30 May, 2010

Politik hendaklah selari dengan Islam – Bhg. 2 (Akhir)

Khutbah sama dengan ceramah

Setiap Jumaat ada ceramah di masjid yang kita namakan khutbah. Di padang kita namakan ceramah, di masjid adalah khutbah. Khutbah itu adalah ceramah. Khutbah adalah bersifat mingguan dan ceramah (khutbah) itu wajib disempurnakan di atas mimbar dan setiap muslimin mukhalaf diwajib hadir dan mendengar ceramah itu. Allah menjadikan hari Jumaat sebagai penghulu (lebih besar) bagi hari-hari yang lain. Pada hari itu setiap masjid diwajibkan sembahyang Jumaat yang di dalamnya ada dua ceramah wajib. Semasa berceramah itu, khatib (boleh dipanggil juga penceramah) memegang tongkat. Pada zaman Nabi Muhammad SAW pernah tongkat itu diganti dengan pedang, tombak atau bau panah.

Hari Jumaat hari berpolitik

Tongkat itu adalah simbol kekuasaan. Betapa semasa di mimbar penceramah ada kuasa untuk berceramah. Kuasa itu adalah bermakna hak yang ada dan diberikan kepada penceramah (khatib). Kuasa itu sebenarnya boleh difahami sebagai hak politik. Bermakna, penceramah bila berceramah di mimbar adalah melaksanakan sebahagian daripada hak politik bagi seorang penceramah yang mesti diurus secara bijak. Mengurus secara bijak itu memerlukan penghayatan politik. Penghayatan itu akan membuatkan ceramah Jumaat itu relevan dan berguna untuk sekalian makmun (ahli jemaah) mengambilnya sebagai panduan hidup beragama. Itulah kuasa hari Jumaat dan sembahyang Jumaat yang diadakan dua ceramah sebelum bersembahyang. Maka, hari Jumaat itu layak disebut juga hari berpolitik di masjid.

Ceramah Raya

Begitu pula pada setiap hari perayaan Islam, juga diadakan dua ceramah. Misalnya pada setiap pagi pada Hari Raya Aidil Fitri dan Raya Qurban juga dikehendaki berlakunya dua ceramah. Setiap makmum dikehendaki mendengarnya sebagai menyempurnakan sembahyang hari raya. Malah pada zaman Nabi Muhammad SAW, pernah sembahyang dan ceramah hari raya diadakan di padang sebagai suatu syiar kehebatan Islam. Ia membawa erti caramempamerkan syiar itu adalah suatu pendekatan politik Nabi Muhammad SAW kepada masyarakat agar melihat dan menyaksikan kehebatan Islam pada pagi raya. Semuanya ada makna dan nilai politik.

Apa yang penting dizahirkan lagi dalam setiap ceramah Jumaat, mahu pun ceramah Raya, wajib bagi penceramah itu membaca ayat-ayat al-Quran dan Hadis serta selawat Nabi yang berkaitan dengan segala macam isu yang menyentuh kehidupan manusia. Antaranya isu sejarah, peperangan, muamalat dan jenayah serta perundangan Islam. Semuanya perlu diolah secara politik oleh penceramah, agar ceramah itu mencapai maksud memberi ilmu dan mendidik. Sekaligus boleh mencetuskan pengajaran dan kebaikan serta menarik perhatian makmun. Bagi memenuhi maksud inilah, setiap ceramah Jumaat mahu pun ceramah Raya, pihak penceramah hendaklah berceramah, bukannya membaca teks yang ditulis oleh pihak tertentu. Oleh itu, sebaiknya seorang penceramah di mimbar itu hendaklah memiliki keupayaan berceramah menggunakan ilmu politik, yakni komunikasi politik.

Adil adalah istilah politik

Berpandukan ilmu komunikasi politik, lalu dimasukkan beberapa istilah politik di dalam ceramah Jumaat. Antaranya ialah ayat “InnalLaha yakmurukum bil adli wal ehsan” (Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan) disebutkan pada akhir ceramah kedua dalam ceramah Jumaat. Ayat ini bermaksud komunikasi politik pihak penceramah ditujukan kepada makmun yang disebut di atas mimbar setiap masjid dan surau serata Malaysia. Maksudnya amat jelas, iaitu mengandungi maksud tuntutan keadilan yang wajib ditegakkan secara politik Islam (menggalak maaruf mencegah mungkar) bukannya keadilan ikut demokrasi (lebih banyak mungkar kerana tiada akar dan roh keagamaan). Maka, keadilan yang disebut di atas mimbar masjid adalah istilah politik di sisi Islam.

Keadilan yang sering diperingatkan itu cukup membuktikan aturan politik (political order) di dalam peribadatan di masjid pada hari Jumaat. Para makmun hendaklah menghayati dan menterjemahkan di dalam bentuk tindakan politik, iaitu bersama jemaah (parti) Islam berusaha menegakkan keadilan demi mencapai kebaikan di dunia dan akhirat.

Azan adalah seruan politik

Demikian lagi, di masjid jugalah dilaungkan azan sebagai cara untuk memanggil orang atau ahli kariah berkumpul untuk sembahyang berjemaah di masjid. Azan itu adalah seruan politik yang merupakan ikrar mengiktiraf kekuasaan Allah, kerasulan Nabi Muhammad dan ikrar untuk bersembahyang bagi mencapai kejayaan. Bermakna, di masjidlah berlaku ikrar politik iaitu mentaati pihak yang maha berkuasa Allah dan pemimpin umat Nabi Muhammad.

Berjemaah adalah disiplin politik

Berlaku di masjid juga ibadat sembahyang berjemaah yang antara rukunnya hendaklah ada seorang imam sebagai ketua dan makmum sebagai pengikut. Semua ahli jemaah berdiri dalam saf lurus dan rapat-merapati serta menghadap ke arah satu kiblat penuh tertib (berdisiplin) menuruti imam. Sebagaimana tentera di medan tempur sedia menggempur musuh, maka melurus dan merapatkan saf adalah menjadi disiplin sembahyang berjemaah yang menggambarkan kekuatan ahli pasukan untuk menggempur syaitan yang menyelinap di celah-celah saf sekiranya longgar (tidak lurus dan betul). Ia adalah tuntutan Islam yang menjadi rukun dalam parti Islam seperti mana firman Allah bermaksud, “sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh” (As-Saff 61:4).

Politik Barat menyempit peranan masjid

Kesemua tatacara ibadat sembahyang jemaah di masjid itu, lebih-lebih lagi sembahyang Jumaat adalah manifestasi amalan berpolitik di dalam masjid. Tinggal lagi, ada pihak yang tidak memahami maksud berpolitik di masjid. Pihak itu mungkin kurang memahami fekah ibadat, lalu mereka menyempitkan peranan masjid. Malah menyalahgunakan pula masjid untuk kepentingan puak mereka sahaja. Mereka itu sebenarnya terpengaruh dengan realiti amalan politik Barat dan doktrin politik Machiavelli yang tiada batas politik sehingga mengambil kesempatan di atas kesucian masjid untuk memfitnah kebenaran politik Islam, bersembahyang hajat untuk rakan yang bukan Islam, mengadu domba ahli jemaah agar menolak perjuangan Islam, membuat sumpah palsu menggunakan al-Quran dan caci-cerca kepada lawan atau parti pesaing. Mereka itu tidak cuba faham peranan masjid. Mereka adalah golongan pengamal politik sekular yang sering menggunakan landasan agama untuk muslihat politik.

Ikutlah cara politik Islam

Apa pun segala macam fahaman agama dan persoalan dalam semua segi kehidupan hendaklah mengikut cara Nabi Muhammad SAW. Misalnya, bila mengikat perjanjian dengan orang bukan Islam, Nabi Muhammad SAW akan mengambil pendekatan diplomasi dan terbuka yang nampaknya seolah-olah beralah kepada kehendak orang bukan Islam (Nonmuslim). Dalam perjanjian Hudaibiah pada tahun enam Hijrah, perjanjian antara Islam pimpinan Nabi dengan pihak musyirikin, ada sahabat yang amat tidak berpuas hati dengan ketegasan Nabi yang secara jelas dianggap menguntung pihak musyrikin. Namun, hakikatnya kesan Perjanjian (Sulh) Hudaibiah itu telah membawa kemenangan Islam. Itulah dinamakan cara politik Islam yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.

Muhammad Said Ramadhan al-Buti menyifatkan cara politik Nabi itu (yakni Sulh Hudaibiah) sebagai mukadimah ke arah pembukaan Mekah. Islam telah berkembang pesat selepas dua tahun perjanjian itu, sehingga berjaya membawa kepada pembukaan (fathul) Mekah pada tahun lapan Hijrah. Semuanya berkat daripada perjanjian Hudaibiah dan Allah berfirman, “dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya)” (al-Quran al-Fath 48:3). Di sinilah kelihatan kekuatan political will Nabi Muhammad SAW di dalam menjalin hubungan dengan golongan musyrikin sehingga membawa keberkatan (berjaya melaksanakan misi Fathul Mekah.

Itulah cara Nabi Muhammad berpolitik yang mengutamakan keberkatan dan masa depan Islam. Juga mempunyai ketinggian diplomatik dalam menjalin komunikasi politik dengan pihak lawan. Ia adalah hujah nyata betapa amalan politik Islam juga dilakukan oleh Nabi Muhammad. Apakah kehebatan politik Nabi Muhammad begini pun tidak boleh diceramahkan dalam masjid?

Berhijrah adalah wasilah politik dakwah

Sebelum berlaku Sulh Hudaibiah, perjuangan dakwah Nabi Muhammad SAW menghadapi cabaran getir. Ia membawa Nabi Muhammad dan umat Islam berhijrah ke Madinah, lalu berlaku dua elemen politik yang penting kepada perkembangan negara, iaitu ikatan perhubungan politik dan kesedaran sosial yang disebut oleh Mohamed S. Elwa sebagai kekuasaan politik dan menzahirkan kedaulatan negara.

Segala-galanya berpunca daripada kejayaan Nabi Muhammad SAW menggubal suatu carta Perlembagaan Madinah al-Munawarah yang disebut Piagam Madinah (al-Dustur al-Madinah). Di dalamnya mengandungi pengiktirafan tanggungjawab bersama kehidupan masyarakat majmuk Madinah daripada kalangan Islam dan bukan Islam. Misalnya di bawah perkara 38, “orang Yahudi berkewajipan mengeluarkan perbelanjaan bersama-sama orang Islam semasa tercetus peperangan” dan perkara 44, “semua pihak haruslah membantu satu sama lain menghadapi sesiapa sahaja yang akan menyerang Yathrib.”

Piagam Madinah tersebut adalah carta politik pentadbiran Nabi Muhammad SAW yang berjaya mendaulat Negara Madinah sehingga menjadi kuasa politik yang kuat ketika itu. Ia berjaya menyatukan penduduk Madinah yang bertelagah sebelum itu. Malah mengukuhkan lagi saf umat Islam tatkala berlakunya persaudaraan sesama Islam (Muhajirin dan Ansar) dan menyatukan orang Yahudi dan Nasara di bawah panji-panji kedaulatan Islam. Apakah kedaulatan Negara Madinah di bawah kepimpinan Nabi Muhammad SAW itu tidak berkaitan soal politik?

Sedangkan Muhamed S. Elwa menganggap al-Dustur al-Madinah sebagai cetusan kebijaksanaan Nabi Muhammad SAW menguruskan politik bernegara. Hakikatnya, Nabi sendiri adalah Rasul pengamal politik di dalam mengurus risalah Islam kepada seluruh umat sejagat. Siapakah yang mampu menolak sirah Nabawiah ini? Hebatkah kita untuk menafikan cara-cara politik Islam?

Kembalilah kepada Islam

Sebelum telambat, janganlah sampai kita tergadai maruah agama, semata-mata kerana terikut-ikut dengan sistem politik sekular yang jelas memusuhi perjuangan Islam. Politik sekular adalah memusuhi gereja, maka janganlah kita menyalahgunakan masjid untuk perkara-perkara bercanggah dengan ajaran Islam. Kembalilah kepada Islam yang syumul, terimalah hakikat di dalam Islam ada politik Islam dan politik itu wujud di atas masjid. Itulah realiti politik Islam.