Berdasarkan longgokan isu-isu politik semasa yang berlegar dalam sepanjang kempen pilihan raya kecil (PrK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar, maka dapat dikatakan BN sepatutnya kalah. Asasnya kerana kebanyakan isu-isu tersebut yang merupakan isu teras untuk pengundi mempertimbangkan keputusan sebagai memberi signal kepada kerajaan BN pimpinan UMNO bahawa mereka telah tidak layak memimpin negara pada masa hadapan.
PAS sebagai pilihan
Di antara isu itu, maka amat rasional bagi pengundi untuk memilih PAS dalam dua pilihan raya kecil ini:
1. Kejayaan PAS mentadbir Kelantan yang telah memartabat pentadbiran Islam dengan
prinsip ketelusan dan berintegriti serta pemimpinnya tidak terbabit rasuah.
2. Kejayaan Presiden PAS mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian
untuk meminda Akta 355 (pada 26 Mei 2016) ke arah melaksanakan kadar hukuman
kesalahan jenayah syariah tidak terikat kepada 3 tahun, 5 ribu RM dan 6 rotan.
Sekaligus mengembalikan bidang kuasa mahkamah syariah untuk menghukum pesalah
jenayah syariah mengikut hukuman syariah yang sebenar. Sepatutnya pihak kerajaan BN yang melakukan pindaan tersebut, tetapi hakikatnya kerajaan BN tidak serius dalam urusan melaksanakan syariah di negara ini.
3. PAS telah memutuskan kerjasama dengan DAP (merujuk kepada keputusan
Majlis Syura Ulama PAS, 11 Julai 2015) yang merupakan sebuah parti yang menolak
usaha memartabatkan Islam. Ia dilakukan atas alasan untuk tidak terus bersekongkol dengan DAP yang secara berterusan menentang usaha Islamik yang diperjuangkan oleh PAS.
4. PAS kini sedang dipimpin oleh pemimpin yang serius memperjuangkan Islam, buktinya sanggup memutuskan kerjasama dengan DAP. Sementara pemimpin yang mahu kekal bekerjasama dengan DAP
telah mengambil langkah keluar dari PAS lalu menubuhkan parti baru PAN yang tekad melawan PAS dan
BN.
Justeru di atas kedua-dua faktor ini (faktor 3 dan 4), pengundi
seharusnya tidak memilih calon parti PAN yang didapati bersekongkol dengan DAP yang sememang tegar menentang sebarang usaha Islamik dalam negeri dan negara ini, termasuklah menentang pelaksanaan undang-undang jenayah syariah untuk orang Islam di Kelantan.
5. Demikianlah, dari aspek ketulusan PAS untuk mengamalkan Politik Matang dan
Sejahtera yang memperjuangkan hak rakyat berpandukan syarak dan rasional. Di dapati PAS telah berkempen secara berhemat dan beretika membuktikan akhlak baik yang mematuhi peraturan dan standard pilihan raya yang bersih dan adil. Sewajarnya PAS dipilih kerana kematangan di dalam berpilihan raya, lebih-lebih lagi PAS telah menamakan calonnya yang berwibawa menjadi jurubicara hak dan kepentingan rakyat di dua parlimen tersebut.
Pengundi wajar
menolak BN
Sebaliknya, pengundi mempunyai alasan atau faktor yang kukuh untuk menolak daripada mengundi BN dalam dua pilihan raya kecil kali ini. Di antara faktor atau isunya ialah:
1. Para pengundi seharusnya memiliki sentimen untuk menentang segala-gala penyelewengan di sebalik isu 1MDB, penggunaan wang awam seperti KWSP dan Tabung Haji, skandal RM2.6 billion yang membabitkan perdana menteri, dan lain-lain salah laku pemimpin BN
2. Menentang atas usaha kerajaan BN yang gagal membuat penyelesaian
ekonomi dan sistem cukai kerajaan BN yang bersifat mendera rakyat seperti GST, tidak membayar Royalti
Minyak kepada negeriyang dominasi orang Melayu, gagal menangani kejatuhan harga minyak dan nlai ringgit, diskriminasi pembangunan terhadap negeri-negeri yang dikuasai PAS dan lain-lain tindakan
kepada negeri majoriti Melayu, terutama di Kelantan.
3. Gagal menyelesaikan krisis dalaman UMNO secara harmoni sehingga memecat Timbalan Perdana Menteri
(TSMY), Menteri (Naib Presiden Umno Shafie Afdal, dari MIC Datuk Seri G.
Palanivel, dari Umno Hassan Malik) dan turut terlibat Peguam Negara, Abdul
Ghani Patail dan paling kasar memecat Menteri Besar Kedah, anak kepada Dr
Mahathir yang dikatakan tidak sehaluan dengan perdana menteri.
4. Timbulnya perpecahan UMNO setempat kerana menafikan Ketua Bahagian atau mereka yang lebih kanan di dalam parti sebagai calon bagi kedua-dua PrK.
5. Pelbagai isu tempatan yang melibatkan kemudahan prasarana untuk rakyat yang gagal ditunaikan seperti janji jambatan di Manong (Kuala
Kangsar) dan jalan persekutuan (Sungai Besar) dan pelbagai janji pembangunan
yang dimungkiri sejak berpuluh-puluh tahun lalu. Walaupun di dua kawasan tersebut telah diwakili oleh wakil
rakyat BN sejak dulunya lagi.
Rumusannya, kematangan rakyat dalam memahami demokrasi amat diharapkan bagi menatijahkan suatu keputusan bijak dalam dua PrK kali ini. Oleh kerana itu, berdasarkan isu-isu yang berlonggok tersebut, sewajarnya pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar dapat menyatakan undian secara majoritinya untuk menolak BN dalam PrK kali ini. Ia penting bagi kemaslahatan masa depan politik negara menuju politik matang dan sejahtera.