20 January, 2015

Hujan dan pembalakan serta banjir di Kelantan

Sesuatu yang pasti ialah kejadian banjir berlaku apabila air dari sungai melimpah memenuhi dataran dan lembah serta menenggelami permukaan yang kebiasaanya tidak digenangi air. Punca air hujan yang banyak melebihi daripada kebiasaan pada musim-musim tertentu  atau beberapa hari berturut-turut adalah antara kemungkinan menyebabkan banjir.

Dalam konteks kawasan yang mengalami musim monsun, seperti di Kelantan jumlah turunan hujan yang lebat beberapa hari biasanya menyebabkan banjir. Sebagaimana catatan hujan di semua 13 pusat sukatan hujan seluruh Kelantan pada Disember 2014 lalu, menunjukkan hujan yang turun dalam tempoh berpanjangan pada 17-25 Disember (sembilan hari). Sementara catatan pada hari-hari tertentu didapati turunan hujannya melebihi daripda kebiasaan. Antaranya, pada 17 Disember sahaja, jumlah turunan direkodkan di semua 13 pusat ialah berjumlah 2,596 mm dan catatan tertinggi ialah di pusat sukatan hujan Kusial Tanah Merah sebanyak 414 mm.

Begitu pula catatan pada 22 Disember, jumlah sukatan di semua pusat ialah 2,161 mm dengan catatan tertinggi direkodkan di pusat sukatan hujan Gunung Gagau, Gua Musang iaitu 478 mm. Ia diikuti dengan catatan di pusat sukatan yang lain di Gua Musang (Kg Aring, Kg Laloh, dan di Gua Musang sendiri) dan di Kuala Krai ( Dabong dan Tualang) kesemuanya adalah melebihi 200 mm.
Demikian lagi, bagi catatan turunan hujan di Gunung Gagau, Gua Musang mencatatkan turunan hujan lebat yang luar biasa selama tiga hari berturut-turut (21-23 Disember) dengan rekod turunan ialah 302 mm, 478 mm dan 515 mm yang bersamaan 1,295 mm. Berdasarkan pengalaman ini, pakar kajicuaca menilainya sebagai, “jumlah turunan selama tiga hari ini adalah menyamai dengan 64 hari turunan hujan pada hari-hari biasa (20.23 mm sehari).”
Faktor hujan lebat ditambah pula dengan kedudukan Gunung Gagau pada aras ketinggian melebihi 4,500 kaki dari aras laut sudah cukup dan mampu meluncurkan gerakan air yang laju dan mampu membentuk turunan gelombang menerjah lurah dan tebing sungai. Atas faktor inilah menjadi salah satu punca utama kejadian banjir yang melanda Gua Musang dan Kuala Krai dan akhirnya melimpahi sampai ke Kota Bharu. Maka terjadilahbanjir 2014 lalu sebagai suatu fenomena banjir agak besar berbanding banjir-banjir sebelum ini.

Kuota perhutanan

Pembalakan merupakan satu aktiviti tradisi yang dikaitkan dengan usaha pembangunan tanah dan hasil ekonomi Negeri Kelantan. Bagi membangunkan ladang di kawasan hutan perlu ditebang pelbagai jenis pokok hutan. Hasil tebangan pokok hutan akan menghasilkan balak yang menjadi salah satu hasil utama Negeri Kelantan. Malah hasil balak yang dikilang menjadi pelengkap kepada  industri pembinaan dan pembuatan serta yang berasaskan kayu.

Bagaimanapun, pembalakan tertakluk kepada undang-udang dan peraturan serta dikawal langsung oleh Majlis Tanah Negara. Malah Jabatan Perhutanan Negeri ditubuhkan secara khusus menjadi agensi pelaksana kepada pengawalan aktiviti pembalakan. Justeru sebarang usaha pembalakan adalah terkawal dan sentiasa dikawal. Terkawal kerana jumlah keluasan hutan yang boleh ditebang adalah tertakluk kepada Kup Pembukaan Kawasan Tahunan dan tertakluk juga kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT). Bagi penggal 2011-2015, CTT yang diisytiharkan paa 31 Disember 2010 ialah 5,914 hektar. Dikawal pula, atas amalan kelulusan pembalakan adalah memerlukan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri atas setiap projek pembangunan melibatkan kawasan hutan, termasuklah mengawal keluasan Hutan Simpan Kekal  dan Tanah Kerajaan berasaskan Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan) 1992.

Bagi Negeri Kelantan, dalam tempoh sepuluh tahun kebelakangan ini sejak 2005, tidak pernah pun berlaku penebangan yang melebihi had yang dibenarkan. Misalnya pada tahun 2005 kuotanya seluas 6,590 hektar dan keluasan yang diusahakan ialah 5,133.6 hektar.  Begitu pula pada tahun 2011, kuotanya 6,590 hektar dan yang diusahakan 5,898.9 hektar. Sementara pada tahun lalu, 2014 kuotanya 5,910 hektar dan yang diusahakan seluas 3,404 hektar sahaja.  Ini bermakna tiada perlanggaran dari kuota pembukaan kawasan hutan di Kelantan. Maka ianya terkawal dan tetap dikawal. Justeru asas kaitan banjir agak besar baru-baru ini bukanlah berpunca daripada pembukaan hutan secara tidak terkawal.

Pembalakan haram

Begitu pula, ada yang menimbulkan kononnya banjir berlaku di Kelantan baru-baru ini adalah disebabkan aktiviti pembalakan haram yang kesannya bukan setakat membalak, malah menarah lurah dan merosakkan struktur tanah tinggi sehingga gondol di sana-sini. Jika benar apa yang ditimbulkan itu, sudah tentu keadaan banjir yang berlaku di Kelantan baru-baru ini banyak membawa kesan runtuhan lereng dan tebing serta struktur aliran sungai berikutan asakan puin-puin tanah-tanih yang longgar akibat penggondolan. Ia pasti membawa kerosakan yang lebih dahsyat lagi ekoran jumlah densiti air hujan dan aliran yang luar biasa. Namun kesan kerosakan yang banyak dilaporkan adalah pada rumah-rumah yang berstruktur separuh kekal  dan harta benda akibat dihanyut air deras bukannya asakan kuat gumpalan puin-puin tanah yang runtuh dari lereng tanah tinggi.

Sebagaimana kajian pihak Food and Agriculture Organization of the United Nation (FAO, 1984) berhubung kesan hujan dari tanah tinggi ke atas larian air permukaan, bagi kawasan hujan lebat akan membawa kesan hakisan yang bawaan tanah-tanih berkadar banyak apabila permukaannya banyak diterokai dan digondolkan (misalnya aktiviti permukaan untuk pertanian), maka kadar lariannya ialah 330 mm per hektar. Manakala keadaan hujan yang sama tetapi permukaannya dilitupi dengan pelbagai litupan, kadarnya kurang daripada 100 mm per hektar. Dalam hal ini, keadaan hujan di Kelantan yang lalu masih dikuasai oleh litupan muka bumi yang terkawal dan kemusnahan permukaan akibat larian tanah yang gondol bukan fenomena yang dahsyat. Maka asas pembalakan haram dan penerokaan tanah secara haram bukanlah sesuatu insiden yang boleh dikaitkan sebagai punca utama banjir.

Justeru dalam konteks pengurusan hutan di Kelantan, apa yang pasti standard pengurusan hutannya adalah mengamalkan Sistem Pengurusan Memilih (Selective Management System) yang mengutamakan pengekalan dan pengoptimuman hasil hutan yang ekonomik. Di samping pencapaian Jabatan Perhutanan Kelantan sendiri yang mendapat pengiktirafan Certificate for Forest Management (Natural Forest) di bawah Skim Pensijilan Kayu-kayan Malaysia ( the Malaysian Timber Certification Scheme, MTCS) bagi tempoh 9 Februari 2014 hingga 9 Februari 2017. Salah satu kejayaan pengurusan hutan itu ialah berlakunya aktiviti penanaman semula hutan (reforestation) dalam lima tempoh kebelakangan ini, iaitu antara tahun 2010 hingga 2014 sebanyak 4,055.426 pokok hutan telah ditanam semula. 
Sekiranya hutan simpan atau kawasan perhutanan Kelantan sekian lama banyak diganggu oleh aktiviti penerokaan haram yang melampau sudah tentu dengan keadaan hujan yang lebat dalam tempoh tiga atau empat hari itu, pastinya kerosakan permukaan, lurah dan tanah runtuh akan menjadi fokus berita yang utama. Namun kerosakan dan kehilangan serta kemusnahan aktiviti pertanian adalah banyak terkesan akibat limpahan air yang banyak dan deras bukannya ledakan puin-puin akibat penggondolan.


Sehubungan itu, suatu hakikat yang harus diterima, berlakunya ketentuan Allah SWT yang telah menurunkan hujan lebat. Apapun di sebaliknya, pihak Kerajaan Negeri Kelantan harus lebih bertanggungjawab bagi menghadapi suasana dan musim banjir yang melanda Kelantan setiap tahun. Harapannya, perancangan pembangunan masa depan perlu mengambil kira asas kemampanan, kelestarian dan penampanan air hujan (seumpama adanya empangan besar di dua alur utama sungai – Sungai Lebir dan Sungai Galas) yang sering menerima jumlah air banyak setiap kali pada musim tengkujuh.

Oleh: 
Dr. Wan Nik Wan Yussof, Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan

19 January, 2015

Banjir Kelantan 2014 - Satu Muhasabah

Apabila berbicara isu banjir di Kelantan, ada dua isu utama yang boleh dikaitkan dengan fenomena tahunan ini. Pertama kedudukan Kelantan yang berselirat dengan sungai-sungai yang menjadi sumber air yang utama, dan keduanya kedudukan iklim dan musimnya sentiasa berdepan dengan monsun yang menyumbang hujan lebat.

Banjir Tebing Sungai Kelantan




Sungai-sungai di Kelantan

Dari aspek sungai, Kelantan mempunyai sebatang sungai utama iaitu Sungai Kelantan (248 KM) yang menjadi tulang belakang kepada sumber air negeri. Hampir kesemua sungai-sungai yang berselirat adalah bermula dari bahagian banjaran Titiwangsa (bersempadan dengan Perak di barat dan Pahang di selatan) dan dari banjaran Tahan (bersempadan dengan Terengganu di timur dan tenggara).

Sehubungan sumber itu, Sungai Kelantan bersumberkan air dari dua cabang sungai utama ialah Sungai Galas (178 KM)  dari arah barat dan Sungai Lebir (91 KM) dari arah selatan.

Sungai Galas pula mendapat sumber air dari sebelah baratnya (bersempadan dengan Perak), iaitu dari Sungai Terang dan Sungai Balah mengalir memasuki alur Sungai Pergau hingga melalui Dabong lalu memasuki aliran Sungai Galas. Kemudiannya aliran Sungai Galas memasuki alur utama Sungai Kelantan. Sementara dari arah barat daya (sempadan Pahang) ada dua sungai utama, iaitu Sungai Berok mengalir memasuki Sungai Betis. Kemudian Sungai Betis mengalir dan memasuki Sungai Galas. Dari arah tenggara pula, Sungai Galas turut bersambung dengan Sungai Chiku.

Sungai Lebir pula bermula dari arah selatan (Taman Negara bersempadan dengan Pahang) yang bersambung dengan tiga sungai utama, iaitu Sungai Aring, Sungai Koh dan Sungai Badong dari arah selatan. Sungai Lebir juga bersambung dari arah tenggara (bersempadan dengan Terengganu) dengan tiga sungai utama, iaitu Sungai Pertang, Sungai Antia dan Sungai Miak.

Sebelum memasuki Sungai Kelantan, Sungai Galas melalui Jeli dan Gua Musang. Begitu pula Sungai Lebir mengalir melalui kawasan hutan simpan dan pembangunan tanah Aring dan penempatan Laloh serta perkampungan Manik Urai. Kemudian dua cabang sungai utama ini (Sungai Galas dan Sungai Lebir) bertemu di Kuala Krai dan memasuki Sungai Kelantan. Kemudian Sungai Kelantan akan mengalir ke hilir melalui Machang, Tanah Merah, Pulai Chondong, Ketereh, Pasir Mas, Kota Bharu dan Tumpat sebelum keluar ke Laut China Selatan. Kesemua kawasan lembah sepanjang aliran sungai-sungai ini terdedah kepada kejadian banjir.

Sementara di bahagian pantai Kelantan pula terdapat tiga sungai utama iaitu, Sungai Pengkalan Datu, Sungai Kemasin dan Sungai Semerak. Punca sungai-sungai ini ialah di beberapa tempat tadahan air yang terletak di kawasan tanah tinggi yang berbukit ( sekitar Pasir Puteh, Machang dan Bachok) dan kawasan tanah rendah (bendang dan paya) dalam kawasan pengairan Kemubu.

Bagaimanapun di bahagian utara Kelantan bersempadan dengan Thailand (Jeli, Rantau Panjang dan Pasir Mas) tiada sungai  yang utama, melainkan Sungai Golok yang menjadi sempadan dengan Thailand. Punca Sungai Golok ialah di daerah perbukitan di Waeng, Thailand yang bersempadan dengan Kelantan. Akibatnya limpahan Sungai Golok seringkali menjadi punca banjir di sebelah utara Negeri Kelantan ini.

Monsun

Kedudukan empat jajahannya, iaitu Pasir Puteh, Bachok, Kota Bharu dan Tumpat sedia menghadap Laut China Selatan, menyebabkan setiap tahun Kelantan terdedah kepada tiupan angin monsun timur laut sekitar bulan Oktober-Disember. Musim monsun ini dikenali sebagai musim tengkujuh bagi penduduk Kelantan, kerana cirinya menurunkan hujan lebat dan berlakunya banjir (baca juga, bah).

Hal ini ada kaitannya dengan Kelantan memiliki puncak banjaran gunungnya sebagai penampan angin dan awan yang membawa hujan dari arah timur laut. Maka logiknya Kelantan sentiasa mengalami sekurang-kurang tiga bulan dalam setahun berlaku limpahan hujan lebat. Atas asas ini, banjir terjadi mengikut densiti hujan yang turun bersama angin monsun, maka tatkala monsunnya besar, densiti hujan pun turut besar. Kesannya boleh membawa berlakunya banjir besar.

Kebetulan pada tahun ini, pihak Metreologis menamakan musim monsun sebagai fenomena 'New Moon', iaitu:
  1. Monsun berkadar tinggi dengan kelajuan angin pada 50-60 KM/jam, dan
  2. Membawa peningkatan aras air laut (3-5.5 meter).


Ia menyebabkan aliran air sungai melimpah sebelum sampai ke laut.

Akibat pergerakan angin monsun, kumpulan awam tebal akan terasak hingga ke Hulu Kelantan dan berlakulah hujan lebat di banjaran Titiwangsa dan Tahan. Puncak kedua-dua banjaran ini menjadi sempadan Negeri Kelantan dengan Perak-Pahang dan Terengganu dan sifat puncak adalah sebagai pemisah topografi dan hidrologi, khususnya bagi air hujan yang turun akan mengalir mengikut kecerunan topografi. Oleh itu, hujan yang turun di sebelah Kelantan akan mengalir menerusi sungai-sungai yang ada, iaitu ke arah timur laut menuju kuala Sungai Kelantan dan berakhir di Laut China Selatan. Akibat daripada hujan yang lebat (berdensiti tinggi), maka banjir akan bermula di pedalaman kemudian mengalir ke hilir lembah Sungai Kelantan. Maka logiknya banjir besar pada hujung Disember lalu membawa kesan ketara di Gua Musang dan Kuala Krai. Kemudiannya terkesan sehingga bahagian hilir tatkala alirannya menuju ke muara Sungai Kelantan.

Akibat fenomena monsun yang sama (New Moon), hujan lebat turut dikesan berlaku di selatan Thailand dan utara Kelantan. Hujan yang lebat ini telah mempengaruhi paras air Sungai Golok sehingga membawa banjir agak besar di Rantau Panjang dan Pasir Mas serta sebahagian Tumpat.

Hujan Lebat atau pembalakan?

Realitinya, pada tahun 2014 Kelantan menghadapi banjir yang terbesar berbanding 2004. Di sesetengah tempat, boleh dianggap seumpama banjir besar 1967.

Ia mengundang pelbagai pendapat tentang banjir besar pada kali ini. Ada yang pendapat yang bersifat tohmahan, kononnya ia berpunca daripada pengurusan aktiviti pembalakan yang teruk, pembangunan ladang yang menggondol tanah dan hutan serta penularan penerokaan hutan secara haram (di luar kawalan pihak berkuasa). Justeru ditunjukkan kesan-kesan aktiviti pembalakan dan pembangunan ladang secara terpilih dan bersifat manipulatif. Antaranya dikaitkan dengan pembalakan di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, kawasan tanah tinggi Lebir, Galas dan kawasan bersempadan dengan Pahang dan Terengganu.

Menjawab tohmahan ini, Menteri Besar Kelantan (Kenyataan Media, 3 Januari 2015) menjelaskan:

Setelah Cameron Highlands dilanda banjir lumpur sedikit waktu dahulu dan dengan banjir besar yang berlaku baru-baru ini, ada pihak-pihak tertentu dengan pantas menuding jari kepada pembalakan berleluasa di Tanah Tinggi Lojing sebagai penyebab kepada banjir besar di Negeri ini. Saya dengan tegas menyangkal tuduhan ini kerana kerja-kerja pembalakan telah dibekukan di Tanah Tinggi Lojing sejak tahun 2006 lagi.”
Kenyataan media sebelumnya (31 Disember 2014), Menteri Besar Kelantan juga ada menjelaskan hal ini. Menurutnya, “Sistem pembalakan di Kelantan pada hakikatnya telah mematuhi kuota tahunan seluas 5,960 hektar setahun yang diluluskan oleh Majlis Tanah Negara. Malah pengurusan hutan di Kelantan telah diberi pensijilan Malaysia Criteria and Indicators for Forest Management Certification (Natural Forest) [MC & I (Natural Forest)] di bawah Malaysia Timber Certification Scheme (MTCS). Manakala pembukaan kawasan untuk projek Timber Latex Clone (TLC), kesemuanya perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu Penilaian Kesan Alam Sekitar atau lebih dikenali sebagai Environmental Impact Assessment (EIA) .”
Sijil pengiktirafan pengurusan hutan Negeri Kelantan
Sementelah pula, kelulusan untuk penebangan hutan balak dalam apa sahaja kelulusan adalah tertakluk kepada penguatkuasaan Jabatan Perhutanan Negeri. Begitu pula, projek perladangan adalah melibatkan penebangan dan pembinaan teres yang berperingkat-peringkat, bukan pada jumlah ribuan hektar secara sekaligus. Amalan mampan turut dilakukan oleh pengusaha projek pertanian di Tanah Tinggi Lojing yang mengutamakan penjagaan alam sekitar dan struktur tanah melalui penanaman secara berbumbung.
Dalam hal ini, persoalan sebenar punca banjir agak besar pada Disember 2014 lalu adalah kerana berlakunya turunan hujan lebat melebihi kadar kebiasaan berbanding dengan musim banjir sebelum ini. Sukatan paras air sungai akibat hujan lebat menurut sumber Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS):
1.     Pada tahun 1967 di Dabong (Sungai Galas) ialah sekitar 44.51 meter, sedangkan pada tahun 2014 paras airnya naik 46.47 meter.
2.     Rekod  peningkatan paras air juga berlaku di Tangga Krai  (Sungai Kelantan) iaitu tahun 1967 sekitar 33.61 meter dan pada 2014 ialah sekitar 34.17 meter.
3.     Begitu pula di Jeti Kastam Kota Bharu (Sungai Kelantan) tahun 1967 sekitar 6.22 meter dan 2014 ialah sekitar 7.03 meter.
Kesemuanya membuktikan paras air sungai yang tinggi. Kenapa berlaku demikian, natijahnya ia kerana turunan hujan yang lebat.
Kenyataan media Menteri Besar Kelantan (3 Januari 2015) menjelaskan, “Hakikatnya hujan lebat yang berterusan di Gua Musang untuk 3 hari berturut-turut pada 21-23 Disember 2014 telah mencatatkan taburan hujan tertinggi iaitu 1,295 mm yang bersamaan dengan taburan hujan bagi 64 hari. Ini adalah berdasarkan rekod rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri manakala Jabatan Meteorologi juga telah mengemaskini amaran Jingga di mana hujan lebat di semua daerah di Kelantan bermula 20-24 Disember 2014 telah menyebabkan peningkatan paras air di hampir semua sungai utama di Kelantan.”
Sehubungan itu, menurut catatan e-Banjir Negeri Kelantan, sebagaimana disebutkan hujan pada gelombang pertama (bermula 17-19 Disember) hujan direkodkan agak lebat ialah pada 17 Disember, di Jeli (192 mm), Kusial/Tanah Merah (414 mm), Kota Bharu (223 mm), Jenob/Tanah Merah (291 mm), Rantau Panjang (273 mm) dan Pasir Puteh (289 mm). Sementara di pusat sukatan hujan yang lain (pada hari yang sama 17 Disember) mencatatkan ukuran melebihi 100 mm kecuali di Gua Musang hanya 85 mm. Ia menjadikan jumlah hujan sehari (17 Disember) keseluruhannya pusat sukatan di Kelantan ialah 2,596 mm. Akibatnya, pada 18 Disember lebih 80 peratus kawasan Rantau Panjang mengalami banjir apabila aras air Sungai Golok melepasi paras bahaya (Jenob 23.14 meter dan Rantau Panjang 10.63 meter).
[Nota: 1 mm adalah bersamaan dengan 1 liter per meter persegi atau 1 l/m²]
Berikutnya, menurut catatan e-Banjir Negeri Kelantan, sebagaimana disebutkan berlaku pula gelombang kedua turunan hujan lebat, khususnya di Gunung Gagau, Gua Musang (bermula 21-24 Disember). Di sananya turunan hujan yang direkodkan ialah 302 mm (21 Disember), 478 mm (22 Disember), 515 mm (23 Disember) dan 159 mm (24 Disember). Ini menjadikan kesemuanya dalam empat hari ialah 5,832 mm hujan yang turun bermula di Gunung Gagau.
Kemudian dalam tempoh tiga hari (22-24 Disember) pusat menyukat hujan di Hulu Kelantan juga mencatatkan hujan lebat, iaitu di Dabong  (243 mm, 154 mm, 101 mm), di Tualang (227 mm, 164 mm, 112 mm), Kuala Krai (155 mm, 24 mm, 211 mm) dan di Kusial/Tanah Merah (83 mm, 27 mm, 261 mm). Sementara di pusat sukatan hujan yang lain (dalam tempoh yang sama, 22-24 Disember) mencatatkan ukuran di bawah 100 mm kecuali di Jenob, Tanah Merah  sebanyak 181 mm pada 24 Disember.
Justeru penurunan hujan di semua pusat sukatan (pada 21-24 Disember) ialah 1,189 mm (21 Disember), 2,161 mm (22 Disember), 1,120 mm (23 Disember) dan 1,362 mm (24 Disember). Ini menunjukkan sukatan tertinggi berlaku pada 22 Disember (2,161 mm). Akibatnya, jumlah hujan yang turun pada gelombang kedua (selama 4 hari) bagi seluruh Kelantan ialah sebanyak 4,832 mm.
Kesan turunan hujan yang agak lebat selama empat hari ini menyebabkan kira-kira 85 peratus kawasan Gua Musang dan Kuala Krai mengalami banjir dengan arus air yang deras (akibat air hujan berdensiti tinggi dari Gunung Gagau,  Aring, Laloh dan Gua Musang). Ia mengundang kerosakan meluas rumah, harta benda, prasarana dan tanaman.
Kesemuanya adalah ketentuan Ilahi menyebabkan Negeri Kelantan merekodkan hujan lebat dalam masa 10 tahun (dulunya 2004). Inilah faktor (tanpa menafikan ada faktor lain) yang mempengaruhi banjir agak besar.

Fenomena 23 Disember

Sebagaimana catatan e-Banjir Negeri Kelantan merekodkan turunan hujan di Pusat Sukat Hujan di Gunung Gagau, Gua Musang pada 23 Disember  ialah 515 mm. Ini satu fenomena luar biasa berbanding pada tarikh yang sama dicatatkan di Kuala Krai, iaitu di Dabong 154 mm dan Tualang 164 mm. Turunan hujan lebat itu telah mengalir ke Sungai Pertang dan Sungai Badong dengan berlaku arus deras dan pantas (akibat jumlah air yang banyak dari puncak gunung) telah melanda bukan sahaja alurnya malah lurah dan dataran kediaman penduduk. Kemudiannya turut melanda sepanjang lembah Sungai Lebir (melimpahi seluruh Gua Musang) dan sehinggalah melanda keseluruhan lembah utama Sungai Kelantan yang bermula di kawasan Kuala Krai.

Fenomena hujan lebat ini dikatakan ada kaitannya dengan musim tengkujuh (monsun) yang membentuk kumpulan awan tebal bergerak dan terkumpul di puncak tertinggi lalu membentuk liputan awan besar yang menurunkan hujan lebat pada 23 Disember di Gunung Gagau. Ia petanda berlakunya turunan berdensiti tinggi di Hulu Kelantan. Ini terbukti, bila catatan aras sungai pada 23 Disember berada di paras bahaya, iaitu 43.89 meter di Dabong, 40.67 meter di Tualang dan 30.47 meter di tangga Krai. Pada hari yang sama di Tambatan DiRaja, Kota Bharu turut mencatatkan paras bahaya 5.57 meter.


Peristiwa hujan lebat dan arus sungai yang deras turut dikaitkan dengan topografi dan tidak adanya binaan fizikal yang boleh menjadi penampan. Ini kerana di sepanjang aliran Sungai Lebir dan Sungai Galas belum ada kawasan takungan besar. Di dapati sepanjang aliran sungai-sungai ini (sebelum memasuki alur Sungai Kelantan) ia tidak memiliki satupun tasek atau binaan takungan simpanan air bersaiz besar seperti Tasik Pergau, di Jeli. Keadaan ini berbeza dengan di Terengganu yang mempunyai Tasek Kenyir dan di Pahang mempunyai Tasik Bera dan Tasik Chini.

Justeru ketika banjir melanda Kelantan pada penghujung Disember lalu, ia melibatkan kesemua kawasan, kecuali Bachok dan Pasir Puteh yang kesannya terlalu kecil ketika gelombang pertama sahaja. Sementara kawasan Gua Musang, Kuala Krai dan Pasir Mas boleh disifatkan mengalami banjir agak besar yang disebut oleh sesetengah pihak adalah bertaraf bencana (kerana banyak kerosakan yang dialami).

Penduduk mengalami banjir

Menurut data rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemaskini 18 Disember, permulaan banjir (gelombang pertama) melibat kawasan Gua Musang, Kota Bharu, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Tumpat. Namun rekod yang penduduk terlibat banjir yang berpindah dicatatkan pada 17 Disember hanya di enam pusat pemindahan sahaja. Ia melibatkan 247 keluarga dan seramai 1,007 orang mangsa.

Namun jumlah itu meningkat mendadak pada 18 Disember dengan jumlah 13 pusat pemindahan, membabitkan 1,388 keluarga dan seramai 4,348 orang. Kemudian meningkat lagi pada 20 Disember kepada 28 pusat pemindahan, sebanyak 5,189 keluarga dan seramai 15,450 orang dengan kawasan paling teruk ialah Pasir Mas dan Rantau Panjang. Puncanya dikatakan akibat hujan lebat dan limpahan air hujan dari selatan Thailand dan Rantau Panjang memasuki Sungai Golok. Hujan kemudian berterusan sehingga 21 Disember menyebabkan kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas mencatatkan jumlah penduduk terlibat banjir yang terbesar, iaitu dengan 18 pusat pemindahan, 3,545 keluarga dan 9,813 orang telah berpindah.

Kemudian pada 22 Disember hujan lebat mula melanda bahagian Hulu Kelantan dan kesannya pembukaan pusat pemindahan bertambah kepada 39 pusat pemindahan 4,382 keluarga dan seramai 12,825 penduduk. Ia turut mencatatkan kawasan Kuala Krai dan Gua Musang sekitar 800 penduduk terpaksa berpindah. Sementara bagi kawasan Rantau Panjang dan Pasir Mas kekal dengan jumlah teramai tetapi menunjukkan penurunan dengan jumlah 8,488 orang yang berpindah.

Justeru pada 23 Disember kawasan Gua Musang dan Kuala Krai telah mencatatkan jumlah penduduk berpindah meningkat mendadak kepada 5,800 orang. Sementara rekod di semua kawasan turut bertambah mendadak dengan pembukaan 78 pusat pemindahan yang membabitkan 5,553 keluarga dan  17,441 penduduk. Jumlah ini kemudiannya meningkat lagi  pada 24 Disember iaitu membabitkan pembukaan 125 pusat pemindahan, 7,482 keluarga dan seramai 26,104 penduduk yang berpindah.

Berikutnya pada 24 Disember 125 pusat pemindahan, 7,482 keluarga dan 26,104 penduduk berpindah. Kemudian pada 25 Disember kepada 144 pusat, 9,149 keluarga dan 32,724 penduduk yang berpindah. Apa pun catatan tertinggi pada 31 Disember ialah seramai 37,499 penduduk berpindah daripada 8,416 keluarga di 146 pusat pemindahan. Sehingga 31 Disember lalu, jumlah penduduk yang berpindah masih kekal teramai di Kuala Krai iaitu 9,639 orang daripada 389 keluarga yang masih berada di 39 pusat pemindahan.

Kerosakan dan pemulihan semula

Meskipun data MKN tersebut menumpukan kepada jumlah penduduk yang berpindah, namun daripada laporan pelbagai sumber jumlah penduduk terlibat dengan banjir sebenarnya adalah melebihi 250,000 orang. Namun sebahagian besar yang terlibat tersebut tidak berpindah ke pusat pemindahan rasmi atau mereka itu berpindah di pusat-pusat pemindahan tidak rasmi atas inisiatif penghulu dan pimpinan setempat.

Hal ini boleh dilihat dari segi jumlah kerosakan dan kesan pasca banjir (post-flood). Sebagaimana diumumkan pihak Kerajaan Negeri Kelantan (berdasarkan laporan pihak Ketua Jajahan setakat 15 Januari 2014) sebanyak 2,374 buah rumah yang musnah seratus peratus (total lost). Jumlah yang terbesar adalah di Kuala Krai sebanyak 1,850 buah, Gua Musang 406 buah, Machang 51 buah, Tanah Merah 38 buah, Kota Bharu 18 buah, Tumpat 11 buah dan selebihnya lagi di lain-lain jajahan. Angka kerosakan ini pada dasarnya adalah hasil penyelarasan bancian dibuat ke atas penduduk yang berpindah ke pusat pemindahan dan bancian dibuat oleh Penghulu Mukim dan Penyelia Pembangunan Mukim setelah diselaraskan bersama antara Kerajaan Negeri dengan MKN.

Berasaskan jumlah kerosakan rumah-rumah tersebut, pihak Menteri Besar Kelantan telah mengumumkan sejumlah RM52.5 juta diperlukan untuk pembinaan semula dan membaiki kerosakan rumah-rumah. Sementara anggaran bagi membaiki kerosakan jalan raya pula sekitar RM100 juta. Ini belum termasuk kerosakan jambatan keretapi di Kemubu, Gua Musang dan beberapa jambatan lain.

Dalam perkembangan yang lain, kerosakan turut dialami oleh sekolah-sekolah di bawah Kementerian, Yayasan Islam Kelantan dan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan mengenal pasti 31 sekolah terjejas akibat banjir yang melanda negeri ini, tetapi tiada sekolah yang mengalami kerosakan teruk dan tidak mengalami kerugian yang besar. Sementara menurut Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Kelantan hanya dua (terletak di Kuala Krai) daripada 20 Tabika Perpaduan yang terjejas dan mengalami kerosakan teruk. Namun bagi PASTI, sumber melaporkan jumlah kerosakan dialami di 101 buah daripada 12 jajahan dan anggaran kerugian sebanyak RM 218 ribu dan memerlukan peruntukan baik pulih sekitar RM 287 ribu.

Sementara itu menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas Bencana Banjir Negeri Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed, "Setakat ini kita anggarkan RM932 juta diperlukan termasuk untuk beri bantuan (kewangan) kepada mangsa banjir, ganti rugi pertanian dan untuk membaik pulih kerosakan infrastruktur termasuk sekolah, jalan dan jambatan" (Bernama, 9 Januari 2015).

Bagaimanapun, jumlah anggaran kerugian akibat banjir, umumnya bersetuju ia melebihi RM 1 billion setelah mengambil kira jumlah kerosakan di sektor perladangan, kebun kecil getah, ternakan, masjid dan surau serta bangunan dan harta awam.

Kesemua kerosakan dan kesan banjir di Negeri Kelantan kali ini adalah antara yang terbesar dan sudah tentu ia memerlukan komitmen dan keprihatinan tinggi pihak Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Di samping khidmat dan sumbangan orang awam dan pertubuhan sukarelawan amat diharapkan sebagai membuktikan kebersamaan di dalam usaha pembinaan semula kesemua kerosakan yang berlaku.

Langkah khusus pemulihan

Bagi penduduk yang terlibat dengan kerosakan rumah atau kediaman secara seratus pertaus (total lost), pihak Kerajaan Negeri Kelantan sedang meneliti data dan maklumat menerusi Ketua Jajahan:

  1. DO telah mengarah Penghulu dan Penyelia Pembangunan Mukim membuat bancian siapa yang menghadapi rumah-rumah total lost.
  2. Senarai bancian akan dipamerkan di tempat awam, khususnya di masjid untuk penelitian.
  3. Satu Jawatankuasa Kerja telah dibentuk yang dipengerusi bersama Setiausaha Kerajaan dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, fungsinya untuk membantu Jawatankuasa Induk Pengurusan Pasca Banjir yang dipengerusi bersama Menteri Besar dan Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed
  4. Setakat ini kerajaan Negeri telah mengenal pasti langkah bagi penduduk yang total lost untuk penempatan sementara, seperti  yang dibuat khemah-khemah oleh MKN  di Gua Musang, Kuala Krai, dan beberapa tempat.
  5. Kerajaan Negeri turut bersetuju mana-mana yang tinggal di rumah saudara mara akan dibayar imbuhan RM300 sebulan selama tiga bulan sementara siap rumah yang dibina.
  6. Kerajaan Negeri akan menyegerakan pembinaan rumah yang memiliki tapak sendiri.
  7. Kerajaan Negeri juga menyedia rumah untuk sewa yang akan dibayar oleh Kerajaan Negeri. Di Kuala Krai ada 400 unit dan 38 unit di kem Askar Wataniah.

Kerajaan Negeri turut bersetuju membuat pembinaan rumah atau penempatan baru kepada penduduk yang "total lost" menerusi pendekatan yang berikut.

a. Pihak Kerajaan Negeri telah menubuh satu Jawatankuasa Khas Pembinaan Rumah dipengerusi oleh Timbalan Menteri Besar.

b. Rumah yang dicadang dibina adalah bersaiz 24 X 34 kaki atau 816 kaki persegi dengan tiga bilik.


c. Mengenal pasti tanah kerajaan – setakat ini telah ada di Gua Musang, Manek Urai (9 Ekar dekat Kuari) dibina dengan sumbangan RM 6 juta pihak Kerajaan Selangor, di Machang 8 Ekar sumbangan PKINK, dan Tumpat.


d. Bagi mereka yang ada tanah sendiri, Kerajaan Negeri akan membantu dengan peruntukan yang telah diumum RM 52.5 juta. Apa pun Kerajaan Negeri sedang menggalak sumbangan pelbagai pihak bagi membantu pembinaan atas tanah sendiri.


e. Bagi individu yang ingin membina sendiri rumah atas tapak sendiri adalah bebas, tidak tertakluk kepada pelan Kerajaan Negeri.


f. Pihak MAIK juga turut mengumum peruntukan bagi membantu kepada golongan asnaf yang kehilangan rumah sebanyak RM 12 juta.


g. Kerajaan Negeri turut menggalakan penyertaan NGO bagi meringankan beban Kerajaan Negeri atau mana-mana badan korporat yang menggunakan peruntukan CSR masing-masing. Apapun kita cadangkan supaya berpandukan keluasaan dan pelan yang kerajaan cadangan kan (tiga bilik dan 816 kaki persegi).


Rumusan

Sehubungan itu, fokus utama dalam tempoh pasca banjir ialah semua pihak, lebih-lebih lagi Kerajaan Negeri dan Persekutuan hendaklah bersama-sama berganding bahu berusaha ke arah pembinaan semula segala kerosakan yang berlaku. Mudah-mudahan semua usaha dapat dilakukan dengan seberapa segera demi masa hadapan seluruh rakyat di negeri ini

Apa yang penting, peristiwa  banjir 2014 yang lalu cukup membuahkan kesedaran dan muhasabah di kalangan penduduk dan Kerajaan Negeri Kelantan, betapa ketentuan Allah adalah segala-galanya. Ia boleh terjadi dengan izin-Nya meskipun kita selaku hamba-Nya tidak bersedia menerima ketentuan itui. Jadikan ia iktibar yang boleh menambahkan tingkat ketakwaan kepada Yang Maha Esa.

Oleh:
Dr. Wan Nik Wan Yussof
Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan.


21 Rabiulawwal 1436/12 Januari 2015