23 July, 2011

IJTIMA' PILIHAN RAYA PAS NEGERI KELANTAN 2011













Semalam 20 Syaaban 1432/22 Julai 2011, hari bersejarah bagi PAS Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz (foto di atas - ucapan penutup). Sempurnanya ijtima' sebagai persiapan dari segi mental dan semangat pemimpin dan petugas parti untuk menghadapi pilihan raya.



Semua pemimpin utama PAS Negeri dan Pusat dari Kelantan telah berucap. Masing-masing menzahir harapan dan isu-isu yang menyokong kepada pengukuhan mental dan memgobarkan semangat jihad bagi menghadapi pilihan raya umum ke-13.



Pasti sekali matlamatnya ke arah meraihkan sokongan rakyat, memantapkan persembahan perjuangan agar diterima rakyat dan sedia berhadapan dengan cabaran parti lawan. Kemenangan mutlak adalah cita-cita bagi memastikan pelaksanaan syariat Islam berlaku dengan jayanya di bumi Kelantan Negeri Serambi Mekah.











Turut berucap di majlis penutup, Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (foto di atas).


Anak muda Kelantan (foto di sebelah) pun turut serta melafaz ikrar, mempertahan dan bersama menegak syariat Islam bertemakan Membangun Bersama Islam.








Semoga perjuangan Islam ini terus dipandu dengan petunjuk dan keberkatan Allah.



Maka Ya Allah, ikhlaskan diri ini membawa perjuangan ke persada rakyat dan seluruh makhluk Mu, agar sama-sama bersetuju mendukung perjuangan suci ini.


Amin Ya Rabbal 'alamin.

19 July, 2011

Air Kelantan - nikmat bukan laknat

Bersempena ulang tahun ke-12 projek pengurusan air Kelantan oleh syarikat milik Kerajaan Negeri pada 29 April lalu, adalah wajar sekelumit falsafah agama dapat dihayati oleh semua masyarakat pembaca, khasnya seluruh warga negeri Kelantan. Setidak-tidaknya masyarakat semua mengetahui suatu nilai kawarasan bersandarkan agama dan menerima hakikat kerajaan negeri pimpinan Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat memutuskan pengurusan bekalan air bersih dilaksanakan melalui persyarikatan seratus peratus milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Air dalam al-Quran


Sesungguhnya, Allah menurunkan ‘kuasa’ pada air dalam menyatukan segala-galanya kejadian yang hidup.




Maksudnya: Dan tidakkah orang-orang tidak beriman itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?” (Surah al-Anbiya’ ayat 30)


Ia semestinya ada kaitannya dengan hakikat kejadian manusia dijelaskan oleh Allah,



maksudnya: Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat. (Surah al-Insaan ayat 2).


Nikmat air bukannya laknat untuk sekalian alam turut dipancarkan oleh Allah dalam kejadian hujan dan kesuburan tumbuhan-tumbuhan (hidupan) di bumi.




Maksudya: “Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh) dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai. (Surah al-Hajj ayat 5).


Air ada kuasa


Di sebalik cerita al-Quran tersebut, sebenarnya air adalah ‘berkuasa’ di sisi manusia. Ia membuktikan kekuasaan Allah yang maha mengetahui atas setiap apa yang dijadikannya. Nyata sekali kalimah akidah tersebut, menghujahkan air adalah nikmat dari tuhan yang wajib diurus dengan baik. Kerana taraf air adalah bersifat daruriat yang secara fardu kifayah menjadi tugas setiap penguasa (kerajaan) dan pengawal sumber air menjaga dan menguruskan saluran pengagihan penggunaannya secara cekap dan berhemat.


Demikian pula, dipihak manusia sebagai makhluk yang bergantung sepenuhnya kepada air, adalah menjadi fardu ain terlibat menjaga, mengguna dan memastikan air dimanfaatkan secara cekap dan berhemat.


Kelangsungan dari pandangan fekah itu, sesiapa sahaja individu (pemimpin, pegawai, pekerja dan pengguna) yang terlibat di dalam ‘pengurusan pengekalan dan penggunaan air’ adalah sentiasa dalam limpahan pahala dari Allah SWT. Asalkan individu berkenaan sedia memasang niat yang memakmurkan nikmat Allah dan tidak memudaratkan sebarang hubungannya dengan air.


Justeru seorang penguasa air, misalnya membotolkan air bersih (natural water atau air dirawat) adalah kerjanya menunaikan suatu urusan darurat yang bersifat kamaliat serta tahsiniat. Disebabkan bekalan air botolnya telah memudahkan si musafir (daruriat), memudahkan penyediaan minuman ketika mesyuarat (kamaliat) dan menjamin mutu kebersihan air (tahsiniat).


Pengajaran sirah


Bertolak daripada memahami falsafah agama Islam tentang air itu, maka kesemua nilai perkhidmatan yang memancutkan sumber air untuk kegunaan orang ramai (public utility) seperti minum, mandi, membasuh, menggerak kilang dan mengekal kesuburan serta menyubur kehidupan semua makhluk ciptaan Ilahi, ia adalah termasuk di dalam rukun kerahmatan dan kemakmuran untuk sekalian alam.


Hakikat ini boleh dihayati berpandukan sirah Nabi Ibrahim bersama-sama isterinya Siti Hajar dan anaknya Ismail. Perbuatan ‘karomah’ Ismail yang menangis sambil menunjah permukaaan bumi telah menjadi sebab Allah SWT memancutkan air ke bumi Mekah, lalu terbentukanya telaga zamzam. Berkatnya, Mekah menjadi kota suci sebagai bumi dirahmati kemakmuran sampai ke hari ini. Demikian agungnya nikmat air untuk tamadun dunia. Justeru air sudah menjadi khazanah yang mempunyai nilai kekayaan amat mahal harganya.


AKSB pemain air


Dalam konteks sekarang, sesiapa yang terlibat sebagai ‘pemain’ dalam mengurus perkhidmatan air adalah begitu mulia dan tinggi darjatnya di sisi masyarakat dan agama. Mana-mana ‘pemain air’ yang bertanggungjawab menyediakan keperluan asasi manusia semestinya mulia di sisi agama. Kemudian memenuhi tuntutan am (seperti air) menjayakan aktiviti sosial, ekonomi dan ibadat kepada Allah SWT pastinya menyempurnakan kehidupan manusia sejagat.


Di dalam rangkuman dalil, sirah dan logika kehidupan manusia seperti mana dinyatakan, maka kewujudan, kefungsian dan keberkesanan perkhidmatan mana-mana pemain air atau ‘penyedia bekalan air’ (water provider) adalah menjadi keutamaan bagi sesebuah kerajaan, masyarakat atau komuniti sosial dan ekonomi. Misalnya di Kelantan, nilai perkhidmatan AIR KELANTAN Sdn Bhd (AKSB) selaku penyedia bekalan air dikira relevan dan signifiken di dalam segala urusan daruriat, kamaliat dan tahsiniat seluruh warga Kelantan.


Justeru di sisi Islam, semua warga AKSB yang menguruskan kewujudan, kefungsian dan perkhidmatan air sebenarnya pihak mulia dan sentiasa dilimpahi pahala. Oleh kerana, sumbangan terbaik kesemua warganya, bermula daripada Pengurus Besar, jurutera, penyelia, penguatkuasa, pembaca meter, kerani dan sebagainya; anda semua adalah pemudah cara negeri dan masyarakat seluruh warga Kelantan. Maka anda semua selayaknya mendapat kebaikan dan rahmat pahala daripada Allah SWT.