08 June, 2013

PAS Kelantan fail 3 petisyen PRU13

Harakahdaily.net melaporkan sepertimana di bawah.



PAS Kelantan fail 3 petisyen PRU13

Anis Nazri, 06 Jun 2013





KOTA BHARU: PAS Kelantan dijangka memfailkan petisyen pilihan raya bagi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dalam masa terdekat.
Tiga kawasan itu adalah Dun N25 Kok Lanas, N29 Selising dan N37 Air Lanas.

Perkara itu disahkan Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Wan Nik Wan Yussof kepada Harakahdaily hari ini.

Menurut Wan Nik, tiga petisyen itu difailkan berasaskan kepada beberapa penemuan wujud salahlaku ketika kempen pilihan raya umum lalu.

Ianya termasuk berlakunya dakwaan membeli undi oleh BN, selain wujud unsur ugutan terhadap pengundi dan cara berkempen calon BN yang menggunakan pendekatan fitnah terhadap kepimpinan dan calon PAS.

"Secara asasnya, dakwaan-dakwaan itu wujud di ketiga-tiga Dun tersebut. Ada berlaku ugutan terhadap pengundi dari kalangan mereka yang menerima bantuan agensi kerajaan pusat supaya mengundi BN dan perinciannya berserta bukti-bukti akan dikemukakan kemudian," jelas beliau.

Bagaimanapun, kata Wan Nik, petisyen itu akan dikemukakan kepada panel peguam untuk dimuktamadkan.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei lalu, kerusi Kok Lanas dimenangi oleh BN dengan hanya majoriti 169 undi menewaskan PAS.


Calon BN Datuk Md Alwi Che Ahmad mendapat 10,040 undi manakala calon PAS Nik Mahadi Nik Mahmood memperoleh 9,871.

Bagi kerusi Selising pula, calon BN Zulkefle Ali hanya menang dengan majoriti 107 undi terhadap calon PAS Saipul Bahrin Mohamad.

Zulkefle memperoleh 7,662 undi manakala Saipul Bahrin mendapat 7,555 dan seorang lagi calon bebas Ibrahim Ismail hilang deposit dengan mendapat hanya 120 undi.

Di Dun Air Lanas pula, menyaksikan Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed menang dengan hanya majoriti 46 undi terhadap calon PAS Abdullah Ya'akub.

Mustapa mendapat 6,605 undi manakala Abdullah mendapat 6,558 undi.

---------------------------------------------------------------------------------------
 
Pada saya petisyen adalah saluran bagi menzahirkan ketidakpuasanhati semata-amata kepada keputusan PRU13 lalu. Namun peluang adalah tipis. Berdasarkan petisyen yang lepas-lepas, hakim hanya membuat keputusan atas pertimbangan untuk elak keputusan berpihak kepada pempetisyen atau berlaku pilihan raya semula demi kos. Maksudnya sedaya upaya keputusan itu bertujuan mengelakkan kerajaan berbelanja besar sekali lagi. Sementara jika ada sekalipun kes yang menunjukkan kepincangan proses pilihan raya itu, hakim akan memutuskan bilangan kes itu masih tidak mengubah majoriti asal bagi membolehkan keputusan berubah dan berpihak kepada pempetisyen. Oleh kerana itu, pihak pempetisyen hanyalah suatu pendekatan "mood exercise" untuk petugas  dan pimpinan parti yang kecewa atas proses pilihan raya yang gagal diurus secara baik oleh SPR sahaja. Ia bukan proses keadilan sebenar! 
Maaf tulis.