15 March, 2015

PRK Chempaka: Penerus Kepimpinan Ulamak

Ehsan Sinar Harian : Ustaz Fathan (foto kecil) bendera PAS di Bulatan Chempaka.

Pilihan raya kecil N.06 Chempaka (PRK Chempaka) bakal berlaku pada 22 Mac 2015 nanti. Penamaan calon telah pun selesai pada 10 Mac lalu dan PAS mengemukakan Ustaz Ahmad Fathan Mahmood (Ustaz Fathan) sebagai calon pilihan. Ia berdepan dengan empat calon Bebas bersimbolkan Kunci, Buku, Pen dan seekor Gajah. Pengundian awal akan berlaku pada 18 Mac nanti. 

Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah mengumumkan seramai 21,890 pengundi berdaftar dengan komposisinya adalah 20,390 orang pengundi hadir dan 1,500 orang pengundi pos. Ia turut melibatkan 11,028 (50.38%) pengundi muda (bawah 40 tahun), diikuti 7,706 orang dewasa (41-60 tahun) dan  3,156 orang pengundi warga emas (61 tahun ke atas). Dari segi jantina pula, 10,908 (49.83%) lelaki dan 10,982 (50.17%) wanita. Sementara dari segi komposisi kaumnya, terdapat 21,674 (99.01%) pengundi Melayu dan selebihnya 210 (0.96%) Cina dan lndia hanya enam orang sahaja. 

Penerus Legasi Tok Guru

Sebagaimana yang diketahui umum, PRK Chempaka diadakan adalah bagi mengisi kekosongan selepas pemergian ke rahmatullah Almarhum Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat (Tok Guru) pada 12 Mac 2015. Suatu pemergian yang tidak mungkin berganti dari segi jasadnya. Namun dari segi legasi atau peninggalan kepimpinannya, ia sesuatu yang harus diganti. Maka PRK Chempaka diadakan bagi mengisi ruang ‘mengganti” Tok Guru sebagai wakil rakyat di situ sekaligus penerus legasinya.

Sebenarnya PRK Chempaka ini dilihat penting bagi PAS dan politik Kerajaan Negeri Kelantan. Ia sebagai pengesahan survival Kepimpinan Ulama’ berasaskan ‘Legasi Tok Guru’ dan penerimaan Calon PAS sebagai penerus kepimpinan Almarhum Tok Guru yang bermula sejak 1986. Di sisi Kerajaan Negeri pula, boleh dianggap peluang membuktikan penerimaan rakyat selepas perubahan kepimpinan di peringkat negeri pasca Tok Guru.

Hal ini selari dengan hasrat pengundi Dun Chempaka yang inginkan seorang calon terbaik yang boleh membawa gaya kepimpinan Tok Guru sebagai wakil rakyat mereka. Sebagaimana penemuan kajian Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan (1 Mac 2015) melibatkan 645 orang responden; mereka mahukan calon pilihan raya seorang yang boleh meneruskan kepimpinan tinggalan Tok Guru berasaskan tiga kriteria besar iaitu berpendidikan agama (80%) berbanding profesional (17.5%) dan academician (2.0%). Sementara dari segi pembawaan kepimpinan pula, mereka mahukan (sangat setuju) seorang calon yang mempunyai enam gaya utama: (1) Murah hati dan berkebajikan (68.5%), (2) Cakna dan prihatin terhadap isu-isu rakyat (68.5%), (3) Mampu menyelesaikan aduan rakyat dan masalah pengundi (68.2%), (4) Sifat mesra pengundi, khususnya mesra anak muda dan warga emas (66.8%), (5) Penampilan senang kiro mudoh baso (63.6%), dan (6) Boleh menyampaikan ilmu agama/mengajar di masjid/surau (61.6%). Kesemua sifat ini adalah nilai kemuliaan atas gaya kepimpinan Tok Guru sebelum ini. Maka pemilihan Ustaz Fathan, seorang lulusan sarjana bidang agama (Syariah), sebelum ini sebagai pensyarah dan Imam Mukim dan sekarang menyandang jawatan Bendahari PAS Kawasan serta Guru Dakwah Halaqat. Ternyata beliau adalah seorang yang cara hidupnya amat rapat dengan rakyat (pengundi) di Dun Chempaka.

Kempen PAS

Justeru bagi menjayakan matlamat kemenangan bagi PRK Chempaka kali ini, pihak Jawatankuasa Induk Pilihan Raya Kecil yang diketuai Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Jentera Operasi yang diketuai Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan bersama-sama Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Hussin telah menggerakkan enam pasukan kempen utama iaitu Pasukan Kempen Penerangan yang menganjurkan kepada ceramah dan kuliah dan sebagainya, diikuti Pasukan Kempen Muslimat, Pemuda, Ulama’ dan Gerak Saraf serta Media Baru.

Namun keutamaan kempen ialah Kempen Penerangan yang amat bergantung kepada keberkesanan penyampaian pihak penceramah dan pengkuliah. Di samping gerakan kempen Muslimat, Pemuda dan Ulamak. Mereka diarahkan bekerja keras memikul amanah besar untuk memastikan misi kemenangan meskipun berdepan dengan empat calon Bebas pada kali ini.

Justeru bagi merancakkan kempen kali ini, maka pemilihan tema ‘Meneruskan Kepimpinan Ulamak’ adalah simbolik gerak kerja bagi penerusan sentimen kepimpinan Tok Guru untuk dikongsi sama oleh semua pengundi Dun Chempaka. Berpandukan tema ini, misi utama PAS di PRK Chempaka ini adalah untuk mencapai kemenangan mutlak sebagai membuktikan penerimaan legasi Almarhum Tok Guru dan keberkesanan PAS mentadbir Kelantan.

Sehubungan itu, bagi memastikan kejayaan misi ini, maka pendekatan kempen yang diputuskan pihak Jentera Operasi adalah berasaskan perancangan strategik yang mengutamakan usaha mencapai objektif kemenangan dalam rangka mempertahan dan meningkat sokongan popular (pengundi) ke paras 68 peratus.

Justeru gerak kerja kempen yang diatur adalah meliputi kempen terhadap pengundi asalnya Umno yang pernah memberi undi peribadi kepada Tok Guru. Lebih-lebih pada saat Umno tidak menurunkan calon bertanding kali ini. Hal ini perlu disokong dengan pendekatan mesra pengundi dengan merayu dan memujuk atas asas calon PAS, Ustaz Fathan sedia memiliki sifat popular seperti mana kehendak pengundi, iaitu meneruskan Kepimpinan Ulamak yang diasaskan oleh Tok Guru.

Membina mood keluar mengundi

Apa yang penting, mood pilihan raya kecil (tanpa Barisan Nasional) dijangka memberi kesan kepada kemungkinan rendahnya jumlah keluar mengundi, maka adalah menjadi keutamaan pasukan kempen ialah memapraktikkan pendekatan membina mood keluar mengundi. Semua pasukan kempen digalakkan melaksanakan kempen mesra pengundi dan perlunya menyampai isu-isu yang mengukuhkan sokongan kepada calon serta usaha menyuntik akidah akan wajibnya mengundi calon yang diputuskan oleh Jama’ah.

Oleh itu, sasaran kempen perlu dipertingkatkan kepada kumpulan pengundi wanita melalui pendekatan penyayang, mesra dan berkebajikan serta cakna kepada pengundi anak muda, hal ehwal kekeluargaan dan prihatin segmen MOSWA dan Yatim. Begitu pula sasaran kepada pengundi anak muda (pemuda) menerusi pendekatan merapat hubungan, pengiktirafan dan kemeriahan bersama calon serta mempamer kekuatan mengekal gelombang anak muda bersama PAS. 

Harapnya, komitmen PAS untuk menang di Dun Chempaka kali ini bakal mengubat duka semua kepimpinan dan pendukung PAS berikutan pemergian selamanya pemimpin yang disayangi semua pihak, Tok Guru Nik Abdul Aziz. Semoga usaha kempen menuju kemenangan tanpa kehadiran calon Umno, bakal membulatkan tekad para pengundi semua (termasuk pengundi pasukan tentera) untuk sama-sama mengundi PAS dengan memilih calonnya Ustaz Fathan pada 22 Mac nanti.

Oleh: 
Dr. Wan Nik Wan Yussof, 
Timbalan Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Kelantan/
Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan