04 September, 2011

IDUL FITRI 1432H YG HANGAT

Kesempatan menyambut Idul Fitri selepas menunai 29 hari IBADAT RAMADHAN amat mengembirakan. Lebih mengembirakan apabila sempat bersama-sama anak-anak, isteri dan kerabat sekalian ketika lebaran. Sungguh gembira lagi bila ujian Ramadhan berjaya dilalui dengan sentiasa mendoakan kerahmatan, keampunan dan nikmat pahala atas semua ibadat dilakukan - berpuasa, solat fardhu, solat tarawih, tahajuj, bersedekah, berzakat, melangsai urusan perjuangan Islam atas wadah parti Islam dan melaksana tugasan rutin di pejabat. Cuma tidak kesampaian untuk berumrah di tanah suci Mekah dan menziarahi Madinah.

Amat bahagia tika lebaran dapat mengunjungi ibu (foto - berkereta) yang sentiasa dirindui (kerana berjauhan). Dapat berjamu raya semua kerabat pada hari raya ke-2 dan mengunjungi rakan taulan pada raya ke-3. Apa pun mulai raya ke-4 dan sehingga tamat Syawal ruang beraya secara bekeluarga sudah tiada. Urusan pejabat dan tugasan perjuangan Islam mesti diteruskan. Namun celahan antara hari-hari Syawal terpaksa juga menghadiri majlis kenduri kahwin dan kesyukuran rakan-rakan yang diadakan pada sepanjang Syawal ini. Ia cukup bermakna demi memeriahkan lagi sambutan Syawal sebagai bulan raya yang berkongsi dengan bulan merdeka yang jatuh pada 31 Ogos bersamaan 2 Syawal.

Apa pun yang menghangatkan sambutan Idul Fitri pada Syawal tahun ini adalah gelagat media arus perdana (pro parti Umno - parti Melayu totok) yang dilihat 'langsung' tidak mengharmonikan suasana raya. Ia merujuk kepada serangan bertubi-tubi terhadap putaran fakta atas isu 'komunis' melibatkan Haji Mat Sabu seorang pimpinan kanan parti PAS. Kesian Haji Mat Sabu!

Justeru itu, Haji Mat Sabu sudah menjadi tokoh paling popular di pertengahan tahun 2011 ini. Tatkala sepanjang Julai (sejak himpunan bersih 9 Julai) sehingga Ogos dan awal September ini, hampir setiap hari paparan berita mengenai tokoh PAS itu sedia terpapar. Ia adalah berkisar atas dua isu yang menyakitkan hati pemimpin Umno, iaitu isu demokrasi yang kotor dibina oleh Umno sejak merdeka (foto bawah), dan isu mengiktiraf Mat Indera yang menentang polis British di Bukit Kepong sebagai hero.

Rasionalnya, kedua-dua isu yang dicetuskan oleh Haji Mat Sabu itu membawa kesan terluka kalangan pemimpin Umno kerana ia telah mendedahkan sesuatu persepsi buruk kepada keagungan Umno selama ini.

Di sebalik isu demokrasi kotor, Haji Mat Sabu telah dituduh oleh pemimpin Umno sebagai pembohong ekoran dakwaannya polis merempuh ketika menangkapnya. Ia memaksa polis terkial-kial menjawab melalui tayangan CCTV yang 'kabur' dan terdesak. Ia memaksa kepada tindakan undang-undang diambil oleh polis dan Haji Mat Sabu.

Begitu pula, dalam isu Mat Indera yang mulanya diputar oleh akhbar 'Utusan' dengan disabitkan Haji Mat Sabu sebagai menyokong 'komunis' yang menyerang polis British di Bukit Kepong sebelum Merdeka, maka media yang tidak adil itu sudah mereka-reka cerita kononnya Haji Mat Sabu ingin mengubah sejarah. Wujud pula skeptis sejarah, apakah penentang British sebelum Merdeka sebagai golongan penderhaka, sementara orang yang bersekongkol dengan British sebelum Merdeka sebagai pejuang Merdeka? Haji Mat Sabu berjaya mencetuskan poin ini yang menyebabkan sejarahwan terpaksa membelek semula 'teori sejarah' lama. Muncullah sejarahwan yang membela pemimpin Umno yang sudah diketahui umum sebelum ini sebagai pegawai kanan British itu sebagai pejuang Merdeka tulen. Lalu diolahlah berita Haji Mat Sabu yang mengiktiraf Mat Indera sebagai penentang polis British itu sebagai komunis yang bertaraf penderhaka kepada penjajah.

Justeru media pro Umno itu mulalah menimbulkan persepsi umum (foto sebelah), bahawa Mat Indera yang menderhaka kerana menentang polis British itu sebenarnya komunis dan setiap komunis adalah penderhaka meskipun ia berniat melawan penjajahan di tanah airnya sendiri. Ia suatu persepsi yang wajar diperbetulkan!

Asas yang rasional ialah penjajahan British yang memakan masa lebih 500 tahun di Tanah Melayu telah berjaya menjajah persepsi orang Melayu sehingga mengiktiraf British sebagai 'tuan' kepada Tanah Melayu! Ia berlaku kerana British berjaya membina aparatusnya termasuk pasukan polis India dan Melayu untuk menjaga ladang getah dan lombong bijih serta mengawal kongsi gelap Cina dari mengacau. Berjaya juga membina struktur pentadbiran yang membahagi-bahagikan kuasa raja-raja Melayu dan menguatkuasa undang-undang British lebih tinggi daripada perundangan Islam. Di samping memperkenalkan pembaharuan teknologi pengangkutan dan komunikasi seperti di Britain. Sudah tentu jika ada pihak yang menyerang polis British, samalah dengan menentang 'kuasa British' untuk terus mengaut hasil bumi Tanah Melayu. Maka bila ada pihak yang menentang British ketika sebelum Merdeka, pihak itu adalah penentang Merdeka. Mungkin inilah hujahnya menyebabkan setiap pemimpin Umno yang bersekongkol dengan British dianggap pejuang Merdeka, kerana mereka begitu setia 'bertuankan' British menyerah 'kuasa' untuk Merdeka!

Demikianlah, sedikit cuitan atas cetusan idea Haji Mat Sabu yang menghangatkan sambutan Idul Fitri pada tahun ini. Persoalannya, apakah ia suatu cetusan yang mungkin menggugat pengaruh Umno di kalangan orang Melayu, ataukah akan berlaku sebaliknya? Hakikatnya, dunia kini semakin sarat dengan maklumat baru dan lama yang bakal merumitkan ramalan pengkaji sejarah. Namun, setiap pemimpin Islam tidak seharunya kalut dan bercengkerama dengan kesaratan maklumat, kerana al-Quran sendiri sudah sarat dengan segala maklumat sejarah, semasa dan masa depan.