08 September, 2016

Persekitaran Semasa PAS - Peluang membina kekuatan

Pendekatan analisis SWOT boleh dilakukan bagi menilai persekitaran semasa PAS. Kesan daripada bekas pimpinan PAS menubuhkan Parti Amanah Negara (PAN atau akronimnya Amanah) maka PAS dilihat terserpih. Maka pihak yang terserpih sekarang sudah mengambil sikap bertentangan dengan PAS, iaitu sifat kumpulan yang pembalas bagi membuktikan tindakan mereka adalah betul.

Hal sedemikian berlaku dalam pilihan raya Negeri Sarawak (Mei 2016) dan dua pilihan raya kecil (Jun 2016); Kuala Kangsar dan Sungai Besar, menyaksikan Parti PAN telah meletakkan calon menentang PAS. Sifat menentang PAS itu samalah dengan BN atau UMNO.

Dalam konteks ini, aspek analisis SWOT boleh dijadikan alat bagi menterjemahkan realiti persekitaran yang bersandarkan nilai kekuatan (S), kelemahan (W), peluang (O) dan ancaman (T) yang sedang melingkari perkembangan PAS.

Relitinya PAS sudah bertentangan dengan PAN dan PAN pula komited bertindakan menentang apa juga tindakan PAS. Ia sama dengan BN atau UMNO. Maka secara matematiknya, nilai ancaman di sisi PAS sudah bertambah satu pihak lagi berbanding dahulunya hanyalah BN atau UMNO. Sekaligus ia telah menghakis sebahagian nilai kekuatan PAS atau kekuatan PAS dinilai sudah merosot.

Bagi mengembalikan nilai kekuatan PAS, panduan analisis SWOT boleh dipakai. Oleh sebab itu, PAS hendaklah meninjau dari aspek peluang yang ada. Apakah ruang persekitaran yang ada pada masa kini merupakan peluang bagi PAS memperbaiki kelemahan dan menambahkan kekuatan, sekaligus berupaya berhadapan dengan ancaman yang sudah bertambah?

Memanfaat peluang

Bagi menyelesaikan persoalan ini, PAS sudah membina hubungan dengan jaringan sosial dan politik membabitkan pihak ketiga. Di antaranya jaringan sosioekonomi Kongres Rakyat dan jaringan sosiopolitik Gagasan Sejahtera (sebelum ini disebut Blok Ketiga) dan mungkin pelbagai jaringan pertubuhan bukan kerajaan. Malah ruang keberadaan (engagement) pihak PAS dengan Kerajaan Persekutuan atau Negeri pun dilihat sebagai peluang alihan blok (block move) sekumpulan 'mainstream' untuk mendukung citra perjuangan PAS. Antaranya penyelesaian usul Rang Undang-undang meminda Akta 355 (Akta Mahkamah Syariah) merupakan peluang yang mengundang nilai tambah apabila ada kalangan orang Melayu yang bersetuju walaupun sebelum ini mereka menentang PAS.

Sehubungan itu, hasil analisis SWOT tersebut, setidak-tidaknya jaringan PAS di semua peringkat dapat membutirkan pelan tindakan sosiopolitiknya dalam mengatur gerakan bagi memanfaatkan peluang dalam persekitaran semasa sekarang ini.

Apa yang penting ialah kesungguhan PAS memanfaatkan ruang dan peluang yang sedia ada itu ke arah mengangkat kekuatan. Maka PAS akan dilihat berjaya memperbaiki kerosakan (kelemahan) akibat serpihan dan mengimbangi ancaman pihak PAN dan BN atau UMNO. Natijahnya PAS berpeluang membina kekuatan. Semoga kepimpinan PAS terus subur akal mengolah perkembangan persekitaran semasa ini demi menjamin kejayaan amalan politik matang dan sejahtera bersandarkan syariah Islam.