir. Apapun, Tuhan Yang Esa sentiasa melihat gelagat hamba-Nya, adakah ia menuruti peraturan-Nya atau sebaliknya. Hakikatnya, mereka yang bergelagat menurut aturan-Nya bakal mendapat ganjaran kebaikan yang sejati. Semuga pengundi Permatang Pasir mengambil sikap yang selari dengan aturan Tuhan Yang Esa.

16 August, 2009

PERMATANG PASIR: penentu pada pengundi atas pagar

Pilihan raya kecil N.11 Permatang Pasir akan diadakan pada 25 Ogos ini. Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) turut mengumukan hari penamaan calon (esok) 17 Ogos 2009. Sebelum ini, pada 14 Ogos (sebelah malam), Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang malam tadi mengumumkan Pesuruhjaya PAS Negeri, Ustaz Mohd Salleh Man, 53 tahun (gambar kiri) sebagai calon PAS sekaligus mewakili Pakatan Rakyat untuk bersaing dengan calon BN. Salleh, seorang guru agama dan pentadbir sekolah agama, merupakan lulusan pengajian Islam dari Universiti Malaya (UM) dan dilantik sebagai Pusuruhjaya PAS Pulau Pinang tahun lalu. Beliau pernah bertanding kerusi Pinang Tunggal, parlimen Kepala Batas pada tahun 2004 dan tewas dengan 535 undi di Sungai Dua, parlimen Tasek Gelugor pada Mac 2008.

Sementara BN pula, pada hari yang sama (sebelah petang) pihak Timbalan Perdana Menteri selaku Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman, 38 tahun (gambar kiri) sebagai calon BN. Rohaizat seorang penasihat undang-undang merupakan lulusan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Cawangan Mengkuang, Bukit Mertajam, menyertai Umno pada 1996. Rohaizat juga disebut-sebut sebagai calon yang dicadang, tetapi tidak jadi bertanding pada pilihan raya kecil Penanti, 31 Mei lepas.

Sekilas pandang, pertandingan bagi pilihan raya kecil permatang Pasir nanti akan menyaksikan persaingan antara dua kedudukan teristimewa antara dua calon. Antara yang terpenting harus diberi perhatian ialah jurang umur antara kedua-dua calon, PAS mengemukakan seorang calon pada umur pertengahan dan BN pula seorang muda. Jika asas ini dikaitkan dengan demografi pengundi Permatang Pasir yang mempunyai 37.18% pengundi muda di bawah 40 tahun, maka ia suatu kelebihan sentimen bagi calon BN. Namun, ia suatu faktor yang relatif, kerana faktor calon masih bergantung kepada mood pengundi semasa, yang masih terpengaruh dengan isu-isu kempen kedua-dua belah pihak. Tambahan pula, sebahagian besar pengundi muda adalah cenderung bersikap atas pagar. Walau bagaimanapun, dalam soal sikap politik itu kebanyakan pengundi muda dan dewasa adalah serupa sahaja, iaitu sebahagian mereka adalah bersikap atas pagar dan sebahagian lagi telah bersikap partisan (sama ada PAS atau BN). Sehubungan itu, faktor pengundi atas pagar adalah penentu utama kemenangan bagi kedua-dua calon.


Memahami pengundi atas pagar


Sehubungan itu, memahami sikap politik pengundi atas pagar adalah teramat penting. Antara sikap tersebut, adalah berdasarkan realiti berikut:

  1. tidak berpolitik atau tidak menyertai mana-mana parti politik yang bertanding,
  2. tidak menyertai mana-mana permuafakatan kalangan parti politik atau calon bertanding,
  3. mengutamakan kepentingan peribadi atas muslihat kuasa undi yang dimiliki,
  4. bersedia membuat keputusan berpihak atau mengundi selepas dilayan baik oleh calon dan pimpinan parti yang bertanding,
  5. terdorong oleh persekitaran politik semasa yang sesuai untuknya sama ada keluar mengundi atau tidak,
  6. menerima desakan mana-mana pihak agar mengundi satu-satu calon,
  7. sensitif atas sesuatu isu yang menyentuh permasalahan hidupnya, dan menyebabkan mereka bertindak secara positif (mengundi calon/parti yang diyakini) atau negatif (menentang atau bersikap tidak kisah),
  8. tiada langsung kesedaran politik untuk menyumbang kuasa undi dalam pilihan raya,
  9. tidak terdedah kepada mana-mana dasar perjuangan parti politik, menyebabkan tiada dorongan untuk memperjuangkan hak-hak nasionalisme, jauh sama sekali untuk berjuang mengikut sunah Nabi menegak syariat Islam menerusi parti Islam.


Walau apapun, besok (17 Ogos) adalah penamaan calon, maka PAS dan BN sudah pasti akan mengemukakan calon masing-masing. Mungkin bebas turut bertanding. Di atas daya usaha masing-masing parti menyertai pilihan raya kecil Permatang Pasir kali ini adalah untuk merealisasikan harapan rakyat, maka harapan kita semua, semuga Tuhan Yang Esa akan memberi rahmat kepada pihak yang benar-benar ikhlas.